Sunday, October 31, 2010

Kibutsats : sistem tarbiyah Israel

By: Hilal Asyraf
Satu hari, Dr ‘Ala Hilat ada bercerita berkenaan Kibutsats. Pertama kali mendengarnya, membuatkan saya tertarik untuk mendengar apa yang hendak dia ceritakan.

Dia berkata:

“Kibutsats adalah salah satu sistem tarbiyah Israel, yang hakikatnya perlu kita perhatikan”

Kibutsats adalah bandar-bandar yang dibangunkan di sekitar sempadan Israel. Terdapat banyak kibutsats. Kibutsats akan dibangunkan apabila cukup 100 orang lelaki dan semuanya adalah tentera, bersama keluarga mereka. Mereka akan membina perkampungan di sempadan Israel.

Di sini saya kongsikan apa yang saya dengar berkenaan kibutsats.

Terbina untuk membina
Kibutsats hakikatnya adalah satu sistem pembinaan masyarakat yang sangat sistematik. Semua orang di dalam kibutsats terikat dengan peraturan yang agak ketat. Tetapi semuanya hidup mentaati peraturan itu.

Mereka mempunyai jadual harian. Di dalam kibutsats, terdapat dewan makan yang sangat besar. Semua keluarga di dalam kibutsats tidak akan makan di rumah mereka, tetapi makan bersama di dalam dewan besar itu. Perempuan-perempuan akan memasak bersama dan semua lelaki akan makan bersama.

Ada waktu untuk makan, ada waktu pula untuk kerja. Semua orang akan keluar bekerja yang mana, tempat-tempat bekerja mereka juga adalah milik mereka. Contohnya ladang, itu hakikatnya adalah ladang mereka. Kilang, mereka juga yang bina. Mereka bekerja menjalankan apa yang ada dan sedikit demi sedikit meningkatkan semuanya.

Kibutsats tidak terhenti dengan kehidupan makan dan bekerja sahaja. Terdapat juga jadual riadhah dan latihan ketenteraan bagi semua. Sebaik sahaja kerja tamat, mereka akan bersama menjalani latihan ketenteraan. Semua bersama. Baik anak kecil mahupun yang tua. Terbahagi kepada peringkat masing-masing.
Di dalam kibutsats ada nurseri dan sekolah. Semua anak-anak kibutsats akan dihantar ke nurseri dan sekolah di dalam kibutsats itu juga. Tidak akan dihantar keluar. Guru-guru di dalam nurseri dan sekolah itu juga adalah dari komuniti kibutsats.

Sistem pendidikan dan penjagaan kibutsats

Sistem pendidikan kibutsats amat unik. Mereka mempunyai silibus tersendiri, disusun dan direka untuk memenuhi hajat mereka yang ingin menawa duniaa. Mereka tidak memandang pelajaran mereka adalah untuk anak-anak mendapat sijil, atau kerajaan untuk mendapat untung, atau untuk pejabat-pejabat mendapat pekerja.

Mereka menggunakan sistem pendidikan mereka untuk membina ideologi, pemikiran anak-anak mereka.
Saya bagi satu contoh mudah. Matematik.
Di Malaysia, silibus kita biasanya hanya melibatkan kenderaan, buah-buahan dan makanan. Contohnya:

Ahmad ada 10 buah epal. Ahmad ada empat lagi kawan. Semuanya nak makan epal. Maka Ahmad membahagikan 10 buah epal tadi kepada dirinya dan empat kawan lagi sama-rata. Maka berapa biji epalkah yang akan dapat dimakan setiap seorang termasuk Ahmad?
Itu contoh soalan matematik di Malaysia.

Di Kibutsats Israel, mereka belajar matematik juga, tetapi isi matematik mereka membawa kepada apa yang mereka mahu. Contohnya:
Yyvon mengetuai satu peperangan terhadap 10 daerah orang arab. Yyvon mengetuai lima platun tentera termasuk platunnya sendiri. Maka, Yyvon membahagikan serangannya terhadap 10 daerah orang arab tadi kepada semua platunnya sama-rata. Maka, berapa daerah orang arabkah yang perlu dimusnahkan oleh semua platun termasuk platun Yyvon?
Itu contoh pengajian di kibutsats. Lihatlah bagaimana mereka membangunkan pemikiran pemuda-pemuda mereka. Dan silibus sebegini, digunakan sedari nurseri lagi. Ditambah pula dengan latihan ketenteraan yang wujud di dalam kibutsats sehari-hari.

Betapa bersungguhnya mereka membina anak-anak mereka.
Kemudian mereka amat menjaga pemuda-pemuda mereka. Jika ada anak-anak muda ingin keluar ke mana-mana daerah di dalam Israel, kerana cuti contohnya, maka dia wajib memaklumkan kepada ketua kibutsats. Kemudian, ketua kibutsats akan memberikan panduan:
“Sekiranya kamu hendak ke tel aviv, kamu pergi naik bas sekian, berhenti di stesen bas sekian, kemudian kamu bergerak menuju rumah sekian dan bertemu orang sekian. Di sana semuanya telah tersedia untuk kamu, makanan, duit dan sebagainya”
Begitu sekali. Malah, pemuda-pemuda yang ingin keluar tadi akan diberikan wang pula.
Sistem di Kibutsats adalah begitu.
Tujuannya satu, membina diri mereka, masyarakat mereka agar terus kuat dan kebal. Agar yang terbangun, agar yang mantap hanyalah mereka.
Doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna
Itu sebahagian cerita Dr ‘Ala kepada kami. Dia ketika itu baru sahaja selesai mempelajari perihal Kibutsats dalam mata pelajaran Kamasyarakatan Israel di Universiti Yarmouk. Satu kekaguman saya kepada Dr ‘Ala Hilat, dia sentiasa dahagakan ilmu. Dia hakikatnay sudah mendapat PhD dalam pengkhususan Muqorantul Adyan. Tetapi dia masih lagi masuk ke kuliah-kuliah di Yarmouk ketika masa senggangnya.
Dr ‘Ala berkata:
“Kita lihat hari ini orang Islam berdoa supaya Allah menghancurkan Israel, memusnahkan tentera-tentera mereka dan menurunkan bantuan kepada kita. Tetapi, ingatlah semua bahawa, doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna”
Doa tanpa usaha tidak akan membawa apa-apa makna. Itu pesanannya yang paling penting buat saya. Ya, kita orang Islam sering berdoa. Lebih-lebih lagi bila Palestin diserang, berapi kita berkhutbah, berqunut dan solat hajat.
Tetapi kita sendiri tidak membina diri kita, tidak membina keluarga kita, tidak membina masyarakat kita, tidak membina negara kita. Israel, mereka membina diri mereka ke arah matlamat besar mereka, mereka bina sekali keluarga mereka, masyarakat mereka, negara mereka.
Mereka jalani proses tarbiyah juga. Proses tarbiyah jahiliyyah yang sistematik.
Kita, kadangkala ada yang dikurniakan Allah SWT nikmat fikrah Islam, tetapi tidak menghargainya. Sekolah di sekolah agama tetapi tidak mengambil kelebihan di dalamnya. Kita tidak jalani proses tarbiyah Islamiyah dengan berdisiplin. Kita malas. Kita kuat main. Kita sering berfoya-foya membazir masa. Studi pun kita dapat nampak betapa orang Islam keterbelakang.
Maka apakah pertolongan Allah SWT akan sampai kepada kita?
Penutup: Itu adalah orang yang tidak beriman kepada Allah
Penduduk kibutsats adalah manusia yang tidak beriman kepada Allah SWT. Malah mereka hendak menghapuskan agama Allah SWT dan mereka yang menganutnya.
Tetapi, mereka sistematik mencapai apa yang mereka mahu. Mereka bersungguh-sungguh. Mereka ada kebersamaan. Mereka ada perancangan yang mantap. Mereka adun pengajian mereka, kultur mereka agar menyokong apa yang mereka bawa, apa yang mereka kejar.
Kita adalah manusia yang beriman kepada Allah SWT. Yakin dengan janji-janji-Nya, percaya dengan ketetuan-Nya. Tetapi kenapa kita begini hodoh? Tidak sistematik? Tidak bersatu? Tidak ada perancangan? Tidak pun kita berani bangun dengan adunan Allah SWT dalam kehidupan dan pendidikan kita. Kenapa?
Kenapa?
Di sinilah kita perlu duduk bermuhasabah semula.
Diri kitakah yang hendak menaikkan Islam?
Apa kata kita cermin diri, dan memperbaiki semula hati.
Sesungguhnya, kitalah yang menzalimi diri.
Palestin teraniaya bukan di tangan Israel hakikatnya.
Tetapi di tangan kita yang meninggalkannya.

Saturday, October 23, 2010

Masjid Bergelap

Pemandangan Masjid dari hadapan stesen keretapi Lipis
20.10.10 : Ketika solat maghrib, tetiba masjid menjadi gelap. walaupun gelap rupanya tak ada ahli jemaah yang takut gelap. Semuanya rilek, cool aje..tak de la yang terperanjat ke, lari keluar ke..semuanya masih stay dalam masjid.
Walaupun bergelap namun agenda selepas solat maghrib iaitu kuliah maghrib tetap diteruskan. Kuliah malam itu disampaikan oleh Ustaz Zabadin.
Di beranda Masjid staf TNB dan syarikat Karisma giat mencari punca kegelapan. Biasalah masjid wayering dah lama..umur wayering tu lagi tua dari saya...
Bro Baju hitam dari Syarikat Karisma dan Bro baju biru dari TNB

















Orang zaman sekarang tak pakai dah box jenis ni. Kata dua orang bro ni.





Kelihatan Us Zabadin tengah menyampaikan kuliahnya.


Kuliah maghrib tengah berlangsung

Thursday, October 21, 2010

Khutbah terakhir

Khutbah terakhir yang disampaikan oleh YH Dato' Abu Jamal bin Nordin, Pegawai Daerah Lipis. YH Dato' akan bertukar ke Putrajaya di bahagian JPA. YH Dato' merupakan bekas pelajar SMA Al Khairiah Temerloh dan Kuliah Pekan.

Tuesday, October 19, 2010

Mereka Yang Mati..


Masih valid sijil kelahiran… Belum layak untuk membuat sijil kematian di Jabatan Pendaftaran…
Masih boleh bercakap-cakap, tertawa riang sambil berbual kosong di warung-warung kopi…
Ya… Masih hidup lagi..belum mati dan tidak layak langsung untuk dimasukkan ke dalam kubur.

Tetapi….
Terdapat orang yang jiwa dan hatinya mati… terutamanya apabila melibatkan perjuangan menegakkan Islam. Mereka tidak kisahkan Islam itu sendiri apatah lagi orang Islam yang lain. Mereka hanya hidup untuk diri mereka sahaja. Apa nak jadi dengan perkembangan syiar Islam…lantaklah..yang penting aku masih Islam, solat tak miss, berjemaah di masjid lagi. Puasa, zakat, pergi haji.. mungkin dah beberapa kali pun..orang kena gelar al-Haj lagi.

Biasa… Apabila kita mengajak, menjemput orang-orang untuk bersama kita dalam menegakkan syiar Islam ini..Ada juga, mungkin bekerja sebagai guru agama di sekolah, pensyarah di fakulti Islam, Pegawai Agama di pejabat Agama, bekerja di Jabatan Agama yang berpendapat bahawa dia sentiasa berkerja untuk membangunkan Islam. Kerja hariannya itu ialah sebagai suatu perjuangan untuk membangunkan Islam… Habis waktu kerja…maka habislah sudah kerjanya untuk membangunkan Islam. Itu yang apabila diajak untuk terlibat bersama-sama dalam program amal Islami pada hari cuti biasanya sabtu dan ahad.. mereka awal-awal lagi menolak dengan alasan mereka telah bekerja untuk membangunkan Islam. Tidak dinafikan..itu memang rutin kerja mereka, dan mereka dibayar gaji untuk itu..cuba bayangkan jika tidak dibayar? Adakah mereka akan melaksanakan tugas harian mereka?..yang mereka kata sebagai suatu perjuangan untuk membangunkan Islam.

Ingatlah, bahawa tabiat perjuangan Islam itu, bukan lah disebabkan bayaran yang diperolehi. Tabiatnya sangat sukar, payah, bukan berjalan di permaidani merah, tetapi sehingga bermandi darah dan ada yang menemui syahid dalam menegakkan perjuangan Islam ini.

Mutakhir ini sudah mula kelihatan manusia yang mula berebut-rebut untuk terlibat dengan organisasi Islam. Berebut untuk mendapatkan jawatan di dalam organisasi tersebut… Berebut apabila organisasi Islam mula mendapat tempat. Mungkin ada yang ikhlas, tetapi ada juga yang mempunyai agenda sulit yang tersendiri.

Contohnya apabila pemilihan untuk AJK Masjid, maka ramai orang yang inginkan jawatan AJK tersebut. Ada yang tak pernah melazimi untuk hadir ke Masjid pun ingin merebut jawatan tersebut..kerana apa agaknya ye…

Maksud firman Allah dalam surah An-Nasr :
1. Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,
2. Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah,
3. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunanNya, Sesungguhnya Dia Maha penerima taubat.

Tetapi, apabila organisasi itu mungkin pada pandangan mereka tidak menguntungkan dunia mereka bahkan akan memayahkan kehidupan dunia mereka. Maka mereka akan melarikan diri, tidak mahu terlibat sama.

Oleh kerana AJK Masjid saya telah mati kesemuanya, Maka saya pernah membentuk suatu organisasi yang dinamakan sebagai Skuad Penyokong Masjid kemudiannya dinamakan dengan Kelab Sahabat Masjid dan akhirnya sebagai Skuad Sukarelawan Masjid. Bukan senang untuk mencari AJK yang sanggup komitmen. Ramai yang selesa untuk tidak terlibat, bagi mereka sudah cukup mereka datang untuk bersolat jemaah di masjid, dengar kuliah, kemudiannya tolong makan apabila jamuan di masjid. Bukan senang untuk mesyuarat, apatah lagi saya yang berusia setahun jagung yang berhadapan golongan-golongan tua, ialah…bukan ramai pun orang muda yang ke masjid, masjid lebih sinonim dengan orang-orang tua. Bila telah dibentuk AJK, ketika mahu dibahagikan kepada unit-unit/ biro/ lajnah..ada pula pakcik-pakcik yang berpendapat tak perlu biro-biro ini. Lantik AJK sahaja, Katanya lagi 'bila kerja kita kerja ramai-ramai'.

Kalau nak main bola, pemain-pemain ada posisi masing-masing. Bukan main terjah sahaja. Di mana bola disitu kita semua berkerumun..bukan begitu… perlu ada posisi masing-masing.

Saya faham maksudnya. Sebenarnya bila dibentuk biro susah lah dia, kena bekerja. Kalau tak ada unit-unit hanya lantik AJK sahaja. Maka apa kerja AJK ini, hanya hadir dalam mesyuarat, kemudiannya bila dibentangkan sesuatu program, depa bagi cadangan, komen..kemudian habis mesyuarat..habis.

Pernah, kami bermesyuarat. Agendanya untuk mengadakan jamuan hari raya. Ada seseorang yang memberikan cadangan, kita buat kambing panggang. Lalu orang lain terus mencadangkan supaya orang yang mencadangkan itu tadi menjadi incas untuk kambing panggang itu. Terus dia mengatakan ‘saya cadangkan sahaja’. Lalu seorang yang lain pula berkata ‘ cadang-cadang sahaja kita tak mahu. Semua orang boleh bagi cadangan. Kita mahu orang yang sanggup untuk berkerja.

Sahabat saya, mengetuai persatuan sesebuah alumni merasakan ketensionannya kepada saya,tentang perangai AJK dan anak buahnya. Ada AJK yang tak ingat pun bahawa dia pernah terlantik sewaktu hari perlantikan AJK bahawa dia seorang AJK. Bayangkan kalau tak ingat bahawa dia seorang AJK..hal-hal yang lain lagi lah..pegang unit apa..tak payah kata lah. Pernah bercadang untuk membuat jamuan hari raya untuk ahli yang berada di daerahnya. Lastnya terpaksa cansel program sebabnya yang lain-lain tak dapat nak hadir.

Pernah juga, mereka yang sangat hebat ketika di alam kampusnya. Memegang jawatan persatuan ini, persatuan itu, menjadi Exco MPP, tetapi apabila tamat belajar.. hilang entah ke mana. Untuk menjadi AJK Masjid Kampung pun tidak mahu. Ada yang ketika baru tamat belajar, orang ramai tahu kebolehannya ketika di kampus dahulu, terus dibaginya menjadi AJK sesebuah NGO Islam. Awalnya Nampak ok, tengah jalan…ko…tak pernah hadir langsung ke Mesyuarat AJK NGOnya itu.

Mudahan, kita semua yang ada menerima taklifan sebagai mana-mana AJK. Baik besar atau pun kecil taraf jawatan itu kita laksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Apabila kita tidak laksanakan tugas, maka kita telah membebankan sahabat-sahabat kita yang lain yang sudah pasti mempunyai pelbagai komitmen lain lagi. Taklifan kita merupakan suatu amanah yang akan ditanya nanti oleh Allah Rabbul Jalil, apatah lagi taklifan dalam kerja dakwah yang memang kita tiada pilihan untuk tidak terlibat dalam kerja fardhu ain itu. Saya masih ingat kata Allahyarham Hj Khairul Azhar bekas penasihat PMRAM kepada kami dahulu : Kamu telah dicalonkan untuk tugas itu, maka persiapkanlah diri kamu, janganlah kamu dikenang di samping kegagalan.

Wednesday, October 13, 2010

Mempergerakkan Diri

Beberapa minggu ini, tahap kesihatan saya agak merosot. Jika saya seorang atlet sukan, mungkin bahasa yang digunakan ialah tidak berada dalam kecergasan. Walaupun begitu saya perlu mempergerakkan diri. Antaranya :
14.10 Mempergerakkan diri ke Kolej Komuniti Gambang, Kuantan (kursus)
15.10 (pagi) Mempergerakkan diri ke JKR Daerah Lipis.
15.10 (petang) Mempergerakkan diri ke Negeri Sembilan untuk program Pelajar.
16.10 di Negeri Sembilan
17.10 Mempergerakkan diri ke Kuantan, Ihtifal Pusat Asuhan Tunas Islam.
18.10 di Lipis
Mudahan Allah kurniakan kekuatan buat saya dan juga para sahabat sekalian. Terkenang kisah perjuangan para pejuang silam. Ada antaranya yang tidaklah sihat mana pun tetapi tahap perjuangan dan pengorbanannya amat tinggi, mengalahkan mereka yang sihat wal afiat. Semoga saya dan kita semua mendapat motivasi dan semangat dari mereka-mereka yang terdahulu daripada kita.
Di ruangan ini, mari sama-sama kita renungi sedikit cebisan ringkas kisah seorang tokoh pejuang yang telah melakar nama gemilang dalam perjuangan Islam ini, InsyaAllah..
Dato' Paduka Prof Zulkifli Muhammad yang lahir pada 22 Mac 1927 mungkin kurang dikenali oleh orang-orang muda sekarang. Dalam usia 37 tahun beliau telah kembali ke rahmatullah dalam satu kemalangan jalanraya di Kuantan Pahang pada 6 Mei 1964.
Zulkifli Muhammad sewaktu kecilnya telah diserang sejenis penyakit lumpuh (polio) sehingga tangan dan kakinya menjadi lemah. Apabila umurnya semakin meningkat dan sudah boleh berjalan, ternyatalah ia cacat anggota kaki dan tangannya. Walaupun kaki tangannya lemah tetapi beliau tetap mahu berjalan. Walau seribu kali beliau jatuh namun beliau tetap berusaha untuk bangun dan terus bangun. Anggota yang cacat inilah yang dibawanya dalam perjuangan dan juga dibawa bersemadi di dalam lahad.
Beliau mempunyai cita-cita yang besar. Beliau meminta kepada ayahnya untuk belajar ke mana-mana sekolah yang lebih tinggi, tetapi pada awalnya ayahnya keberatan memandangkan keadaan anggota badannya yang lemah. Bapanya beranggapan kalau Zulkifli belajar setinggi mana pun, beliau tidak akan dapat memegang jawatan tinggi kerana setiap orang yang hendak bekerja dengan kerajaan mesti melalui pemeriksaan doktor, bapanya percaya doktor tidak dapat meluluskannya dalam pemeriksaan nanti.
Setelah Zulkifli meninggal, bapanya berkata "apabila saya teringat perkataan yang saya katakan kepadanya itu saya rasa terlalu sedih dan menyesal. Saya tidak sangka anak saya itu boleh jadi pemimpin.
Beberapa jam sebelum kematiannya, Zulkifli memandu keretanya, sebuah Fiat kecil bernombor JB 9977 dari Bachok Kelantan. Berhenti seketika di bandar Kuantan, setelah itu meneruskan perjalanan dan hanya empat batu dari bandar Kuantan, tiba di atas satu jalan yang sebelah kirinya sedang diperbaiki. Ketika kereta berada di atas jalan yang sempit inilah tiba-tiba muncul dari hadapan sebuah landrover yang dipandu laju menerpa dan kemudiannya berlakulah pelanggaran yang dahsyat yang membawa kepada kematian kepada beliau dan isterinya.
Atas jasa dan pengorbanan yang besar terhadap perjuangan Islam di negara kita, maka suatu institut pengajian tinggi telah ditubuhkan dengan menggunakan nama beliau ; Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM).
Mudahan kita semua bersemangat sama seperti semangatnya Prof. Zulkifli Muhammad. Beliau pernah berkata " Biarlah apa yang akan terjadi kepada kita, biarlah kita menghadap Allah SWT dengan hati yang suci dan dengan mengatakan aku sentiasa berjuang untukMu". Kisah beliau saya petik dari buku Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad oleh Dato' Mokhtar Petah.

Alasan..

Ketika kecil di bangku sekolah.. Pelajar sering memberikan jawapan kepada gurunya.. bila tak siap kerja sekolah kata si murid kepada guru, buku tertinggal di rumah. Bila lambat datang sekolah kata murid bas lambat, basikal pancit. Bila tak datang sekolah murid berkata tak sihat, baju basah. Bila tak pakai stokin si murid berkata stokin basah.

Ketika dewasa bekerja dengan majikan.. berkata kepada majikan apabila lambat ke pejabat… trafik jem. Bila tak siap tugasan yang diberi, setelah ditanya oleh majikan tala kan pula kepada staf yang lebih bawah atau unit-unit lain. Apabila dalam mesyuarat ketika dipertanggungjawabkan ke atas sesuatu perkara atau program maka ada helahnya untuk melepaskan diri. Dikatanya ada urusan keluarga yang penting untuk diselesaikan.

Begitulah tabiat manusia, sering membuat alasan. Alasan yang direka untuk melepaskan diri. Kenapa manusia sering membuat alasan? Agaknya untuk menjaga maruah diri supaya manusia lain tak nampak kesalahan, kemalasan dan kelemahan kita.

Dalam realiti dunia kini, kita maklum bahawa tugas untuk menegakkan Islam terletak atas bahu semua orang Islam. Selepas kejatuhan Khilafah Islamiah Turki maka tiada siapa yang terkecuali bertanggungjawab untuk memastikan Khilafah Islam akan kembali tertegak.

Maka dalam menghadapi suasana untuk menegakkan Islam ini. Masalah utama yang melanda ialah kurangnya tenaga sumber manusia yang sanggup melaksanakan tugas ini. Mungkin kalau mereka orang kampung yang buta huruf, tak pernah bersekolah alasan mereka boleh lagi kita dengar…

Akan tetapi banyak juga mereka yang terdiri dari kalangan cerdik pandai yang gemar mengeluarkan alasan menyelamatkan diri untuk tidak bersama-sama dalam menegakkan Islam. Bila cerdik otak ligat berfikir mereka-reka alasan berbanding orang sederhana yang menjadi pak turut.

Yang paling bermasalah, kelompok ustaz-ustazah yang mengaji tinggi tentang Islam, tentang kewajipan dakwah, tentang kewajipan Amar Makruf Nahi Mungkar tetapi masih mengeluarkan alasan. Pelajaran yang mereka perolehi hanya sekadar teori semata-mata disebabkan mereka ‘terpaksa’ memilih aliran pengajian Islam mungkin disebabkan tiada pilihan lain lagi.

Contohnya, sangat sukar untuk mencari pengisi-pengisi kuliah di Masjid. Bila dihubungi ada yang berkata tak layak, ilmu tak cukup lagi, bagi orang lama dulu, letih bekerja di siang hari dan bermacam-macam lagi.

Begitu juga dalam program-program Amal Islami, ada bermacam-macam alasan yang dikemukakan. Antara kata-kata biasa, saya sibuk dengan kerja, masalah keluarga, ada program lain..dsb.. Orang yang sama bila diajak ke program yang berbeza seperti futsal, sukaneka, memancing, berburu, berborak di warung kopi boleh sahaja tidak menguzurkan diri bahkan menjadi penganjur dan tonggak pula kepada program-program seumpama itu.

Suatu kisah yang masyhur di zaman Rasulullah iaitu peristiwa orang-orang yang tidak ikut serta dalam perang tabuk. Selain orang-orang munafik, ada tiga orang Islam yang tidak ikut serta dalam peperangan Tabuk iaitu Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah. Setelah peperangan tamat dan Rasulullah pulang ke Madinah maka orang-orang munafik datang berjumpa dengan Rasulullah memeberikan alasan sebab kenapa mereka tidak ikut serta dalam peperangan. Adapun Kaab bin Malik dia menceritakan pada awalnya dia merasa hendak mencari alasan bagi mengelakkan kemarahan Rasulullah. Dia meminta pertolongan dari ahli keluarganya yang cerdik pandai untuk memberi buah fikiran yang matang untuk memberikan alasan yang paling munasabah. Tetapi akhirnya dia tidak jadi untuk memberikan alasan dan dia yakin bahawa dia tidak akan terlepas dari kemarahan Rasulullah kecuali dengan bercakap benar. Kaab berkata depan Rasulullah bahawa dia tidak ada sebarang alasan, dia masih sihat dan kuat serta mempunyai kemampuan. Kemudiannya Rasulullah menyatakan benar kata kamu, bangunlah sehingga Allah menghukumkan kamu. Akhirnya dalam kisah ini Kaab berserta dua lagi sahabatnya dihukum dengan mereka dipulau dari orang ramai selama 50 hari.


Firman Allah (Al-Ahzab, ayat 36) bermaksud:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا
"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasulnya, maka sesungguhnyalah dia telah sesat, sesat yang nyata"

Mudah-mudahan kita semua dijauhkan dari gejala suka mengeluarkan alasan yang sememangnya semenjak dari kecil lagi kita telah terlatih untuk melakukannya.

Tuesday, October 12, 2010

Islam yang begitu, bukan begini

Bagi sesetengah masyarakat awam di tempat kita, takrifan pengamalan Islam mereka sangat mudah dan senang. Takrifan yang diperolehi berdasarkan pemerhatian turun temurun warisan tok nenek moyang. Hafal rukun Islam dan rukun Iman, ada yang mengikut susunan dan ada yang tunggang terbalik. (soalan rukun Iman dan rukun Islam ada ditanya dalam temuduga kerja, antaranya temuduga guru KAFA, temuduga imam,bilal dan siak masjid qaryah).

Selain itu, menganjurkan majlis kenduri doa selamat, kenduri doa arwah, majlis tahlil, marhaban dan berzanji semasa cukur jambul bayi, solat hajat dan beberapa lagi amalan lazim yang diwarisi.

Saya sangat akrab dengan kehidupan masyarakat begini. Saya lihat bila mereka telah laksanakan dan sentiasa laksanakan amalan-amalan ini, rasa macam sudah sempurna pengamalan Islam mereka.

Ada orang itu, dia bukannya selalu hadir ke masjid pun, dia masuk ke rumah baru. Lalu dia anjurkan program masuk ke rumah baru, agendanya solat hajat, baca Yaasin, tahlil dan doa selamat. Dalam senarai jemputannya selain saudara maranya, jiran tetangganya yang juga penting ialah orang masjid (saya juga bercadang untuk menulis berkaitan orang masjid, mungkin di masa-masa akan datang insyaAllah). Si isteri sentiasa mengingatkan kepada suaminya supaya jangan lupa menjemput orang masjid. Lalu si suami yang jarang-jarang ke masjid pergi ke masjid untuk mengajak orang masjid ke rumahnya.

Saya selalu dijemput ke program sebegini, semenjak saya di alam student lagi. Sekarang, biasanya saya akan memilih dan memberi syarat untuk hadir selepas solat Isya’. Alasannya jika saya berserta orang masjid pergi siapa yang akan ada di masjid untuk solat maghrib dan isya’.

Kadang-kadang kita melihat, ada imam, bilal dan ahli jemaah yang bila dapat jemputan sebegini melonjak sangat kegirangannya. Ialah, bukan selalu orang nak hargai khidmat si Imam ini. Bila orang jemput dia pulak yang lebih-lebih, sampai bagi cadangan kepada si penjemput supaya elok kita buat lepas maghrib, cepat sikit habisnya. Bila situasi ini berlaku, biasa di kampung-kampung tradisional, maka siapa agaknya yang akan berada di masjid untuk waktu maghrib dan isya’ itu. Mungkin ada orang, tapi sangat sedikit dengan Imam dan bilalnya yang sudah lesap, awal-awal lagi ke rumah kenduri itu.

Kebiasaan juga, apabila program majlis solat hajat, kenduri arwah, doa selamat ini sedang berlangsung... si tuan rumah dan ahli keluarganya sibuk menguruskan hal-hal yang lain, sibuk mengalukan tetamu, sibuk menguruskan urusan lauk pauk sampaikan mereka tak membaca yasin dan solat hajat. Tetamu sahaja yang tolong mendoakan dan membacakan yasin, mereka mengaminkan pun ada yang tak sempat. Tetapi bagi mereka, mereka merasa puas kerana dapat mengadakan bagi takrifan mereka upacara agama ini.

Biasa juga, apabila program-program ini berlangsung, selain orang masjid yang dipanggil, ada juga golongan yang sangat suka ke program sebegini, seperti jiran tetangga di kalangan kaum wanita. Dalam bahasa orang masjidnya kita gelarkan kaum muslimat. Mereka juga suka hadir tetapi lazimnya tidak ikut serta dalam agenda program itu, tidak solat hajat, tidak berapa nak baca yaasin, tetapi mereka akan rancak berborak. Saya pernah menjadi imam solat hajat di sebuah rumah, yang mana time solat itu, kedengaran sangat riuh bunyi dari dapor, suara orang perempuan berbual-bual, bergelak ketawa. Sudah pasti solat saya tidak focus, rasa mahu sound sahaja mereka. Bila mereka akan diam. Biasanya time berdoa, baru masing-masing akan diam, tunduk penuh khusyuk menadah tangan mengaminkan doa.

Memang orang kita, agak khusyuk bila berdoa ini. Pernah saya melihat ada pelakon perempuan yang pakai skirt atas dari paras lutut, dalam pelancaran suatu filem , bersama krew yang lain tunduk khusyuk mengaminkan doa, terlupa agaknya yang dia sedang pakai skirt pendek.

Kadang-kadang ada juga upacara agama ini yang agak pelik, tetapi sifunya adalah tok lebai, tok imam, ustaz yang menjadi kepala untuk upacara ini. Antaranya ialah.. biasanya bila bayi baru lahir, orang kita akan buat upacara yang dipanggil belah mulut. Program ini ok, mengikut amalan Sunnah Rasul yang menyuruh kita melaksanakan tahnik kepada bayi yang baru lahir. Tahnik merupakan perbuatan menyapu manisan seperti kurma, madu dan susu. Tetapi yang canggihnya dalam masyarakat kita, bukan hanya manisan sahaja, ada bermacam lagi perasa lain. Ada garam, cengkih..macam-macam la perasa manis, masin, pahit. Maka tok imam pun taruhlah perasa-perasa ini ke mulut bayi..

Ada juga masyarakat kita yang buat upacara menjejakkan kaki bayi ke tanah, sebagai simbolik bayi dah nak boleh berjalan. Upacara dimulakan dengan tahlil dan doa selamat. Selepas itu tok imam, tok lebai akan mendirikan bayi di atas talam yang telah dipenuhkan tanah di dalam talam tersebut. Bayi itu pun pelik, kenapa agaknya dia diperlakukan begitu.. tapi semua orang puas..tok imam puas, tok bilal puas, tetamu puas, kaum keluarga lagilah puasnya.. Puas dapat melaksanakan suatu amalan agama yang bagi mereka sangat mulia.

Beginilah masyarakat kita. Bagi mereka Islam ini, adalah begitu… cukup dengan doa selamat, tahlil, baca yasin..begitulah…Maka tugas bagi kita yang faham akan Islam ini mesti memahamkan mereka.. Fahamkan kepada mereka Islam adalah begini bukan begitu.




Monday, October 11, 2010

Masjid yang Muram

Saya begitu teruja apabila bertandang ke masjid-masjid di bandar besar khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur. Jeles pun ada. Sangat jauh pencapaiannya jika ingin dibandingkan dengan masjid-masjid di negeri Pahang ini. Fizikal masjid yang begitu selesa dilengkapi dengan penghawa dingin, LCD, PA system yang berkualiti, hiasan dalaman yang cantik dan kemas. Aktiviti masjidnya pula agak padat dengan pengisian-pengisian ilmu yang disampaikan oleh tokoh-tokoh ulama yang pendengarnya akan memenuhi ruangan masjid. Bagi struktur pentadbirannya pula, mempunyai AJK yang berwibawa untuk menggerakkan masjid. Masjid mempunyai dana kewangan yang kukuh untuk membiayai segala-galanya.. aircond, bayaran penceramah, kos program-program dan sebagainya.

Memang sudah menjadi trend sekarang, orang di bandar-bandar lebih dekat jiwanya dengan agama, mungkin disebabkan dengan taraf pendidikan penduduknya berbanding dengan orang di kampung-kampung.

Kalau Masjid-masjid di negeri Pahang, dhaif sangat rasanya jika ingin dibandingkan. Masjid-masjid yang sama reka bentuk antara sama satu lain. Contohnya bagi masjid daerah, Masjid Daerah Temerloh, Mentakab, Masjid Daerah lama Jerantut, Lipis, Masjid ketari Bentong, Masjid Daerah Rompin, Masjid Jalan Gambang Kuantan, Masjid Daerah Pekan mempunyai bentuk yang sama sahaja. Kubah yang sama, design yang sama.

Bagi Masjid Daerah Cameron dan Masjid Tengku Abu Bakar Raub mempunyai design yang sama. Jengka, Chenor dan masjid Hidayah berkongsi design juga.

Untuk beberapa daerah yang sudah mempunyai masjid daerah yang baru seperti di Raub, Jerantut dan Bentong berkongsi design yang sama juga.

Berkongsi pelan juga berlaku bagi masjid-masjid kampong. Kecuali jika masjid kampong itu didirikan oleh orang ramai, jika melalui peruntukan kerajaan jawabnya sama sahaja bentuk designnya.

Mungkin memudahkan untuk pelancong-pelancong yang meminati masjid, tak perlu melawat ke banyak masjid, cukup beberapa buah sahaja untuk koleksi gambar kerana antara satu masjid dengan masjid yang lain sama sahaja bentuknya..Mungkin…memang sudah menjadi tabiat Pahang suka bentuk masjid yang sama.

Beberapa pemerhatian yang rasanya jawapan kepada muramnya institusi masjid di negeri Pahang antaranya :

1. Masjid mempunyai AJK yang tidak selayaknya untuk mentadbir Masjid. Perlantikan AJK yang ditabiri oleh parti politik dan jawatan dalam kerajaan seperti ketua-ketua jabatan menyebabkan timbul pelbagai masalah, AJK tak hadir ke Masjid, AJK hanya mahu nama sahaja, hanya mahukan jawatan sahaja, sebagai markah bonus untuk diisi dalam borang SKT. Maka terhasillah kebanyakan AJK masjid di Pahang yang nama AJKnya ada YH Dato’ ada yang di hujung nama asal terselit huruf PJK,PPN, AMP,JP,SMP dan sebagainya.

2. Dana kewangan masjid yang tidak kukuh. Ada duit macam-macam perkara yang boleh dilaksanakan. Dengan AJK yang tidak cakna bagaimana masjid mampu untuk menjana kewangannya. Hanya bergantung kepada tabung derma orang ramai khususnya hari jumaat yang jumlahnya pun tak lah sebanyak mana.

3. AJK terutama bendahari yang tidak faham untuk menguruskan tabung derma orang ramai. Ada masjid yang duit derma sampai RM 100 000. Tapi tersimpan dalam bank, susah sangat nak keluar. Mereka bangga dengan jumlah yang banyak sahaja.

4. Hilang kepercayaan orang ramai untuk memberi derma. Mereka kata, baik mereka derma ke tempat lain, bagi derma ke masjid, duit derma hanya disimpan dalam bank, sampai beranak pinak dividen dalam bank, seolah jariah mereka tersekat dalam bank.. AJK yang menyekatnya.

5. Bagi Masjid Daerah yang merupakan Masjid Kerajaan yang mempunyai staf kerajaan yang ditempatkan di situ, tidak mempunyai peruntukan tahunan kerajaan. Berbeza dengan bangunan kerajaan yang lain, ada peruntukan tahunan dari kerajaan. Bila masjid tidak ada. Duit diberi secara langsam kepada Jabatan Agama untuk uruskan. Pandai-pandailah Jabatan Agama nak urus, masjid lagi, sekolah lagi, program-program agama lagi… sudahnya adalah masjid yang dah nak roboh tak dapat peruntukan untuk membaikinya. Contoh masjid Lipis yang mengalami kebocoran yang serius, Sudah beberapa kali hantar surat ke jabatan..tak ada apa pun lagi tindakan, jawapan diberi Jabatan tak ada duit sekarang.

6. Yang paling penting, Tahap ilmu orang-orang di sini tidak sama dengan orang-orang di Bandar besar. Dengan ilmulah yang dapat merubah segalanya. Dengan ilmu manusia akan dekat kepada agamanya.

Friday, October 08, 2010

HALAQAH ILMU

Siri Halaqah Ilmu
Oleh : Dr. Zulkifli bin Muhamad al-Bakri
(Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan & Terengganu)
Tarikh : 20 Oktober 2010 (Rabu)
Masa : 8.00 am-12.00 pm
Tempat : Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis
-Sambungan Syarah Kitab Hikam
-Fiqh Manhaji
-Soal Jawab