Luahan


Subscribe

RSS Feed (xml)

Thursday, September 20, 2007

Muhasabah Ramadhan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang salah). Oleh itu sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadhan, maka hendaklah dia berpuasa bulan itu. (al-Baqarah :185)

Jelas pada kita bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang paling terpilih dan suci dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Allah menghendaki hambaNya supaya memenuhkan bulan Ramadhan dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya. Sesuatu yang teristimewa ialah dalam bulan ini terdapat satu malam yang dipanggil dengan Lailatul Qadar. Pada malam istimewa tersebut Allah akan gandakan segala amalan sehingga menyamai amalan selama seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun.

Umum mengetahui bahawa segala amal-amal yang kita lakukan dalam bulan yang mulia ini pahalanya akan dilipat gandakan. Jadi beruntunglah bagi sesiapa yang menjaga amalannya dan merebut peluang kesempatan Ramadhan dengan memaksimakan amalannya.

Namun beberapa perkara yang sering terlepas pandang oleh masyarakat kita. Sedikit sahaja yang ingin disebut di sini, antaranya ialah :

Masyarakat kita sering melaksanakan amalan fardhu secara sambil lewa , tetapi terlampau mengambil berat amalan sunat. Sebenanya amalan Fardhu adalah amalan yang wajib kita laksanakan, berdosa kalau kita tinggalkannya. Sedangkan amalan sunat kaedahnya buat dapat pahala, tak buat tidak mengapa.

Beberapa perkara Fardhu yang kurang diendahkan:
i)Solat fardhu lima waktu berjemaah di masjid.

Dalam bulan-bulan biasa : Tuntutan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah amat kuat dalam Islam dan amaran kepada mereka yang meninggalkan solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran sehinggakan pada waktu perang pun Allah mengajar Rasulullah dan para sahabat cara melaksanakan solat berjemaah ketika berperang. Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya ; Rasulullah bercadang untuk membakar rumah orang-orang Islam yang tidak hadir solat berjemaah. Jika meneliti Sunnah Rasulullah, kita akan mendapati Rasulullah memang sentiasa solat berjemaah sehinggakan di saat akhir hayat Baginda ketika mana dalam keadaan cukup uzur pun masih ke masjid dengan dipapah oleh para sahabat.

Dalam bulan Ramadhan : Kalau dalam bulan-bulan biasa tuntutannya sudah sebegitu, sudah tentu di bulan yang mulia ini tuntutannya juga semacam itu bahkan ganjarannya akan dilipat kali gandakan lagi.
Namun masyarakat kita tersilap. Mereka lebih mengutamakan hadir ke masjid untuk bersolat sunat terawih sahaja, sedangkan solat fardhu yang sepatutnya lebih utama mereka buat di masjid tidak pula diambil berat. Buktinya, kita dapat lihat bila tiba musim Ramadhan malamnya masjid-masjid akan penuh, padat dan sesak. Tapi waktu-waktu lain seperti Zohor, asar dan Magrib cukup mengecewakan.
Suatu lagi masalah yang sering berlaku ialah:
Dalam bulan-bulan lain : Lazimnya pada waktu malam masjid akan menjadi sedikit meriah berbanding dengan hari siang.Orang ramai akan solat magrib secara berjemaah di masjid. Sering kita menyaksikan waktu magriblah ahli jemaah teramai berbanding dengan waktu-waktu lain.

Dalam bulan Ramadhan : Tiba-tiba di bulan yang penuh keberkatan ini, waktu magribnya masjid menjadi sepi dan kaku. Pelik bukan? Sepatutnya orang semakin membanjiri masjid kerana hendak mengejar fadhilat-fadhilat di bulan Ramadhan. Kadang-kadang mereka yang ditaklifkan sebagai Imam dan Bilal juga lesap entah ke mana..

ii) Menuntut Ilmu.
Dalam bulan-bulan lain: Menuntut ilmu hukumnya wajib. Malang bagi seseorang kalau dalam masa tiga hari ilmunya tidak bertambah apa-apa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap orang muslim. Pepatah menyebutkan menuntut Ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Ada juga kalam yang menyebutkan tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Maka ganjaran akan diberikan terhadap orang yang menuntut ilmu dan orang yang menyampaikan ilmunya.

Dalam bulan Ramadhan : Tiba-tiba di bulan yang penuh keberkatan ini, majlis-majlis ilmu dihalang, disekat bahkan ada yang menyebut HARAM diadakan. Contohnya : majlis-majlis tazkirah (ilmu) tidak dibenarkan dibuat semasa solat terawih.

Kesimpulan: Ramadhan masih awal, Belum terlambat untuk kita berubah, gunakan baki umur yang ada untuk melakukan anjakan perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat setempat dan ummah. Moga-moga dengan madrasah Ramadhan ini dapat membentuk semula diri kita…insyaAllah.

Tuesday, September 18, 2007

Sekitar Bakti Siswa di SMA al-Wosto Temerloh (6.9.2007)

Penyerahan cenderamata kepada pihak Sekolah

Kenangan bersama urusetia


Bersama urusetia



Pelajar2 Putera



Pelajar2 Puteri

Wednesday, September 05, 2007


Kronologi Politik Turki


1281: Kerajaan Uthmaniyyah diasaskan oleh Uthman bin Ertoghrul
1924: Kejatuhan Daulah Uthmaniyyah.
1924: Turki diisytihar sebuah republik, Kamal Ataturk menjadi Presiden.
1928: Turki menjadi Negara secular
1938: Kamal Ataturk meninggal dunia, penggantinya Ismet Inonu
1950: Pilihan raya pertama, Parti Demokratik menang.
1952: Turki menjadi anggota NATO
1960: Tentera merampas kuasa.
1965: Suleyman Demirel menjadi Perdana Menteri.
1971: Tentera memaksa Demirel meletakkan jawatan.
1974: Turki menyerang utara Cyprus.
1980: Tentera merampas kuasa.
1983: Parti tanah air (ANAP) pimpinan Turgut Ozal menang pilihan raya.
1984: Turki mengiktiraf “Republik Turki Cyprus Utara”. Parti Pekerja Kurdistan (PKK) melancarkan perang gerila di tenggara Turki.
1990: Turki membenarkan Amerika Syarikat menyerang Iraq dari pengkalan di Turki.
1993: Tansu Ciller menjadi perdana menteri wanita pertama di Turki. Demirel dipilih menjadi Presiden.
1995: Turki menyerang gerila Kurdi di utara Iraq.
1996: Pemimpin Parti Kebajikan, Necmettin Erbakan, mengetuai pemerintah pro-Islam pertama sejak 1923.
1997: Parti Tanah Air pimpinan perdana menteri Mesut Yilmaz mengambil alih kuasa.
1998: Parti Kebajikan diharamkan. Yilmaz meletakkan jawatan diganti oleh Bulent Ecevit.
Jan 2000: Ahmet Necdet Sezer menjadi Presiden.
Jun 2001: Mahkamah Perlembagaan mengharamkan Parti Kehormatan. Anggotanya menubuhkan Parti Saadet.
Julai 2002: Lapan Menteri meletakkan jawatan selepas Ecevit, yang sakit enggan meletakkan jawatan.
November 2002: Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memenangi pilihan raya. Timbalan ketua AKP, Abullah Gul menjadi Perdana Menteri.


Dis 2002 : Perlembagaan dipinda bagi membolehkan pemimpin AKP, Reccep Tayyip Erdogan, bertanding kerusi Parlimen.


Mac 2003 : Erdogan memenangi kerusi parlimen. Abdullah Gul letak jawatan sebagai Perdana Menteri, diganti oleh Erdogan.


Dic 2004 : Kesatuan Eropah (EU) akur mulakan rundingan kemasukan Turki.
Okt 2005 : Rundingan keanggotaan Turki dalam EU dimulakan.


Dic 2006 : EU bekukan rundingan erana Ankara enggan membuka pelabuhan dan lapangan terbang kepada Cyprus.
April 2007 : AKP menamakan Abdullah Gul sebagai calon Presiden.
Mei 2007 : Parlimen menganjak tarikh pilihan raya ke depan, pada 22 Julai.


22 Julai 2007 : AKP menang besar dalam Pilihan Raya Parlimen.


28 Ogos 2007 : Abdullah Gul menjawat jawatan Presiden.

Monday, September 03, 2007

MERDEKA
Ogos telah pun kita tinggalkan. Bersempena bulan kemerdekaan tersebut pelbagai program mega telah dilangsungkan bersempena meraikan hari kemerdekaan Negara kita yang ke 50 tahun. Semua golongan meraikannya walaupun teknik merayakannya kadangkala agak pelik dan seolah tiada kaitannya dengan hari kemerdekaan. Orang tua dengan cara orang tua, golongan belia dengan style mereka dan tidak terkecuali golongan kanak-kanak juga merayakannya.

Amat baik sebenarnya untuk kita merayakan sambutan hari kemerdekaan sebagai memperingati hari yang penuh bersejarah itu, namun apakah konsep sambutan-sambutan yang dilangsungkan itu bertepatan dan kena dengan tema untuk hari kemerdekaan. Sebagai contoh bersempena dengan kemerdekaan diadakan konsert-konsert yang dihidangkan dengan pelbagai bentuk genre hiburan yang melalaikan dan sesungguhnya tidak ada kaitan langsung penghayatannya dengan hari kemerdekaan. Begitu juga diadakan acara-acara sukan, pertandingan-pertandingan seperti mewarna dan melukis untuk kanak-kanak. Bagi kaum ibu diadakan pertandingan menganyam, memasak dan pelbagai lagi.

Persoalan yang kita ingin timbulkan ialah sejauh mana penghayatan masyarakat terhadap mengenang hari kemerdekaan . Adakah matlamat sebenar program-program yang dilangsungkan itu bertujuan untuk menimbulkan penghayatan masyarakat terhadap kemerdekaan atau pun hanya sekadar program-program biasa yang menumpang dan mengambil kesempatan di atas berlangsungnya hari kemerdekaan seperti kata pepatah melayu menangguk di air keroh. Hanya penganjur program-program tersebut sahaja yang tahu matlamat asal mereka menjayakan program-program tersebut dan mungkin terdapat juga segelintir penganjur yang tidak mempunyai matlamat yang jelas mengenai program-program anjuran mereka itu.

Setakat penelitian kita setelah 50 tahun Negara mencapai kemerdekaan, majoriti rakyat masih lagi jahil dan tiada nilai sensitiviti kenegaraan walaupun kita melihat setiap kali tibanya bulan Ogos bendera-bendera berlambak-lambak dipasang di merata-rata tempat sehinggakan di kenderaan pun terpacak bendera Negara kita. Tapi hanya sekadar bendera sahaja, nilai kemerdekaan yang sebenar mungkin terlalu tipis dalam benak masyarakat.

Pejuang-pejuang dahulu, memang mereka tiada bendera-bendera untuk dipacakkan namun semangat mereka menentang penjajah hinggakan bermandian darah bahkan ramai yang menggadaikan nyawa mereka demi memastikan kedaulatan Negara tercinta . Namun kini jasa-jasa mereka banyak yang telah kita lupakan dan kadangkala nama-nama mereka pun tidak pernah kita mendengarnya. Terdapat juga pejuang-pejuang sebenar kemerdekaan yang jasa mereka seolah-olah tidak diiktiraf.Kebanyakannya terdiri dari golongan muda dan ulama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakub, Sheikh Ahmad Muhammad Zain, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Maulana Abdullah Noh, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi tokoh-tokoh sebenar yang tidak diketengahkan jasa- jasa mereka. Yang kita kenal dan di’highlightkan biasanya Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak lebih dari itu.

Setelah diisytiharkan 50 tahun kita telah merdeka, persoalan yang timbul benarkah kita sebenarnya telah merdeka? Atau hanya merdeka dari segi istilah sahaja? Kita melihat sehingga sekarang rakyat masih belum ‘merdeka’ (bebas)dari makhluk, Kakitangan kerajaan dan mahasiswa belum ‘merdeka’ dari Akujanji. Bayangkan setelah 50 tahun merdeka tiba-tiba sahaja pelajar-pelajar sekolah kita terpaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa penjajah. Tiada Negara dalam dunia ini yang telah merdeka tapi masih mengagongkan bahasa luar.kita lihat Negara lain contohnya Jepun, semua rakyatnya menggunakan bahasa mereka dalam segala urusan rasmi dan tidak rasmi. Diplomat-diplomat mereka juga menggunakan bahasa mereka walaupun ketika berurusan dengan Negara luar. Pihak luar terpaksa menggunakan para penterjermah untuk berurusan dengan mereka, bukan mereka tidak belajar bahasa Inggeris tetapi semangat kebangsaan mereka begitu tinggi.

Sedarlah walaupun usia kemerdekaan Negara kita telah genap 50 tahun iaitu satu usia yang boleh dikatakan sangat matang bagi seseorang manusia, tetapi Negara kita sebenarnya tidak sepenuhnya merdeka apalagi boleh diistilahkan sebagai matang samada dari segi system pemerintahan, pendidikan dan juga daya pemikiran. Semuanya masih bergantung kepada system penjajah. Kemerdekaan yang dilaung-laungkan hanyalah atas nama sahaja sedangkan etinya yang sebenar tidak dihayati sepenuhnya.
Wasalam.