Friday, December 29, 2006

1. Tajuk: Keluarga Bahagia.
2. Objektif: i)Memahami erti kebahagiaan ii)Memahami ciri-ciri suami isteri yang baik
iii)Tanggung-jawab suami iv)Masalah rumah tangga dan langkah penyelesaiannya
v)Memahami langkah-langkah mencapai keutuhan keluarga.
3. Masa 1 ½ jam
4. Sasaran Pegawai, guru dan kakitangan JPN, PPD, sekolah dan ibu bapa.
5. Alatan: Komputer, LCD dan layar, papan putih, pen marker dan kertas edaran
6. Strategi Penyampaian : Syarahan, perbincangan dan sumbang-saran
Langkah 1 Membincangkan erti kebahagiaan
slaid 3- 7.
Langkah 2 Membincangkan sifat-sifat suami/isteri yang baik
(Brain storming) slaid 8-13
Langkah 3 Membincangkan tanggung jawab suami isteri
slaid 14- 15.
Langkah 4 Membincangkan masalah rumah tangga dan cara penyelesaiannya
slaid 16 - 17
Langkah 5 Membincangkan langkah mencapai keutuhan keluarga
slaid 18
Penutup
slaid 19.

6.1. Bahagia
Bahagia adalah sesuatu yang relatif. Umumnya ia diperoleh apabila sesuatu keperluan atau kehendak telah dicapai. Sepasang suami isteri yang menaiki sebuah kereta Mercedes dipandang sangat bahagia dan beruntung oleh sepasang suami isteri yang sedang duduk di dangau sawahnya. Sementara itu pasangan di dalam kereta Mercedes pula menganggap pasangan di atas dangau itulah yang sangat bahagia. Walau bagaimanapun, keperluan dan kehendak manusia tidak terbatas. Setelah suatu keperluan tercapai ia akan menginginkan keperluan yang lain. Ini dijelaskan oleh Abraham Maslow dalam 'hirarki keperluan‌nya’. Oleh itu Nabi s.a.w.bersabda maksudnya ‘Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu (bawah dari segi kewangan, taraf sosioekonomi dan sebagainya) dan jangan melihat kepada orang yang berada di atasmu kerana hal tersebut lebih patut agar kamu tidak meremehkan nikmat yang telah Allah berikan kepadamu’‌.(H.R. Bukhari dan Muslim)
‘Di antara ayat-ayat Allah bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikannya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir’. (ar-Rum 21)
Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamatnya yang tersendiri. Walaupun matlamat dan tujuan individu itu berkahwin berbeza-beza namun ada matlamat-matlamat umum yang dikongsi bersama. Apabila tujuan dan matlamat ini dicapai maka kebahagiaan akan wujud.
Antara tujuan perkahwinan secara ringkas adalah:
آ· Ibadat kepada Allah dengan mengikut sunnah nabi s.a.w.
آ· Memenuhi fitrah dari segi biologi
آ· Memenuhi keperluan psikologi
آ· Memenuhi keperluan sosial

Allah menyifatkan suami isteri itu ibarat pakaian. ‘Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka’‌ (al-Baqarah 187). Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu bukan semata-mata tertumpu kepada pasangan suami isteri itu sahaja akan tetapi ia turut melibatkan seluruh anggotanya serta mereka yang berkaitan seperti anak-anak, ibu bapa, ipar duai dan sebagainya.
Perkahwinan itu sendiri merupakan perintah daripada Allah sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 32 yang bermaksud ‘Dan kahwinkanlah orang-orang bujang daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah maha luas lagi maha mengetahui’‌. Nabi dan para sahabat berkahwin walaupun mereka sangat sibuk dengan dakwah dan jihad. Malah ada sahabat yang sangat miskin sehingga tidak mampu menyediakan mahar walau sebentuk cincin daripada besi namun ia juga berkahwin. Perkahwinan adalah satu syariat dalam Islam.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa ‘Kebahagiaan itu adalah dengan memperoleh isteri yang baik (solehah), rumah yang luas (lapang), jiran yang baik (soleh) dan kenderaan yang selesa. Penderitaan pula adalah dengan mendapat isteri yang jahat, rumah yang sempit, jiran yang jahat dan kenderaan yang teruk’. (H.R. Ahmad dan Hakim)
6.2. Ciri Suami Isteri Yang Baik
Dari segi umur yang ideal bagi pasangan adalah umur yang berdekatan berbanding dengan umur yang jauh berbeza. Walau bagaimanapun tidak ada halangan untuk berkahwin dengan perempuan yang lebih tua seperti nabi s.a.w. mengahwini Khadijah r.a. atau yang lebih muda seperti nabi berkahwin dengan Aisyah r.a. Begitu juga dari segi status, nabi menyarankan supaya berkahwin dengan perawan sebagaimana yang dinyatakannya kepada Jabir bin Abdullah, akan tetapi tiada halangan untuk berkahwin dengan janda sebagaimana baginda sendiri berkahwin dengan Khadijah dan isteri-isterinya yang lain (kecuali Aisyah).
Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Tahrim ayat 5 bermaksud ‘isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu iaitu yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, yang janda dan yang dara’.
Di samping ciri-ciri di atas, perkara berikut perlu juga diberi perhatian dalam memilih suami atau isteri iaitu:
آ· Rupa
آ· Keturunan
آ· Taraf ekonomi
آ· Kefahaman dalam agama
آ· Taqwa
آ· Ikhlas
آ· Amanah
آ· Tidak sombong
آ· Berjimat cermat tetapi tidak bakhil
آ· Pemurah tetapi tidak boros
آ· Mudah memaafkan orang
آ· Bertimbang rasa
آ· Rajin
آ· Bijaksana
آ· Mampu melahirkan zuriat
آ· Taraf pendidikan
آ· Kufu (kesetaraan)

Kufu (kafa’ah) bermaksud kesetaraan atau persamaan taraf antara suami dan isteri dalam beberapa aspek. Suami isteri itu sebaiknya mempunyai taraf yang sama. Ia adalah hak calon isteri dan walinya untuk menentukannya dan hak tersebut boleh mereka gugurkan. Ia bukan syarat sah nikah. Mazhab Syafie meletakkan kafa’ah dalam:
آ· anggota badan (sempurna atau cacat)
آ· keturunan
آ· kemuliaan
آ· pekerjaan
آ· kebebasan diri (merdeka atau hamba)

Menurut Abu Hanifah, kafa’ah diambil kira dalam aspek keturunan, agama dan harta. Imam Ahmad mengambil kira agama, keturunan, kebebasan diri (merdeka atau hamba), pekerjaan dan kekayaan. Menurut Ibnu Rushd, perkahwinan boleh dibatalkan jika seseorang gadis dikahwinkan dengan lelaki yang fasik, berpendapatan haram, suka melafazkan talak dan tidak setara dari segi keturunan. Nabi s.a.w. pernah bersabda maksudnya bahawa ‘Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara, kerana kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya. Pilihlah yang beragama agar kamu selamat’. (H.R. Bukhari dan Muslim). Sabdanya lagi maksudnya ‘Sebaik-baik isteri ialah yang apabila diberi, ia bersyukur dan apabila tidak diberi, ia bersabar, menggembirakan apabila dipandang dan taat apabila disuruh’.
Rumah tangga yang patut dicontohi adalah rumah tangga Rasulullah s.a.w. di mana suaminya Muhammad bin Abdullah s.a.w. dan isterinya Khadijah binti Khuwailid r.a. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ahmad, Tabrani dan Ibnu Hajar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya ‘Demi Allah, tidaklah Allah memberi aku isteri yang lebih baik daripada Khadijah. Ia beriman kepadaku pada saat orang menentangku. Dia mempercayai aku pada saat orang mendustakan aku. Dia menolong aku dengan harta bendanya pada saat orang memboikotku, dan Allah beri aku anak daripadanya sedangkan dari isteri yang lain tidak aku perolehi’.
6.3. Yang Patut Dielak
Di samping ciri yang berlawanan dengan ciri positif di atas, calon yang patut dielakkan adalah yang mempunyai ciri negatif seperti tidak beragama, tidak jujur, penipu, pencuri, penagih dadah, penyeludup serta yang berpenyakit bahaya seperti HIV, gila dan sebagainya. Mungkin lelaki atau perempuan yang terlibat tidak dapat mengetahui perkara-perkara ini kerana itu ia perlu melantik orang lain yang mahir untuk merisik. Perisik perlulah jujur, amanah dan berkhidmat untuk orang yang diwakilinya dan dia tidak menghadapi ‘conflict of interest’.
Di sinilah letaknya kepentingan merisik. Perisik perlu mendapatkan maklumat adakah calon itu mengidap sawan dan sentiasa bergantung kepada ubat, atau penagih dadah, pernah mencuri, pemalas dan sebagainya. Sengaja menyembunyikan maklumat ini merupakan satu pengkhianatan atau penipuan. Pemilihan bakal isteri atau suami ini sangat penting sehingga nabi s.a.w. menyarankan supaya mereka yang hendak berkahwin pergi melihat calon mereka. Ia bertujuan bagi mempastikan seseorang itu benar-benar berpuas hati dengan calonnya.
Bapa atau wali calon hendaklah menerangkan mengenai ehwal anaknya terutama dari segi kesihatan. Umpamanya anaknya pernah menjalani rawatan sakit jiwa atau mental atau sakit-sakit lain. Perkara ini amat penting diketahui oleh bakal suami atau isteri. Ada kes terjadi di mana pihak perempuan menyembunyikan aibnya daripada pengetahuan pihak lelaki. Ini sangat bertentangan dengan syariat dan hukum Islam.
Lagi ciri yang patut dielakkan sepertimana yang disebutkan dalam Al-Quran surah an-Nur ayat 3 yang bermaksud ‘Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau dengan perempuan musyrik. Perempuan yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Yang demikian itu haram kepada orang yang beriman’. Dalam ayat 26 pula Allah berfirman maksudnya ‘Perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mereka itu bersih daripada kata-kata orang, mereka mendapat pengampunan dan rezki yang mulia’.‌
6.4. Tanggung-jawab Suami
Antara tanggung-jawab suami adalah seperti berikut:
آ· Memimpin rumah tangga iaitu menjadi ketua dan menentukan hala tuju keluarga.
آ· Menyara keluarga (tidak menjadi kesalahan jika isteri rela harta atau
pendapatannya turut digunakan).
آ· Menyediakan keperluan asasi seperti makanan, pakaian, tempat tinggal,
perlindungan, kasih sayang dan sebagainya.
آ· Mendidik ahli keluarga fardhu ain dan kifayah, jika tidak mampu ia boleh
mengupah pihak lain.
آ· Mewujudkan sistem kawalan dan disiplin supaya kehidupan rumah tangga
berperaturan. Anak-anak yang bersalah dihukum sama ada dengan denda, nasihat
dan sebagainya. Menyuruh anak-anak menunaikan solat mulai umur tujuh tahun,
memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan, mempastikan
anak dan isteri menutup aurat serta menjaga pergaulan.
آ· Memenuhi keperluan rohani dan psikologi seperti kemesraan, kasih sayang, rasa
dipunyai, dihargai dan sebagainya.
آ· Mengurus komunikasi.
آ· Menyelesaikan masalah, jika tidak mampu, menghubungi pihak yang berkenaan
untuk turut membantu.
آ· Membuat keputusan.
آ· Mengurus kewangan supaya tidak berlaku pembaziran dan penyalahgunaan.
آ· Mengurus hubungan seksual
آ· Mengurus aktiviti keluarga supaya seluruh aktiviti tidak bercanggah dengan syarak
dan kesopanan.
6.5. Tanggung-jawab Bapa Terhadap Anak-Anak.
آ· Mendapatkan ibu yang baik. Maksudnya ialah lelaki perlu memilih isteri yang baik kerana isterinya itu akan menjadi ibu kepada anak-anaknya. Jika ia memilih isteri yang tidak baik perangai dan kelakuannya maka anak-anaknya nanti akan mendapat ibu yang tidak baik.
آ· Mengazan dan mengiqamahkan anak yang baru lahir. Hussain bin Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda maksudnya ‘Sesiapa yang melahirkan anak kemudian diazankan pada telinganya yang kanan dan iqamah pada telinga yang kiri, nescaya selamatlah anak itu daripada jin dan penyakit’.
آ· Pada hari ketujuh kelahiran, sunnah dicukur rambut anak itu, bersedekah dan menyembelih kambing sebagai tanda bersyukur dan bergembira dengan kelahiran ahli keluarga yang baru.
آ· Memberi nama yang baik. Nama sangat penting kepada seseorang. Oleh itu nama perlulah baik dan betul dari segi bahasa dan maknanya. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya ‘Salah satu hak anak ke atas orang tuanya ialah supaya orang tuanya itu mengelokkan budi pekertinya serta namanya’.
آ· Memberi pendidikan sama ada pendidikan formal di sekolah dan di universiti ataupun pendidikan tidak formal di rumah, surau dan di dalam masyarakat. Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Suruhlah anak kamu sembahyang apabila dia berumur tujuh tahun dan rotanlah jika dia meninggalkannya apabila berumur sepuluh tahun’.
آ· Memberi kasih sayang.
آ· Mengahwinkan iaitu mencarikan jodoh untuk anak sama ada anak lelaki mahupun anak perempuan apabila sampai masanya. Dalam Islam tidak timbul istilah telaga mencari timba sebagaimana dalam adat Melayu. Umar al-Khattab mencarikan suami untuk anaknya Hafsah, manakala Khadijah pula membuka laluan kepada Abu Talib untuk mengemukakan lamaran bagi anak saudaranya Muhammad s.a.w.
6.6. Keistimewaan Isteri.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya ‘Apabila seorang isteri itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput masuk ke syurga mengikut mana-mana pintu yang ia suka’‌. (H.R.Ahmad)
6.6.1. Tanda perempuan bermaruah:
(a) Berakhlak dengan Allah iaitu tekun beribadat, sabar menempuh kesusahan, bersyukur dengan kurniaan Allah serta banyak berzikir atau mengingati Allah.
(b) Mentaati suami, reda terhadap pemberian suami, melayan suami dengan baik, sopan dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat dan kehormatan diri dan memelihara maruah suami.
(c) Berakhlak dengan ibu bapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredaan Allah.
(d) Baik pergaulan sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan menolong mereka dengan apa yang termampu.
(e) Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki akhlak, mengurus rumah tangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan orang lain.
6.6.2. Antara Kesopanan Isteri.
· Menyediakan makanan yang disukai oleh suami tanpa disuruh atau diminta,
· Menjahit pakaian untuk suami dan anak-anak,
· Mencuci pakaian suami dan anak-anak serta membersihkan rumah,
· Menjaga harta suami dan mendidik anak-anak supaya menjadi manusia beriman agar tidak membebankan ibu bapa di akhirat kelak,
· Menghibur suami dengan layanan yang baik,
· Berhias diri untuk suami, berwangi-wangian dan ceria,
· Memuliakan ibu bapa dan keluarga suami,
· Menjaga ketenteraman hati suami serta membantu menyelesaikan masalahnya,
· Menyediakan keperluan suami,
· Empati terhadap perasaan suami,
· Memahami suami, jika dia pemimpin, bantu dia dengan mengambil tahu kebajikan anak buahnya. Jika dia guru, lengkapkan diri dengan ilmu,
· Sentiasa mendoakan suami. Tidak menyusahkan suami dengan kehendak peribadi. Membela suami dan keluarganya jika difitnah,
· Bersikap malu kepada suami, memelihara kehormatan diri dan suami serta merasa cukup dan berpuas hati dengan pemberian suami,
· Belas kasihan kepada suami dan tidak bermasam muka terhadapnya,
· Merendahkan pandangan di hadapan suami, menunaikan hajat suami apabila diajak dan tidak khianat,
· Meminta izin suami untuk keluar rumah dan segala tingkah laku menyenangkan hati suami,
· Menjadi pendorong dan memberi motivasi kepada suami terutama dalam hal-hal kebajikan dan agama,
· Memberikan khidmat bakti kepada suami daripada sebesar-besar perkara hinggalah kepada perkara-perkara kecil seperti mengerat kuku, mencukur misai, menggunting rambut dan sebagainya,
· Sentiasa menambah ilmu agama serta amalan dengan membaca, mengikuti kelas dan majlis agama,
· Senyum kepada suami serta menyediakan makan minum mengikut kegemarannya,
· Menyiapkan barang-barang peribadi suami seperti sikat, celak, berus gigi (miswak), cermin dan minyak wangi dalam satu bekas,
· Lebih suka berada di rumah, selalu berpuasa, tidak gemar bercakap sia-sia, tidak keluh kesah dan tidak suka bertengkar. Sopan dan beradab ketika bercakap dengan suami, ibu bapa dan anak-anak.
6.7. Masalah rumah tangga dan cara penyelesaiannya.
6.7.1. Kewangan.

Wang dan harta bukanlah menjadi kayu pengukur untuk memilih jodoh. Walau bagaimanapun harta dan wang diperlukan bagi menyara dan memenuhi keperluan keluarga. Untuk mengatasi masalah kewangan, uruslah perbelanjaan dan kewangan berpandu kepada teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Dialah contoh terbaik. Sesiapa yang dapat mengikut sunnahnya dialah orang yang berjaya.
Wang dan harta berkait rapat dengan pekerjaan dan mata pencarian. Dalam Islam tidak ada istilah menganggur. Pihak lelaki, mestilah mempunyai mata pencarian yang halal walaupun kerja itu rendah atau hina pada pandangan masyarakat. Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh seorang lelaki pergi ke hutan mencari kayu api sebagai mata pencariannya. Dalam tempoh yang singkat sahaja masalah kewangan lelaki itu telah dapat diatasi. Nabi s.a.w. sendiri pernah mengambil upah mengembala kambing penduduk Makkah pada zaman remajanya. Setelah itu beliau menguruskan perniagaan Khadijah binti Khuwailid. Ali bin Abi Talib k.w. pernah mengambil upah mengangkat air kepada seorang Yahudi dengan bayaran buah tamar. Abu Bakar as-Sidik, Umar Ibnu Khattab, Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf merupakan peniaga di Kota Madinah sementara Saad bin Muaz pula seorang petani.
Dari segi perbelanjaan, Islam menganjurkan sifat qanaah iaitu hidup secara sederhana. Rasulullah s.a.w. sendiri akan berpuasa jika pada hari itu tidak terdapat makanan untuk dimakan. Beliau pernah makan roti berkuahkan cuka, berkongsi semangkuk susu dengan para tetamunya dan mengikat perutnya dengan batu bagi menahan lapar. Baginda bersabda, "Kami kaum yang tidak makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai kenyang" (Tabaqat al-Kubra Ibnu Saad dlm Shawqi Abu Khalil).
Umar al-Khattab pernah membuat kajian keperluan manusia kepada makanan dan mendapati bahawa manusia hanya perlu makan dua kali sahaja dalam sehari akan tetapi zaman kini manusia makan lima atau enam kali sehari sehingga kegemukan menjadi masalah masyarakat. Perniagaan alat-alat senaman dan pil-pil menguruskan badan tumbuh bagaikan cendawan. Satu perkara lagi yang jarang disebutkan orang ialah bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menghisap rokok dan rokok tidak ada kena mengena dengan Islam dan umatnya. Dari segi tempat tinggal dan keperluan harian, Rasulullah s.a.w. lebih suka kepada yang sederhana dan bersahaja. Beliau tinggal di sebuah bilik yang sempit dengan peralatan yang sangat minima.
6.7.2. Cemburu
Cemburu yang menjadi masalah dalam rumah tangga adalah cemburu yang melampau-lampau dan tidak berasas. Sifat cemburu yang melampau adalah penyakit yang perlu kepada rawatan. Walau bagaimanapun, cemburu yang biasa adalah perlu untuk keharmonian rumah tangga. Kehilangan sifat cemburu akan membawa kepada dayus dan Allah s.w.t. tidak memberi syurga kepada sesiapa yang dayus. Suami isteri perlulah berterus terang dengan pasangan masing-masing dengan menyatakan secara jujur perasaan cemburu masing-masing dengan menggunakan bahasa yang jelas dan berterus terang, bukan dengan kata-kata kesat yang menyakitkan apatah lagi tingkah laku negatif yang akhirnya membawa kepada pergaduhan dan bermasam muka.
Nyatakan secara jelas tindakan-tindakan yang menimbulkan perasaan cemburu seperti keluar minum berdua dengan lelaki atau perempuan lain dan sebagainya. Pihak yang satu lagi hendaklah memberikan penjelasan yang jujur dan jelas supaya tidak menimbulkan syak wasangka dan perasaan curiga. Dengan saling mengetahui perasaan pasangan masing-masing, suami isteri bolehlah berjaga-jaga supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan perasaan cemburu pasangannya. Dengan itu konflik rumah tangga dapat dielakkan.
6.7.3. Fitnah
Fitnah diselesaikan melalui siasatan. Rumah tangga Rasulullah juga mengalami fitnah dan sebagai penyelesaiannya Allah s.w.t. menurunkan ayat yang menerangkan tatacara bagaimana seseorang itu boleh mengemukakan tuduhan. Dengan berpandu kepada tatacara ini fitnah dapat diatasi. Siasatan dibuat terhadap pihak yang terlibat secara langsung, bukan kepada pihak ketiga atau pihak-pihak yang tidak berkaitan. Siasatan hendaklah dibuat dengan niat yang baik iaitu untuk mencari penyelesaian dan perdamaian, bukan untuk memburukkan lagi suasana atau sengaja mencari-cari kesalahan orang.
6.7.4. Anak
Anak merupakan ujian dari Allah. Jika anak dididik dengan baik dan diasuh dengan ajaran agama ia akan menjadi rahmat. Sebaliknya jika anak tidak dididik dengan baik ia akan menjadi fitnah yang menyusahkan. Firman Allah dalam surah asy-Syura ayat 49-50 maksudnya "Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakinya. Atau Ia kurniakan mereka kedua-duanya lelaki dan perempuan dan dia jadikan sesiapa yang dikehendakinya mandul, sesungguhnya Ia maha mengetahui dan maha berkuasa." Anak juga menjadi pengikat dan penghubung antara suami dengan isteri. Hubungan dan ikatan suami isteri menjadi lebih kukuh dengan kehadiran anak dalam rumah tangga.
Anak yang menjadi fitnah kepada ibu bapa adalah anak yang tidak dididik dengan didikan yang sempurna terutamanya didikan agama. Mereka dibiarkan tidak diajar sembahyang dan tidak dititikberatkan untuk menunaikannya. Disiplin mereka tidak dikawal sehingga mereka membesar menjadi remaja liar yang hanya tahu berfoya-foya tanpa akhlak dan ibadat. Lebih malang lagi apabila mereka terlibat dalam kancah maksiat, dadah dan jenayah. Ia bukan hanya buruk untuk dirinya sendiri tetapi akan mengheret sama ibu bapa dan keluarga. Apabila generasi ini berumah tangga dan membentuk keluarga, maka akan terbentuklah keluarga yang rosak dan pincang seterusnya melahirkan pula generasi yang rosak dan pincang dari segi agama dan integriti.
6.7.5. Seks
Menurut Dr Muhammad Hatta Shaharum (1989) perhubungan seks merupakan satu cara kepada penyempurnaan tuntutan biologi kedua-dua suami isteri sebagai manusia yang sempurna. Ia juga merupakan sebagai ‘perasa’ dalam luahan rasa cinta kedua-duanya. Seks dan cinta adalah dua unsur yang tidak terpisah dalam pertalian yang indah ketika perhubungan dua tubuh dalam suasana persejiwaan suami isteri.
Menurutnya lagi adalah satu perkara yang tabi`e bahawa dorongan seks kebanyakan kaum lelaki agak berkurangan (walaupun potensi sperma tidak berkurang) apabila menjangkau umur lanjut. Selepas putus haid, kaum wanita pula kehilangan kemampuan untuk hamil sementara dorongan seks terus menurun di samping perubahan-perubahan besar yang berlaku pada tubuh dan jiwanya. Di peringkat ini kedua-dua suami isteri perlu menyesuaikan diri kepada suasana hidup dan perhubungan yang agak berbeza daripada pengalaman yang lepas.
Sepuluh tahun pertama perkahwinan dianggap sebagai tempoh berkenalan. Dalam tempoh ini banyak pancaroba dan dugaan akan dihadapi. Dalam tahap inilah juga pergaduhan dan selisih faham banyak terjadi. Perkenalan antara satu sama lain masih di tahap luaran di mana topeng-topeng masih belum tersingkap. Perkenalan bukan hanya berkaitan dengan peribadi dan fizikal pasangan tetapi merangkumi jiwa, perasaan, latar belakang, kehendak, kegemaran dan sebagainya. Ia juga melibatkan saudara mara terutama ibu dan bapa mertua. Dalam peringkat ini kedua-dua belah pihak perlulah banyak bersabar dan cuba memahami antara satu sama lain. Sikap sabar, berterus terang, jujur dan saling mempercayai amatlah penting dalam tahap ini.
Kedua-dua pihak hendaklah memahami bahawa lelaki dan perempuan mempunyai keinginan seks masing-masing. Atas rasa persefahaman dan kasih sayang pihak suami dan isteri hendaklah memenuhi kehendak pasangannya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222 bermaksud ‘Dan mereka bertanya kepadamu mengenai haid, katakanlah ia memudaratkan dan jauhilah wanita (dari bersetubuh) pada masa haid. Jangan dekati mereka (untuk bersetubuh) sehinggalah mereka suci. Setelah mereka suci datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang suci. Isteri kamu adalah ladang bagi kamu. Datangilah ladang kamu sebagaimana yang kamu suka dan sediakanlah (amal baik) untuk diri kamu dan betakwalah kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya kelak dan gembirakanlah orang-orang yang beriman’‌.
6.7.6. Poligami
Syariat Islam membenarkan poligami atau beristeri lebih dari satu. Hal ini berdasar kepada amalan nabi s.a.w. serta ayat Al-Quran surah an-Nisa’ ayat 3. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t. memberi syarat adil. Jika tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri, adalah dikehendaki berkahwin seorang sahaja. Firman Allah "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja.(An-Nisa’ 3). Jika seseorang suami itu mempunyai sebab yang munasabah untuk berpoligami, pihak isteri sepatutnya memberikan kerelaannya demi kebahagiaan bersama. Adalah amat malang jika sesebuah rumah tangga itu runtuh disebabkan semata-mata kerana suami ingin berpoligami. Suami pula janganlah ingin berpoligami semata-mata atas dorongan nafsu tanpa berpandu kepada akal dan pertimbangan yang sihat. Apa yang penting adalah asas perkahwinan itu hendaklah dibina atas rasa taqwa kepada Allah sebagaimana Allah mulakan surah an-Nisa’ dengan perintah supaya semua manusia bertaqwa. Dengan perkahwinan, sama ada dengan satu isteri, dua, tiga atau empat, sepatutnya seseorang itu menjadi semakin bertaqwa kepada Allah. Ibadatnya semakin banyak, qiamulailnya dilakukan setiap malam, puasa sunatnya setiap hari Isnin dan Khamis, sedekahnya semakin banyak dan anak-anaknya dididik dengan didikan agama dan akhlak. Jika anak-anaknya terbiar, ibadatnya tidak bertambah, maka sudah jelas bahawa perkahwinan itu tidak dibina atas dasar taqwa tetapi atas dasar nafsu dan keinginan semata-mata.
6.7.7. Kesihatan
Suami atau isteri yang tidak sihat tidak dapat memenuhi fungsinya sebagai seorang suami atau isteri. Masalah kesihatan termasuklah kesihatan fizikal dan mental seperti sopak, kusta, HIV, gila, sawan, lemah tenaga batin dan sebagainya. Dalam keadaan ini Islam memberikan hak untuk pasangannya membuat pilihan sama ada untuk meneruskan perkahwinan itu atau mahu memutuskannya. Imam Malik dan Syafie berpendapat bahawa pembatalan perkahwinan dapat terjadi kerana empat macam cacat iaitu gila, sopak, kusta dan penyakit yang menghalang persetubuhan.(Ibn Rusyd 1991)
Pada peringkat awal, permasalahan rumah tangga patutlah diselesaikan oleh suami dan isteri itu sendiri dengan berpandu kepada Al-Quran dan Sunnah. Jika mereka berdua gagal mendapatkan penyelesaian, mereka bolehlah melantik orang tengah untuk menolong menyelesaikannya sebelum mereka merujuk kepada kadi atau mahkamah. Langkah terakhir apabila tiada persefahaman lagi ialah talaq.
6.8. Penutup
Al-Quran merakamkan beberapa pasangan suami isteri yang tidak bersefahaman sebagai contoh untuk direnung dan diambil pengajaran oleh umat Islam. Pasangan itu adalah keluarga Nabi Nuh a.s. dan Nabi Lut a.s. di mana kedua-dua isteri nabi itu kufur kepada Allah dan tidak patuh kepada suami mereka. Asiah pula mendapat suami yang kejam dan zalim iaitu Firaun.
Bagi menjamin rumah tangga utuh dan bahagia, ahlinya mestilah memahami dan menghayati syahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, sentiasa menjaga solat lima waktu, sentiasa menambah ilmu, menghormati orang lain, ikhlas dan tidak mempunyai tanggapan yang salah. Mereka mestilah meluangkan masa untuk agama. Dengan menghayati prinsip-prinsip ini insyaAllah rumah tangga akan terjamin utuh dan bahagia.

No comments: