Friday, May 22, 2020

Solat jumaat kali pertama selepas 8 minggu tak solat jumaat

Solat jumaat kali pertama di daerah Lipis selepas hampir 8x tidak dilaksanakan. Ahli jemaah terhad pada yang dijemput sahaja.
Bagi yang tidak berpeluang, bersabarlah. Insya-Allah akan sampai masanya nanti.
Prosedur untuk solat jumaat.
-bawa kad jemputan, sejadah, penutup muka, beg untuk isi selipar, ambil wuduk siap-siap di rumah.
-sampai ke masjid, basuh tangan, cek suhu, semak nama.
-masuk dewan solat dan duduk di saf yang ditunjukkan oleh petugas.
-tiada solat sunat qabliyah dan bakdiyah.
-Selepas solat terus pulang ke rumah.
-Masjid akan ditutup dan disanitasi.

#PermaiMenulis #KitaJagaKita #Masjid #jumaat #ramadan

https://youtu.be/wST9PCW2cSI

Tuesday, May 19, 2020

Ramadan tak habis lagi !


Saya ulang semula, Ramadan tak habis lagi. Jadi buatlah apa-apa yang patut sebelum meninggalkannya.

Selain kewajipan zakat fitrah dan solat terawih yang tiada di bulan yang lain.

Antara amalan yang Rasulullah SAW "pulun" dalam bulan Ramadan ialah tadarus al-Quran dan iktikaf.

Apa kabo bacaan al-Quran kita. Jangan berpada sekadar dengan mengaji al-Quran bersama kumpulan tadarus yang hanya beberapa helai sahaja baca tu. Tak salah baca dalam kumpulan, tetapi adakah setakat itu sahaja tahap "kepulunan" kita.

Kena pulun ke?

Kalau kita buat tak perasan keistimewaan Ramadan, memang buat tak kisah je.


Bagaimana dengan iktikaf ?

Rasulullah SAW beriktikaf setiap 10 terakhir ramadan, dan pada tahun kewafatan, baginda beriktikaf selama 20 hari.


عن أبي هريرةَ رَضِيَ اللهُ عنه قال: ((كانَ النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يعتكِفُ في كلِّ رمضانَ عَشرةَ أيَّامٍ، فلمَّا كان العامُ الذي قُبِضَ فيه اعتكَفَ عشرينَ يَومًا).

رواه البخاري (2044)


Maksudnya : Bahawa Nabi SAW beriktikaf setiap 10 hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun kewafatannya baginda beriktikaf selama 20 hari.


Namun tempat beriktikaf adalah di masjid bukan di rumah. "Mengkala" musim wabak Covid ini kita tak boleh menghadirkan diri ke masjid.

Tak dapat lah nak buat iktikaf.



Jadi dah kurang satu amalan sunnah. Tak kan yang masih boleh kita buat seperti tadarus al-Quran tak nak pulun lagi.


Apa yang kita harapkan dengan Ramadan ?

Sangat rugi di penghujung Ramadan,

Jika kita turut sama terjebak menghabiskan saki baki Ramadan dengan berianya membuat persiapan raya.


#Ramadan #PermaiMenulis #alquran #iktikaf

Monday, May 18, 2020

Pecutan akhir ramadan

Pecutan akhir !
Ramadan hanya tinggal beberapa hari.
Inilah masanya untuk terus memecut.

Lihat pelari di balapan. Kalau lariannya kencang di peringkat permulaan sahaja tetapi perlahan di saat akhir sehingga dapat dipintas oleh pelari yang lain. Atau pun jatuh tersungkur hampir dengan garisan penamat. Mereka akan disebut tidak berjaya atau bahasa lainnya adalah gagal.

Ramadan jauh lebih besar dari acara berlari di padang. Ramadan yang serba serbi ganjaran dalamnya dilipat kali gandakan.
Baca al-Quran, bersedekah, berzikir, belajar, pahalanya lebih dari bulan-bulan lain.
Termasuk juga melaksanakan amal Islami seperti berdakwah. Dakwah dalam era ini (fasa pkp) seperti menulis, bercakap (seperti di sosmed atau kepada ahli rumah). Begitu juga melaksanakan wajibat yang lain seperti taklifan dan mutabaah amal.

Jadilah orang yang bijak. Tidak melepaskan peluang keemasan yang hanya tinggal berbaki beberapa hari sahaja lagi.



Jom pecut.

#PermaiMenulis #Ramadan #10akhir #AndaiRamadanAkhir #pecut #capen #qalami

Sunday, May 17, 2020

Maqam Ibnu Abi Jamrah penyusun Mukhtasar Sahih Bukhari





Ziarah pada 16.9.2019 ke Maqam Ibnu Abi Jamrah penyusun Mukhtasar Sahih Bukhari.
Lahir di Andalus lebih kurang tahun 625H di bandar al-Mursiah,
dan wafat pada tahun 675 Hijrah, Maqamnya terletak berdekatan dengan maqam Imam Ibnu Atha'illah as-Sakandari.

#Kembara #PermaiDiHati #Mtis #Istiqamah #JejakAulia #JaulahTarbawi
#Mesir
#Egypt #ImamIbnuAbiJamrah

Saturday, May 16, 2020

Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu, Salam Hari Guru 2020

16 Mei Hari Guru disambut saban tahun dengan pelbagai tema. Guru memang perlu dihormati. Terutamanya oleh para pelajar dan tidak terkecuali  ibu bapa pelajar. Mutakhir kita sering mendengar berita yang merendahkan para guru. Ada guru yang kena ‘sound’ oleh pelajar dan mak ayah, ada yang kena denda, kena saman, kena laporan polis dan sebagainya.
Memang kita juga mendengar  ada pelajar yang kena denda dengan agak melampau oleh guru. Pokoknya punca asal dari mana ? 
Kalaulah pelajar berbudi lagi bersopan, saya percaya guru pun tidak akan mendenda pelajarnya. 
Ada yang bilang guru dahulu tak sama dengan sekarang. Sekarang, segelintir  guru tidak mempunyai ‘roh’ atau ‘jiwa’ sebagai guru. Menjadi guru hanya kerana ingin mendapatkan gaji bulanan dan tiada pekerjaan lain yang boleh dilakukannya. Jika diberi pilihan dan tawaran lain, mereka memilih untuk bertukar ke profesion lain.
Buat para guru ayuh betulkan niat, pekerjaan kalian adalah sangat mulia. Saham pahala akan sentiasa mencurah walaupun kalian telah tiada.

Buat insan yang bergelar pelajar. Pemerhatian saya selaku orang yang tersepit antara generasi lama dan baru, walaupun generasi lama sambutan hari gurunya tidak ‘wow’ akan tetapi mereka lebih beradab terhadap gurunya. Berbanding sekarang yang hanya lebih kepada slogan, kata-kata dan tulisan yang ‘mengancam’. Tetapi tidak disertai dengan tindakan, lebih kepada retorik.

Saya membelek kitab Pelita Penuntut yang merupakan terjemahan dari kitab Ta’lim Al-Mutaa’llim Tariq Al-Taa’llum karya Syeikh Zarnuji. Pada kulit hadapan Kitab Pelita Penuntut yang diterjemahkan oleh Syeikh Muhammad Syafie bin Abdullah Rangkul, Langgih, Patani keluaran  Percetakan Al-Maarif Pulau Pinang dilampirkan syair Imam Syafie  buat penuntut ilmu.
أخي لن تنال العلم الا بسته ؛ ذكاء وحرص واجتهاد وبلغة وصحبة استاذ وطول زمان
Maksudnya : Saudaraku, kamu sekali-kali tidak berupaya mencapai ilmu kecuali dengan enam perkara ; cerdik, aktif mencari ilmu, tekun berusaha, kehidupan yang memadai, mengakrabi ustaz (guru) dan masa yang panjang.  

Saya hanyalah siapa jika bukan kerana guru. Selamat hari guru buat semua guru yang telah mendidik saya baik secara langsung mahupun tidak. Secara formal atau bukan formal, dalam kelas atau di luar kelas,  semuanya guru belaka. 
Walaupun saya bukanlah orang yang cerdik pandai, tetapi dari dulu lagi saya diajar untuk hormat dan kasihkan guru. Walaupun biasalah semasa zaman remaja baru nak ‘up’  masa bersekolah dulu, ada guru yang kita ‘tak suka’ kononnya kita sahajalah yang bagus dari guru tersebut, sampai kita boleh melabel mereka. Hmm.

Ayuh! Kita sama-sama mendoakan para guru terutama mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Saya mencadangkan kepada semua terutama yang masih belia remaja di peringkat sekolah dan universiti untuk membuat catatan bertulis profil guru masing-masing. Kerana setelah berlalunya puluhan tahun akan datang, waktu tersebut kita mungkin akan terlupa perihal sebahagian guru kita. 

Saya hanyalah pelajar
Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.

catatan saya tahun-tahun sudah berkenaan hari guru :  http://syababgr.blogspot.com/2017/05/selamat-hari-guru.html

Bersama Dr Zulkifli bin Muhammad al-Bakri di kediaman beliau.

Bersama tenaga pengajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat
Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Guru Komputer kami  semasa di Maahad Tahfiz Masjid Negeri.

Bersama Naqib yang banyak membimbing
#SalamKu
#PermaiMenulis
#GengPermai
#CikguSayaBest
#SelamatHariGuru
#KasihkanGuru







Friday, May 08, 2020

Ustaz Ma'mun Hudhaibi selalu follow up dan Update anak buah.



Syeikh Ma’mun Hudhaibi (1921-2004), Mursyidul ‘Am Ikhwanul Muslimin ke-6 (2002-2004)-

Beliau sering mengirim kad ucapan selamat pada setiap ‘event’ seperti hari raya kepada ahli Ikhwan. Bahkan beliau selalu ‘follow up’ anak buahnya dalam kiriman telegram.

ps : Zaman kini lebih mudah untuk "follow up & Update" kebanyakannya di Whatsapp, berbanding mereka yang terdahulu.

#PermaiMenulis #GengPermai #Ikhwan #Followup #Update

Wednesday, May 06, 2020

Kesilapan dan kerugian yang sering dilakukan dalam bulan Ramadan

Sabda Rasulullah SAW :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. [Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690]

Antara kesilapan dan kerugian yang sering dilakukan dalam bulan Ramadan,
Semoga kita semua dijauhkan dari kesilapan ini :
1. Merasa lemah, lesu dan malas.
2. Puasa tapi liat dalam mengerjakan solat fardhu terutamanya solat berjemaah.
3. Berlebihan ketika berbuka puasa sehingga membazir.
4. Sibuk berbuka puasa sehingga mengabaikan solat maghrib berjemaah.
5. Meninggalkan solat terawih tanpa sebarang keuzuran.
6. Jarang membaca al-Quran.
7. Kurang bersedekah.
8. Tiada keinginan untuk memburu Lailatul Qadr.
9. Kos perbelanjaan untuk makanan dalam bulan Ramadan lebih tinggi berbanding bulan lain.
10. Sibuk buat persiapan raya terutama 10 hari terakhir Ramadan.
11. Kurang berdoa.

Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan buat kita semua.

#PermaiMenulis #GengPermai #IbrahRamadan #Motivasi #AbnaulHaraki