Wednesday, July 22, 2015

Selamat Kembali Bekerja

Salam  6 Syawal,
Hari ini sekolah kembali dibuka setelah pelajar sekolah puas cuti beraya. Semalam dan kelmarin jalan raya banyak yang sangat sesak disebabkan kepadatan kenderaan. Malang tidak berbau kemalangan jalan raya tetap berlaku di musim perayaan ini. Tak pasal-pasal siap  viral di FB lagi cerita gajah pulak yang mengamuk di jalan Grik-Jeli, Ish..ish gajah pula yang dapat nama..

Bagi yang bekerja makan gaji dengan majikan selain dari guru sebenarnya hari isnin kelmarin dah mula bekerja, tetapi biasalah..mood raya katakan, ramai yang masih mengambil cuti rehat, ada yang seorang dua sahaja datang ke pejabat, itu pun duduk melepak sebab operasi kepejabatan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Bila raya biasanya media membuat sorotan kepada mereka yang tidak bercuti terutamanya pada pekerja yang beruniform seperti polis, bomba, tentera, jururawat.

Di samping itu, ramai lagi kelompok-kelompok yang terpaksa bekerja pada hari lebaran cuma kurang diberi publisiti. Antaranya Staf pam minyak, staf makanan segera seperti KFC, Staf pasaraya besar (kalau staf non muslim ramai biasanya raya  pertama pekerja muslim diberikan cuti), pengawal keselamatan, DJ Radio dll.

Jika staf ramai, masih boleh buat penggiliran shif yang stabil, atau pun ada yang jika bekerja pada hari raya elaun dibayar sampai  double & triple.

Cuma media dan kerajaan  jarang fokus kepada satu kelompok yang dikira bertugas juga pada hari raya, iaitu pegawai masjid. Sistem kerja   di masjid sangat berbeza dengan penjawat awam yang lain. Penggiliran pegawai masjid tidak seragam di semua tempat bergantung pada situasi setempat dan semasa. Jika masjid tersebut ramai stafnya lain kiraannya.  Biasanya pemuafakatan dan toleransi sesama rakan sekerja sangat diperlukan.

Namun ada juga yang bersikap selfish. Setiap tahun asyik dia sahaja yang bercuti, bila ditegur boleh bergaduh. Nak pula jika di Masjid Daerah dan Negeri (masjid yang menggunakan penjawat awam sebagai pegawai masjid, kebanyakan pegawai masjid bukan orang tempatan) ada pegawai masjidnya yang memang bukan kaki masjid, tetapi terpaksa bertugas di masjid sebab ‘diposting’ sama ada pihak JAKIM atau JAIN ditambah dengan suka mengambil kesempatan di atas  tawadduk staf yang lain.

Biasalah jika penjawat awam, bos di peringkat pertengahan dan bawahan terpaksa menerima staf di bawah seliaannya tanpa dia berhak untuk memilih sendiri stafnya. Dapat yang ok seronoklah, dapat yang problem terpaksa terima juga..saya berpendapat  itu antara punca kenapa kualiti dan nilai hasil kerja  sektor swasta dan korporat lebih baik  berbanding di sektor kerajaan.

Akhirnya, bagi mereka yang berpeluang bercuti, selamat kembali bekerja. Bagi yang tidak berpeluang bercuti insyaa Allah di masa yang mendatang adalah rezeki dan hikmahnya. Apapun kita semua kena ingat, kita dibayar untuk kerja yang kita lakukan, maka bekerjalah bersungguh-sungguh. Elakkan dari terjebak dengan gejala yang diistilahkan makan gaji buta kerana bukan di sisi majikan  sahaja kita bersalah, tetapi yang lebih besar di sisi Allah SWT kita juga dikira bersalah kerana tidak amanah dalam menjalaskan tugas yang diberikan.


Bas sewa khas untuk membawa pelajar tingkatan 6 Kulliah Sultan Abu Bakar Pekan di hadapan Masjid Sultan Mahmud Lipis. Macam rombongan nak pergi hantar orang pergi Haji ke Mekah dah gayanya.













No comments:

Post a Comment