Sunday, September 28, 2008


Syawal yang menjelang..


Sedar tak sedar Ramadhan yang dicintai (tak semua orang mengklasifikasikan sebagai bulan yang dicintai) akan berakhir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan kali ini masih berbaki. Ada golongan yang terasa begitu sayu dan sedih untuk meninggalkan Ramadhan, manakala ada pihak yang terasa begitu gembira meninggalkan Ramadhan, mereka tidak sabar-sabar menunggu menjelangnya syawal. Manakala satu pihak lagi tiada apa-apa, baginya sama sahaja Ramadhan mahupun syawal tetap sama sahaja. Realitinya, Ramadhan semakin kita tingalkan dan masa yang telah berlalu sudah pasti tidak boleh kita undur kembali. Apa yang tinggal hanyalah kenangan dan pengajaran yang kadangkala kita sendiri tidak ambil peduli.


Selamat tinggal kepada bulan yang padanya Allah menjanjikan seribu rahmat, keampunan dan bulan yang dijauhkan daripada neraka jahannam. Dan, rugilah bagi mereka yang pada bulan Ramadhan ini tidak memanfaatkan peluang yang diberi Allah ini dengan semaksimum yang boleh.
Sempena Syawal yang menjelang nanti marilah kita mengambil manfaat dengan meraikannya mengikut lunas-lunas yang dibenarkan. Kita hidupkan suasana berziarah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Mungkin di kala yang lain masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing maka apa salahnya di kala syawal ini kita gunakannya dengan berziarah, kita perkukuhkan lagi ukhwah persahabatan sesama kita yang kadangkala agak longgar.


Namun ada beberapa perkara yang realitinya sering dilakukan oleh masyarakat kita semasa bulan syawal nanti. Mudahan kita dapat menjauhkan dan mengelakkan anasir-anasir tersebut daripada terjebak ke atas diri kita.


Anasir-anasir tersebut :


>malam-malam akhir Ramadhan masyarakat kita membuat sesuatu perbuatan yang agak pelik iaitu memasang pelita api di halaman rumah, hanya di bulan Ramadhan tetapi tidak di bulan yang lain-lain. Saya tidak tahu apa tujuan sebenar mereka berbuat demikian. Mungkin supaya malaikat nampak akan rumah mereka atau ??. Orang dulu-dulu mengenal dengan malam 7 likur. KITA JANGAN BUAT!


>Menonton media (tv) yang sudah pasti menyediakan sajian yang agak melampau sempena syawal nanti sehingga mampu untuk menggoda kita daripada keluar berziarah bertemu sahabat handai. Rancangan-rancangan yang disusun biasanya hampir tiada yang menginsafkan kita tetapi biasanya sudah pasti menyediakan pakej maksiat seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, tidak menutup aurat, galak yang melampau dan macam-macam lagi lah. KITA JANGAN TENGOK!


>Anak-anak muda sakan berlumba di jalan raya. Biasa kita dengar kemalangan jalan raya semakin meningkat di musim perayaan ini. Orang lain sibuk berziarah yang depa ni sakan berlumba. KITA JANGAN TUMPANG SEKAKI!


>Pembaziran yang melampau. Biasanya masyarakat kita payah nak elak dari terjebak kepada pembaziran. Semuanya nak berlebih. Contohnya ‘baju raya’ yang berpasang-pasang, sebaiknya memadailah hanya sepasang sahaja sudah mencukupi. Aksesori rumah yang serba baru seperti langsir baru, cat baru, sofa baru dan semuanya baru-baru belaka. Akhirnya bulan depan semuanya pokai, hutang sana sini… KITA JANGAN AMALKAN !


>Masjid dan surau kembali menjadi sepi. Habis sahaja bulan Ramadhan seolah kontrak kita dengan masjid juga telah tamat. Kenapa begitu? Adakah disebabkan syaitan telah bebas maka kita kalah digoda? Lemahnya kita… KITA KENA IMARAHKAN !


>Budaya bermain mercun dan bunga api. Saya tidak tahu apa kaitannya tetapi bila Ramadhan dan syawal kanak-kanak bahkan orang dewasa akan bermain dengan permainan ini. Kalau kita baca sejarah berkaitan mercun ; kita akan mendapati mercun tidak dapat lari dari masyarakat China yang mempunyai kepercayaan-kepercayaan tertentu. Kita nak ikut mana? KITA JANGAN MAIN!

Sebenarnya ada bermacam-macam-macam lagi perkara yang perlu kita elakkan sepanjang kita menyambut syawal nanti. Dalam kita bergembira meraikan syawal sebagai bulan kemenangan jangan kita lupa akan saudara-saudara seakidah yang mungkin mereka tidak dapat bergembira seperti kita. Dalam kesibukan kita beraidilfitri mungkin mereka sibuk mengatur strategi untuk melawan kuffar, mungkin juga mereka tengah mempertaruhan nyawa mereka. Anak-anak kecil mereka menangis ketakutan mencari perlindungan. Ingat saudara-saudara kita di Palestin, Selatan Thailand, khasmir, Iraq.. Mereka adalah saudara kita. Fikirkan sumbangan untuk mereka, yang paling mudah jangan kita lupa untuk sentiasa berdoa untuk mereka.


Semoga madrasah Ramadhan yang telah dilalui dapat membuahkan hasil iaitu kita berjaya memperoleh ijazah takwa. Rugilah bagi mereka yang telah melalui sekolah Ramadhan ini tetapi apabila tamat sahaja sekolah mereka seolah telah lupa apakah pengajaran dan pelajaran yang diperolehi di sekolah Ramadhan tempohari. Cepat benar lupanya kita.. betullah kata Melayu Mudah lupa..


Akhirnya, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut aidilfitri ; maaf zahir batin buat semua ekspecially my family, my kroni, warga MTNP, pejuang-pejuang, mujahiden-mujahidah, teman-teman, serta seluruh kaum muslimin juga buat kamu yang sudi membaca catatan ini :).


Wasalam.


Sunday, September 14, 2008


Ramadhan : Bulan Kekuatan


Logiknya dalam bulan ini umat Islam akan merasa lemah, monyok, lesu, layu, letih, tidak bertenaga serta bermacam-macam lagi sifat yang menunjukkan kekurangan. Apa taknya tidak makan dan minum di sepanjang siang di tambah lagi dalam cuaca yang panas. Memang melemahkan.


Namun hakikatnya bulan ini adalah bulan kekuatan untuk umat Islam. Umat Islam perlu bangkit pada bulan ini, Jika pekerja maka kerjanya akan lebih berkualiti dalam bulan ini, jika pelajar studinya akan lebih berganda dalam bulan ini. Semuanya mesti lebih berbanding bulan-bulan biasa kerana ini adalah bulan kekuatan kita.


Sejarah silam telah membuktikan bahawa kebanyakan peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan natijahnya akan beroleh kemenangan.


Beberapa fakta yang tidak boleh kita pertikaikan :


-Perang Badar : perang pertama umat Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan. 313 tentera Islam menewaskan 1000 tentera kafir musyrikin.


-Islam membuka kota Mekah : pada 10 Ramadhan tahun ke 6 hijrah.


-Rasulullah bersama 30 000 tentera muslimin berangkat ke medan Tabuk di utara Madinah.


-Islam sampai ke Yaman : Tahun ke 10 hijrah.


-Khalid al-Walid meruntuhkan berhala uzza : 5 hari sebelum sebelum menjelang Syawal.


-Penyerahan Bandar Taif kepada Islam : tahun ke 9 hijrah.


-Pembukaan Andalusia (Sepanyol) oleh Panglima Tariq bin Ziad : 28 Ramadhan tahun ke 92 hijrah.


-Peperangan Zalaqqah : Islam melawan Portugal pada tahun 459 hijrah.


-Tentera Islam mengalahkan Monggol : 15 Ramadhan tahun 658 hijrah.


-Peperangan Yakhliz, Tentera Uthmaniah menentang Rusia : 15 Rmadhan tahun 1294 hijrah.
-Mesir menang dengan Israel : 6 Oktober 1973 Masihi.



Bulan Ramadhan juga al-Quran, Taurat, Zabur dan Injil diturunkan. Oleh itu marilah kita mempertingkatkan lagi amalan dan kerja buat kita dalam Ramadhan yang masih berbaki ini. Ramadhan pada tahun akan datang belum ada jaminan lagi untuk kita gerenti bersua dengannya.
Wasalam..

Thursday, September 11, 2008


Selamat Berangkat



Perjuangan mesti diteruskan, tahniah buat lima orang pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang telah berlepas ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat Ijazah. Tiga orang merupakan lepasan graduan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dan akan menyambung di peringkat Ijazah Takhassus Qiraat. Manakala dua lagi lepasan SPM 2007 akan mengambil Ijazah Perubatan. Mudahan mereka akan berjuang dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan yang diimpikan. InsyaAllah kami akan menanti kepulangan kalian dan kita akan sama-sama berganding bahu meneruskan misi menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini. InsyaAllah..

mabruk buat : Sulaiman, Zikrillah, Fatimah, Shah Musawwir dan Fathi
Wasalam.

Wednesday, September 10, 2008


Bila Ramadhan


Beberapa kejadian yang biasanya tidak berlaku di bulan-bulan yang lain :


Beberapa hari sebelum puasa, saya singgah sebentar di Pasar raya MYDEEN, MasyaAllah ramainya manusia. Landskap hiasan dalaman di dalam pasar raya juga telah berubah, beberapa aksesori utama yang masyhur bila tibanya raya diletakkan di tempat utama. Baju melayu, baju kurung, songkok dan kuih muih cukup banyak. Manusia berduyun-duyun membelek melihat barang-barang tersebut.


*belum lagi puasa orang dah beria untuk memberi kelengkapan untuk menyambut hari raya.. kenapa ye?


Dari satu segi bagusnya orang-orang kita, langkah ke depan, pandang ke hadapan. Maksudnya baru bulan Ramadhan kita dah pandang bulan berikutnya. Boleh maju umat Islam kalau dari segi aspek yang lain kita pun begitu..sentiasa ke depan.
Sehari sebelum puasa, saya dalam perjalanan dari Ibu negeri ke Daerah yang masyhur dengan Ikan Patin. Kebetulan melalui sebuah surau. Wah! Ramainya orang, pelik juga kenapa ramai orang, bukan waktu sembahyang pun.Oh! rupanya mereka bergotong royong membersihkan surau. Ada yang memotong rumput, membersihkan sawang, membaiki pembesar suara. Bagusnya..


Tiba waktu zuhur, saya singgah di sebuah surau.. menghairankan tiada orang yang bersolat, sebabnya surau tersebut tengah mengalami proses pengecatan, lantai karpet dalam surau masih ditutup dengan surat khabar lama untuk mengelakkan cat menitik tumpah ke atas karpet surau. Bagusnya…nak mencantikkan rumah Allah.


Surau yang seterusnya juga ramai manusia. Mereka juga mengadakan gotong-royong. Alhamdulillah, Saya berkesempatan solat di surau tersebut.


*adakah suatu kebetulan gotong-royong dibuat pada hari tersebut. Atau pun di sebabkan untuk meraikan dan menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Nampak sangat yang surau tersebut tidak digunakan sehingga terpaksa dibuat gotong royong membersihkan surau yang terbiar. Surau hanya dikunjungi ketika dalam bulan Ramadhan sahaja, bulan-bulan lain dibiarkan kucing, kambing yang menjadi pengunjungnya. Bila tiba musim Ramadhan yang akan datang, barulah surau yang ditinggalkan itu dikunjungi semula, dibuat gotong-royong..mungkin begitulah putarannya.


Malam pertama Ramadhan, Masjid berdekatan rumah saya begitu penuh sekali, macam waktu solat Jumaat. Rupanya ada solat sunat terawih malam ini, saya hairan.. kenapa manusia berbondong-bondong ke masjid untuk menunaikan solat terawih, bukan tidak bagus tetapi yang hairannya di waktu yang lain, di musim yang lain untuk menunaikan solat-solat fardu yang wajib kenapa tidak pula ditunaikan secara bejemaah di masjid. Adakah solat fardu afdal buat bersendirian di rumah dan solat terawih afdal secara berjemaah di masjid?


*harapnya salah faham ini dapat diatasi. Kita hendaklah sentiasa menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid walau apa sekali pun sebagaimana yang ditekankan oleh As Syahed Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya. Bukan hanya untuk menunaikan solat sunat terawih sahaja baru kita hadir ke rumah Allah.


Hari pertama berpuasa, saya dalam perjalanan ke Kuantan, tiba di bandar jalan begitu sesak sekali. Kenapa ye? … mungkin ada kemalangan…Ada Bazar Ramadhan?? Rupa-rupanya ramai manusia yang bersesak-sesak di bazar Ramadhan sehingga menyebabkan jalan menjadi sesak. Belum waktu asar lagi pun orang dah bersesak-sesak membeli juadah untuk berbuka puasa.


*tidak menjadi suatu kesalahan untuk membeli juadah, Cuma dalam keghairahan membeli jangan sampai kita membazir, membeli makanan di waktu yang lapar memang mengiurkan. Semua makanan nampak sedap belaka. Jangan sampai makanan terlalu banyak dibeli sehingga esoknya ada juadah yang mendapat tempat dalam tong sampah.


Begitulah sedikit realiti yang berlaku bila tibanya bulan Ramadhan. Mudahan kita semua istiqamah dan menggandakan segala amalan kita..


insyaAllah…