Wednesday, June 20, 2007

Masjid-masjid yang sunyi

Alangkah beruntungnya kita sebagai rakyat Malaysia. Mana tidaknya, hampir setiap kampung atau kawasan kita mempunyai masjid yang tersendiri. Dan di setiap negeri pula terdapat masjid-masjid negeri yang menjadi kemegahan kepada negeri masing-masing. Itu belum lagi dikira masjid negara dan masjid Putrajaya yang berdiri megah dengan ciri-ciri kesenian yang mengagumkan yang semestinya menjadi kebanggaan kepada negara Malaysia. Semua ini membuktikan bahawa masjid-masjid di Malaysia telah dijadikan satu lambang atau simbol kepada negara. Yang semestinya membawa maksud negara kita beragama rasmikan Islam. Baguslah tu. Masjid yang banyak ini juga sedar atau tidak sebenarnya membuktikan betapa banyaknya kemudahan yang disediakan untuk kita beribadat kepada Allah. Tetapi hanya segelintir daripada kita sahaja yang menyedarinya.

Kewujudan masjid-masjid ini sebenarnya tidak dapat memberi bukti yang kukuh bahawa kita telah mengamalkan cara hidup Islam sebagaimana yang diajar Rasulullah SAW. Memanglah, takkanlah bila ada sahaja masjid maknanya kita telah mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya. Sedangkan masjid-masjid ini selalunya sunyi dan sepi. Jauh sekali perbezaannya jika ingin dibandingkan dengan masjid-masjid pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Lihat sahaja di taman-taman perumahan yang andai kata mempunyai seribu buah rumah dengan sebuah masjid. Bilangan jemaah yang hadir ke masjid adalah berapa kerat sahaja. Kalau waktu zohor dan asar tak sampai pun satu saf. Maghrib dan Isyak ramailah sikit, dalam dua saf. Belum lagi dikira waktu solat subuh yang sememangnya lagi menyedihkan bilangannya. Padahal seribu buah rumah tidak bermakna seribu orang penduduk. Secara puratanya, sebuah rumah mempunyai tujuh atau lapan orang penghuni. Aduhai, betapa rakyat Malaysia tidak pandai mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada mereka!

Sekiranya kita perhatikan masjid-masjid di kawasan kampung, lagilah dasyatnya. Waktu solat-solat fardhu pun azan tidak dilaungkan. Padahal masjid hanya terletak di sebelah rumah. Tidak terfikirkah kita bahawa pergi ke masjid itu adalah satu kewajipan ke atas umat Islam? Alangkah memalukan apabila kita yang mampu berkebun selama beberapa jam tidak mampu untuk berjalan ke masjid yang hanya beberapa langkah sahaja daripada rumah kita dengan alasan telah letih berkebun. Dan alangkah memalukan apabila kita yang mampu berjogging sejauh beberapa ratus meter tidak mampu untuk berjalan ke masjid yang letaknya beberapa meter sahaja daripada rumah kita. Sedangkan setiap langkah kita ke masjid akan dikira oleh Allah SWT dan kita akan mendapat habuannya di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-anfal yang bermaksud: "tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka(17). Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk(18)"

Daripada ayat-ayat tersebut dapatlah disimpulkan bahawa orang yang memakmurkan masjid itu hanyalah orang yang benar-benar beriman kepada Allah, hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan takut kepada Allah. Bukanlah orang-orang kafir. Jadi, maksudnya bukanlah sebarangan orang telah mendapat petunjuk oleh Allah untuk memakmurkan masjid-masjid ini.
Sebenarnya, masjid mempunyai banyak peranan yang kadang-kala tidak kita sedari atau sengaja tidak ambil peduli. Peranan utamanya mestilah sebagai tempat beribadat kepada Allah SWT. Tempat untuk bersolat, berzikir, beri'tikaf, membaca Al-quran dan pelbagai ibadat lagi. Pendek kata, sebagai tempat pembersihan jiwa. Tetapi, ini bukanlah satu-satunya tujuan masjid itu dibina. Masjid boleh menaikkan taraf umat Islam sebagai umat yang berilmu dan berakhlak mulia. Yelah, masjid boleh dijadikan sebagai pusat pengajian, untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, ilmu akhirat malah ilmu keduniaan juga.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda juga telah menjadikan masjid sebagai tempat mengadakan perbincangan dan mesyuarat mengenai hal-hal keagamaan dan juga keduniaan. Selain itu, masjid dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam tidak kira miskin atau kaya, berpangkat atau tidak, pemerintah atau rakyat biasa. Semua ini dapat menghapuskan sifat kasta atau perbezaan taraf sesama manusia yang wujud dikalangan kita seperti perbezaan warna kulit dan keturunan. Pendek kata, masjid sebenarnya dapat mewujudkan kesatupaduan.
Oleh kerana banyaknya peranan masjid untuk kepentingan umat Islam, maka ganjaran yang diberikan Allah kepada orang yang membinanya amatlah besar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Sesiapa membina masjid kerana Allah, memohon limpah kurniaNya, Allah akan membina untuknya seperti itu juga di dalam syurga" Diriwayatkan oleh Al-Bukhari.

Kalau dibuat perbandingan antara pengunjung pusat beli-belah dengan jemaah yang hadir ke masjid, sudah semestinya jemaah masjidlah yang kalah. Rakyat negara kita sanggup bersesak-sesak di pusat-pusat beli-belah dan melalaikan diri mereka daripada bersolat di masjid. Orang tua ke, muda ke, semuanya sama sahaja. Apabila dengar bunyi azan dilaungkan, masing-masing buat tak tahu saja. Jika beginilah sikap kita, selama-lamanyalah umat Islam tidak akan bersatu-padu apatah lagi menjadi kuat untuk melawan musuh-musuh Islam yang sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam. Jika beginilah sikap kita, bilalah masjid di negara kita mampu untuk memainkan peranannya untuk menaik tarafkan umat Islam sebagai umat yang berilmu dan berakhlak mulia.
Jadi, apa fungsinya kita membina masjid sekiranya tujuannya sekadar untuk bermegah dan berbangga dengan senibinanya? Tiada maknanya!! Sebab Allah telah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa semenjak ia didirikan lebih patut engkau bersolat di dalamnya. Di dalam masjid itu terdapat orang-orang yang ingin dirinya bersih, sedangkan Allah mengasihi orang-orang yang bersih" (At-taubah:108)

Written by: Kakteh (",)

No comments:

Post a Comment