Friday, March 09, 2007

Metodologi Dakwah:
Dakwah Melalui Tulisan
Secara umum ada tiga cara dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyebarkan agama Islam iaitu bil lisan, bil hal dan bil kitabah (ucapan, tingkahlaku dan tulisan) (Ahmad Tajuddin Abdul Hamid,1998). Dakwah dengan lisan dan hal memang banyak diketahui umum. Akan tetapi dakwah dengan tulisan kurang diperkatakan. Walaupun Nabi Muhammad s.a.w. seorang yang buta huruf iaitu tidak tahu membaca dan menulis tetapi keadaan ini tidaklah menghalang beliau daripada melakukan dakwah secara tulisan. Rasulullah s.a.w. sangat menitik-beratkan pelajaran dan kebolehan menulis. Beliau menerima pampasan tawanan Quraisy dalam Perang Badar dalam bentuk mengajar anak-anak orang Islam membaca. Beliau melantik beberapa orang sahabat yang pandai menulis sebagai juru tulis wahyu seperti Ali, Uthman, Abu Bakar, Umar, Zaid bin Thabit dan sebagainya. Mereka ditugaskan menulis wahyu. Jika Rasulullah s.a.w. tidak menitik beratkan bahagian penulisan, sudah tentu al-Quran tidak dapat dikumpul dan wujud seperti yang ada sekarang. Di samping itu sahabat juga menulis hadis-hadis Rasulullah dalam koleksi masing-masing. Dalam konteks dakwah secara langsung melalui media tulisan, Rasulullah menghantar surat-surat dakwah kepada pelbagai pihak seperti kepada raja Mesir, Rom, Parsi, Habasyah dan sebagainya. Surat kepada Muqawqis, pemerintah Mesir disampaikan oleh Hatib bin Abi Baltaah di Alexandria (Iskandariah) berbunyi, "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Daripada Muhammad, Rasulullah kepada al-Muqawqis pemerintah Mesir. Selamat sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk yang benar. Saya menyeru tuan kepada Islam. Islamlah, tuan akan selamat. Dengan menganut Islam, Allah akan memberi ganjaran kepada tuan dua kali ganda, tetapi jika tuan menolak, dosa orang-orang Mesir akan terkena kepada tuan. Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan di antara kami dengan kamu iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun. Dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah. Kemudian, jika mereka berpaling, maka katakanlah; kamu saksikanlah bahawa kami adalah muslim." Surat kepada Heraclius pemerintah Rome dibawa oleh Dihyah Al-Kalbi. Surat ini disampaikan kepada Heraclius ketika dia berada di Jerusalem. Ia berbunyi; "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Daripada Muhammad Rasulullah, kepada Heraclius pemerintah Rome. Salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk yang betul. Saya menyeru tuan kepada Islam. Islamlah, tuan akan selamat dan Allah akan memberi tuan ganjaran dua kali ganda. Tetapi jika tuan menolak, dosa al-Arisiyyin akan terkena kepada tuan. Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan di antara kami dengan kamu iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun. Dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah. Kemudian, jika mereka berpaling, maka katakanlah; kamu saksikanlah bahawa kami adalah muslim." Surat kepada Chosroes Raja Parsi (Epervaiz ibn Hormuz) disampaikan oleh Abdullah bin Hudhafah di Al-Madain; "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Daripada Muhammad Rasulullah kepada Chosroes Maharaja Parsi. Salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk yang betul dan beriman kepada Allah dan RasulNya, bersaksilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Saya mengajak tuan kepada seruan Allah. Saya adalah utusan Allah kepada seluruh manusia. Saya mengingatkan kepada mereka yang hidup bahawa hukuman akan dikenakan kepada mereka yang tidak beriman. Masuklah Islam, tuan akan selamat, tetapi jika tuan enggan, dosa penduduk Magians (Parsi) akan terkena kepada tuan”‌. Rasulullah s.a.w. juga mengirim surat kepada Najasyi pemerintah Habasyah, Al-Mundhir bin Sawa pemerintah Bahrain , Jayfar dan Abd bin Al-Julandi pemerintah Oman , Hawdhah bin Ali pemerintah Yamamah dan Shurahbil bin `Amr al-Ghassani pemerintah Damsyiq. Pembawa surat atau duta-duta Rasulullah adalah Amr bin Umayyah (ke Habasyah), Al-Alaa’ bin al-Hadrami (ke Bahrain), Abdullah bin Hudhafah (ke Parsi/al-Madain), Dihyah Al-Kalbi (ke Jerusalem ), Hatib bin Abi Baltaah (ke Iskandariah/Mesir), Amr bin Al-As (ke Oman ), Sulait bin Amr (ke Yamamah) dan Al-Harith bin Umair Al-Azdi (ke Dasmyik). Ada antara duta yang dihantar oleh Rasulullah telah dibunuh iaitu Al-Harith bin Umair al-Azdi. Al-Harith dihantar ke Damsyik untuk menemui Shurahbil pemerintah Ghassan dan ada pula yang mendapat layanan yang baik. Muqawqis memberi layanan yang baik kepaada duta Rasulullah. Dia menghadiahkan Hatib bin Abi Baltaah wang seratus dinar beserta lima persalinan. Seorang pegawai ditugaskan menemani Hatib dalam perjalanan bagi tujuan keselamatan. Muqawqis juga menghadiahkan kepada Rasulullah dua orang hamba iaitu Mariyah Al-Qibtiyyah dan Shireen, 20 persalinan buatan Mesir, binatang tunggangan (kaldai - Duldul), madu dari Binha, minyak wangi, sebuah mangkuk kaca serta seorang doktor. Semua hadiah tersebut diterima oleh Rasulullah, kecuali doktor. Rasulullah mengembalikan doktor tersebut dengan bersabda maksudnya, "kembalilah kepada kaummu kerana kami adalah kaum yang tidak makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai kenyang".(Az-Zuhri dlm Shawqi). Daripada bukti sirah menunjukkan kepada umat Islam bahawa media dakwah dalam bentuk tulisan tidak boleh diabaikan. Perutusan dakwah dalam bentuk tulisan hendaklah diguna dan disampaikan secara terus terang dan mudah, tidak berselindung atau kabur kepada seluruh manusia sama ada secara umum mahupun khusus. Perutusan secara umum mungkin telah banyak dilakukan melalui majalah, akhbar, buku, internet dan sebagainya tetapi perutusan dakwah secara khusus yang ditujukan kepada individu-individu tertentu mungkin masih kurang sedangkan cara inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. melalui surat-surat dakwahnya sebagaimana yang diterangkan di atas.
Rujukan: 1. Ahmad Tajudin bin Abdul Hamid (1998) Metodologi Dakwah Alaf Baru; Jurnal Dakwah Jld 1, Bil 1 JPIM KPM “ Kuala Lumpur.
2. Shawqi Abu Khalil (2004) Atlas on The Prophets Biography, Darussalam, Riyadh .
“Ya Allah letakkanlah dunia di tanganku, jangan di hatiku‌”

2 comments: