Friday, November 04, 2011

Pengajian Ilmu di Masjid.


Pengajian Ilmu di Masjid.
Beberapa bulan yang lalu, Kuliah Ustaz Zabadin di Masjid Sultan Mahmud,
elektrik tiba-tiba putus, kuliah tetap diteruskan.
Lazimnya   Masjid dan surau di tempat kita menganjurkan kelas pengajian ilmu. Ada Kuliah subuh, Zohor, Kuliah Dhuha, Kuliah Maghrib, Ceramah bulanan, tazkirah sebelum jumaat  dan lain-lain pakej lagi.
Walaupun tidak dinafikan banyak juga masjid dan surau yang tidak ada menganjurkan program pengajian ilmu. Barangkali  penganjurnya (baca AJK masjid & surau) sudah alim atau fobia melihat ahli jemaah menjadi pandai agama belaka.
Pengajian ilmu di masjid dan surau  sangat baik dan dari dulu sehingga kini ia menjadi tempat bagi orang ramai memahami dan mempelajari Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa Masjid merupakan tempat penyebaran ilmu yang terutama. Sebagai contoh, terdapat 40 hingga 50 halaqah ilmu pada setiap hari  di Masjid al-Mansur pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid. Menarik juga, kemunculan universiti islam bermula dari masjid seperti masjid Qurawiyyin di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir.

Realiti Pengajian ilmu di Masjid
Di Tempat kita sekarang,  Kebiasaannya format pengajian adalah umum dan terbuka kepada sesiapa sahaja. Tidak ada senarai kehadiran. Tempat duduk pun bebas, ada yang memilih untuk duduk berhadapan dengan guru, ada yang memilih untuk parking  bersandar di tiang-tiang masjid dan surau, bahkan ada juga yang memilih untuk duduk di beranda masjid.
Lebih istimewa pengajian ilmu di masjid dan surau tidak mengenakan yuran pengajian buat pelajarnya. Percuma sahaja, sekolah tadika pun kena bayar yuran. Jadi taklah perlu risau bajet kewangan tak cukup.  Kalau bawa seluruh keluarga pun tetap percuma juga. Tak ke rugi  kalau tak ambil peluang ini.
Unik juga berbanding di tempat pengajian formal yang lain seperti sekolah, universiti hatta tadika, kebiasaannya penuntut ilmu di kelas pengajian di masjid dan surau ini tidak perlu membawa buku, kitab dan kelengkapan menulis, mereka hanya bawa diri dan tadah telinga sahaja menerima curahan ilmu dari sang guru. Inilah sebahagian realiti yang berlaku di pengajian-pengajian ilmu di masjid.

Kajian UUM
Kajian penah dibuat oleh Dr. Hasan Bahrom, Dr. Huzaimah Ismail dan Dr. Mohd Afendi Mat Rani berkenaan tahap pencapaian pengajian kuliah maghrib di masjid. Beberapa masalah utama yang menjadi isu pengajian ilmu di masjid ini ialah :

1. Pengurusan dan pentadbiran masjid/surau tidak sistematik dan tersusun. Kebiasaannya masih diurus secara tradisional.

2. Aktiviti dan program pengajian telah lama dijalankan. Namun ia dilihat tidak memberi impak yang besar kepada peningkatan budaya ilmu di kalangan masyarakat.

3. Corak pendidikan lebih menumpukan kepada pengajian fiqh ibadat, tidak dapat mengimbangi tuntutan syarak agar kita mendalami ilmu al-Quran, hadis, akidah, syariat dan akhlak.

4. Tidak ada suatu kaedah dalam pengajaran dan pendidikan di masjid menyebabkan wujud tanggapan pengajian di masjid sebagai program sampingan.

5. Sikap masyarakat yang masih beranggapan negative bahawa masjid sebagai tempat beribadah (baca solat) semata-mata dan pengajian di masji/surau bukan pendidikan formal.





Hasil Kajian

a) Pengajian di masjid didominasi oleh orang lelaki. Hanya 12 %  sahaja orang perempuan yang menjadikan masjid/surau sebagai tempat untuk mereka menimba ilmu.
b) Kehadiran dipenuhi oleh mereka yang telah bersara atau mereka yang melepasi umur 55 tahun ke atas. Maknanya menjadi budaya masyarakat kita mula mendekati pengajian agama apabila mencapai usia pencen sementelah usia mudanya dihabiskan dengan kesibukan dunia.
c) Sejumlah besar dari penuntut ilmu di masjid/surau, hampir 22 % telah belajar di masjid hampir 15 tahun lamanya. Namun seperti tiada peningkatan ilmu. Sepatutnya mereka telah dipanggil dengan gelaran ustaz/ustazah .
d) Sebahagian besar, jemaah yang menghadiri majlis ilmu di masjid tidak mengetahui sumber rujukan/ buku yang digunakan oleh pengajar. Bahkan mereka juga tidak mempunyai buku rujukan.
e)Tenaga pengajar tersasar dari topik perbincangan. Kemungkinan tidak membuat persediaan.
f)Tenaga pengajar tidak mempunyai fokus yang tetap dalam pengajaran mereka. Sekadar memenuhkan jadual program masjid.

Pengalaman menarik
Saudara Munir bin Ramli dalam bukunya : Rindu Eropah Tawan Damascus ada menceritakan suasana pengajian ilmu  masjid-masjid di Syria. Selain pengajian yang berkesan dan berkualiti, masjid juga  ada menyediakan asrama dan biasiswa kepada penuntutnya.

Saudara Azmil Mustafa, pelakon filem Ali Setan menceritakan pengalamannya dalam ruangan IKON, majalah I LuvIslam. Katanya “ saya mula mengaji dengan seorang syeikh di masjid dekat dengan rumah saya. Tiap-tiap pagi dia mendengar bacaan saya, al-Fatihah sahaja ambil masa 4 bulan untuk saya lulus. Menurut Azmil lagi, sistem pembelajaran di Syria lebih banyak berlangsung di masjid-masjid. Paling menarik guru yang mengajar tidak menuntut yuran, tetapi sebaliknya mereka pula yang selalu memberi wang kepada pelajar.  

Dr. Zulkifli bin Muhammad al-Bakri semasa belajarnya pernah berguru dan bertalaqi  dengan ramai tokoh semasa belajar di Madinah dan Syam. Antaranya Syeikh Muhammad Ali al-Thani (imam Masjid Nabawi), Syeikh Rusdi bin Salim (Imam Masjid Abdullah bin Rawahah Damsyik).  

Syeikh Muhammad Idris bin Abd Rauf al-Marbawi menceritakan dalam mukaddimah kitabnya Bahrul Mazi bahawa dia belajar dengan gurunya Syeikh Muhammad Ibrahim as-Samaluthi, guru hadis yang masyhur mengajar berpuluh-puluh tahun di Masjid Saidina Husin di Kaherah Mesir berdekatan dengan Masjid al-Azhar.  

Penutup
Marilah kita sama-sama memperkasakan pengajian ilmu  di Masjid-masjid. Jadikan Masjid sebagai pusat gedung ilmu yang terkemuka. Semua pihak perlu memainkan peranan baik dari pentadbir Masjid, tenaga pengajar dan pelajar. Cuba bayangkan alangkah indahnya suasana ketika itu.

Bersama almarhum Syeikh Atiyyah Saqr selepas liqa' selepas solat jumaat di Masjid  St Theresa.

No comments: