Cuti sekolah memang cukup menyeronokkan buat insan yang
bergelar pelajar sekolah. Baik tadika, sekolah rendah hinggalah menengah memang
sangat-sangat menanti hari cuti terutamanya cuti akhir tahun.
Pelbagai agenda dan program dirancang, sama ada bersama
rakan taulan, kaum keluarga, atau pun agenda sendiri-sendiri sahaja.
Ada yang merancang untuk balik kampung, berjalan ke
tempat-tempat bersejarah, bekerja sambilan mencari wang poket, menjadi
pengunjung tetap perpustakaan dan
pelbagai ribu macam lagi agenda yang dirancang.
Saya tertarik karya sasterawan Negara, Dato’ A. Samad Said
yang menulis buku cerita siri apresiasi remaja seperti Bendera di atas bukit,
Rumah rahsia, Jangan ikut jalan ini, Yang berat sama dipikul, Mengejar tetamu
di waktu senja. Ceritanya mengisahkan
kanak-kanak yang membuat pelbagai aktiviti yang menarik semasa cuti
sekolah. Cukup menarik jika dapat dibaca oleh para pelajar tidak terkecuali
golongan dewasa juga.
Namun, ramai juga yang menghabisi musim cuti sekolah dengan
aktiviti yang tidak bermanfaat dan kadang-kadang sampai memudaratkan.
Contohnya melepak di perhentian bas di kampung, dari pagi sampai ke malam,
sampai menyukarkan orang untuk menunggu bas. Ada yang merempit ke hulu hilir kampung.
Juga di musim cuti ini, kebiasaannya musim tengkujuh
dan banjir di pantai timur, wajarlah ibu bapa mengawasi anak mereka dan
kalau boleh tak perlulah berjalan ke tempat-tempat air terjun, pantai, sungai
dan tasik. Jangan nanti datang dengan suka balik dengan duka.
Maka supaya para pelajar dapat mengisi waktu cuti dengan berfaedah dan
berkualiti, menjadi tanggungjawab ibu bapa berperanan dalam menyusun dan memberi
panduan anak masing-masing mengisi program cuti sekolah mereka. Jangan biarkan
sahaja atau terlampau menurut kata-kata mereka. Ramai juga ibu bapa yang
menurutkan sangat pendapat dan kehendak anaknya.
Contoh, sempena cuti sekolah pelbagai program yang disusun
oleh masjid, surau, NGO, Konsulten untuk pelajar sekolah seperti Kem ibadah, kem
motivasi. Bila kita tanya kepada ibu bapa.. “tak hantar ke anak ke program ini”
jawab ibu bapa “ hajat nak hantar, tapi budak-budak ini tak nak”.
Contoh lain lagi : bila habis sekolah rendah, saya sentiasa
syorkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke sekolah agama atau ke maahad
tahfiz. Macam-macam kebaikan kita sebut kepada mereka. Ada ibu bapa yang kata “
memang saya ini hajat sangat anak ni masuk ke sekolah agama, tapi si anak yang
tak nak”. Bukanlah menjadi ibu bapa yang baik bila semua pendapat dan kehendak
anak dituruti.
Sabda Rasulullah yang bermaksud : Tiadalah seorang anak yang
dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah. Maka ibu bapanya
bertanggungjawab menjadikan anaknya yahudi, nasrani atau majusi.
Wallahua’lam..
No comments:
Post a Comment