Thursday, May 26, 2016

Catatan Imam Kecil : Tetamu di waktu petang

Petang tadi, saya bertemu dengan En Shafie dan Ustaz Zarifin dari Kampung Chegar Perah. Mereka berhajat untuk membuat koperasi masjid di kampung mereka. Oleh kerana di Masjid kami telah ada koperasi masjid, lalu mereka berdua datang bertemu dengan saya untuk menanyakan perihal yang berkaitan dengan koperasi masjid.
Cuma mereka mempunyai masalah. Tok Empat Kampung (Ketua Kampung) tidak berapa bersetuju dengan projek tersebut. Mereka juga memerlukan orang yang boleh dan mampu membuat kerja kesetiausahaan seperti membuat kertas kerja, membuat surat dan sebagainya yang berkaitan.
Saya doakan semoga usaha mereka untuk membangunkan Koperasi Masjid di kampung mereka dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

Bersama Ustaz Zarifin dan En. Syafie di Koperasi Masjid Sultan Mahmud Lipis


Bukan Pepsi ni, tapi air yang orang minta tolong jampikan dengan bacaan Yasin

Semasa saya sedang menulis catatan di atas, datang seorang lelaki ke rumah saya. Katanya dia membawa hajat orang, minta tolong dibacakan Yasin ke air ini. Antara dialog saya dengan beliau :

Beliau : ini Bilal Masjid?
Saya   : Lebih kurang la (saya hanyalah imam kecil, orang tak kenali berbanding orang kenal YB)

Beliau : Ada orang minta tolong bacakan Yasin, dia kirim air ni
Saya   : Orang tu tak mari ke malam ni?, elok dia pun mari, jangan hanya nak harap orang lain je yang baca.

Beliau : Tak mari, sibuk katanya..
Saya   : Gone pula sibuknya, Urusan agama kena bagi juga masa

Beliau : Ni nombor telefon saya, nanti saya ambil pukul 9 dekat pondok sekuriti
Saya   : Ya lah


Ini antara realiti yang biasa berlaku kepada kami, pegawai masjid..
Siapa nak ulas kisah saya ni?..Persilakan..huhu

Catatan Imam Kecil : Kursus Profesionalisme Bilal Daerah Lipis

Pagi ini saya diberi berpeluang berbicara sepatah dua kata kepada para Bilal di Kursus Peningkatan Profesionalisme  Bilal Qaryah Daerah Lipis yang diadakan di Dewan Residen Lipis. Kursus ini anjuran Majlis Ugama Islam (MUIP) Lipis.

Pada kesempatan tersebut saya nyatakan beberapa perkara. Antara pointnya : 
1. Bilal 'mengejutkan' masyarakat yang tidur dengan laungan azan.
2. Bilal semua dilatih dan menjadi orang yang menepati masa dan sangat berdisiplin.
3. Hanya orang lelaki sahaja yang boleh melaungkan azan.
4. Para Bilal perlulah menjaga sahsiah diri, seperti pakaian yang kemas ke masjid.
5. Para bilal kena menambahkan ilmu pengetahuan.
6. Besarnya ganjaran sebagai Bilal. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bara' bin Azib RA maksudnya " Sesungguhnya Allah dan Malaikat berdoa untuk yang berdiri di saf pertama. Para Muazzin pula diampunkan sebanyak mana suaranya dan siapa yang mendengarnya menjadi saksi, dan dia akan mendapat pahala yang mengerjakan solat bersamanya". (Al-Nasai)

Menurut Syeikh Daud al-Fathani dalam Furu' Masail : Bilal dikatakan di akhirat nanti lehernya panjang. Kerana panjang harapannya dek semua makhluk yang pernah mendengar laungan azannya menjadi saksi di akhirat.

Semoga Karisma para Bilal khususnya dan pegawai masjid umumnya dipertingkatkan di negara kita.

Terima kasih kepada Ustaz Hazwan Hafiz, Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP Lipis kerana memberi peluang kepada saya.





Program Kem Intensif Al-Quran Permai

Cuti sekolah bakal menjelang. Biasanya pelbagai aktiviti telah dirancang oleh ibu bapa dan juga para pelajar dalam mengisi waktu cuti sekolah mereka. Justeru PERMAI tidak ketinggalan menawarkan suatu program yang sangat bermanfaat buat semua pelajar. Program dinamakan Kem Intensif Al-Quran (KIA) yang bertujuan membimbing para pelajar selok belok mengenai ilmu al-Quran khususnya dalam bidang tajwid dan bacaan. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah menjadi panel temuduga pegawai masjid Qaryah dan guru Kafa, saya melihat hampir 80% tidak dapat menjawab dan membaca al-Quran dengan tajwid yang baik. 

Sesungguhnya Al-Quran perlu dipelajari secara khusus, bukanlah suatu jaminan seseorang yang memasuki Sekolah agama bahkan Maahad Tahfiz akan dapat membaca al-Quran dengan baik. 

Justeru program Kem Intensif Al-Quran (KIA Permai) antara salah satu wadah untuk membendung gejala tidak pandai membaca Al-Quran.


Baru-baru ini, team Permai berkesempatan mengedarkan Iklan program di Pekan Sari Temerloh dan Pasar Malam Paya Pulai. Semoga usaha kita semua diberkati dan program KIA dapat berjalan dengan lancar.











Seminar Ulama' Pahang kali ke 5

Saya berkesempatan hadir ke program Seminar Ulama Pahang kali ke 5 yang diadakan pada 23-24 Mei 2016 di hotel M.S Garden, Kuantan. Program yang dirasmikan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang ini dihadiri oleh 250 orang peserta. 
KDYTM juga telah  mengikuti pembentangan kertas kerja dalam seminar tersebut.

Pelbagai kertas kerja dan tajuk yang menarik dibincangkan dalam seminar ini. Semoga hasil dari seminar Ulama Pahang ini tidak terhenti setakat di dalam kertas kerja seminar sahaja tetapi ada tindakan susulan dari pihak berwajib. 

Semasa majlis perasmian Seminar Ulama Pahang ini juga KDYTM Tengku Mahkota Pahang juga telah berkenan melancarkan Portal Di Raja Pahang. 








Pengajian Qiraat Bersama Guru Sriti Pahang

Alhamdulillah, kelas pengajian bulanan bersama dengan guru SRITI Pahang dapat diteruskan semula selepas lama tergendala. Asalnya dahulu kelas bersama guru Pasti dan Kaffah. Selepas penjenamaan semula kini  kelas Kaffah dikenali dengan nama SRITI.
Doakan semoga kelas ini dapat  berjalan lancar. Jika ada yang bukan guru SRITI berminat juga dialukan untuk turut serta program ini.








Tuesday, May 17, 2016

Lambaian Menara Gading 3.0 di Kuantan

Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke  program LAMEGA 3.0 yang diadakan pada 13-15 Mei 2016 di Kempville Kempadang, Kuantan.  Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan urusetia penganjur program yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Semoga program LAMEGA akan terus dijayakan dengan lebih rancak di masa yang mendatang.




Wednesday, May 11, 2016

Program di Gandah Forest

7 Mei, saya berkesempatan hadir ke program Mukhayyam Al-Qiyadi MTI Chatin di Gandah Forest Park, Lanchang. Peserta program yang terdiri daripada pengawas, ajk asrama, ajk Badar. 
Terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya. Semoga kita bersua lagi di masa yang akan datang.

 Bersama ustaz Azrol, penceramah slot sebelum saya.


Tuesday, May 10, 2016

Kelas Tafaqquh Masjid Daerah telah berjalan

Alhamdulillah pada 7 dan 8 Mei 2016 Kelas Tafaqquh di Masjid Daerah Lipis berjaya dilaksanakan. Seramai 110 orang telah menghadiri kelas tersebut. Semoga para pelajar yang mendaftarkan diri kekal istiqamah. Sekarang kelas berjalan di dewan solat Masjid. Oleh kerana buku pengajian tidak disediakan, pihak urusetia telah mengambil tempahan buku. Cuma akan mengambil masa sedikit.

Sesi pendaftaran

 Suasana dalam pengajian




 Antara Guru yang mengajar


Friday, May 06, 2016

Kelas Tafaqquh hendak buat di mana?

Sabtu ahad minggu ni akan bermulanya program kelas tafaqquh di Masjid Daerah. Program anjuran bersama Yayasan Pahang, Jabatan Agama (JAIP), Majlis Ugama (MUIP), Pejabat Agama (PAID). 
Bagi masjid daerah baru yang mempunyai fasiliti yang cukup tidak ada masalah. Masjid Daerah yang mempunyai dewan besar yang lengkap berkerusi meja, sistem penghawa dingin. Memang sangat selesa. Ada juga masjid yang tidak mempunyai dewan kuliah, tetapi mempunyai alat penghawa dingin di dewan solat. Mereka jalankan kelas di dewan solat sahaja.

Adapun bagi masjid daerah kami, antara Masjid daerah yang uzur di Negeri Pahang, kemudahannya pun sangat terbatas. Dewan solat yang tidak mempunyai alat penghawa dingin. Masjid Qaryah pun dah banyak yang pakai ekon, ini Masjid Daerah direct di bawah Kerajaan Negeri, Patut kena jauh lebih hebat dari segala segi.huhu..
Ruang tamu pejabat Masjid telah kami ubah menjadi dewan, tetapi hanya muat untuk 35 orang sahaja.

Asalnya kami bercadang untuk jalankan sahaja kelas tafaqquh ini di dewan solat masjid, sama seperti kursus haji. 

Tetapi atas kehendak pihak atasan yang hendakkan  tempat yang ada kerusi meja. Alternatif lain kami mempunyai bangunan kelas kafa yang juga sudah uzur. Kami cat semula bangunan kelas dan beli kerusi meja dan baiki atap. Kos cecah la RM 10K. Tetapi bangunan tersebut hanya muat 60 orang sahaja. Masalah lain lagi, tenaga elektrik di bangunan tersebut tidak mencukupi, rasa seperti pakai generator kat pasar malam je.
Penyertaan untuk kelas tafaqquh sangat memberansangkan. Sudah mencecah ratus orang. Jadinya dengan jumlah seramai itu, Mungkin terpaksalah buat di dewan solat  masjid.








 Terima kasih pada tenaga yang membantu saya semalam mengemas dewan.

Catatan Imam Kecil : Suka duka Pembaca Doa

Semalam saya telah membaca doa di majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 Peringkat Negeri Pahang di Institut Pendidikan Guru, Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis Pahang yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang.

Walaupun tukang baca doa tak berapa segar, rupanya perasmi pun tak berapa sihat juga. 
Sepanjang saya bergelar Imam banyak kali juga telah dipanggil membaca doa di majlis rasmi. 
Antara pengalaman yang boleh saya kongsi seperti :

Ada penganjur yang sebelum program beberapa kali follow up, tetapi selepas program berlangsung pandai-pandailah kita bawa diri. Tetapi ada yang selepas program masih dilayan kita sebagai tetamu jemputan.

Kebiasaan selaku pembaca doa kita akan hadir dekat dengan waktu perasmian. Contoh program dah bermula awal pagi lagi, tetapi majlis perasmian jam 11 nanti, jadi tak kan kita nak hadir dari awal pagi, sudah tentu dekat dengan masa majlis perasmian barulah kita hadir. Masalah yang sering timbul ialah parking telah penuh, hanya disediakan untuk vvip sahaja, ataupun pihak yang Jaga parking tidak kenal ke kita, jadi jauh menanar kita terpaksa mencari parking. Pernah, ketika itu parking dah penuh, saya nak parking double berdekatan dengan dewan, pihak yang jaga parking awalnya tak beri, kemudian saya sebut, saya dijemput untuk baca doa pada majlis perasmian, kalau tak de parking saya balik je, baru lah dia bagi.

Selepas majlis perasmian kebiasaan ada jamuan makan tengahari. Ada ketikanya saya dapat makan vip dan ada masanya tidak. Tiada masalah bagi saya, cuma jika kena beratur yang terlalu panjang kebiasaannya saya terus balik ke Masjid. 

Teks bacaan doa tidak perlu terlalu panjang, Mukaddimah pujian pada Allah dan selawat dalam bahasa Arab. Kemudian doa dalam bahasa melayu dan diakhiri dengan bahasa arab. Tidak perlu meleret panjang. 

Antara masalah lain yang sering timbul juga, kadangkala perasmi tidak hadir, hanya wakilnya sahaja, bila wakil saya perlu dapatkan segera nama  dan maklumat ringkas berkaitan wakil tersebut, kerana nama perasmi kebiasaannya disebut dalam bacaan doa.
Begitulah serba sedikit kisah saya pembaca doa.

YAB Menteri Besar Pahang sedang berucap
 Antara effect gimik perasmian, api keluar.. huhu

 Sementara menunggu perasmi tiba


Wednesday, May 04, 2016

Catatan Imam Kecil : Tidak Sihat

Sehari dua ni, saya tidak berapa segar badan (demam). Alhamdulillah  masih berdaya hadir ke Masjid dan keluar bermuamalah  berjumpa dengan sahabat dan orang ramai. 

Petang tadi kelas hafazan berjalan seperti biasa. Jika saya kiv kelas tersebut, bermakna sudah 3 minggu kelas tersebut Kiv, kesian pada anak murid yang bersemangat maka kelas tersebut tetap dijalankan. Kelas pun hanya biasa-biasa sahaja, tak de lah gempak dan elite, kelas orang kampung je.

Ustaz Zabadin yang giliran kuliah maghribnya pada malam ini juga mohon taazur disebabkan musykilah yang dihadapinya. Kebiasaan jika ustaz yang memberi kuliah tidak dapat hadir, maka masa tersebut akan diisi dengan kuliah gantian dari Pegawai Masjid. Hari ni tiada pengganti dek kerana keuzuran saya, semua jemaah diberi kelonggaran berkuliah bebas sesama mereka..huhu..

Malam ini, kerja saya membuat teks bacaan doa untuk dibaca pada hari esok. Majlis Sambutan hari kesihatan sedunia peringkat Negeri Pahang di Institut Perguruan Kampus Afzan Lipis.Terima kasih pada yang membantu. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan, Amin.

Vitacid  popular masa saya belajar di Mesir. Mesti ada di rumah kami, dalam list ketika program jaulah dan ada dalam first aid. Ketika saya ke Mekah untuk menunaikan Haji pun saya bawa Vitacid ini. Bila badan tak berapa sihat, demam, selesema ambik benda ni.Kelmarin saya beli di farmasi.



Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016

Alhamdulillah, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa tahun 2016. Kebiasaan pesta buku diadakan di PWTC, tetapi tahun ini ada kelainan Pesta Buku Antarabangsa dibuat di MAEPS Serdang kerana memberi laluan Musabaqah Tilawah dan hafazan Al-Quran peringkat antarabangsa yang diadakan di PWTC.


Menapak dari tempat parking kereta ke dewan Pameran. 
Merasai kehangatan bersesak bersama pencinta buku



Antara sebahagian  buku-buku yang saya beli 
Buku catatan pengalaman Imam Masjid Muhammadi Kelantan (Masjid Negeri)

Saya sertakan sedikit petikan dari buku ini : "Acap kali ketika hampir azan zohor, bila ambo sampai di Masjid Muhammadi Kota Bharu, dari urusan luar masjid, ada ahli jemaah masjid bertanya, 'baru mari masjid ke?' Soalan yang ditanya itu menggambarkan ahli jemaah yang bertanya itu memahami bahawa tugas imam hanyalah datang untuk mengimami solat sahaja. Mungkin beliau tidak mengetahui bahawa selain dari mengimami solat, masih banyak lagi tugas-tugas Imam yang lain yang mungkin tidak diketahuinya."
Tidak ketinggalan komik, kesukaan saya semenjak dari kecil.

Buku terbaru keluaran Dewan Pustaka Fajar, cetakan pertama 2016

Tafsir Fi Zilal juz 30



Sambil meronda-ronda saya terjumpa buku cerita penyiasatan kanak-kanak, nostalgia buku ini, hampir kesemua siri-siri buku penyiasatan ini saya baca ketika di sekolah rendah. Ada yang saya beli, ada yang dibaca di perpustakaan. Masih ada lagi buku-buku ini, memang legend..




 Gerai My Syabab antara yang menjual buku-buku haraki

 Cetakan terkini, Buku yang sangat masyhur, jika ada yang belum pernah baca dan memiliki buku ini boleh la berbuat demikian.
 menjamu mata


Apa yang menarik di Pesta Buku :

1. Kita dapat bersua dengan penulis buku, boleh ambil autograph dan bergambar kenangan.
2. Dapat bersua dengan penerbit-penerbit buku yang jarang kita jumpa di kedai-kedai biasa.
3. Potongan harga buku yang menarik
4. Merasai keseronokan membeli dan membaca buku.

Saya juga biasa membeli buku lelong, seperti 3 buah buku hanya RM 10. Cuma kita digalakkan untuk servey dulu ke gerai jualan. Ada buku yang dijual di booth syarikat penerbit sendiri tetapi harganya lebih mahal berbanding  dijual dibooth lain.

Kali ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ada mengedarkan buku secara percuma, dapatlah 10 buah buku juga percuma dari MAIS.

Masih ada hari berbaki ke Pesta Buku..moh kite.