Syawal yang menjelang..
Sedar tak sedar Ramadhan yang dicintai (tak semua orang mengklasifikasikan sebagai bulan yang dicintai) akan berakhir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadhan kali ini masih berbaki. Ada golongan yang terasa begitu sayu dan sedih untuk meninggalkan Ramadhan, manakala ada pihak yang terasa begitu gembira meninggalkan Ramadhan, mereka tidak sabar-sabar menunggu menjelangnya syawal. Manakala satu pihak lagi tiada apa-apa, baginya sama sahaja Ramadhan mahupun syawal tetap sama sahaja. Realitinya, Ramadhan semakin kita tingalkan dan masa yang telah berlalu sudah pasti tidak boleh kita undur kembali. Apa yang tinggal hanyalah kenangan dan pengajaran yang kadangkala kita sendiri tidak ambil peduli.
Selamat tinggal kepada bulan yang padanya Allah menjanjikan seribu rahmat, keampunan dan bulan yang dijauhkan daripada neraka jahannam. Dan, rugilah bagi mereka yang pada bulan Ramadhan ini tidak memanfaatkan peluang yang diberi Allah ini dengan semaksimum yang boleh.
Sempena Syawal yang menjelang nanti marilah kita mengambil manfaat dengan meraikannya mengikut lunas-lunas yang dibenarkan. Kita hidupkan suasana berziarah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Mungkin di kala yang lain masing-masing sibuk dengan tugasan masing-masing maka apa salahnya di kala syawal ini kita gunakannya dengan berziarah, kita perkukuhkan lagi ukhwah persahabatan sesama kita yang kadangkala agak longgar.
Namun ada beberapa perkara yang realitinya sering dilakukan oleh masyarakat kita semasa bulan syawal nanti. Mudahan kita dapat menjauhkan dan mengelakkan anasir-anasir tersebut daripada terjebak ke atas diri kita.
Anasir-anasir tersebut :
>malam-malam akhir Ramadhan masyarakat kita membuat sesuatu perbuatan yang agak pelik iaitu memasang pelita api di halaman rumah, hanya di bulan Ramadhan tetapi tidak di bulan yang lain-lain. Saya tidak tahu apa tujuan sebenar mereka berbuat demikian. Mungkin supaya malaikat nampak akan rumah mereka atau ??. Orang dulu-dulu mengenal dengan malam 7 likur. KITA JANGAN BUAT!
>Menonton media (tv) yang sudah pasti menyediakan sajian yang agak melampau sempena syawal nanti sehingga mampu untuk menggoda kita daripada keluar berziarah bertemu sahabat handai. Rancangan-rancangan yang disusun biasanya hampir tiada yang menginsafkan kita tetapi biasanya sudah pasti menyediakan pakej maksiat seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, tidak menutup aurat, galak yang melampau dan macam-macam lagi lah. KITA JANGAN TENGOK!
>Anak-anak muda sakan berlumba di jalan raya. Biasa kita dengar kemalangan jalan raya semakin meningkat di musim perayaan ini. Orang lain sibuk berziarah yang depa ni sakan berlumba. KITA JANGAN TUMPANG SEKAKI!
>Pembaziran yang melampau. Biasanya masyarakat kita payah nak elak dari terjebak kepada pembaziran. Semuanya nak berlebih. Contohnya ‘baju raya’ yang berpasang-pasang, sebaiknya memadailah hanya sepasang sahaja sudah mencukupi. Aksesori rumah yang serba baru seperti langsir baru, cat baru, sofa baru dan semuanya baru-baru belaka. Akhirnya bulan depan semuanya pokai, hutang sana sini… KITA JANGAN AMALKAN !
>Masjid dan surau kembali menjadi sepi. Habis sahaja bulan Ramadhan seolah kontrak kita dengan masjid juga telah tamat. Kenapa begitu? Adakah disebabkan syaitan telah bebas maka kita kalah digoda? Lemahnya kita… KITA KENA IMARAHKAN !
>Budaya bermain mercun dan bunga api. Saya tidak tahu apa kaitannya tetapi bila Ramadhan dan syawal kanak-kanak bahkan orang dewasa akan bermain dengan permainan ini. Kalau kita baca sejarah berkaitan mercun ; kita akan mendapati mercun tidak dapat lari dari masyarakat China yang mempunyai kepercayaan-kepercayaan tertentu. Kita nak ikut mana? KITA JANGAN MAIN!
Sebenarnya ada bermacam-macam-macam lagi perkara yang perlu kita elakkan sepanjang kita menyambut syawal nanti. Dalam kita bergembira meraikan syawal sebagai bulan kemenangan jangan kita lupa akan saudara-saudara seakidah yang mungkin mereka tidak dapat bergembira seperti kita. Dalam kesibukan kita beraidilfitri mungkin mereka sibuk mengatur strategi untuk melawan kuffar, mungkin juga mereka tengah mempertaruhan nyawa mereka. Anak-anak kecil mereka menangis ketakutan mencari perlindungan. Ingat saudara-saudara kita di Palestin, Selatan Thailand, khasmir, Iraq.. Mereka adalah saudara kita. Fikirkan sumbangan untuk mereka, yang paling mudah jangan kita lupa untuk sentiasa berdoa untuk mereka.
Semoga madrasah Ramadhan yang telah dilalui dapat membuahkan hasil iaitu kita berjaya memperoleh ijazah takwa. Rugilah bagi mereka yang telah melalui sekolah Ramadhan ini tetapi apabila tamat sahaja sekolah mereka seolah telah lupa apakah pengajaran dan pelajaran yang diperolehi di sekolah Ramadhan tempohari. Cepat benar lupanya kita.. betullah kata Melayu Mudah lupa..
Akhirnya, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut aidilfitri ; maaf zahir batin buat semua ekspecially my family, my kroni, warga MTNP, pejuang-pejuang, mujahiden-mujahidah, teman-teman, serta seluruh kaum muslimin juga buat kamu yang sudi membaca catatan ini :).
Wasalam.
salam...smoge brjaya d tempat baru ustaz...
ReplyDelete