Thursday, July 20, 2006

Integriti dan Tingkah-laku

Integriti yang difahami sebagai kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi sangat berkait rapat dengan etika, malah ia sebenarnya mencerminkan etika dalam tindakan sehari-hari. Dalam ertikata yang lain seluruh tindak-tanduk individu atau organisasi adalah menggambarkan integritinya. Jika baik tingkah-lakunya maka tinggilah integritinya. Jika buruk tingkah-lakunya maka rendahlah integritinya.
Kejujuran dan ketulusan tidak dapat dibuat-buat. Kepura-puraan hanyalah sementara, lambat laun akan terbongkar juga rahsianya. Contoh kelasik dalam kes ini direkodkan dalam satu hadis yang popular oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Matan Arbain bahawa seorang Quraisy Mekah telah berhijrah ke Madinah pada zaman Nabi dahulu dengan tujuan untuk berkahwin dengan seorang perempuan. Berkaitan dengan peristiwa ini Nabi SAW bersabda yang maksudnya `sesungguhnya amalan-amalan itu disertai dengan niat. Setiap orang akan mendapat apa yang ia niatkan. Jika ia berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul, dan barang siapa berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya dikira berdasarkan kepada apa ia berhijrah.’ Oleh kerana itu hijrah lelaki tadi dipanggil `Hijrah Ummul Qais’ kerana perempuan itu bernama Ummul Qais.

Kenapa Perlu Integriti?
Kita perlu mengamalkan integriti kerana ia perintah dari Allah. Dalam surah Al-Anfal ayat 27 Allah berfirman maksudnya `wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diserahkan kepada) kamu, sedangkan kamu mengetahui (dosanya).’ Setiap amanah, tanggung-jawab atau tugas yang diserahkan kepada kita merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan. Jika tidak ditunaikan ertinya kita telah khianat dan melanggar peraturan. Pelanggar peraturan adalah zalim dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang zalim.
Integriti diperlukan untuk keselamatan dunia dan akhirat. Manusia mempunyai kehendak yang tidak terbatas. Walau bagaimanapun, perlulah difahami bahawa segala anugerah Allah yang manusia terima merupakan ujian untuk mereka. Ini dijelaskan dalam surah Al-Anfal ayat 28; `dan ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian (fitnah) dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar’.
Manusia yang gagal dalam ujian ini akan terjerumus ke lembah penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, pecah amanah, penipuan, perlakuan tidak jujur dan sebagainya demi mendapatkan harta atau kesenangan untuk anak-anak dan keluarga. Mereka tidak sedar bahawa ada banyak cara lain yang halal boleh digunakan bagi tujuan itu. Allah menyediakan jalan untuk mencapai setiap keperluan kita dengan cara dan jalan yang halal lagi diridhai.
Manusia yang berintegriti akan mendapat furqan. Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 29 bermaksud `wahai orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan bagi kamu pembeza (al-furqan) dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampuni kamu dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar’. Furqan bermaksud petunjuk dan cahaya yang boleh membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Dengan memiliki iman yang mendalam serta menjaga taqwa, Allah akan memberi kita furqan. Dengan ketiga-tiga ini menjadikan seseorang itu terkawal tingkahlakunya. Ia sedar segala perlakuannya diperhati dan direkod malah ia sedar bahawa Allah lebih mengetahui mengenai apa-apa yang tersirat di dalam hatinya. `Kalaulah kamu orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya Dia adalah maha pengampun bagi orang yang bertaubat’. (Al-Isra’25)
Orang yang berintegriti akan melaksanakan tanggungjawabnya dan menunaikan hak orang lain tanpa menunggu orang itu membuat tuntutan di mahkamah atau mengambil tindakan undang-undang. Ia patuh kepada firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayaat 26 yang bermaksud dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang miskin dan orang musafir akan hak masing-masing. Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau.
Secara tersirat hendaklah difahami bahawa dalam harta atau wang ringgit yang kita miliki ada hak-hak orang lain yang patut disempurnakan seperti hak kaum kerabat, musafir, orang yang meminta-minta, fakir miskin dan sebagainya. Jika hak mereka ini tidak diberikan maka harta dan wang ringgit yang kita miliki itu tidak bersih kerana bercampur dengan hak orang lain. Untuk membersihkannya hendaklah dikeluarkan zakat dan sedekah. (Di dalam harta mereka ada hak bagi orang yang meminta-minta dan orang miskin – Az-Zariat 19)
Mereka yang berniaga dan telibat dengan timbangan dan sukatan akan menjaga integritinya dengan menyempurnakan timbangan dan sukatan dengan betul dan tepat (Al-Isra’ 35). Mereka melaksanakan tanggungjawab ini bukan disebabkan ada polis atau pegawai penguat kuasa akan tetapi oleh iman dan kepercayaan bahawa kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan) iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan sebaliknya apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.(Al-Mutaffifin 1-3)
Dari segi agama, apabila kita menunaikan hak orang lain, sunnah diberikan lebih. Ini berdasar kepada satu hadis dari Jabir bin Abdullah yang diriwayatkan oleh Bukhari di dalam kitab Sahihnya bahawa Nabi SAW membayar hutangnya kepada Jabir dengan memberi tambahan sebagai hadiah. Dari peristiwa ini dapat difahami bahawa adalah sunnah untuk membayar hutang lebih dari jumlah yang sepatutnya. Inilah contoh manusia yang berintegriti manakala orang yang tidak berintegriti akan mengelak dari membayar hutang, malah menjadi musuh pula.

Integriti Hati
Integriti bukan hanya melibatkan tingkahlaku zahir sahaja malah ia lebih berfokus kepada perkara-perkara batin seperti hati, perasaan serta perkara-perkara rohani yang lain. Pergerakan anggota zahir adalah hasil dari niat serta dorongan dari dalam. Selain dari tindakan pantulan serta pergerakan automatic tubuh, tingkahlaku dan tindakan anggota badan adalah berdasar kepada niat dan kehendak yang telah diputuskan oleh seseorang berdasar kepada akal fikiran atau nafsu dan keinginannya. Mengenai perkara-perkara batin ini Allah berfirman maksudnya sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati semuanya itu akan ditanya. (Al-Isra’ 36). Nabi (SAW) bersabda maksudnya bahawa tidak akan berzina seorang penzina jika ketika itu ia beriman dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika ketika itu ia beriman.
Dalam keadaan waras dan sedar, manusia bertanggungjawab terhadap tingkah- laku serta tutur-katanya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 bermaksud, mereka (manusia) dibalas bagi setiap kebaikan yang mereka usahakan dan begitu juga mereka dibalas bagi setiap kejahatan yang mereka usahakan. Dalam surah Al-Fussilat ayat 46 Allah berfirman, maksudnya dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, faedahnya akan kembali kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri. Dan Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Akibat Tidak Berintegriti
Tanpa integriti manusia akan menerima musibah sama ada di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak Firman Allah dalam surah As-Syuara ayat 30 bermaksud, apa jua musibah yang menimpa kamu maka ia adalah disebabkan oleh apa yang diusahakan oleh tangan kamu. (Dalam pada itupun) Allah mengampunkan banyak dosa kamu. Dalam surah Ar-Rum ayat 41 Allah berfirman maksudnya, telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian itu) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Di dunia ini baik secara langsung atau tidak langsung manusia telah menerima akibat dari tindak-tanduk mereka yang tidak berintegriti. Mereka yang tidak berintegriti dari segi makanan mendapat penyakit yang berpunca dari makanan seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis, berlebihan berat badan dan sebagainya. Mereka yang tidak berintegriti dari segi moral dan perkahwinan mendapat penyakit HIV, aids, keruntuhan moral dan akhlak, penagihan dadah dan sebagainya.
Kesan dari gejala ini bukan hanya ditanggung oleh mereka yang terlibat sahaja akan tetapi ia turut dideritai oleh seluruh anggota masyarakat. Contohnya penagihan dadah berkait rapat dengan kes curi, rompak, peras ugut, copet, cabul, rogol, malah sampai ke peringkat bunuh yang melibatkan anggota masyarakat yang tidak bersalah dan tidak berdosa. Kerana itu integriti amat perlu dijaga dan disuburkan.

Balasan Di Akhirat.
Firman Allah dalam surah Al-Zalzalah ayat 6-8 bermaksud pada hari itu manusia akan keluar (dari kuburnya) dalam keadaan yang bermacam-macam untuk melihat (balasan) amal mereka. Maka barang siapa membuat kebaikan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya dan sesiapa membuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya.
Allah menyediakan balasan untuk golongan yang tidak berintegriti berupa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang (Al-Insan, 4). Sementara mereka yang baik disediakan syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin sambil menonton ( Al-Mutaffifin 22-23). Mereka ini dahulunya telah bersusah payah menjaga diri dan tingkah-lakunya supaya sesuai dengan kehendak agama dan akhlak. Maka benarlah firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan. Dalam surah At-Tin ayat 6 Allah berfirman maksudnya kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka balasan yang tidak putus-putus.

Bagaimana Mencapai Integriti
Sedar bahawa kita sedang diperhatikan dan setiap tindakan kita direkod oleh para malaikat. Firman Allah dalam surah Al-Mutaffifin ayat 18-21 bermaksud ingatlah sesungguhnya buku catatan amal orang yang berbakti di ‘illiyyin. Apa yang kamu tahu tentang ‘illiyyin itu? Buku catatan amal yang jelas yang disaksikan oleh para malaikat yang dekat kepada Allah.
Sedar bahawa tidak lama lagi kita akan mati. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185 bermaksud tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. Dalam surah Al-Anbiya’ ayat 35 disebut sekali lagi bahawa tiap-tiap diri akan merasai mati, dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Lagi sekali diperingatkan dalam surah Al-Ankabut ayat 57 bahawa tiap-tiap diri akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami. Kerana itu sedarlah bahawa sekejap lagi kita akan mati, bersedialah.
Sedar bahawa semua amalan akan ditimbang. Firman Allah dalam surah Al-Rahman ayat 7 bermaksud dan langit dijadikan tinggi dan diadakan timbangan. Dalam surah Al-Qari`ah ayat 6-8 dijelaskan bahawa orang yang berat timbangan amal baiknya maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya maka tempat kembalinya ialah `haawiyah. Apa yang kemu tahu tentang hawiyah itu. Api yang panas membakar.
Sedar akan balasan syurga dan neraka di akhirat kelak adalah benar. Firman Allah dalam surah Al-Insan ayat 12-16 bermaksud dan balasan kerana kesabaran mereka adalah syurga dan pakaian sutra. Mereka bertelekan di atas katil-katil, tiada bahang panas matahari dan tidak pula terlalu dingin. Dinaungi pokok-pokok syurga dan buahnya mudah dipetik. Diedarkan kepada mereka bekas air dari perak dan gelas kristal juga dari perak dengan sukatan yang betul
Mereka diberi minuman bercampur zanjabil (iaitu) mata air dalam syurga yang bernama salsabil. Dilayani pelayan-pelayan remaja yang jika dilihat disangkakan mutiara yang bertaburan, dan apabila engkau melihat di sana, engkau melihat pelbagai nikmat dan kerajaan yang besar. Pakaian mereka berwarna hijau dari sutra halus dan tebal, bergelang tangan perak dan diberi minum oleh Tuhan mereka minuman yang suci.
Sesungguhnya Neraka Jahannam disediakan sebagai tempat tinggal untuk orang-orang yang melampaui batas. Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman. Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir. Sebagai balasan yang sesuai kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hisab. Dan mereka mendustakan ayat-ayat kami dengan sungguh-sungguh dan setiap sesuatu dari bawaan hidup mereka telah direkod. Kerana itu rasailah azab dan kami tidak akan menambah melainkan dengan azab (An-Naba’ 21-30 ) .
Sedar akan perakuan sumpah dan janji dalam syahadah yang diucap bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Perakuan ini bukan hanya diucapkan di bibir sahaja akan tetapi difaham dan dihayati dengan sebenar-benarnya. Dengan perakuan ini kita tidak lagi membesarkan yang lain melainkan Allah. Hanya Allah yang berkuasa dan makhluk tidak berkuasa. Bukan pangkat, kuasa, kedudukan, wang ringgit, harta benda dan anak-penak yang dibesar dan diutamakan tatapi Allah.
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 14 maksudnya dihiaskan kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-penak, harta benda yang banyak dari emas dan perak , kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternak serta tanam-tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang lebih baik.
FirmanNya lagi dalam surah At-Taubah ayat 24 maksudnya: katakanlah (wahai Muhammad): jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan pasangan-pasangan kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai menjadi perkara-perkara yang kamu lebih cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
Sedar bahawa kejayaan sebenar kita adalah dengan mentaati perintah Allah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Seluruh sunnah nabi adalah agama. Kekurangan dalam mengamalkan sunnah menandakan kekurangan dalam mengamalkan agama. Kekurangan dalam mengamalkan agama menandakan kekurangan iman.
Tunaikan solat dengan khusyuk dan khuduk. Solat adalah tiang agama, sesiapa yang tidak mengerjakan solat ia telah meruntuhkan agamanya. Tunaikan solat 5 waktu berjamaah di masjid atau di tempat azan dilaungkan. Kaum wanita menunaikannya di rumah. Anak-anak lelaki dilatih berjamaah di masjid manakala anak-anak perempuan dilatih bersama ibunya.
Sentiasa berusaha menambah ilmu. Di samping menambah ilmu dalam pelbagai bidang jangan lupa ilmu dalam bidang agama yang sumbernya adalah Al-Quran dan Sunnah. Sentiasalah menambah ilmu Al-Quran dengan mempelajari tajwid dan tafsir serta ilmu hadis dengan mempelajari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 maksudnya Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan berilmu dengan beberapa darjat. Dalam surah Al-Isra’ ayat 107 Allah berfirman maksudnya sesungguhnya mereka yang diberi ilmu sebelumnya, apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera menumuskan muka melakukan sujud.
Muliakanlah orang lain. Hadis Nabi S.A.W bermaksud barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya, barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari kemudian hendaklah ia memulikan tetamunya. Tunaikan hak tetangga, tetamu, pelanggan malah semua pihak yang berkepentingan dengan kita sepenuhnya tanpa menunggu mereka menuntutnya.
Bersihkan hati dari sifat riak dan menunjuk-nunjuk sebaliknya buatlah kerja ikhlas kerana Allah. Sesuatu yang dibuat secara tidak ikhlas tidak ada harga di sisi Allah manakala sesuatu amal yang ikhlas, walau sekecil mana sekalipun, ia mempunyai nilai yang tinggi.
Sebagai penutup marilah kita ikuti saranan Prof. Dr. Muhammad al-Mahdi dalam bukunya Islamic Solution to The World`s Problems (2005):
make yourself good,
help others become good
and make the physical world good.



No comments: