Tuesday, May 16, 2006

ISLAM DIHINA ; PERANAN AHLIL QUR’AN


MUQADDIMAH

Firman Allah SWT :

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al A’raaf : 157)

Baru-baru ini, umat Islam digemparkan dengan penghinaan secara terang-terangan terhadap Islam oleh musuh-musuh Islam dengan tersiarnya karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh Akhbar Denmark, Jyllands Posten atas alasan kebebasan akhbar dan hak asasi manusia.

Lebih mencabar kewibawaan kita umat Islam di Malaysia khususnya, apabila akhbar Sarawak Tribune turut menyiarkan semula karikatur yang sama dan akhbar harian Cina Guang Ming Daily mengeluarkan foto sebuah akhbar yang menyiarkan karikatur tersebut. Disamping itu, akhbar New Street Times pula menyiarkan karikatur yang juga seakan-akan memberi gambaran sinis atas isu yang sama.

Kesabaran seorang muslim ada had dan batasnya. Apabila batang tubuh Rasulullah SAW sampai kepada peringkat di‘karikatur’kan dengan gambaran yang hina dan sinis, ia adalah satu tindakan yang melampau! Muslim yang tidak terguris hatinya, bermakna tiada iman baginya.

Namun, suatu realiti pahit yang mesti kita sedari dan insafi ialah, negara kita Malaysia telah lama membiarkan Nabi dihina oleh orang Islam sendiri. Bacalah fakta ini :

1. "Nabi diketahui telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang wanita bernama Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya" ["Let Islam lead way with its progressive view on sexuality" oleh Farish A. Noor (NST, 4 Nov 4 2000)]

2. Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin kabilah, dan oleh kerana itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda adalah pemimpin kabilah lebih dari pemimpin agama) ["Farish A Noor - Intellectual Provocateur" temubual oleh Amir Muhammad ("The Edge" , 3 Dis 2001)]

3. Nabi dilihat oleh pengikut-pengikutnya sebagai pemimpin suku dan ramai di kalangan mereka yang mengikutinya berbuat demikian kerana logik kepatuhan kesukuan .) ["The Myth Surrounding the Islamic State" oleh Farish A. Noor ( NST 1 hb Disember 2001)

Mengapakah warga Islam Malaysia ini tergamak menghina Rasulullah SAW? Antaranya ialah disebabkan golongan pemimpin mereka sendiri tergamak menghina sunnah Rasulullah SAW. Ingatkah anda dengan ucapan ini? - “Siapa tau janggut Nabi macam mana?.siapa biasa tengok janggut Nabi ..ada gambar ka ? Kita tak tau. Kita tak tau betuilah dia ada janggut?tapi betul ka janggut dia (Nabi)?Di zaman itu..pisau cukur ada kaaa?dia bukan ada? Gillette?? zaman Nabi ada Gillette? [rakaman kata-kata seorang mantan pemimpin di Malaysia]

TAHUN MENCABAR ISLAM (2005-2006)

Di sepanjang tahun 2005 hingga awal 2006 sahaja, negara kita digemparkan dengan pelbagai isu yang berkait dengan kewibawaan Islam. Islam dan hukumnya semakin berani dicabar dan dihina. Telitilah fakta ini :

1. Berpunca dari kes Moorthy, percubaan pihak-pihak tertentu (Sisters In Islam, menteri kabinet bukan Islam dll) yang mendesak supaya meminda Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Mahkamah Sivil mencampuri urusan Mahkamah Syariah. Perkara 121(1A) yang diwujudkan oleh Parlimen pada 1988 adalah untuk mengatasi masalah campur tangan Mahkamah Sivil terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana sebelum tahun 1988, banyak kes mahkamah sivil yang melibatkan orang Islam menganggu mahkamah syariah seperti kes murtad, perkahwinan, harta, waqaf, hadhonah dan sebagainya.

2. Penolakan 50 NGO terhadap undang-undang bersifat kawalan moral setelah berlakunya tangkapan beberapa orang artis dan anak kenamaan di kelab malam De Zouk. Mereka dibebaskan dan tidak diambil tindakan malah JAWI di cemuh.

3. Wujudnya Interfaith Commision (IFC). IFC yang nama asalnya ialah IRC. Inter Religious Council (IRC) adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama (baca: agama Islam) akibat desakan penganut agama lain. IFC akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC? IFC digagaskan penubuhannya oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos, 2001. Presiden MCCBCHS ialah V.Harcharan Singh. Pelbagai tuntutan yang dibuat oleh kumpulan ini yang rata-ratanya mencabar kewibawaan umat Islam. (anda boleh dapatkan isi kandungan tuntutan mereka di internet)



DI MALAYSIA, SUDAH LAMA ISLAM DIHINA

Mengapakah golongan minoriti bukan Islam tersebut bersama beberapa kumpulan liberal Islam hari demi hari semakin berani menzahirkan keraguan dan penentangan mereka terhadap Islam? Ianya tidak lain dan tidak bukan, lantaran mereka menyaksikan Islam di Malaysia yang telah lama dihina dan diperlekehkan tanpa apa-apa respon bersungguh ditunjukkan oleh umat Islam. Bacalah fakta ini :

1. "Mungkin serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup oksigen masuk ke dalam otak mereka. Mereka tidak berfikiran waras ...Dari masa ke semasa ulama selalu mengeluarkan pengumuman yang tidak masuk akal dan bodoh.") ["Now the mufti blame Hindi films" Akbar Ali (The Sun, 21hb Februari 2001)]

2. "Oleh kerana itu soal yang perlu ditangani di dalam masyarakat kita hari ini bukanlah isu samada poligami patut disahkan di bawah undang-undang sivil untuk orang bukan Islam, tetapi samada ia sepatutnya dibenarkan terus di dalam undang-undang keluarga Islam") ["Islam did not Invent or Encourage Polygamy", Sisters in Islam, NST 10th January 2002]

3. Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia (HRC) Majlis Peguam Malaysia, Cecil Rajendra telah mengedarkan surat terbuka dalam Mesyuarat Agung Majlis Peguam itu pada tahun 2001 yang telah mengkritik dan tidak mengakui serta tidak mengiktiraf hak kebebasan beragama sebagaimana termaktub dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya beliau dan Jawatankuasa HRC mendesak agar orang-orang Islam boleh keluar dari Islam tanpa sebarang sekatan.Tujuan surat terbuka ini diedar adalah untuk meluluskan suatu usul dalam Mesyuarat Agung Majlis Peguam itu bahawa Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan adalah bertentangan dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

4. “Hukum rejam kepada penzina adalah primitif”. (Mahathir: 3/3/94)

5. “Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja”. (Mahathir: 14/7/92)

6. “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama” (Mahathir: 2/5/92)

7. “Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam”. (Mahathir:14/8/94)

8. Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasiq'. (Mahathir:3 Mac, Nilam Puri).

9. Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan'. (Najib: 20/4/93)

10. Apakah kalau kita tidak tutup (aurat) kita tidak Islam? Banyak benda yang disuruh oleh agama Islam yang kita tidak buat, tetapi kita masih Islam". (Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).

11. Tetapi apa guna tudung kepala tapi rogol anak - tolong suami rogol anak. Tengok masuk dalam mahkamah (ber)ketayap, (ber) kopiah putih, isteri pakai tudung kepala. Tapi buat kerja apa?"(Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997).

12. Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat". (Dr.Mahathir Mohamad: 5 September 1997, PWTC, Perhimpunan Agung UMNO).

13. Apabila tiga orang gadis Melayu Islam, Fahyu Hanim Ahmad,18 (Alor Setar), Noni Mohamad, 19 (George Town), dan Sharina Shaari 23, (Alor Setar), menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997 ditangkap oleh lima pegawai JAIS, Mufti dipecat


USAHA PENGHINAAN TERHADAP AL QUR’AN

Penghinaan terhadap Islam secara lansung adalah berhubung kait dengan Al Qur’an lantaran Al Qur’an adalah sumber rujukan tertinggi di dalam Islam. Tidak sepatutnya kita memisahkan Al Qur’an secara tekstual dan kontekstual. Al Qur’an diturunkan bukan semata-mata untuk dihafaz dan dibaca. Al Qur’an adalah kita hidayah, pemisah antara haq dan batil.

Firman Allah SWT :

(Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa ) [Al Baqarah : 2]

(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil) [Al Baqarah : 185]

Hari ini kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan golongan yang menolak tafsir para Ulama’ silam dan menyeru kepada tafsiran semula Al Qur’an, lebih berani daripada itu sudah adanya golongan Liberal Islam yang mempertikaikan teks Al Qur’an dari sudut ketulenannya.

Golongan ini yang sedang bergerak rancak di nusantara khasnya di Indonesia, mempertikaikan method penerimaan Al Qur’an yang sedang digunapakai oleh umat Islam pada hari ini secara sistem bersanad. Antara perkara yang dibangkitkan ialah :

1. Mana mungkin ayat al Qur’an yang banyak itu dapat dipelihara ribuan tahun secara turun tanpa ada kesilapan dan perubahan.

2. Kelemahan umat Islam ialah bila mereka menetapkan bahawa Al Qur’an yang ada sekarang tidak lansung boleh dikritik. Sedangkan method kritik merupakan satu wacana perkembangan minda dan intelektual. Lihatlah bagaimana majunya umat kristian bila mereka membudayakan pendekatan kritik terhadap kitab bible mereka.

3. Mereka mengiktiraf ketulenan dan kesucian dari kesilapan kitab-kitab Al Qur’an, Injil, Zabur, Taurat dan suhuf-suhuf ketika dalam bentuk Kalamullah yang turun dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Tetapi yang turun dari langit dunia kepada manusia tidak lagi terjamin ketulinannya kerana melibatkan campur tangan manusia. Kalamullah yang telah turun dalam bentuk mushaf dan kitab ini boleh dikritik dan diperbahaskan.

4. Mereka membangkitkan tindakan pengumpulan Al Qur’an dan pembukuannya di zaman Abu Bakar, Umar dan Uthman. Begitulah juga mereka amat mencurigai konsep nasakh dan mansukh. Kesemuanya ini bagi mereka, adalah campur tangan manusia (ulama’) yang menjejaskan ketulenan Al Qur’an mengakibatkan Al Qur’an yang ada pada hari ini boleh dikritik dan diperbahaskan.

5. Kesimpulannya, Al Qur’an yang boleh dikritik ini akan membuka peluang yang luas kepada golongan ini untuk mempertikai segala hukum yang terdapat di dalam Islam yang dirasakan tidak relevan dengan zaman dan hak asasi kemanusiaan

Disinilah peranan dan tanggungjawab Ahlul Qur’an! Penghinaan dalam bentuk karikatur, mungkin boleh dibendung dengan demonstrasi dan ceramah-ceramah penerangan. Penghinaan terhadap Islam oleh orang politik, mungkin boleh dikawal dengan cara politik… tetapi penghinaan dalam bentuk ilmiah (kononnya) dan bergerak atas nama wacana intelektual ini, mestilah juga dibendung dengan kekuatan hujjah para Ulama’ Islam khususnya Ahlul Qur’an atau Hamlatul Qur’an. Oleh itu, bersiaplah! Musuh sedang menanti di medan perang… adakah kita masih berdengkur di bawah selimut??? Selamat Berjuang !

No comments:

Post a Comment