Saya tidaklah pandai, tetapi disebabkan kelas takmir di daerah Lipis banyak kekosongan maka saya cuba mengisi kelompongan tersebut. Had yang diperuntukkan kepada saya oleh JAKIM/JAIP hanya 4 kali kelas sahaja sebulan.
Maka saya ada jadual kelas takmir (kuliah maghrib) di Masjid Kg Batu 9, Kuala Lipis. Semalam sepatutnya saya ke masjid tersebut, tetapi lewat petang Abang Nawi (siak masjid Batu 9) menelefon memaklumkan yang jalan licin untuk ke sana. Ada satu lagi jalan dalam melalui kebun durian tetapi saya tidak tahu jalan tersebut. Maka akhirnya kelas pun ditangguhkan, kebetulan pula Ustaz Zabadin yang mengajar kuliah mingguan di Masjid Sultan Mahmud ada halangan untuk hadir, maka saya pun menggantikan beliau.
Banyak lagi masjid dan surau daerah ini terutamanya di pedalaman tidak mempunyai kelas/kuliah pengajian walaupun sekali seminggu. Jawatan pegawai masjid dan surau yang tidak mencukupi dan ada kekosongan, sama ada tiada calon untuk jawatan tersebut ataupun nama yang diangkat ke pihak atasan masih 'pending'. itulah antara situasi di masjid dan surau qaryah.
Saya menyeru terutamanya kepada ustaz dan ustazah yang mengajar di sekolah-sekolah, ambillah bahagian dalam mengimarahkan masjid. Kesian orang-orang kampung yang dahagakan ilmu agama, tetapi tiada siapa yang sudi untuk membimbing mereka. Mudahan Allah mengurniakan taufiq dan hidayah buat kita semua.
Bila hujan, jalan ini akan licin dan merbahaya.
Masjid Batu 9
Perjalanan pulang selepas Isya'
No comments:
Post a Comment