Wednesday, November 30, 2011

Kembara Sahabat Masjid Junior..

Sempena cuti sekolah yang sedang berlangsung, Masjid Sultan Mahmud telah menganjurkan program Kembara Sahabat Masjid Junior ke Gunung Senyum Temerloh. Program ini antara lain ingin mendekatkan golongan remaja akrab dengan Masjid. Dalam kembara ini, selain dari meneroka alam ciptaan Ilahi peserta juga dilatih mengalunkan azan (azan dalam gua yang bergema), Penekanan tentang aspek berkumpulan (team/jemaah), Praktikal Solat Jamak Qasar berjemaah, Pengajaran tentang akidah dan syirik..
Berdoa sebelum bertolak



 Makan dulu..

di hadapan Gunung Senyum
 Perjalanan ke Gua Kolam 7

 menuju ke kolam 7

 akhi Farizal & Joney


Gua Hidang..





Gua Piala

 Piala?? , belakang piala tu gua Gudang kelawar

 Selepas Gua Piala (arah barat) perjalanan ke gua seterusnya Gua Mengerlap, Gua Kambing tergendala kerana laluan dinaiki air musim-musim hujan ini. Faktor ladang sawit yang baru disodok bersebelahan dengan Gunung Senyum juga faktor laluan air tersekat.
Patah ke arah timur, Gua Terang Bulan

 Gua Taman 2

 Makam Tok Long


Amalan syirik..Banyak duit syiling yang ditabur di kubur Tok Long, syiling sahaja..kalau not RM 100 sedap juga..
 Gua Silat

Ketuk 'gong' di Danau Impian bersebelahan dengan gua Silat 


Menuju ke Gua Tali Air

Air jernih..

Air sudah jadi keroh, laluan seterusnya menuju ke arah timur juga tersangkut, hasrat ingin menuju ke Gua Nisan tergendala..


Kembali ke Pangkalan..

 Berehat..

Banyak lagi gua-gua yang belum diteroka, daki Gunung Senyum (6 jam), daki Gunung Jebak Puyuh (45 minit berjalan kaki dari Gunung Senyum)...InsyaAllah di masa akan datang pula. 
Masjid juga akan merancang pelbagai lagi program untuk Sahabat Masjid Junior... rugi kalau tak join...

Thursday, November 24, 2011

Cuti Sekolah


Cuti sekolah memang cukup menyeronokkan buat insan yang bergelar pelajar sekolah. Baik tadika, sekolah rendah hinggalah menengah memang sangat-sangat menanti hari cuti terutamanya cuti akhir tahun.

Pelbagai agenda dan program dirancang, sama ada bersama rakan taulan, kaum keluarga, atau pun agenda sendiri-sendiri sahaja.

Ada yang merancang untuk balik kampung, berjalan ke tempat-tempat bersejarah, bekerja sambilan mencari wang poket, menjadi pengunjung tetap perpustakaan  dan pelbagai ribu macam lagi agenda yang dirancang.

Saya tertarik karya sasterawan Negara, Dato’ A. Samad Said yang menulis buku cerita siri apresiasi remaja seperti Bendera di atas bukit, Rumah rahsia, Jangan ikut jalan ini, Yang berat sama dipikul, Mengejar tetamu di waktu senja. Ceritanya mengisahkan  kanak-kanak yang membuat pelbagai aktiviti yang menarik semasa cuti sekolah. Cukup menarik jika dapat dibaca oleh para pelajar tidak terkecuali golongan dewasa juga.

Namun, ramai juga yang menghabisi musim cuti sekolah dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan kadang-kadang sampai memudaratkan. Contohnya melepak di perhentian bas di kampung, dari pagi sampai ke malam, sampai menyukarkan orang untuk menunggu bas. Ada yang merempit ke hulu hilir kampung.

Juga di musim cuti ini, kebiasaannya  musim tengkujuh dan banjir di pantai timur, wajarlah ibu bapa mengawasi anak mereka dan kalau boleh tak perlulah berjalan ke tempat-tempat air terjun, pantai, sungai dan tasik. Jangan nanti datang dengan suka balik dengan duka.   

Maka supaya para pelajar  dapat mengisi waktu cuti dengan berfaedah dan berkualiti, menjadi tanggungjawab ibu bapa berperanan dalam menyusun dan memberi panduan anak masing-masing mengisi program cuti sekolah mereka. Jangan biarkan sahaja atau terlampau menurut kata-kata mereka. Ramai juga ibu bapa yang menurutkan sangat pendapat dan kehendak anaknya.

Contoh, sempena cuti sekolah pelbagai program yang disusun oleh masjid, surau, NGO, Konsulten untuk  pelajar sekolah seperti Kem ibadah, kem motivasi. Bila kita tanya kepada ibu bapa.. “tak hantar ke anak ke program ini” jawab ibu bapa “ hajat nak hantar, tapi budak-budak ini tak nak”.
Contoh lain lagi : bila habis sekolah rendah, saya sentiasa syorkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah agama atau ke maahad tahfiz. Macam-macam kebaikan kita sebut kepada mereka. Ada ibu bapa yang kata “ memang saya ini hajat sangat anak ni masuk ke sekolah agama, tapi si anak yang tak nak”. Bukanlah menjadi ibu bapa yang baik bila semua pendapat dan kehendak anak dituruti.

Sabda Rasulullah yang bermaksud : Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya yahudi, nasrani atau majusi.

Wallahua’lam..

Thursday, November 17, 2011

Lama & Baru


Sedar tak sedar masa berlalu, sekarang sudah di penghujung tahun 2011. Cepat sungguh masa berlalu.
Bila hujung tahun ini, biasanya Ibu bapa mula mencongak-congak duit pembelajaran si anak. Ada yang mula nak masuk  tadika, masuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Walaupun khabarnya yuran persekolahan percuma dan pelajar dapat 'wang ihsan' RM 100 seorang, namun bebanan tetap ada.

Banyak yang nak dibeli dan ditukar baru. Sekarang ini pakaian sekolah sahaja sudah macam-macam. Hari sekian pakai baju ini, hari sekian baju yang lain pula. Ada baju kokorikulum, baju melayu untuk hari jumaat, baju korporat untuk hari-hari tertentu, baju kelas Kafa. 

Bagi kebiasaan untuk kebanyakan budak-budak sekolah, tradisinya baju sekolah, kasut, beg, perkakas menulis semuanya serba baru bila masuk musim persekolahan yang baru. Pastinya buku-buku sudah tentu ditukar yang baru.

Namun dalam kemeriahan budak-budak sekolah mendapat habuannya yang baru, ada juga kelompok budak sekolah yang tidak dapat mengecapinya. Contoh terdekat, mulanya kawan saya pelik melihat anak ketiganya, perempuan darjah 2 sering mencari buku-buku lama untuk dibawa ke sekolah. Setelah ditanya, anaknya menjawab nak bagi ke kawan sekolah, sebab kawannya tak ada buku. Ketika mula melihat budak perempuan tersebut, kawan saya menyangka budak tersebut anak orang asal (asli) -Minta maaf kalau yang berkenaan terasa. Dengan rambut yang kusut masai, pakaian sekolah yang comot dan tidak bergosok.Tapi anaknya menyatakan bahawa kawannya adalah orang melayu.
Kawan saya pergi ke rumah budak perempuan tersebut, memang keluarga yang susah. Tapi sebenrnya ada lagi keluarga yang miskin tapi tak susah macam itu, Pandangan kawan saya, Keluarga tersebut jauh dari kehidupan beragama, entah solat atau tak. Ayahnya bekerja sebagai tukang kebun tapi tak bertanggungjawab. Masanya banyak dihabiskan di kedai kopi, duit entah habis melayang ke mana. Cuma walaupun 'miskin' tapi gitar, tv, Vcd terpampang di rumah.
Ringkas cerita, budak tersebut kini duduk di rumah kawan saya, dia hantar pergi mengaji di kelas agama, makan pakai budak tersebut  ke sekolah suah terurus. Dapatlah merasa baju sekolah yang baru.  

Namun bila dah dapat yang baru jangan lupa pada yang lama. Kadang-kadang yang baru ini tak boleh diharap juga. 


Dalam sibuk-sibuk nak guna printer, printer saya yang baru (boleh la dianggap baru, beli awal tahun 2011) buat hal pula.

printer baru..-




Mujurlah ada printer lama, sebelum ada yang baru, printer ini lah yang sering dibawa merta-rata..Temerloh, Raub, Lipis, Kuantan, Maran semua dia dah pergi dah. Cuma bila ada yang baru, dia berehat lama dalam kotak.  




Penutupnya..
Dalam perjuangan Islam, ukurannya bukan orang ini dah lama atau masih baru dalam perjuangan. Orang lama tak boleh bangga diri, kata dah lama berjuang, sudah banyak mehnah ujian yang berjaya dihadapi.  begitu juga dengan orang baru, yang kaya dengan idea canggih merasakan diri hebat berbanding orang lama yang tidak punya sebarang idea dan cadangan hanya menurut sahaja.
Dalam beramal, ada orang lama dah beramal tapi tak dapat apa-apa.
Sekian... Wasalam.

Monday, November 14, 2011

PROGRAM CUTI SEKOLAH (Bulan Disember 2011)




PROGRAM CUTI SEKOLAH (Bulan Disember 2011)
PENGAJIAN TALAQI AL-QURAN PERMAI
MASJID SULTAN MAHMUD KUALA LIPIS PAHANG

Pengenalan
Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w bermula dari Surah al-Fatihah hinggalah Surah al-Nas. Membacanya dikira ibadah dan mendapat pahala. Al-Quran mesti dibaca dengan betul mengikut kaedahnya dan menjadi suatu kesalahan jika al-Quran itu dibaca dengan salah.

Maka al-Quran mesti dipelajari supaya kita dapat membacanya dengan betul. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan tentang kelebihan belajar al-Quran. Antaranya :
i)                    Sabda Rasulullah :
“Sebaik-baik di kalangan kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya”. (Riwayat al-Bukhari)

ii)                   Sabda Rasulullah kepada Abu Zar :
“Wahai Abu Zar!. Jika kamu  pergi di suatu pagi untuk belajar satu ayat dari kitab Allah adalah lebih baik bagi kamu daripada mengerjakan solat sunat 100 rakaat dan jika kamu belajar 1 bab daripada ilmu yang mana kamu dapat beramal dengannya ataupun tidak adalah lebih baik bagi kamu daripada mengerjakan solat sunat 1000 rakaat”.
(Riwayat Ibnu Majah)

iii)                 Sabda Rasulullah kepada Abu Hurairah :
“Wahai Abu Hurairah ! Belajarlah al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia dan berkekalan atas yang demikian itu sehingga datang kepadamu kematian. Sesungguhnya jika datang kepadamu kematian pada hal engkau berada dalam keadaan demikian maka malaikat akan menziarahi kuburmu sepertimana orang-orang yang beriman akan menziarahi Baitullah al-Haram”. (Riwayat al-Dailami)

iv)            Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia."
Kemudian Anas berkata lagi, "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Iaitu ahli Quran (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah.

Justeru bagi memanfaatkan cuti sekolah,  Program Pengajian Talaqi al-Quran Permai  ini dirangka bagi tujuan melahirkan para pelajar yang mampu membaca, mentadabbur dan menguasai hukum tajwid al-Quran dengan berkesan.


Modul Perlaksanaan
Pengenalan Kaedah  Rasm Uthmani, Hukum Tajwid, Talaqi musyafahah, Hafazan surah pilihan,

Sasaran Peserta (Terhad)
Pelajar lelaki & perempuan berumur 10 – 17 tahun.

Cadangan Masa Pengajian (isnin-khamis)
-Selepas solat subuh
-Pukul 8.30 am-10.00 am
-Selepas solat asar
-Selepas solat maghrib
*masa pengajian tertakluk kepada perubahan semasa dan turut bergantung kepada bilangan pelajar.
Pengajian dijangka bermula  5 Disember 2011.

Tempat Pengajian
Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis.



Monday, November 07, 2011

Rindu Kaabah ; Nostalgia Haji 05/06-2

Arafah-Muzdalifah.


Perjalanan ke Arafah
Dalam Khemah di Arafah, bersama Fazli Ibrahim (kedah) & Hafiz Hamid (Penang)
Bergambar kenangan sebelum meninggalkan perkhemahan di Arafah
Menunggu bas untuk ke Muzdalifah

Di Muzdalifah, 

Rindu Kaabah ; Nostalgia Haji 05/06-1

Perjalanan Pergi :
Kapal yang telah bersedia untuk belayar ke Tanah Suci..



Kapal DAHAB..
Berniat ihram di atas kapal, minum teh di kantin Kapal. 
Urusniaga masih dalam mata wang Pound Mesir.


Telah sampai di Pelabuhan di Saudi, kapal tengah parking, (parking memakan masa berjam-jam)..
mengambil gambar kenangan di Dewan Makan kapal.

Friday, November 04, 2011

Pengajian Ilmu di Masjid.


Pengajian Ilmu di Masjid.
Beberapa bulan yang lalu, Kuliah Ustaz Zabadin di Masjid Sultan Mahmud,
elektrik tiba-tiba putus, kuliah tetap diteruskan.
Lazimnya   Masjid dan surau di tempat kita menganjurkan kelas pengajian ilmu. Ada Kuliah subuh, Zohor, Kuliah Dhuha, Kuliah Maghrib, Ceramah bulanan, tazkirah sebelum jumaat  dan lain-lain pakej lagi.
Walaupun tidak dinafikan banyak juga masjid dan surau yang tidak ada menganjurkan program pengajian ilmu. Barangkali  penganjurnya (baca AJK masjid & surau) sudah alim atau fobia melihat ahli jemaah menjadi pandai agama belaka.
Pengajian ilmu di masjid dan surau  sangat baik dan dari dulu sehingga kini ia menjadi tempat bagi orang ramai memahami dan mempelajari Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa Masjid merupakan tempat penyebaran ilmu yang terutama. Sebagai contoh, terdapat 40 hingga 50 halaqah ilmu pada setiap hari  di Masjid al-Mansur pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid. Menarik juga, kemunculan universiti islam bermula dari masjid seperti masjid Qurawiyyin di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir.

Realiti Pengajian ilmu di Masjid
Di Tempat kita sekarang,  Kebiasaannya format pengajian adalah umum dan terbuka kepada sesiapa sahaja. Tidak ada senarai kehadiran. Tempat duduk pun bebas, ada yang memilih untuk duduk berhadapan dengan guru, ada yang memilih untuk parking  bersandar di tiang-tiang masjid dan surau, bahkan ada juga yang memilih untuk duduk di beranda masjid.
Lebih istimewa pengajian ilmu di masjid dan surau tidak mengenakan yuran pengajian buat pelajarnya. Percuma sahaja, sekolah tadika pun kena bayar yuran. Jadi taklah perlu risau bajet kewangan tak cukup.  Kalau bawa seluruh keluarga pun tetap percuma juga. Tak ke rugi  kalau tak ambil peluang ini.
Unik juga berbanding di tempat pengajian formal yang lain seperti sekolah, universiti hatta tadika, kebiasaannya penuntut ilmu di kelas pengajian di masjid dan surau ini tidak perlu membawa buku, kitab dan kelengkapan menulis, mereka hanya bawa diri dan tadah telinga sahaja menerima curahan ilmu dari sang guru. Inilah sebahagian realiti yang berlaku di pengajian-pengajian ilmu di masjid.

Kajian UUM
Kajian penah dibuat oleh Dr. Hasan Bahrom, Dr. Huzaimah Ismail dan Dr. Mohd Afendi Mat Rani berkenaan tahap pencapaian pengajian kuliah maghrib di masjid. Beberapa masalah utama yang menjadi isu pengajian ilmu di masjid ini ialah :

1. Pengurusan dan pentadbiran masjid/surau tidak sistematik dan tersusun. Kebiasaannya masih diurus secara tradisional.

2. Aktiviti dan program pengajian telah lama dijalankan. Namun ia dilihat tidak memberi impak yang besar kepada peningkatan budaya ilmu di kalangan masyarakat.

3. Corak pendidikan lebih menumpukan kepada pengajian fiqh ibadat, tidak dapat mengimbangi tuntutan syarak agar kita mendalami ilmu al-Quran, hadis, akidah, syariat dan akhlak.

4. Tidak ada suatu kaedah dalam pengajaran dan pendidikan di masjid menyebabkan wujud tanggapan pengajian di masjid sebagai program sampingan.

5. Sikap masyarakat yang masih beranggapan negative bahawa masjid sebagai tempat beribadah (baca solat) semata-mata dan pengajian di masji/surau bukan pendidikan formal.





Hasil Kajian

a) Pengajian di masjid didominasi oleh orang lelaki. Hanya 12 %  sahaja orang perempuan yang menjadikan masjid/surau sebagai tempat untuk mereka menimba ilmu.
b) Kehadiran dipenuhi oleh mereka yang telah bersara atau mereka yang melepasi umur 55 tahun ke atas. Maknanya menjadi budaya masyarakat kita mula mendekati pengajian agama apabila mencapai usia pencen sementelah usia mudanya dihabiskan dengan kesibukan dunia.
c) Sejumlah besar dari penuntut ilmu di masjid/surau, hampir 22 % telah belajar di masjid hampir 15 tahun lamanya. Namun seperti tiada peningkatan ilmu. Sepatutnya mereka telah dipanggil dengan gelaran ustaz/ustazah .
d) Sebahagian besar, jemaah yang menghadiri majlis ilmu di masjid tidak mengetahui sumber rujukan/ buku yang digunakan oleh pengajar. Bahkan mereka juga tidak mempunyai buku rujukan.
e)Tenaga pengajar tersasar dari topik perbincangan. Kemungkinan tidak membuat persediaan.
f)Tenaga pengajar tidak mempunyai fokus yang tetap dalam pengajaran mereka. Sekadar memenuhkan jadual program masjid.

Pengalaman menarik
Saudara Munir bin Ramli dalam bukunya : Rindu Eropah Tawan Damascus ada menceritakan suasana pengajian ilmu  masjid-masjid di Syria. Selain pengajian yang berkesan dan berkualiti, masjid juga  ada menyediakan asrama dan biasiswa kepada penuntutnya.

Saudara Azmil Mustafa, pelakon filem Ali Setan menceritakan pengalamannya dalam ruangan IKON, majalah I LuvIslam. Katanya “ saya mula mengaji dengan seorang syeikh di masjid dekat dengan rumah saya. Tiap-tiap pagi dia mendengar bacaan saya, al-Fatihah sahaja ambil masa 4 bulan untuk saya lulus. Menurut Azmil lagi, sistem pembelajaran di Syria lebih banyak berlangsung di masjid-masjid. Paling menarik guru yang mengajar tidak menuntut yuran, tetapi sebaliknya mereka pula yang selalu memberi wang kepada pelajar.  

Dr. Zulkifli bin Muhammad al-Bakri semasa belajarnya pernah berguru dan bertalaqi  dengan ramai tokoh semasa belajar di Madinah dan Syam. Antaranya Syeikh Muhammad Ali al-Thani (imam Masjid Nabawi), Syeikh Rusdi bin Salim (Imam Masjid Abdullah bin Rawahah Damsyik).  

Syeikh Muhammad Idris bin Abd Rauf al-Marbawi menceritakan dalam mukaddimah kitabnya Bahrul Mazi bahawa dia belajar dengan gurunya Syeikh Muhammad Ibrahim as-Samaluthi, guru hadis yang masyhur mengajar berpuluh-puluh tahun di Masjid Saidina Husin di Kaherah Mesir berdekatan dengan Masjid al-Azhar.  

Penutup
Marilah kita sama-sama memperkasakan pengajian ilmu  di Masjid-masjid. Jadikan Masjid sebagai pusat gedung ilmu yang terkemuka. Semua pihak perlu memainkan peranan baik dari pentadbir Masjid, tenaga pengajar dan pelajar. Cuba bayangkan alangkah indahnya suasana ketika itu.

Bersama almarhum Syeikh Atiyyah Saqr selepas liqa' selepas solat jumaat di Masjid  St Theresa.

Riwayat Hidup Syeikh Atiyyah Saqr


Riwayat Hidup Syeikh Atiyyah Saqr


Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr.
 Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Beliau mula menghafaz al-Quran ketika berumur 9 tahun dan beliau mula meminati dan mempelajari bidang fiqh ketika berusia 10 tahun. Beliau memulakan pengajian secara formal di sebuah sekolah rendah yang terdapat di kampung beliau, Behna Bai. Minat beliau pada ilmu tidak pernah berkurang. Ini dibuktikan apabila beliau melanjutkan pengajiannya ke Sekolah Tinggi Agama di Zaqaziq (Maahad Zaqaziq al-`Ali al-Dini) pada tahun 1928. Beliau mendapat Shahadah Aliyah (Sijil Tinggi) pada tahun 1941 dalam bidang Usuluddin pengkhususan bidang dakwah.

Sudah menjadi resam bagi seorang ulama pendakwah yang tidak akan berhenti rehat walaupun sedetik, sebaik menamatkan pengajian, beliau terus berkhidmat di Kementerian Waqaf (agama) Mesir sebagai imam, khatib dan tenaga pengajar di Masjid Abdul Karim Ahmadi yang terletak di Bab al-Sya’riyyah di Qaherah pada 16 Ogos 1943. Kemudian pada bulan Februari 1944, beliau ditugaskan ke Masjid Al-Arba’in Al-Bahri (sekarang dengan nama masjid Ammar bin Yasir) di Giza.

Kerja-kerja dakwah yang beliau laksanakan tidak terhenti setakat itu sahaja malahan beliau juga turut menjadi wakil bagi al-Azhar pada tahun 1945 untuk menjadi penceramah di beberapa tempat di bumi Kinanah ini. Antaranya di Tahta Jarjawiyah, Suez , Raksu Al-Gharbiyyah dan juga Qaherah.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.


Walaupun sibuk dengan tugas yang diamanahkan ini, amanah ini tidak menghalang beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya dan menjadi ahli Dewan Rakyat pada 1984. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Kerajaan Mesir pada tahun 1989. Kepercayaan masyarakat tidak pernah luntur terhadap kebolehan Syeikh Atiyyah Saqr. Sekali lagi beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Jabatan Sunnah dan Sirah bagi Majlis Tertinggi Agama Islam yang terletak di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir pada tahun 1991.

Khidmat al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqr juga bukan hanya semata-mata tertumpu di Mesir sahaja bahkan masyarakat luar juga tidak mahu ketinggalan untuk menumpang keberkatan ilmu yang Allah swt kurniakan kepada beliau. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Keagamaan Negara Kuwait pada 1972 selama tujuh tahun. Beliau juga turut pernah mengadakan lawatan rasmi dan tidak rasmi di dalam menyampaikan misi dakwah. Antara negara yang pernah beliau kunjungi ialah Iran dan Indonesia (1971), Libya (1972), Bahrain (1976), Algeria(1977), Senegal, Negeria, Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Iraq, Paris, London, Malaysia, Brunei, Singapura dan Negara Soviet.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca.

Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.


Wednesday, November 02, 2011

Mari Menuntut Ilmu..


Mukaddimah
Firman Allah yang bermaksud : “supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam IlmuNya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah :11)

“Katakanlah : Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” 
(al-Zumar : 9)

Ilmu sangat penting buat kita semua. Banyak perumpamaan yang menggambarkan kelebihan ilmu.  Seperti kalam yang membuat perbandingan di antara ilmu dan harta :

  • 1.       Ilmu adalah warisan para Nabi sedangkan harta adalah warisan Firaun dan Qarun.
  • 2.       Ilmu lebih mulia dari harta kerana ilmu yang menjaga manusia sedangkan  manusia yang perlu menjaga harta.
  • 3.   Orang yang berilmu mempunyai ramai kawan  sedangkan orang yang berharta ramai musuh.
  • 4.       Ilmu jika diberikan semakin bertambah sebaliknya harta akan berkurang jika diberikan.
  • 5.       Ilmu tidak boleh dicuri sebaliknya harta boleh dicuri.
  • 6.  Harta boleh habis sebelum pemiliknya mati  tetapi ilmu habis dengan kematian pemiliknya.
  • 7.       Ilmu tidak dapat dikira, sedangkan harta dapat diketahui jumlahnya.  

Pembahagian Ilmu
Ulama membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu ilmu agama dan dunia. Contoh ilmu agama ialah tafsir, hadis, feqah, tauhid, tasawuf. Contoh ilmu dunia ialah sejarah, sains dan matematik. Kesemua cabang ilmu adalah sangat penting lebih-lebih lagi ilmu agama.

Kaedah Menimba Ilmu
Firman Allah yang bermaksud : Dan Allah ajarkan kepada Adam nama-nama benda semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat, seraya berfirman ; “Sebutkan kepadaKu nama semua benda ini, jika kamu yang benar”. (Al-Baqarah : 31)

Tabiatnya, Ilmu itu perlu dipelajari bagi mendapatkannya.  Keluar dari landasannya jika ilmu itu diperolehi tanpa dengan belajar. Contohnya kita duduk termenung sambil minum kopi di beranda rumah, selepas dua tiga jam  kita menjadi bijak pandai yang hebat disanjungi ramai dengan menyatakan kita seorang tokoh ilmuan terulung.
Namun kita tidak menafikan bahawa ada manusia yang dikurniakan ilmu oleh Allah dengan tidak belajar secara normal seperti kebiasaannya. Imam Hasan al-Banna menyatakan bahawa ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi adalah perkara yang wujud namun bukanlah menjadi dalil bagi hukum syarak. Ia diterima sekiranya tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Sabda Rasulullah yang bermaksud : Mimpi ada tiga jenis , mimpi yang datang dari Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi dari syaitan. (Riwayat Muslim).

Bagi mereka yang masih bergelar ‘budak-budak’ di zaman ini, memang kelaziman  rutin harian mereka dipenuhi dengan menuntut ilmu. Bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan Universiti, semuanya giat menuntut ilmu di peringkat dan lapangan masing-masing. Mereka yang kita sebut masih berada di alam pengajian, alam kampus , student dan sebagainya.  
Soalnya bagi orang awam  baik peringkat dewasa atau pun warga emas, di mana pula mereka ingin menimba ilmu? Sedangkan kita sangat maklum bahawa kewajipan menuntut ilmu itu selamanya, tidak terhad pada batas-batas waktu tertentu seperti  habis menuntut ilmu setelah  tamat sekolah menengah, graduan Ijazah pertama, mempunyai PHD, mendapat gelaran Profesor, pendita dan seumpanya. Maknanya siapa pun kita, baik seorang profesor ataupun seorang Ofice Boy   kita mesti sentiasa melazimi menuntut ilmu.

Zaman sekarang yang serba maju ini, banyak medium untuk kita menambahkan ilmu pengetahuan seperti :

1.Kuliah-Kuliah pengajian di masjid dan surau. Ada macam-macam pakej. Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Maghrib, khutbah jumaat. Ikutilah..percuma sahaja.

2. Kelas pengajian agama di pejabat atau di tempat kita bekerja. Jika tiada usahakan supaya ada. Sekali seminggu pun sudah dianggap berbaloi.

3. Membaca buku-buku, majalah ilmiah  yang berlambak-lambak di pasaran. Cuma perlu keluar modal untuk membeli buku. Jika bajet sangat terbatas boleh kunjungi perpustakaan.

4. Mewujudkan sembang ilmu dengan kawan-kawan. Baik di alam nyata mahupun maya.

5. Layari internet, mencurah-curah ilmu yang akan diperolehi, terpulang kepada jari kita yang menaip men’search’ nya.

Kesimpulan
Marilah kita sama-sama mendambakan diri dalam menjadi seorang yang sentiasa menuntut ilmu. Tiada titik noktah dalam pencarian ilmu. Jangan rasa sudah cukup dengan ilmu yang diperolehi. Jangan menangguhkan diri dengan alasan seperti tak ada masa nak dengar kuliah, tunggu selepas pencen atau senada dengannya. Kata yang sering disebut : “Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke lubang kubur”. Tiada had umur pencen dalam pencarian ilmu.  

Renungi pesan Imam Hasan al-Banna buat ahli Ikhwan : Wahai Saudara ! Memperelokkan bacaan dan tulisan, banyak mengkaji risalah Ikhwan, akhbar dan majalah. Kamu hendaklah memiliki perpustakaan peribadi sama ada kecil mahupun besar. Meluaskan ilmu dan seni sekiranya kamu mempunyai kemampuan.

Kalam menyatakan :
i.                     Siapa yang belajar sastera, maka lembutlah dan eloklah bahasanya.
ii.                   Siapa yang belajar hadis, maka kuatlah hujahnya.
iii.                  Siapa yang belajar sejarah, maka banyaklah iktibarnya.
iv.                 Siapa yang belajar matematik, maka tepatlah andaiannya.
v.                   Siapa yang belajar sains, maka betllah eksperimennya.
vi.                 Siapa yang belajar geografi, maka fahamlah kehidupannya.
vii.                Siapa yang belajar tauhid, maka kukuhlah aqidahnya.
viii.              Siapa yang belajar mantik, maka mudahlah menangkis hujah.
ix.                 Siapa yang belajar feqah, maka sahihlah ibadahnya.
x.                   Siapa yang belajar tasawuf, maka tinggilah akhlaknya.
xi.                 Siapa yang belajar al-Quran, nescaya Allah memeliharanya. Inilah kemuncak ilmu.


Mudahan kita semua diberi kemudahan, ruang, peluang, kemampuan dan keinginan untuk akrab dengan ilmu.

Wasalam..

Syeikh Ahmad bersama anak muridnya di masjid Khazandarah