Thursday, August 17, 2006


INTEGRITI SATU KEPERLUAN
Maksud Integriti. Persoalan pertama yang perlu difahami ialah maksud perkataan integriti. Macmillan English Dictionary menafsirkan integriti pertamanya sebagai 'the quality of always behaving according to the moral principles that you believe in, so that people respect and trust you' dan keduanya sebagai 'the quality of behaving according to the rules and standards of your job or profession'. Mengikut Longman Dictionary pula, integriti dimaksudkan sebagai 'the quality of being honest and having high moral standards'. East View Dictionary memberi maksud integriti sebagai keikhlasan, keutuhan, ketulusan, kejujuran, atau 'complete honesty and goodness'. Kamus Dwibahasa terbitan DBP mengertikan integriti sebagai kejujuran dan ketulusan. Buku Pelan Integriti Nasional, Kerajaan Malaysia (2004), Putrajaya, telah menafsirkan integriti sebagai satu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Kepentingan Integriti Integriti adalah satu kualiti penting yang perlu ada pada setiap individu dan organisasi. Kita hanya boleh melihat dan menafsirkan integriti melalui pandangan mata kasar kita iaitu melalui perkara-perkara fizikal yang dilaksanakan. Melalui pengalaman berurusan seharian dengan individu lain, kita akan dapat mengenalpasti tahap keintegritian yang wujud pada individu tersebut. Sebagaimana yang kita telah sedia maklum, kehidupan seharian kita amat perlu kepada muamalat atau pergaulan sesama makhluk di bumi. Sebagai contoh, apabila kita berurusan di pejabat, terdapat segelintir pegawai pejabat yang tidak memberi layanan yang baik kepada tetamu mereka. Terdapat juga pegawai yang sering mencuri tulang ketika waktu pejabat. Perkara ini juga berkaitan dengan masa yang sering tidak ditepati terutamanya ketika menghadiri temujanji atau mesyuarat. Seringkali terdapat pegawai yang hadir ke mesyuarat lewat sepuluh minit, dua puluh minit, malah setengah jam. Malah, dewasa ini gejala yang sedang heboh diperkatakan di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan swasta ialah masalah rasuah yang semakin meruncing. Hal ini bukan sahaja boleh menyakitkan hati sesetengah pihak tetapi juga boleh menjatuhkan reputasi serta merugikan syarikat, organisasi malah negara. Ketika di jalan raya, setiap pengguna jalan raya perlulah memainkan peranan masing-masing untuk mengelak sebarang kemalangan yang tidak diingini. Hal ini termasuklah etika ketika ingin memotong kenderaan lain, meletakkan kenderaan, dan ketika memandu di atas jalan raya itu sendiri. Perkara ini penting untuk diambil perhatian kerana jika kita tidak menjaga integriti kita ketika memandu, kita bukan sahaja membahayakan diri kita sendiri, tetapi juga membabitkan orang lain yang tidak bersalah. Sewaktu kita berurus niaga di kedai atau pasaraya, kita seringkali berhadapan dengan situasi apabila kita tidak diberi layanan yang baik, atau tidak dilayan langsung oleh jurujual yang bertugas. Bahasa yang digunakan kasar dan tidak sesuai. Adakalanya, kiraan yang dibuat tidak tepat dengan harga barangan yang tertera. Pelanggan pula ada yang mencuri dan berlaku tidak jujur. Hal-hal sebegini adalah antara contoh-contoh situasi yang tidak berintegriti di pasaraya dan di kedai yang sering kita temui. Di sekolah juga kita biasa berdepan dengan individu dan organisasi yang mempunyai integriti yang rendah. Sebagai contoh, terdapat sebilangan pelajar yang suka melakukan vandalisme terhadap hartabenda sekolah seperti kerusi meja, papan kenyataan, paip air, tandas dan sebagainya. Mereka juga suka menconteng dinding-dinding bangunan sekolah terutamanya di dalam tandas dengan perkataan-perkataan yang tidak baik. Lebih mengharukan, terdapat juga guru walaupun segelintir yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna seperti tidak masuk ke kelas dan tidak memeriksa tugasan pelajar. Mereka ini tidak memberikan contoh yang baik kepada anak murid mereka. Ketika berada di kantin pula, terdapat individu yang tidak berintegriti yang tidak beratur atau memotong barisan ketika membeli makanan. Meja dikotorkan dengan tumpahan makanan, begitu juga sinki dan lantai. Bagi jurujual kantin pula, terdapat di kalangan mereka yang tidak menjaga kebersihan diri, pakaian, dapur serta premis mereka. Mereka lebih mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira kualiti makanan yang mereka sediakan. Tandas awam juga memperlihatkan kerendahan integriti masyarakat dan pengguna. Kebanyakan tandas awam amat rendah tahap kebersihannya. Kemudahannnya tidak terjaga. Ada di antaranya yang sudah tidak berpintu, pam dan paip yang tidak berfungsi, tandas tersumbat dan terdapat contengan-contengan yang tidak menyenangkan di dinding. Pampsers, puntung rokok dan sampah dibuang begitu sahaja. Hal ini semuanya berhubung kait dengan integriti masyarakat kita. Contoh seterusnya ialah telefon awam. Banyak telefon awam baik di kampung mahupun di bandar tidak dapat digunakan lagi kerana telah rosak akibat perbuatan tidak berintegriti sesetengah pihak. Mereka hanya memikirkan keseronokan sementara tanpa mengambil kira kesusahan yang bakal mereka hadapi suatu hari nanti. Begitu juga keadaannya dengan tempat membuang sampah. Terdapat individu yang tidak bertanggungjawab yang tidak menggunakan kemudahan yang disediakan dengan betul. Mereka sengaja membuang sampah di merata-rata tempat yang tidak sepatutnya tanpa merasai sedikitpun perasaan bersalah. Di stesyen-stesyen bas atau teksi, kita selalu melihat situasi yang tidak selesa dengan suasana yang bising dan keadaan yang kotor dan tidak terjaga. Selain itu, kita juga perlu berwaspada kerana seringkali berlaku kecurian dan kes-kes ragut di stesyen bas atau teksi. Bagi pemandu teksi pula, terdapat mereka yang mengenakan tambang sesuka hati tanpa mengikut meter atau kadar yang sepatutnya. Situasi seterusnya dapat dilihat pada penggunaan lif. Seharusnya, individu yang berintegriti akan memberi laluan kepada pengguna di dalam lif yang ingin keluar sebelum kita masuk ke dalam lif tersebut. Ketika berada di dalam lif pula, kita mestilah menunjukkan akhlak yang baik dengan tidak membuat bising atau merosakkan lif. Dengan sikap seperti ini akan mewujudkan suasana yang harmoni dan keselesaan kepada pengguna-pengguna lif. Akan tetapi apa yang didapati ialah keadaan sebaliknya. Dinding lif diconteng dengan kata-kata kotor dan tidak bermaruah. Sampah bersepah, kemudahan lif seperti kipas dan lampu dirosakkan. Di pasar pula yang kita temui suasana yang bising, busuk, dan kotor. Keadaan ini belum mengambil kira sikap jurujual yang hanya mengutamakan keuntungan. Ada di kalangan mereka sanggup menipu dalam jual beli seperti menggunakan timbangan yang tidak tepat atau mencampur adukkan barangan yang elok dengan barangan yang telah rosak. Jelasnya, mereka hanya mementingkan diri mereka sendiri tanpa berfikir samada perkara yang mereka lakukan itu patut atau tidak, halal atau haram. Di taman-taman perumahan atau flat-flat pula, terdapat banyak fenomena yang menggambarkan sikap individu atau organisasi yang tidak berintegriti. Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang tidak mengambil berat dengan kebersihan kawasan rumah mereka. Walaupun kekotoran itu di kawasan rumah mereka, namun ia akan turut mendatangkan masalah kepada penduduk di sekitarnya. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kawasan perumahan yang kotor akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, lipas, dan tikus yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada tetangga. Selain itu, terdapat juga penduduk taman atau flat yang suka membuat bising tanpa mengendahkan jiran tetangga yang mempunyai bayi kecil atau mereka yang tidur pada waktu malam. Satu bidang lagi yang menunjukkan kerendahan integriti masyarakat ialah budaya dalam berhutang. Terdapat penghutang yang sengaja tidak membayar hutangnya pada waktu yang telah disepakati oleh kedua-dua belah pihak. Terdapat juga penghutang yang sanggup menipu dengan mengatakan mereka telah melangsaikan hutang mereka walaupun pada hakikatnya mereka hanya membayar sebahagian atau tidak membayar langsung hutang tersebut. Mengikut kepercayaan mereka adalah untung jika mereka berjaya mengelak dari membayar hutang. Gejala ini bukan hanya melibatkan mereka yang tidak berpelajaran, malah golongan berpelajaran tinggi juga turut terlibat Bagi pemiutang pula, mereka sengaja mengenakan faedah yang tinggi yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Hal ini bukan sahaja menyusahkan penghutang, tetapi juga ianya salah di sisi agama. Berdasarkan contoh-contoh situasi yang diberikan, kita dapat menilai tahap atau gambaran integriti pegawai-pegawai, pengguna dan masyarakat keseluruhannya. Semua ini menggambarkan betapa pentingnya integriti kepada seseorang individu dan sesebuah organisasi. Integriti bagi sesebuah masyarakat itu penting kerana ia boleh mencerminkan imej agama, bangsa, dan negara. Persoalannya, adakah kita juga tergolong di kalangan mereka yang tidak berintegriti? Seterusnya, apakah tindakan yang telah dan perlu kita ambil untuk mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dengan integriti ini? Kita seharusnya menilai diri kita terlebih dahulu sebelum orang lain menilai diri kita. Faktor integriti merosot Terdapat banyak faktor yang menyebabkan integriti seseorang individu dan sesebuah organisasi itu rendah atau merosot. Ia berkaitan dengan individu itu sendiri, ksepimpinan, system dan prosedur, struktur dan institusi serta budaya. Faktor utama yang mempengaruhi keintegritian seseorang itu ialah sikap individu itu sendiri. Hal ini adalah kerana hanya tuan empunya diri sahaja yang boleh mengawal tindakan, tingkah laku dan akhlak masing-masing. Jika dia ingin menjadi seorang yang baik dan mempunyai peribadi yang unggul, dia akan melakukan perbuatan yang baik selaras dengan kehendak hatinya. Sekiranya dia hanya mengikut hawa nafsu tanpa menggunakan pertimbangan akal fikiran yang waras, dia akan sanggup melakukan sesuatu yang tidak berintegriti. Seseorang itu akan hanya mementingkan kebahagiaan dirinya sendiri tanpa memikirkan kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh orang lain akibat perbuatannya itu. Di samping itu, mereka juga sanggup mempengaruhi orang lain untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya. Mereka ini tidak mempunyai asas keagamaan yang kuat serta jati diri yang teguh. Faktor seterusnya yang mempengaruhi integriti seseorang individu atau sesebuah organisasi itu ialah kepimpinan. Secara umumnya, ketua memainkan peranan yang penting serta mempunyai pengaruh yang kuat untuk mengawal serta mentadbir sesebuah organisasi itu. Mereka juga berperanan sebagai model kepada anak buahnya samada di dalam institusi yang besar atau kecil. Oleh yang demikian, apabila kepimpinan yang dijalankan atau diterapkan serta contoh yang diberikan adalah tidak berkualiti, ini akan mempengaruhi peribadi atau integriti anak buah serta masyarakat secara tidak langsung. Selain itu, sistem dan prosedur yang tidak teratur juga boleh mempengaruhi integriti seseorang. Ada system dan prosedur kerja yang memberi ruang dan peluang kepada pekerja untuk melakukan penyelewengan.Sebagai contoh ialah mengenai rasuah. Sistem pemeriksaan di sekatan jalan raya memberi ruang berlakunya rasuah di samping pengguna sendiri suka memberi rasuah bagi memudahkan urusan mereka. Jika sistem dan prosedur yang memberi ruang dan peluang ini tidak diperbaiki, maka sukar untuk membanteras gejala yang tidak berintegriti ini dari terus berleluasa. Budaya juga memainkan peranan yang penting. Walaupun sebenarnya budaya kita unggul dan murni, namun oleh kerana pengaruh budaya luar yang kuat menyebabkan generasi sekarang lebih terdedah kepada budaya tersebut yang cenderung kepada perkara-perkara yang tidak sihat Jika perkara negatif ini tidak dibetulkan segera, ia akan menjadi amalan dan akhirnya terbentuk menjadi budaya. Langkah-langkah mengatasinya Integriti dapat melahirkan individu dan organisasi yang mempunyai akhlak dan personaliti yang mulia. Hal ini seterusnya dapat memberi hasil kerja serta produk yang berkesan, sempurna dan berkualiti. Manusia yang menyedari realiti sebenar tugasan atau kerja yang mereka lakukan pasti akan tahu menghargainya. Kerja adalah 'the law of existence, a gift of God.' "Once Rasulullah came across Saad bin Muaz and when he shook hands with him, he found that Saad's hands were dark, blistered, rough, hard and full of cracks. He asked Saad why his hands were in that state. "Ya Rasulullah, I am a farmer and I use agricultural implements, rope and leather straps to till the land. From this land, I get the sustainance and the provision to feed my wife and family." When Rasulullah heard this, the Prophet lifted the hands of Saad, kissing them and said "These are the very hands and palms that Allah loves most." Kerja yang dilakukan dianggap ibadah sekiranya ia dilakukan dengan niat yang baik melalui jalan yang dihalalkan syarak. Kekosongan Rohani (Spiritual Vacuum) Rohani atau jiwa yang kosong menyebabkan seseorang individu itu melakukan sesuatu yang tidak berintegriti. Generasi sekarang banyak terdedah kepada unsur-unsur yang tidak baik. Anak-anak dididik oleh `ibubapa palsu’ seperti televisyen, permainan komputer, internet, motor, muzik, hiburan, pub, cyber cafĂ©, telefon bimbit serta kawan-kawan. Semua ini adalah perkara-perkara melalaikan yang mendorong mereka kepada keseronokan duniawi yang sementara. Mereka suka membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah tanpa memikirkan bahawa mereka adalah generasi pelapis yang akan mentadbir negara pada suatu hari nanti. Jiwa mereka tidak dididik dengan iman dan takwa. Kekosongan jiwa ini adalah salah satu faktor berlakunya masalah tidak selesai yang sering melanda negara kita seperti kes-kes jenayah, gejala sosial termasuklah penagihan dadah yang semakin meruncing, seks bebas, penyakit HIV, bersekedudukan dan kes-kes disiplin yang lain. Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dilakukan oleh Transparency International ialah 5.2 dan menduduki tempat ke 37 daripada 133 negara. (Data tahun 2003) Iman Masalah integriti di kalangan masyarakat dapat diatasi sekiranya kekosongan rohani diisi dengan iman yang teguh. Orang yang beriman mempunyai ciri seperti yang difirmankan Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 3 dan 4. iaitu mereka yang beriman dengan perkara-perkara ghaib, mendirikan sembahyang, menginfak (memberi nafkah) rezeki yang Allah berikan kepada mereka, beriman kepada Al-Quran dan kitab-kitab terdahulu serta meyakini hari akhirat. Di dalam surah Al-Qiamah pula Allah berfirman yang bermaksud: "Apakah manusia mengira bahawa dia akan dibiarkan begitu sahaja? Bukankah dia dahulu berasal daripada setitis air mani yang ditumpahkan, kemudian menjadi segumpal darah lalu Allah menciptakan dan menyempurnakannya. Lalu Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan. Bukankah (Allah yang berbuat) demikian berkuasa (pula) mengidupkan orang yang mati." (Al-Qiamah: 36-40) Dengan mempercayai perkara ghaib serta hari pembalasan, seseorang itu akan lebih berhati-hati terhadap tingkahlakunya kerana ia tahu bahawa setiap perlakuannya akan dibalas diakhirat kelak. Ia akan menjaga halal - haram, baik dan buruk. Seluruh tingkahlakunya akan dipandu oleh Al-Quran dan hadis. Seterusnya di dalam surah Al-Muddassir, Allah berfirman yang bermaksud: "Ingatlah demi bulan. Dan malam apabila ia berlalu. Dan waktu subuh apabila ia mula terang. Sesungguhnya (neraka saqar itu) adalah salah satu yang besar. Peringatan bagi manusia. Bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju atau mundur. Setiap diri terikat dengan apa yang telah dikerjakannya. Kecuali golongan kanan. Dalam syurga saling bertanya. Tentang orang yang berdosa. Jalan apa (yang kamu lalui sehingga memasuki neraka) saqar. Mereka menjawab, kami bukan dari kalangan orang yang sembahyang. Dan kami tidak memberi makan orang miskin. Kami memperkatakan perkara yang tidak betul bersama orang yang memperkatakan. Kami mendustakan hari pembalasan. Sehingga kami didatangi kepastian (mati). Maka tidak berguna lagi kepada mereka syafaat orang yang memberi syafaat. Kenapakah mereka berpaling dari peringatan (Al-Quran)? Mereka seolah-olah sekumpulan keldai liar yang lari bertempiaran. Lari dari singa. Bahkan setiap mereka mahu supaya diberikan surat terbuka. Tidak! Sebenarnya mereka tidak takutkan hari akhirat. Ketahuilah sesungguhnya ia adalah suatu peringatan. Siapa yang mahu, ia akan ingat. Mereka tidak akan ingat kecuali jika Allah kehendaki. Dia yang memberi taqwa dan memberi pengampunan." (Al-Muddassir : 32-56) Allah berfirman lagi di dalam surah Al-An'am: "Katakanlah: Apakah aku patut mencari tuhan selain Allah? Dialah Tuhan bagi setiap sesuatu dan tiadalah apa-apa (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang itu melainkan untuk dirinya sendiri, dan seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali dan Dia akan menerangkan kepada kamu tentang apa yang kamu perselisihkan. Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan darjat sebahagian daripada kamu daripada sebahagian yang lain untuk menguji kamu dengan apa yang diberi. Sesungguhnya Tuhan kamu sangat cepat memberi balas. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Al-An'am : 164-165) Penutup Kita mestilah menghargai diri kita dan nikmat yang telah dan sedang kita kecapi ini dengan sebaiknya. Semuanya amat bernilai untuk dilepaskan dengan begitu sahaja. Allah menjadikan diri manusia supaya mereka ada pendorong semulajadi untuk mencapai sesuatu yang diperlukan dalam hidupnya. Integriti diri yang sempurna dapat diwujudkan gabungan daripada enam prinsip mudah yang perlu dihayati bersama iaitu pertamanya dengan menghayati konsep syahadah tauhid dan syahadah Rasul. Ertinya, kita mestilah memahami dan menghayati bersungguh-sungguh maksud keimanan dan kesaksian kita kepada Allah dan RasulNya bahawa Allahlah yang maha besar dan maha berkuasa, sedangkan makhluk tidak besar dan tidak berkuasa. Keluarkan kebesaran makhluk dari hati kita dan masukkan kebesaran Allah. Kita hendaklah patuh kepada segala perintah Allah mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad (S.A.W). Kedua, kita mestilah khusyuk dan khuduk ketika melakukan solat. Melaluinya, kita akan merasai ketenangan dan keamanan yang boleh mengisi kekosongan rohani. Kita tunaikan solat 5 waktu setiap hari tanpa gagal mengikut cara yang ditunjukkan oleh nabi iaitu dengan berjamaah di masjid. Para wanita melakukan di rumah pada awal waktu. Anak-anak lelaki dididik sejak kecil menunaikan solat di masjid berjamaah dengan bapanya, manakala anak-anak perempuan bersama ibunya di rumah. Dengan menunaikan solat lima waktu kita akan terkawal dari melakukan perkara buruk dan keji, apatah lagi perkara yang tidak berintegriti. Ketiga, kita mestilah sentiasa berusaha mendalami ilmu pengetahuan yang berfaedah serta berzikir kepada Allah. Ilmu pengetahuan dan zikir dapat membezakan nilai diri kita daripada orang lain yang tidak mempunyai keduanya. Ia dapat meninggikan darjat diri kita di kalangan masyarakat serta dipandang mulia. Dengan ilmu kita akan mengetahui apa yang Allah suka dan apa yang Allah benci, apa yang Allah perintah dan apa yang Allah larang. Keempat, selalulah berusaha untuk memuliakan orang lain. Hanya orang yang mulia sahaja yang sanggup memuliakan orang lain. Dengan ini, semua orang akan sentiasa hormat-menghormati, tolong-menolong, sayang-menyayangi, dan dapat merapatkan hubungan persaudaraan sesama insan. Tiada lagi sifat cemburu, dengki, iri hati dan khianat yang berlaku. Segala hak orang lain kita tunaikan sepenuhnya, manakala hak kita sendiri kita sanggup korbankan. Inilah sifat altruistic yang tidak ternilai harganya. Kelimanya, kita mestilah ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Ikhlas lahir dari hati yang suci dan jujur tidak menipu atau berpura-pura. Akhir sekali kita mestilah memperbetulkan salah faham yang selama ini kita percaya bahawa diri, masa dan harta kita adalah milik pribadi kita sendiri sedangkan pada hakikatnya itu semua adalah milik Allah pencipta kita. Dengan fahaman yang betul ini barulah kita sanggup menunaikan segala kehendakNya mengikut cara yang dikehendakiNya iaitu berintegriti.

3 comments:

vedacool said...

terima kasih ngan maklumat asal integriti ni.. banyak membantu dalam menyiapkan tugasan...

terima kasih...

yolanda diego said...

terima kasih diatas info tu. tp next time nk buat karangan biar lah ade perenggan. sakit mata den nk bcenye.

Rina Omar said...

Terima kasih atas maklumat ni. Mudah-mudahan membantu saya dalam interview nanti. Tq