Wednesday, September 10, 2008


Bila Ramadhan


Beberapa kejadian yang biasanya tidak berlaku di bulan-bulan yang lain :


Beberapa hari sebelum puasa, saya singgah sebentar di Pasar raya MYDEEN, MasyaAllah ramainya manusia. Landskap hiasan dalaman di dalam pasar raya juga telah berubah, beberapa aksesori utama yang masyhur bila tibanya raya diletakkan di tempat utama. Baju melayu, baju kurung, songkok dan kuih muih cukup banyak. Manusia berduyun-duyun membelek melihat barang-barang tersebut.


*belum lagi puasa orang dah beria untuk memberi kelengkapan untuk menyambut hari raya.. kenapa ye?


Dari satu segi bagusnya orang-orang kita, langkah ke depan, pandang ke hadapan. Maksudnya baru bulan Ramadhan kita dah pandang bulan berikutnya. Boleh maju umat Islam kalau dari segi aspek yang lain kita pun begitu..sentiasa ke depan.
Sehari sebelum puasa, saya dalam perjalanan dari Ibu negeri ke Daerah yang masyhur dengan Ikan Patin. Kebetulan melalui sebuah surau. Wah! Ramainya orang, pelik juga kenapa ramai orang, bukan waktu sembahyang pun.Oh! rupanya mereka bergotong royong membersihkan surau. Ada yang memotong rumput, membersihkan sawang, membaiki pembesar suara. Bagusnya..


Tiba waktu zuhur, saya singgah di sebuah surau.. menghairankan tiada orang yang bersolat, sebabnya surau tersebut tengah mengalami proses pengecatan, lantai karpet dalam surau masih ditutup dengan surat khabar lama untuk mengelakkan cat menitik tumpah ke atas karpet surau. Bagusnya…nak mencantikkan rumah Allah.


Surau yang seterusnya juga ramai manusia. Mereka juga mengadakan gotong-royong. Alhamdulillah, Saya berkesempatan solat di surau tersebut.


*adakah suatu kebetulan gotong-royong dibuat pada hari tersebut. Atau pun di sebabkan untuk meraikan dan menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Nampak sangat yang surau tersebut tidak digunakan sehingga terpaksa dibuat gotong royong membersihkan surau yang terbiar. Surau hanya dikunjungi ketika dalam bulan Ramadhan sahaja, bulan-bulan lain dibiarkan kucing, kambing yang menjadi pengunjungnya. Bila tiba musim Ramadhan yang akan datang, barulah surau yang ditinggalkan itu dikunjungi semula, dibuat gotong-royong..mungkin begitulah putarannya.


Malam pertama Ramadhan, Masjid berdekatan rumah saya begitu penuh sekali, macam waktu solat Jumaat. Rupanya ada solat sunat terawih malam ini, saya hairan.. kenapa manusia berbondong-bondong ke masjid untuk menunaikan solat terawih, bukan tidak bagus tetapi yang hairannya di waktu yang lain, di musim yang lain untuk menunaikan solat-solat fardu yang wajib kenapa tidak pula ditunaikan secara bejemaah di masjid. Adakah solat fardu afdal buat bersendirian di rumah dan solat terawih afdal secara berjemaah di masjid?


*harapnya salah faham ini dapat diatasi. Kita hendaklah sentiasa menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid walau apa sekali pun sebagaimana yang ditekankan oleh As Syahed Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya. Bukan hanya untuk menunaikan solat sunat terawih sahaja baru kita hadir ke rumah Allah.


Hari pertama berpuasa, saya dalam perjalanan ke Kuantan, tiba di bandar jalan begitu sesak sekali. Kenapa ye? … mungkin ada kemalangan…Ada Bazar Ramadhan?? Rupa-rupanya ramai manusia yang bersesak-sesak di bazar Ramadhan sehingga menyebabkan jalan menjadi sesak. Belum waktu asar lagi pun orang dah bersesak-sesak membeli juadah untuk berbuka puasa.


*tidak menjadi suatu kesalahan untuk membeli juadah, Cuma dalam keghairahan membeli jangan sampai kita membazir, membeli makanan di waktu yang lapar memang mengiurkan. Semua makanan nampak sedap belaka. Jangan sampai makanan terlalu banyak dibeli sehingga esoknya ada juadah yang mendapat tempat dalam tong sampah.


Begitulah sedikit realiti yang berlaku bila tibanya bulan Ramadhan. Mudahan kita semua istiqamah dan menggandakan segala amalan kita..


insyaAllah…

No comments:

Post a Comment