Friday, July 03, 2015

Kisah Ramadhan (KIRAM 4) : Tadarus Al-Quran

Bulan puasa diturunkan Al-Quran, Rasulullah SAW sendiri bertadarus dengan malaikat Jibril setiap kali bulan Ramadhan. Pada tahun kewafatan Rasulullah SAW, Baginda telah menyemak bacaan dengan malaikat Jibril sebanyak 2 kali khatam sepanjang tempoh bulan Ramadhan.

Mengambil sunnah tersebut, kita sangat dituntut membaca dan bertadarus al-Quran. Kebiasaan di tempat kita bila tiba Ramadhan program tadarus dirangka baik di masjid, surau, pejabat, sekolah dll. Menjadi suatu yang sangat menyedihkan jika masih kedapatan sesebuah kampung, organisasi, masjid dan surau yang tidak langsung menganjurkan program tadarus al-Quran.

Cuma ada pelbagai ragam yang berkait dengan program tadarus al-Quran. Antaranya :

Ada yang buat Tadarus perdana, penganjur menghimpun seramai-ramai orang, kemudian pada hari program tersebut masing-masing pakat baca pada tempat yang ditetapkan. Sejam dua selepas itu terus buat majlis khatam.

Ada yang buat selepas solat terawih, mula pukul 11 malam, pukul 12 atau 1 pagi baru habis. Orang yang berkerjaya beri alasan lewat sangat esok nak pergi kerja kalut.

Ada yang buat waktu pagi, orang yang bekerja pula akan dakwa..kami tak boleh nak join sebab bekerja.

Pendapat saya, sangat cantik jika dibuat tadarus berserta pembimbing. Tak perlu nak baca laju sangat macam tekan minyak 160km, baca berserta bimbingan  memastikan kita  dapat membaca al-Quran mengikut kaedah yang betul.

Pengalaman saya bertadarus dengan pakcik-makcik.. selalu berlaku : curi nafas dalam bacaan, dengung tak cukup harakat, terlepas pandang pada hukum mim mati. Lebih parah pada kaedah-kaedah bacaan  khas untuk riwayat Imam Hafs seperti : Imalah, Ishmam, Naqal, Ibdal habis redah sahaja baca sebab tak tau pun kaedah yang sebenar untuk membacanya.

Walaupun program tadarus di merata-rata tempat dijayakan di negara kita. Namun suasananya masih tak sama di negara-negara Arab. Di sana memang seronok kita  dapat menyaksikan hampir di mana-mana, baik tua, muda sentiasa berdampingan dengan mushaf Al-Quran. Mereka membacanya di mana-mana sahaja. Di kedai, dalam bas, semasa menunggu bas, sambil berjalan, dalam train.. Suasana yang belum berlaku lagi di negara kita…Alangkah indahnya jika negara kita pun seperti itu. Ayuh kita mulakan ke atas diri kita.. dengan sentiasa berdampingan dengan mushaf.. dan berusaha melazimi  membacanya.

Tahun ini juga, kami tetap meneruskan kelas mengaji al-Quran sesi petang, walaupun tahun-tahun sudah ada yang memberi alasan tidak sempat kerana nak membuat persediaan juadah berbuka puasa.. Alhamdulillah kelas dapat berjalan dengan baik..Semoga mereka dan kita semua Istiqamah bersama Al-Quran.

Sekian, Wassalamu



No comments:

Post a Comment