Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua kenalan dan pembaca Blog ini. Sempena Aidil Adha yang menjelang ini suka saya coretkan beberapa perkara :
- Musim haji tahun ini pelbagai tragedi berlaku di Mekah. Kren runtuh yang mengorbankan dan mencederakan sejumlah jemaah haji termasuk dari negara kita. Terkini tragedi rempuhan di Mina yang juga mengorbankan sejumlah jemaah haji. Sudah pasti kita menuntut kepada pihak yang terlibat dalam menguruskan jemaah haji terutama kerajaan Arab Saudi mengambil langkah yang lebih berjaga-jaga dan teliti di masa yang akan datang. Namun selaku hamba Allah yang beriman dengan Qadha' dan Qadar sudah pasti kita menerima dengan redha dan melakukan muhasabah hikmah yang tersirat di sebalik tragedi-tragedi yang telah berlaku ini.
-Tahun ini jumlah binatang korban merosot. Ada yang mendakwa terkesan dengan faktor ekonomi dan kewangan. Orang awam semakin tidak berduit, kewangan defisit ditambah dengan GST, kenaikan harga barang dan juga kos untuk masuk satu bahagian korban juga meningkat menyebabkan ramai yang tidak berkemampuan.
-Isu ketika sembelihan antaranya tukang sembelih biasanya mendapat upah atau diperuntukkan bahagian yang tertentu seperti kepala dan ekor. Mengikut hukumnya tidak harus memberi upah kepada penyembelih termasuk memperuntukkan bahagian-bahagian tertentu, tetapi jika diberi kerana kefakirannya dengan sebab hadiah maka tidak mengapa.
- Selalu juga waris yang ingin membuat korban untuk kaum keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Ulama Syafie berpendapat tidak boleh korban untuk orang lain tanpa izinnya begitu juga si mati jika ia tidak mewasiatkannya.
- Kedapatan tokey haiwan korban yang mengambil kesempatan dengan mengabaikan syarat-syarat untuk binatang korban seperti terlalu kurus, cacat dan tidak cukup umur. Ada kita lihat diviralkan gambar di FB gambar lembu yang terlalu kurus. Hadis riwayat al-Barra' bin 'Azib daripada Rasulullah SAW maksudnya : 4 perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah mata, penyakit yang nyata, jelas tempangnya dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang. (At-Tirmizi, Abu Daud, Al-Nasaie dan Ibnu Majah).
-Terdapat orang yang beria mencari dan meminta untuk mendapatkan daging korban. Bahkan ada yang datang menolong untuk melapah semata-mata kerana inginkan mendapat bahagian-bahagian daging yang dihajatinya seperti ekor, kepala, tulang rusuk, kaki dan lainnya. Sampai ada yang bawa guni siap-siap.
- Bagi Masjid di negeri Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang telah membuat penyelarasan masa untuk solat sunat Aidil Adha untuk tahun ini pada pukul 8.15 pagi. Biasanya maklumat tersebut agak lewat diturunkan ke peringkat akar umbi, mungkin Jabatan Mufti kena memikirkan mekanisma yang lebih berkesan untuk penyebaran maklumat seperti di media sosial, akhbar dan radio di samping melalui Pejabat Agama Islam Daerah. Ada juga orang ramai yang jenis tak cakna, itu yang sampai ke masjid orang dah siap solat.
-Ada orang ramai yang tidak bersetuju dengan isi kandungan khutbah Hari Raya Aidil Adha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang. Namun pihak yang dipersalahkan adalah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Untuk makluman, di Negeri Pahang semua teks dan panel untuk Khutbah hari raya, khutbah jumaat dan khutbah khas seperti gerhana di bawah seliaan Jabatan Mufti Negeri Pahang bukannya Jabatan Agama Islam Pahang. Jabatan Mufti diketuai oleh Dato' Sri Mufti Negeri Pahang manakala Jabatan Agama Islam Pahang diketuai oleh Dato' Pengarah JAIP.
-Soalan-soalan tak patut dari para jemaah kepada Imam dan Bilal seperti bertanyakan tak balik kampung ke cuti raya ini. Dia ingat masjid ini boleh 'open' 'close' ke?. Hmm...tak ada pula ahli jemaah yang menawarkan untuk menggantikan tempat Imam dan Bilal semasa tempoh cuti raya. Hampir majoriti Pegawai-pegawai Masjid Daerah di seluruh negeri Pahang merupakan orang luar yang bukan berasal dari daerah tersebut.
Setakat ini dahulu..
Saya sertakan gambar kenangan ketika Hari Raya Aidil Adha. (selepas selongkar, rupanya hanya ini sahaja gambar -gambar yang ditangkap ketika hari raya Aidil Adha)
Kenangan ketika tahun 1 di Mesir : Bersama sahabat serumah Aishamuddin dan Humam(orang Perak) di depan masjid. Belakang budak lelaki tu ada kambing biri-biri untuk dikorbankan.
Ramai budak-budak arab, seperti pesta meriahnya.
Selepas solat raya di Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra. Bersama sahabat Se negeri (Hasnol, Zawawi dan Nazri)
Tahun 3 di Mesir : Selepas solat di Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra
Gambar terbaru yang ditangkap pagi tadi (Aidil Adha 1436), bersama Pegawai Masjid Sultan Mahmud sebelum menunaikan solat sunat Aidil Adha.
No comments:
Post a Comment