Mukaddimah
Firman Allah yang bermaksud : “supaya Allah meninggikan
darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi
ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam
IlmuNya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah :11)
“Katakanlah : Adakah sama orang yang berilmu dengan orang
yang tidak berilmu?”
(al-Zumar : 9)
Ilmu sangat penting buat kita semua. Banyak perumpamaan yang
menggambarkan kelebihan ilmu. Seperti
kalam yang membuat perbandingan di antara ilmu dan harta :
- 1. Ilmu adalah warisan para Nabi sedangkan harta adalah warisan Firaun dan Qarun.
- 2. Ilmu lebih mulia dari harta kerana ilmu yang menjaga manusia sedangkan manusia yang perlu menjaga harta.
- 3. Orang yang berilmu mempunyai ramai kawan sedangkan orang yang berharta ramai musuh.
- 4. Ilmu jika diberikan semakin bertambah sebaliknya harta akan berkurang jika diberikan.
- 5. Ilmu tidak boleh dicuri sebaliknya harta boleh dicuri.
- 6. Harta boleh habis sebelum pemiliknya mati tetapi ilmu habis dengan kematian pemiliknya.
- 7. Ilmu tidak dapat dikira, sedangkan harta dapat diketahui jumlahnya.
Pembahagian Ilmu
Ulama membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu ilmu agama
dan dunia. Contoh ilmu agama ialah tafsir, hadis, feqah, tauhid, tasawuf.
Contoh ilmu dunia ialah sejarah, sains dan matematik. Kesemua cabang ilmu
adalah sangat penting lebih-lebih lagi ilmu agama.
Kaedah Menimba Ilmu
Firman Allah yang bermaksud : Dan Allah ajarkan kepada Adam
nama-nama benda semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat, seraya
berfirman ; “Sebutkan kepadaKu nama semua benda ini, jika kamu yang benar”.
(Al-Baqarah : 31)
Tabiatnya, Ilmu itu perlu dipelajari bagi mendapatkannya. Keluar dari landasannya jika ilmu itu
diperolehi tanpa dengan belajar. Contohnya kita duduk termenung sambil minum
kopi di beranda rumah, selepas dua tiga jam kita menjadi bijak pandai yang hebat disanjungi
ramai dengan menyatakan kita seorang tokoh ilmuan terulung.
Namun kita tidak menafikan bahawa ada manusia yang
dikurniakan ilmu oleh Allah dengan tidak belajar secara normal seperti
kebiasaannya. Imam Hasan al-Banna menyatakan bahawa ilham, lintasan hati,
kasyaf dan mimpi adalah perkara yang wujud namun bukanlah menjadi dalil bagi hukum
syarak. Ia diterima sekiranya tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Sabda Rasulullah yang bermaksud : Mimpi ada tiga jenis ,
mimpi yang datang dari Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan
mimpi dari syaitan. (Riwayat Muslim).
Bagi mereka yang masih bergelar ‘budak-budak’ di zaman ini,
memang kelaziman rutin harian mereka
dipenuhi dengan menuntut ilmu. Bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah
menengah, dan Universiti, semuanya giat menuntut ilmu di peringkat dan lapangan
masing-masing. Mereka yang kita sebut masih berada di alam pengajian, alam
kampus , student dan sebagainya.
Soalnya bagi orang awam baik peringkat dewasa atau pun warga emas, di
mana pula mereka ingin menimba ilmu? Sedangkan kita sangat maklum bahawa
kewajipan menuntut ilmu itu selamanya, tidak terhad pada batas-batas waktu
tertentu seperti habis menuntut ilmu setelah
tamat sekolah menengah, graduan Ijazah
pertama, mempunyai PHD, mendapat gelaran Profesor, pendita dan seumpanya.
Maknanya siapa pun kita, baik seorang profesor ataupun seorang Ofice Boy kita
mesti sentiasa melazimi menuntut ilmu.
Zaman sekarang yang serba maju ini, banyak medium untuk kita
menambahkan ilmu pengetahuan seperti :
1.Kuliah-Kuliah pengajian di masjid dan surau. Ada
macam-macam pakej. Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Maghrib,
khutbah jumaat. Ikutilah..percuma sahaja.
2. Kelas pengajian agama di pejabat atau di tempat kita
bekerja. Jika tiada usahakan supaya ada. Sekali seminggu pun sudah dianggap
berbaloi.
3. Membaca buku-buku, majalah ilmiah yang berlambak-lambak di pasaran. Cuma perlu
keluar modal untuk membeli buku. Jika bajet sangat terbatas boleh kunjungi
perpustakaan.
4. Mewujudkan sembang ilmu dengan kawan-kawan. Baik di alam
nyata mahupun maya.
5. Layari internet, mencurah-curah ilmu yang akan
diperolehi, terpulang kepada jari kita yang menaip men’search’ nya.
Kesimpulan
Marilah kita sama-sama mendambakan diri dalam menjadi
seorang yang sentiasa menuntut ilmu. Tiada titik noktah dalam pencarian ilmu.
Jangan rasa sudah cukup dengan ilmu yang diperolehi. Jangan menangguhkan diri
dengan alasan seperti tak ada masa nak dengar kuliah, tunggu selepas pencen
atau senada dengannya. Kata yang sering disebut : “Tuntutlah
ilmu dari buaian sehingga ke lubang kubur”. Tiada had umur pencen dalam
pencarian ilmu.
Renungi pesan Imam Hasan al-Banna buat ahli Ikhwan : Wahai
Saudara ! Memperelokkan bacaan dan tulisan, banyak mengkaji risalah Ikhwan, akhbar dan majalah. Kamu hendaklah memiliki perpustakaan peribadi sama ada kecil
mahupun besar. Meluaskan ilmu dan seni sekiranya kamu mempunyai kemampuan.
Kalam menyatakan :
i.
Siapa yang belajar sastera,
maka lembutlah dan eloklah bahasanya.
ii.
Siapa yang belajar hadis,
maka kuatlah hujahnya.
iii.
Siapa yang belajar sejarah,
maka banyaklah iktibarnya.
iv.
Siapa yang belajar
matematik, maka tepatlah andaiannya.
v.
Siapa yang belajar sains,
maka betllah eksperimennya.
vi.
Siapa yang belajar
geografi, maka fahamlah kehidupannya.
vii.
Siapa yang belajar tauhid,
maka kukuhlah aqidahnya.
viii.
Siapa yang belajar mantik,
maka mudahlah menangkis hujah.
ix.
Siapa yang belajar feqah,
maka sahihlah ibadahnya.
x.
Siapa yang belajar tasawuf,
maka tinggilah akhlaknya.
xi.
Siapa yang belajar
al-Quran, nescaya Allah memeliharanya. Inilah kemuncak ilmu.
Mudahan kita semua diberi
kemudahan, ruang, peluang, kemampuan dan keinginan untuk akrab dengan ilmu.
Wasalam..
No comments:
Post a Comment