Wednesday, August 27, 2008

Penghijrahan..
Hijrah Rasulullah s.a.w ialah suatu peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa hijrah pada zaman Rasulullah membawa maksud perpindahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Banyak pendapat berkaitan hijrah ini. Ada yang berpendapat tiada lagi peristiwa hijrah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w. Ada juga yang berpendapat hijrah bermaksud berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Berubah dari sifat keburukan kepada kebaikan juga boleh membawa maksud hijrah.

Hijrah adalah perubahan, hijrah adalah reformasi. Firman Allah S.W.T. "Barang siapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak." (QS 4:100 dan QS 16:41).

Sudah menjadi tabiat alam, yang lama akan pergi (berhijrah) dan yang baru yang datang, tua akan digantikan yang muda. Mustahil untuk kekal selamanya. Hanya Pencipta Maha Esa sahaja yang layak untuk sentiasa kekal sampai bila-bila.

Mungkin saya juga akan melakukan suatu penghijrahan, tidak tahu lagi ke ceruk mana saya akan didamparkan. Namun di sini, di sana, di situ atau di mana-mana kita berada, perjuangan untuk Islam mesti dilaksanakan. Walaupun telah bertukar negara, negeri, daerah, mukim, bandar, kampung dan desa kerja untuk Islam mesti dilakukan tanpa ada sebarang pengecualian.

Walau di posisi mana pun kita berada, mesti kita bekerja untuk Islam semaksima kemampuan kita, kalau kita di posisi tukang masak maka kita akan menjadi sebagai seorang tukang masak yang berkhidmat untuk Islam. Kalau kita sebagai seorang guru, maka posisi itu akan kita gunakan untuk perjuangkan Islam.

Begitulah…

Mungkin penghijrahan ini membuat perasaan saya bercampur baur. Sedih dan gembira, dua perasaan yang bermain serentak dalam diri ini.

Akhirnya…

Doakan, agar saya terus thabat dalam perjuangan ini dan mampu menghadapi apa jua cabaran dan ranjau duri yang mendatang. Ada umur kita dapat berjumpa lagi …jika tidak diberi ruang, mudahan kita dapat bertemu di kemudian hari nanti di Syurga Allah yang indah..Ameen.

Wasalam.
kelana jalanan...

No comments: