Monday, January 21, 2019

Program Induksi Nuqaba di SUPERB Bentong

20 Januari 2019 : Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong atau lebih dikenali dengan SUPERB telah mengadakan program Kursus Induksi Nuqaba. Peserta seramai 130 orang para naqib dan naqibah yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan 5.

Kami dari PERMAi berbesar hati kerana dijemput untuk mengisi slot simulasi usrah dan pengenalan Badan Dakwah (BADAR) di program induksi tersebut. 

Semoga Usrah dan Badan Dakwah SUPERB terus maju jaya dan menjadi aura di SUPERB dan disegani di kalangan Sekolah menengah yang lain.





Kenangan bersama guru SUPERB dan sebahagian peserta program



#PermaiDiHati
#PermaiMenulis
#Usrah
#Nuqaba
#Superb

Monday, January 07, 2019

Pakcik Sabri Dalam Ingatan

Semasa bersekolah rendah, saya berkawan dengan dua orang anak pakcik Sabri iaitu Hafiz dan Zaid. Kami bersekolah sama di SRA AL-Mukmin, petangnya  mengaji al-Quran di Tadika al-Mukmin dan tinggal di perumahan yang sama di Taman Sri Semantan, Temerloh.

Puluhan tahun kemudian, Zaid berkahwin dengan adik saya. Atas hubungan kekeluargaan tersebut, pakcik Sabri dan isterinya makcik Mariam sering berkunjung ke rumah ayah saya.
Penghujung tahun 2017, ketika ayah saya dimasukkan ke dalam wad, beliau antara yang terawal menziarahi ayah di wad.
Saya masih ingat, ketika ayah saya meninggal dunia, beliau bersalaman dan memeluk saya.


ayah saya  dan pakcik Sabri

6 Januari 2019, kami dikejutkan dengan kemalangan jalan raya yang menimpa pakcik Sabri dan keluarganya di Karak. Pakcik Sabri dan anaknya Siti Nur Izzati telah meninggal dunia. Manakala isterinya makcik Mariam cedera.

Kedua-dua jenazah  diuruskan di Hospital Bentong. Ketika Van jenazah bergerak ke Masjid Kampung Sanggang, Temerloh, Van ambulan yang membawa makcik Mariam bergerak ke HOSHAS Temerloh.
Jenazah disolatkan di Masjid Kampung Sanggang dengan dimamkan oleh anaknya Zaid sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kampung Sanggang Temerloh. Kira-kira jam 12.30 malam urusan pengebumian selesai.
Kami doakan Allahyarham pakcik Sabri dan anaknya dicucuri rahmat, dan ditempatkan di dalam syurga.
Semoga Makcik Mariam diberikan kekuatan dan kesembuhan.


Bersama Ustaz Fathi di Hospital Bentong

Van Jenazah Hospital dan Masjid Ketari



Zaid memberikan ucapan selepas selesai urusan pengebumian.


Kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak hospital yang menguruskan jenazah, dan juga kepada sahabat kami Ustaz Fathi yang “follow” sampai ke Sanggang bersama dengan Jabatan Amal Bentong yang turut sama membantu melancarkan urusan pengurusan jenazah.


#PermaiMenulis
#DalamIngatan

#Tabah

Thursday, January 03, 2019

Buat Apa masa cuti sekolah haritu ?

Hari ini sesi persekolahan tahun 2019 telah bermula. Setelah para pelajar bercuti akhir tahun hampir sebulan lamanya. Bila bertemu rakan-rakan, macam-macam cerita suka duka dikongsi, termasuk juga aktiviti yang dilakukan sepanjang cuti sekolah.
Cikgu tidak ketinggalan bertanya kepada anak murid dan kadangkala para pelajar perlu membuat karangan tentang aktiviti cuti sekolah mereka.

Alhamdulillah sepanjang cuti sekolah, kami dari PERMAi telah menyediakan aktiviti untuk para pelajar mengisi cuti sekolah mereka.
Kami “keluar” dan “turun” ke Daerah Bentong, Lipis, Temerloh dan Kuantan.

Poster Jom Bercuti Sekolah Di Masjid Daerah Bentong

Poster Jom Bercuti Sekolah Di Masjid Daerah Lipis

Program di Masjid Daerah Bentong dan Masjid Daerah Lipis dijenamakan dengan nama Program Jom Bercuti Sekolah di Masjid.  Nama program yang mudah, mungkin kedengaran tidak canggih.
Sinonim masjid dengan warga veteran dan  golongan yang sudah pencen. Maka, hasrat kami ingin mendekatkan para pelajar dan remaja ke masjid.
Saya secara peribadi merasa seronok dapat melihat para remaja memenuhi masjid, solat berjemaah di masjid, berbual di masjid, makan di masjid, beraktiviti di masjid, bahkan beriadah juga di masjid.
Walaupun hanya beberapa hari berprogram di masjid, harapan kami semoga jiwa mereka semakin dekat dan cinta kepada masjid.

Poster Kem Khalifah Muda Al-Ansar

Seterusnya Kami ke Daerah Temerloh, berprogram bersama dengan pihak pengurusan Kompleks Darul Ansar Lanchang dan Nisa’ Kawasan Temerloh mengadakan program Kem Khalifah Muda Al-Ansar.

Poster Kelas Pra Tahfiz

Program cuti sekolah kami berakhir dengan Kelas Pra Tahfiz di Surau Pondok Pemuda Al-Khalthumiah di Kuantan.



Di Bentong


Di Lipis

Di Lanchang

Di Kuantan

Insya-Allah tahun 2019, doakan kami untuk lebih gagah. Menyusun dan melaksanakan program-program Amal Islami khususnya dalam membina generasi remaja dan pelajar yang dekat dengan Islam.

*Saya terkenang, program pra tahfiz untuk pelajar sempena cuti sekolah akhir tahun 2016 merupakan program terakhir untuk para pelajar dan remaja yang ayah saya anjurkan di Akademi Al-Quran & Hadis (Masjid Lama Kuala Kerdau). Program tersebut diadakan hampir sebulan sepanjang cuti sekolah. Memang kebiasaan ayah akan menganjurkan program sempena cuti sekolah.

Saya di hadapan masjid lama Kerdau pada pagi 28.11.2016, hari pertama program pra tahfiz.


Ayah menyampaikan taklimat kepada pelajar dan ibu bapa


Tahun 2017 ayah tidak lagi berkesempatan untuk menganjurkan program cuti sekolah disebabkan keadaan kesihatan yang semakin merosot. Penghujung bulan Oktober ditahan wad di Hoshas sehingga 12 November. Dan kembali ke rahmatullah menemui Pencipta lebih kurang jam 4.20 pagi 27.12.2017.


 fb.me/azraie.permai



#PermaiMenulis
#programcutisekolah
#CatatanImamKecil





Tuesday, January 01, 2019

Membaca Buku Travelog

Saya suka membaca buku, ini merupakan tabiat sejak dari kecil lagi.
Bagi saya, lebih menarik dan “real” membaca buku pengalaman sebenar seperti travelog dan memoir tokoh berbanding membaca novel hasil rekaan atau khayalan penulis.

Mutakhir ini, seperti ‘cendawan tumbuh’ buku-buku travelog dihasilkan. Saya tidak ketinggalan  mempunyai beberapa buah koleksi buku travelog. Antaranya buku Meor Farid Asyradi, Rebecca Ilham, Fahmi Faiz, Munir Ramli, Thaqib Shaker, Siti Noridah Ab Rahaman, Normi Ahmad Shafie, Talib Samat, Hasan Ali dan beberapa orang lagi.

Saya masih ingat, buku bercorak travelog pertama yang saya baca ketika masih bersekolah rendah dahulu. Buku tersebut ayah saya pinjam dari "sedara"  yang kami gelar Ayah De. Rumah Ayah De banyak buku dan majalah lama. Beliau pernah menuntut di Mesir, saya tidak pasti tahun bila tapi lebih kurang tahun 50an dahulu.  
Buku tersebut ditulis oleh Harun Aminurrashid berjudul Mengembara ka-Andalusia  yang diterbitkan pada tahun 1965. Saya beberapa kali ulang baca buku tersebut.


Harun Aminurrashid di meja kerja.

Harun Aminurrashid banyak menulis  buku travelog selain novel, cerpen dan bahasa. Antara buku travelognya :

“Melawat Kalimantan Utara. Singapura: Harmy, 1948;
Melawat Ka Paris. Singapura: The Royal Press, 1953;
Chatetan ka Tanah Suchi. Cet. Ke 2. Singapura: Pustaka Melayu, 1961;
Meninjau Ka Negeri Sham. Singapura: Pustaka Melayu, 1961; 
Terbang Ka Barat. Singapura: Pustaka Melayu, 1961;
Melawat Negara Tetangga. Singapura: Pustaka Melayu, 1962;  
Melihat Matahari Di Tengah Malam. Singapura: Pustaka Melayu, 1962;
Kunjungan ka Indonesia, 1954. Singapura: Pustaka Melayu, 1963; 
Chatetan Menjelajah Ka Eropah. Singapura: Pustaka Melayu, 1964; 
Mengembara ka Andalusia. Singapura: Pustaka Melayu, 1965;”



Saya petik tulisan beliau dalam buku Chatetan ka-Tanah Suchi :
‘Sa-lama  dalam perjalanan itu saya terus menchatet dengan ringkas sa-berapa banyak yang dapat saya chatet. Tujuan saya menchatet itu ia-lah supaya apa sahaja yang saya chatet itu ada-lah hasil dari apa yang saya pandang, saya dengar dan saya rasai ketika itu benar2, bukan di-tulis dengan peringatan sa-telah beberapa hari atau beberapa bulan kemudian…
Buku Chatetan seperti ini saya pandang sangat berguna kepada peminat2 sastera Melayu terutama kepada bangsa saya yang ingin mengembara atau melihat negeri asing. Juga saya pandang sangat berguna  kapada orang2 kita menjadi contoh membiasakan diri menulis buku chatetan sa-hari2 yang berlaku dan di-lalui sa-tiap hari. Buku chatetan sa-hari2, mengikut perhitongan saya ia-lah sejarah yang tepat.’
Sumber : Tesis Master Lisda Mohd Amin Universiti Nasional Singapura.

Dengan membaca buku travelog  walaupun kita tidak berkemampuan untuk “travel” secara hakiki, sekurangnya  kita dapat merasai dan memahami tempat tersebut. “Jadilah kan”.


Nukilan ini, saya tulis selepas saya menyelesaikan bacaan  buku Cinta Al-Hambra dalam kembara sasterawan oleh Hasan Ali. Buku travelog terbitan DBP yang dibeli di Pesta Buku Antarabangsa beberapa tahun sudah.


#PermaiMenulis
#travelog
#buku
#harunaminurrashid
#hasanali

#andalusia