Hari ini bermula imtihan Syafawi Al-Quran
bagi pelajar yang mengambil Sijil
Menengah Agama (SMA) yang dikelolakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang.
Peperiksaan SMA dijalankan untuk pelajar
tingkatan 4 Sekolah Menengah Agama di Negeri Pahang.
SMA merupakan sijil agama peringkat
menengah yang menggunakan sukatan dari Al-Azhar Mesir. Mata pelajaran yang
terkandung dalam SMA ialah Al-Quran, Nahu & Saraf, Balaghah, Tafsir,
Mantiq, Tauhid, Fekah, Adab & Nusus, Insya’ & Mutalaah dan hadis.
Pemegang sijil SMA layak untuk mengambil
STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) ketika di tingkatan 6. Jika ingin memohon pekerjaan sebagai guru
KAFA, kelayakan mempunyai sijil SMA diambil kira. Jika hanya ada sijil SPM
tetapi tidak mengambil SMA kebiasaannya sukar untuk mendapat kerja sebagai guru
Kafa melainkan jika ada kelayakan agama yang lain.
Suatu ketika dahulu, pelajar Sekolah
Menengah Agama perlu mengambil peperiksaan SRA (Sijil Rendah Agama) sebelum
menduduki peperiksaan SMA. Disebabkan peperiksaan SRA tersebut diadakan dalam tahun yang sama dengan SRP
(Sijil Rendah Pelajaran) maka akhirnya peperiksaan SRA dimansuhkan.
SEPUTAR MEMORI SILAM : Syafawi Al Quran ketika SMA
Saya juga pernah mengambil peperiksaan
SMA. Sedikit catatan mengenainya :
-Suatu pagi semasa perhimpunan di SMA Al-Khairiah
(SMAKT) di bulan pertama sesi persekolahan semasa saya dalam tingkatan 4, cikgu
(saya rasa cikgu Lotepi) menyebut nama-nama pelajar yang dimintanya tunggu
selepas tamat perhimpunan dan nama saya termasuk sekali dalam senarai tersebut.
-Rupanya nama-nama yang disebut itu
ditawarkan oleh JAIP untuk masuk ke kelas aliran sains di SMA Al-Ihsan (SMAI).
Pada masa itu, JAIP hanya membuka kelas
aliran sains di SMAI sahaja. Maka pelajar-pelajar dari SMAN lain (Sekolah menengah Agama Negeri di bawah
kerajaan negeri Pahang) yang mendapat keputusan PMR yang agak baik akan
ditawarkan masuk ke SMAI untuk masuk ke kelas aliran sains tersebut.
-Saya bersama beberapa rakan dari SMAKT
pun berhijrahlah ke SMAI. Ketika awal-awal di SMAI, saya perhatikan pelajar
tingkatan 4 di sana sudah memulakan hafalan surah-surah pilihan yang terkandung
dalam subjek Al-Quran SMA sedangkan saya satu ayat pun belum hafal lagi.
-Saya masih ingat surah-surah yang
menjadi silibus SMA ketika itu sebanyak 5 surah iaitu surah Az Zumar, Ghafir,
Fussilat, As-Syura dan Az Zukhruf. Saya pernah diberitahu kini surah-surah
pilihan untuk SMA sudah ditukar kepada surah lain.
-Saya pun mula lah menghafal dengan
perlahan-lahan, tasmi’ (memperdengarkan bacaan) dengan Ustaz Makhtar di dalam
kelas. Suatu ketika Ustaz Makhtar bising kerana kelas kami agak ‘slow’ tasmi’
dengan beliau.
-Saya lihat ada pelajar yang advance
dengan tasmi’ dengan ustaz di bilik guru ketika ada masa-masa kosong. Sudah
pasti pelajar tersebut bersungguh dan hafalannya sudah banyak.
-Akhirnya kadang-kadang saya juga
mengambil peluang tasmi’ dengan Ustaz di bilik guru, tetapi saya tidak pernah
pergi seorang, mesti bersama dengan rakan-rakan..haha
Menariknya di penghujung-hujung sebelum
menjelangnya peperiksaan SMA, saya telah mendapat hadiah di perhimpunan yang
diberi sendiri oleh Ustaz Makhtar kerana telah menjadi pelajar yang menghafaz terbanyak..haha.
-Saya masih ingat saya dan seorang lagi
rakan yang bernama Wan Noorliza Wan Abdullah Sani menerima hadiah yang
merupakan sebuah buku catatan.
-Akhirnya peperiksaan syafawi Al-Quran pun
tiba, dan rupanya hanya guru-guru dari SMAI sahaja yang menjadi panel. Panel
saya ketika syafawi Al-Quran ialah Ustazah Rafiqah dan Alhamdulillah saya boleh
menjawab soalan hafazan al-Quran tersebut.
Tamat cerita saya..
Kini saya doakan semoga pelajar yang
menduduki peperiksaan Syafawi Al-Quran SMA dapat menjawab dengan baik. Jangan
ada yang tidak cakna akan peperiksaan SMA. Mungkin ada yang kata bukan guna
untuk masuk U pun, tetapi insya-Allah nilai SMA sangat tinggi selaku pelajar
sekolah Menengah Agama dan bukan semua pelajar ada Sijil Menengah Agama.
Buat pelajar tingkatan 1,2 dan 3 yang akan menduduki peperiksaan SMA di masa akan datang, hafallah al-quran semampu yang kita boleh. Surah-surah pilihan hafal dan lancar
dengan bersungguh-sungguh.
Pesan Imam Ibn Al-Jazari : Insan tidak
mulia, melainkan apa yang dia hafal dan diketahuinya, begitulah penanggung
Al-Quran, sebaik-baik ummah.
#permaimenulis #permaidihati #jomsupport
#syafawialquran #sma #exam #peperiksaan #jaip #sman #smakt #smai
No comments:
Post a Comment