Sunday, February 17, 2008

Bangkit Berjuang
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya telah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya seperti nikmat kesihatan, nikmat ukhwah, nikmat pendidikan, nikmat keluarga, nikmat kesenangan dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat kita hitung banyaknya . Namun seharusnya kita perlu sedar dan bertambah bersyukur lagi kerana kita dikurniakan dengan dua kurniaan nikmat yang paling besar dan jauh lebih berharga berbanding dengan nikmat-nikmat lain iaitu nikmat Islam dan Iman.

Rafak Syukur yang tidak terhingga dengan kurniaan dua nikmat ini, Islam dan Iman. Lahir-lahir sahaja ke dunia secara automatik telah kita warisi kedua nikmat ini tanpa perlu kita bersusah payah untuk mendapatkannya. Berbanding golongan terdahulu yang tidak mudah untuk mendapatkan nikmat ini. Namun atas jasa golongan terdahulu yang begitu bersungguh-sungguh berjuang mengembangkan Islam ini akhirnya kini kita mendapat nikmat ajaran Islam ini.

Jika menyelusuri sejarah silam, terbaca kita kisah-kisah para Sahabat, Tabi’en, Ulama-ulama, para Mujahid yang begitu bersungguh-sungguh berjuang untuk mengembangkan Islam. Mereka berjuang sehinggakan ada yang bermatian dan bermandikan darah. Matlamat mereka hanya untuk menyebarkan ajaran Islam ini. Tidak terlintas pun dalam fikiran mereka “sudah cukup aku dan kaum keluargaku sahaja yang beriman” tapi apa yang terlintas di fikiran mereka inginkan seluruh alam ini menerima dan beriman kepada Allah S.W.T.

Teringat nostalgia silam ketika mana Islam berjaya menguasai dan memerintah 3/4 dunia. Ketika itu seolah seluruh dunia mengakui bahawa khalifah (Amirul Mukminin) merupakan BOS dunia dan seluruh umat Islam bersatu di bawah pemerintahan Islam yang ditadbir oleh Khalifah.

Alhamdulillah, kini Islam merupakan agama yang terbesar dan dikenali di seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir tiada lagi dalam dunia ini yang tidak pernah mendengar kalimah ISLAM. Begitulah perjuangan dan pengorbanan golongan terdahulu dalam mengembangkan ajaran Islam. Terkenang kita bagaimana jerih payahnya mereka dahulu ketika melaksanakan misi mulia ini, berlayar di lautan samudera (kapal dahulu mana ada enjin), berkuda dalam hujan dan panas di daratan maju menuju ke seluruh pelusuk dunia bermatlamatkan untuk menyebarkan Islam.

Namun begitu, akibat kelalaian kita sendiri, musibah besar telah menimpa kita umat Islam. Bermula dengan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang akhirnya membawa kepada jatuh dan lenyapnya pemerintahan Khalifah Islamiah Uthmaniah Turki pada tahun 1924. Sejak dari itu umat Islam menjadi hilang arah seperti anak ayam yang hilang ibunya, tiada khalifah yang menjadi ketua, lalu dunia menyaksikan umat Islam terus ditimpa musibah demi musibah. Musibah terbesar apabila orang Islam yang mengaku beriman sendiri yang memusuhi ajaran Islam yang sebenar. Tindak tanduk mereka seolah-olah mereka bukannya beragama Islam dan kadangkala mereka lebih melampau berbanding dengan orang bukan Islam.

Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang??, ayuh bangkitlah bangun berjuang, kita ambil kembali semangat pejuang-pejuang terdahulu. Kita ingat kembali jerit perih mereka terdahulu dalam menegakkan dan memulakan rantai perjuangan ini. Sedarlah kita hanya menyambung kembali rantai-rantai perjuangan yang telah dimulakan oleh mereka. Menjadi fitnah besar jika sekiranya rantai perjuangan itu tidak mampu kita sambungi apatah lagi rantai itu terputus disebabkan kelalaian kita.

Malu kita kepada mereka, dengan dunia serba canggih dan mudah ini jikalau kita tidak mampu untuk menggalas tugas dalam memastikan rantai perjuangan itu terus bersambung dan bergerak.

InsyaAllah kita akan pastikan bahawa rantai perjuangan itu akan terus bersambung dan bergerak. Untuk itu banyak perkara yang perlu kita ambil berat dalam memastikan arus perjuangan Islam ini terus mekar. Bersedia untuk 8 hari bulan 3 nanti..

wasalam

No comments:

Post a Comment