Thursday, August 06, 2015

Kenangan bersama Mushaf Al-Quran

Siang tadi, datang seorang anak muda ke kedai Koperasi Masjid. Katanya dia dari sebuat syarikat penerbitan. Projek yang dia bawa ialah Mushaf Al-Quran yang baru beberapa hari diterbitkan. Katanya lagi Mushaf ini tidak sama dengan mushaf-mushaf lain yang ada di pasaran. Mushaf yang lengkap dengan ilmu tajwid, terjemahan, warna-warni pada huruf melambangkan hukum-hukum tajwid yang tertentu. Sebab masih baru, dia hanya  bawa satu  mushaf sahaja untuk ditunjukkan.

Saya beritahu kepada beliau, saya tidaklah belajar tinggi tetapi dalam bab mushaf al-Quran Insyaa Allah saya tahu lah sikit-sikit. Saya tunjukkan kepada dia yang Mushaf ini tiada pengesahan dari Lembaga Tashih Kementerian Dalam Negeri (KDN), hanya ada surat tashih dari Indonesia. Mushaf yang dia bawa tidak sama dengan apa yang dipelajari dan digunakan di Malaysia.

Antaranya tempat letak ‘sukun’ (huruf mati). Mushaf yang diguna pakai di Malaysia tanda sukun hanya  diletakkan di atas huruf Nun mati yang bertemu dengan huruf Izhar manakala mushaf yang dia bawa tanda sukun diletakkan di semua nun mati baik huruf selepasnya adalah Izhar, Ikhfa’ dll.
Dia tanya kepada saya, yang saya belajar di mana?, saya sebutkan saya belajar di mana. Tanyanya lagi kalau orang yang pandai tiada masalah untuk guna mushaf yang dia bawa. Saya jelaskan yang orang yang dah mahir tak perlu dah kepada mushaf yang berwarna warni ini yang sudah pasti harganya mahal.

Akhirnya saya katakan, minta maaf saya tidak boleh membeli mushaf ini, dan saya syorkan supaya beliau mencari mushaf yang lain untuk dijual.


Masing-masing bersama mushaf kecil mengulang al-Quran, Gambar kenangan ketika berbuka puasa di IKIP, 


Saya teringat kenangan semasa belajar mengaji dahulu bersama rakan-rakan. Macam-macam mushaf yang beraneka saiz yang kami beli. Ada mushaf yang diceraikan satu juz satu juz, ada yang diceraikan lima juz lima juz, ada mushaf saiz poket dan lain-lain lagi. Ketika itu belum ada lagi aplikasi Al-Quran di Handphone, gadjet pun belum ada. Pen yang boleh mengaji bila diletakkan di mushaf pun belum wujud.

Gambar yang ditangkap di kedai gambar, saya berbaju yang poketnya siap ada penutup berbutang. Ditempah di kedai arwah Abang Man.


Paling menarik, kami sampai menempah baju yang boleh muat mushaf kecil dimasukkan ke dalam poket. Bahkan saya pernah menempah baju yang poketnya saya minta letak penutup berbutang supaya mushaf tidak terjatuh ketika sujud dalam solat.

Kedai baju yang kami selalu pergi kami gelarkan Abang Man, letaknya di belakang Mydin Kuantan berhadapan dengan Parkson/ A&W kuantan (ketika itu), ketika masih bersekolah tingkatan saya selalu terserempak dengan Abang Man yang selalu bersolat di surau terminal Kuantan.

Ketika saya masih lagi di Maahad Tahfiz, Abang Man telah kembali ke rahmatullah, sebelum itu kami pelik kerana kedainya lama ditutup. Rupanya tutup sampai bila-bila. Almarhum sakit yang kritikal sehingga membawa kepada ajalnya. Semoga roh almarhum Abang Man ditempatkan bersama para salafussaleh.



2 comments:

  1. Bila terbaca berkenaan kenangan bersama Mushaf ni, terimbau satu kenangan pahit bersama sebuah mushaf kecil pemberian seorang sahabat istimewa di Mesir dahulu :).Mushaf yang dihadiahkan oleh seseorang yang baru pulang mengerjakan ibadah haji..pulang dari Mesir, ada satu program yang kami ikuti di Ulu Yam selangor.
    Mushaf tu digunakan untuk mengulang Quran dan biasa di bawa ke mana2. Ditakdirkan Allah, Mushaf tu tertinggal di surau chalet Ulu Yam tersebut. Sekalipun sudah separuh jalan balik dari program, sanggup berpatah balik untuk mencari semula mushaf tersebut..namun hampa.Mushaf tu mungkin sudah bertukar tangan.
    Kepada yg menghadiahkan mushaf tu, pohon maaf sebab tak berjaya simpan lama..namun saat mushaf tu berada di tangan mmg sangat2 berjasa...
    Sekian cerita kenanganku bersama sebuah Mushaf kecil :)

    ReplyDelete