Friday, November 09, 2012

Kenapa tak pandai solat?


Pada suatu pagi, ketika saya mundar mandir di hadapan masjid, kelihatan seorang lelaki seperti mencari seseorang. Ketika berselisih dengan saya, dia menanyakan hendak berjumpa dengan imam. Saya menanyakan hajatnya, terus lelaki tersebut menjadi sebak sampai terisak kecil. Beliau menceritakan hajatnya dalam keadaan sebak iaitu nak belajar solat. Katanya lagi dia dah berkeluarga, dah ada isteri dan anak. Tak ada orang nak ajar solat kepadanya.

Beberapa isu yang ingin saya kaitkan:
i.                     Lelaki ini merupakan rakyat tempatan dan generasi muda+pertengahan yang sudah pasti bersekolah di bawah Kementerian Pelajaran/pendidikan. Sudah tentu terkandung dalamnya mata pelajaran agama. Di sekolah rendah ada PAFA. Dia lulus PAFA?. Kalau dia diluluskan oleh ustaz & ustazah walaupun hakikat sebenarnya dia sepatutnya tak lulus..agak-agak malaikat raqib atid tulis apa ye dekat buku catatan amalan ustaz ustazah tersebut? Malaikat catat kebaikan? Sebab menolong orang dengan bagi markah lulus? Bukan ke ustaz ustazah tersebut telah melakukan penipuan dan khianat dalam amanah menyampaikan ilmu?
ii.                   Dilema yang dihadapi oleh ustaz ustazah yang terbabit dengan PAFA, memang ramai yang tidak layak untuk lulus. Tetapi pihak pentadbiran mengarahkan untuk bagi lulus untuk jaga prestasi sekolah. Hasilnya pelajar tak endah bila berhadapan dengan PAFA, sebab bagi dia tidak ada kesan apa-apa. Pentadbiran demi menjaga reputasi sekolah di mata manusia sanggup berbuat begitu..agak-agak dalam pandangan tuhan macamana si pentadbir tersebut?
iii.                  Kesannya, pelajar yang tak reti asas farhu ain, seterusnya meningkat dewasa kalau tiada kesedaran teruslah hanyut sampai ke mati.
iv.                 Lelaki tersebut telah berkahwin, sudah tentu dia telah melalui kursus kahwin yang menjadi syarat bagi pasangan yang hendak berkahwin mesti melalui kursus kahwin. Saya berpendapat, silibus dan konsep kursus kahwin yang sedia ada tidak berkesan kepada peserta. Contoh yang menarik, dahulu kursus kahwin diadakan di Pejabat agama yang duduk berhadapan dengan masjid, tetapi bila tiba waktu rehat untuk peserta makan dan solat zohor..tak ada yang sangkut ke masjid..bahkan penceramah nya pun batang hidungnya dalam setahun boleh kira beberapa kali tersangkut di masjid, semestinya hari jumaat, itupun jumpa di belakang-belakang.
v.                   Lelaki tersebut sudah tentu ketika kecilnya bersama dengan ibu bapanya. Ibu bapanya tak pernah ajar anaknya solat? Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam Hadisnya  yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmizi. Maksudnya " suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat sewaktu umurnya 7 tahun, dan pukullah mereka sewaktu umurnya 10 tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur mereka'.  Hadis yang lain mafhumnya, setiap anak yang lahir dalam kedaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi.. Nampak gayanya ibu bapa juga ramai yang tidak mementingkan pegangan dan amalan anak masing-masing, sebabnya ibu bapa pun sama-sama jadi calon neraka.
Semestinya, pemerintah yang sepatutnya berperanan. Saya pernah terbaca kisah hidup Allahyarham Pak Sako, ketika mudanya beliau pernah berkhidmat sebagai ADO dan hakim. Beliau menceritakan ketika melalui temuduga, antara soalan yang ditanya kepadanya ialah pandai marhaban?..dan dia pun membacakan beberapa bacaan rawi yang dihafalnya..Agak-agak soalan macam itu ada ditanya sekarang? 

No comments: