Pengajian Ilmu di Masjid.
Beberapa bulan yang lalu, Kuliah Ustaz Zabadin di Masjid Sultan Mahmud, elektrik tiba-tiba putus, kuliah tetap diteruskan. |
Walaupun tidak dinafikan banyak juga masjid dan surau yang
tidak ada menganjurkan program pengajian ilmu. Barangkali penganjurnya (baca AJK masjid & surau)
sudah alim atau fobia melihat ahli jemaah menjadi pandai agama belaka.
Pengajian ilmu di masjid dan surau sangat baik dan dari dulu sehingga kini ia
menjadi tempat bagi orang ramai memahami dan mempelajari Islam. Sejarah telah
menunjukkan bahawa Masjid merupakan tempat penyebaran ilmu yang terutama.
Sebagai contoh, terdapat 40 hingga 50 halaqah ilmu pada setiap hari di Masjid al-Mansur pada zaman Khalifah Harun
al-Rasyid. Menarik juga, kemunculan universiti islam bermula dari masjid
seperti masjid Qurawiyyin di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir.
Realiti Pengajian ilmu di Masjid
Di Tempat kita sekarang, Kebiasaannya format pengajian adalah umum dan
terbuka kepada sesiapa sahaja. Tidak ada senarai kehadiran. Tempat duduk pun
bebas, ada yang memilih untuk duduk berhadapan dengan guru, ada yang memilih
untuk parking bersandar di tiang-tiang
masjid dan surau, bahkan ada juga yang memilih untuk duduk di beranda masjid.
Lebih istimewa pengajian ilmu di masjid dan surau tidak
mengenakan yuran pengajian buat pelajarnya. Percuma sahaja, sekolah tadika pun
kena bayar yuran. Jadi taklah perlu risau bajet kewangan tak cukup. Kalau bawa seluruh keluarga pun tetap percuma
juga. Tak ke rugi kalau tak ambil
peluang ini.
Unik juga berbanding di tempat pengajian formal yang lain
seperti sekolah, universiti hatta tadika, kebiasaannya penuntut ilmu di kelas
pengajian di masjid dan surau ini tidak perlu membawa buku, kitab dan
kelengkapan menulis, mereka hanya bawa diri dan tadah telinga sahaja menerima
curahan ilmu dari sang guru. Inilah sebahagian realiti yang berlaku di
pengajian-pengajian ilmu di masjid.
Kajian UUM
Kajian penah dibuat oleh Dr. Hasan Bahrom, Dr. Huzaimah
Ismail dan Dr. Mohd Afendi Mat Rani berkenaan tahap pencapaian pengajian kuliah
maghrib di masjid. Beberapa masalah utama yang menjadi isu pengajian ilmu di
masjid ini ialah :
Hasil Kajian
1. Pengurusan dan pentadbiran
masjid/surau tidak sistematik dan tersusun. Kebiasaannya masih diurus secara
tradisional.
2. Aktiviti dan program pengajian
telah lama dijalankan. Namun ia dilihat tidak memberi impak yang besar kepada
peningkatan budaya ilmu di kalangan masyarakat.
3. Corak pendidikan lebih menumpukan
kepada pengajian fiqh ibadat, tidak dapat mengimbangi tuntutan syarak agar kita
mendalami ilmu al-Quran, hadis, akidah, syariat dan akhlak.
4. Tidak ada suatu kaedah dalam
pengajaran dan pendidikan di masjid menyebabkan wujud tanggapan pengajian di
masjid sebagai program sampingan.
5. Sikap masyarakat yang masih
beranggapan negative bahawa masjid sebagai tempat beribadah (baca solat)
semata-mata dan pengajian di masji/surau bukan pendidikan formal.
Hasil Kajian
a) Pengajian di masjid didominasi oleh orang lelaki. Hanya 12
% sahaja orang perempuan yang menjadikan
masjid/surau sebagai tempat untuk mereka menimba ilmu.
b) Kehadiran dipenuhi oleh mereka yang telah bersara atau
mereka yang melepasi umur 55 tahun ke atas. Maknanya menjadi budaya masyarakat
kita mula mendekati pengajian agama apabila mencapai usia pencen sementelah
usia mudanya dihabiskan dengan kesibukan dunia.
c) Sejumlah besar dari penuntut ilmu di masjid/surau, hampir
22 % telah belajar di masjid hampir 15 tahun lamanya. Namun seperti tiada peningkatan
ilmu. Sepatutnya mereka telah dipanggil dengan gelaran ustaz/ustazah .
d) Sebahagian besar, jemaah yang menghadiri majlis ilmu di
masjid tidak mengetahui sumber rujukan/ buku yang digunakan oleh pengajar.
Bahkan mereka juga tidak mempunyai buku rujukan.
e)Tenaga pengajar tersasar dari topik perbincangan.
Kemungkinan tidak membuat persediaan.
f)Tenaga pengajar tidak mempunyai fokus yang tetap dalam
pengajaran mereka. Sekadar memenuhkan jadual program masjid.
Pengalaman menarik
Saudara Munir bin Ramli dalam bukunya : Rindu Eropah Tawan
Damascus ada menceritakan suasana pengajian ilmu masjid-masjid di Syria. Selain pengajian yang
berkesan dan berkualiti, masjid juga ada
menyediakan asrama dan biasiswa kepada penuntutnya.
Saudara Azmil Mustafa, pelakon filem Ali Setan menceritakan
pengalamannya dalam ruangan IKON, majalah I LuvIslam. Katanya “ saya mula
mengaji dengan seorang syeikh di masjid dekat dengan rumah saya. Tiap-tiap pagi
dia mendengar bacaan saya, al-Fatihah sahaja ambil masa 4 bulan untuk saya
lulus. Menurut Azmil lagi, sistem pembelajaran di Syria lebih banyak
berlangsung di masjid-masjid. Paling menarik guru yang mengajar tidak menuntut
yuran, tetapi sebaliknya mereka pula yang selalu memberi wang kepada pelajar.
Dr. Zulkifli bin Muhammad al-Bakri semasa belajarnya pernah
berguru dan bertalaqi dengan ramai tokoh
semasa belajar di Madinah dan Syam. Antaranya Syeikh Muhammad Ali al-Thani
(imam Masjid Nabawi), Syeikh Rusdi bin Salim (Imam Masjid Abdullah bin Rawahah
Damsyik).
Syeikh Muhammad Idris bin Abd Rauf al-Marbawi menceritakan
dalam mukaddimah kitabnya Bahrul Mazi bahawa dia belajar dengan gurunya Syeikh Muhammad
Ibrahim as-Samaluthi, guru hadis yang masyhur mengajar berpuluh-puluh tahun di
Masjid Saidina Husin di Kaherah Mesir berdekatan dengan Masjid al-Azhar.
Penutup
Marilah kita sama-sama memperkasakan pengajian ilmu di Masjid-masjid. Jadikan Masjid sebagai
pusat gedung ilmu yang terkemuka. Semua pihak perlu memainkan peranan baik dari
pentadbir Masjid, tenaga pengajar dan pelajar. Cuba bayangkan alangkah indahnya
suasana ketika itu.
Bersama almarhum Syeikh Atiyyah Saqr selepas liqa' selepas solat jumaat di Masjid St Theresa.
No comments:
Post a Comment