Thursday, September 20, 2007

Muhasabah Ramadhan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang salah). Oleh itu sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadhan, maka hendaklah dia berpuasa bulan itu. (al-Baqarah :185)

Jelas pada kita bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang paling terpilih dan suci dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Allah menghendaki hambaNya supaya memenuhkan bulan Ramadhan dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya. Sesuatu yang teristimewa ialah dalam bulan ini terdapat satu malam yang dipanggil dengan Lailatul Qadar. Pada malam istimewa tersebut Allah akan gandakan segala amalan sehingga menyamai amalan selama seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun.

Umum mengetahui bahawa segala amal-amal yang kita lakukan dalam bulan yang mulia ini pahalanya akan dilipat gandakan. Jadi beruntunglah bagi sesiapa yang menjaga amalannya dan merebut peluang kesempatan Ramadhan dengan memaksimakan amalannya.

Namun beberapa perkara yang sering terlepas pandang oleh masyarakat kita. Sedikit sahaja yang ingin disebut di sini, antaranya ialah :

Masyarakat kita sering melaksanakan amalan fardhu secara sambil lewa , tetapi terlampau mengambil berat amalan sunat. Sebenanya amalan Fardhu adalah amalan yang wajib kita laksanakan, berdosa kalau kita tinggalkannya. Sedangkan amalan sunat kaedahnya buat dapat pahala, tak buat tidak mengapa.

Beberapa perkara Fardhu yang kurang diendahkan:
i)Solat fardhu lima waktu berjemaah di masjid.

Dalam bulan-bulan biasa : Tuntutan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah amat kuat dalam Islam dan amaran kepada mereka yang meninggalkan solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran sehinggakan pada waktu perang pun Allah mengajar Rasulullah dan para sahabat cara melaksanakan solat berjemaah ketika berperang. Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya ; Rasulullah bercadang untuk membakar rumah orang-orang Islam yang tidak hadir solat berjemaah. Jika meneliti Sunnah Rasulullah, kita akan mendapati Rasulullah memang sentiasa solat berjemaah sehinggakan di saat akhir hayat Baginda ketika mana dalam keadaan cukup uzur pun masih ke masjid dengan dipapah oleh para sahabat.

Dalam bulan Ramadhan : Kalau dalam bulan-bulan biasa tuntutannya sudah sebegitu, sudah tentu di bulan yang mulia ini tuntutannya juga semacam itu bahkan ganjarannya akan dilipat kali gandakan lagi.
Namun masyarakat kita tersilap. Mereka lebih mengutamakan hadir ke masjid untuk bersolat sunat terawih sahaja, sedangkan solat fardhu yang sepatutnya lebih utama mereka buat di masjid tidak pula diambil berat. Buktinya, kita dapat lihat bila tiba musim Ramadhan malamnya masjid-masjid akan penuh, padat dan sesak. Tapi waktu-waktu lain seperti Zohor, asar dan Magrib cukup mengecewakan.
Suatu lagi masalah yang sering berlaku ialah:
Dalam bulan-bulan lain : Lazimnya pada waktu malam masjid akan menjadi sedikit meriah berbanding dengan hari siang.Orang ramai akan solat magrib secara berjemaah di masjid. Sering kita menyaksikan waktu magriblah ahli jemaah teramai berbanding dengan waktu-waktu lain.

Dalam bulan Ramadhan : Tiba-tiba di bulan yang penuh keberkatan ini, waktu magribnya masjid menjadi sepi dan kaku. Pelik bukan? Sepatutnya orang semakin membanjiri masjid kerana hendak mengejar fadhilat-fadhilat di bulan Ramadhan. Kadang-kadang mereka yang ditaklifkan sebagai Imam dan Bilal juga lesap entah ke mana..

ii) Menuntut Ilmu.
Dalam bulan-bulan lain: Menuntut ilmu hukumnya wajib. Malang bagi seseorang kalau dalam masa tiga hari ilmunya tidak bertambah apa-apa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap orang muslim. Pepatah menyebutkan menuntut Ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Ada juga kalam yang menyebutkan tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Maka ganjaran akan diberikan terhadap orang yang menuntut ilmu dan orang yang menyampaikan ilmunya.

Dalam bulan Ramadhan : Tiba-tiba di bulan yang penuh keberkatan ini, majlis-majlis ilmu dihalang, disekat bahkan ada yang menyebut HARAM diadakan. Contohnya : majlis-majlis tazkirah (ilmu) tidak dibenarkan dibuat semasa solat terawih.

Kesimpulan: Ramadhan masih awal, Belum terlambat untuk kita berubah, gunakan baki umur yang ada untuk melakukan anjakan perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat setempat dan ummah. Moga-moga dengan madrasah Ramadhan ini dapat membentuk semula diri kita…insyaAllah.

No comments:

Post a Comment