Sunday, August 26, 2012

AdikKu belajar Hafiz al-Quran


Kesemua adik beradik saya bersekolah menengah di sekolah yang sama, kecuali adik bongsu kami yang disekolahkan di sebuah Maahad Tahfiz swasta. Dia disekolahkan disitu dengan iringan hasrat dan impian yang besar keluarga kami.

Sekolah tahfiz tersebut baru sahaja beroperasi dan adik saya merupakan generasi pertama. Sudah tentu juga menjadi eksperimen mata-mata di luar sana untuk menilai sekolah tersebut. Bila bergelar generasi pertama di sekolah persendirian pula, sudah tentu banyak risiko, dugaan dan cabarannya. Tahniah juga saya ucapkan buat ibu bapa yang percaya untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut. Ramai juga yang tiada keyakinan lagi kepada sekolah-sekolah baru. Mereka ingin melihat hasil keluaran sekolah dahulu, barulah timbul keyakinan untuk menghantar anak ke sekolah  tersebut.

Mendengar misi dan visi sekolah tahfiz tersebut memang mengkagumkan. Namun biasalah bila baru nak mula bertapak…makan masa lah

Cuti raya ini, barulah saya berkesempatan men’tasmik’ adik saya.  Jadi di sini saya perturunkan sedikit komen berdasarkan prestasi hafazan adik saya.

-bacaan laju dan kurang menjaga tajwid. Rasanya hari-hari dia baca begitu dan ustaz yang mentasmiknya tak tegur kut.
-Tak kenal hukum hakam tajwid. Tahu baca sahaja. Bila ditanya yang ini hukum apa..dia tak tahu..kadar bacaan pun tak tahu.
-Tak pernah mengulang hafazan yang lama. Hari-hari menghafaz yang baru sahaja. Tiada waktu mengulang hafazan lama dengan guru. Kata gurunya..selepas tamat satu juz baru mengulang. Maknanya kalau 2 bulan baru habis satu juz..dua bulan lah tak pernah mengulang..hafaz yang baru sahaja.
-guru tahfiz hanya part time sahaja di situ. Bukan tonggak. Sepatutnya bila nama maahad tahfiz mestilah guru hafiznya yang merupakan tunjang utama dan banyak masa dengan anak murid. Bukan hanya dalam waktu tasmik sahaja.
-Pelajar yang selalu pula pulang bercuti. Maahad tahfiz  biasanya mempunyai jadual yang padat dan cuti juga diminimumkan. Ini kerana tiada penjaga (warden) yang boleh bagi komitmen sepenuh masa.

Saya pun bukannya pandai sangat. Tetapi dengan tunjuk ajar dari guru-guru kami… saya rasa beberapa perkara perlu ditekankan, seperti :

-guru mesti syadid dengan bacaan anak murid. Pastikan anak murid baca dengan kaedah tajwid yang betul. Bukan baca laju macam baca surat khabar.
-Mesti ada jadual waktu mengulang yang kerap dengan anak murid. Kerana menjaga hafazan yang lama lebih penting dari hafazan yang baru. Menghafaz yang baru memang mudah tetapi nak menjaga hafazan yang telah dihafaz memang payah.
-Waktu bersama al-Quran perlu maksimum bukan hanya sekadar mencelah di jadual waktu disamping pelajaran-pelajaran lain.

Saya terbaca, kisah adik Muhammad bin Ahmad Zahid al-hafiz. Ketika dalam proses hafazannya dahulu, selepas pengajiannya dengan Syeikh Husin dari Nyamar, yang sebelum dari itu telah berpindah-pindah beberapa maahad tahfiz, dalam tempoh seketika beliau tidak memasuki mana-mana pusat pengajian tahfiz, hanya dipantau oleh bapanya, sehinggalah beliau menamatkan hafazannya. Ini kerana bapanya sangat menitik beratkan pencapaian anaknya dalam bidang hafazan. Setelah tamat barulah dihantar ke sekolah swasta yang lain.

Begitu juga saya lihat pengalaman kenalan saya yang mempunyai 2 orang anak yang dihantar ke pusat pengajian tahfiz swasta sejak kecil. Juga sering berpindah-pindah tempat belajar. Ini kerana bapanya sering memantau perkembangan anaknya. Jika bermasalah di sesebuah tempat pengajian, anaknya akan ditukarkan ke tempat yang lain. Anaknya pernah mengaji di Kelantan dan kini di Kedah.

Alhamdulillah, dengan berkat para guru, saya sedikit sebanyak pernah juga terlibat dalam dunia tahfiz ini. Saya pernah seketika mengajar (pensyarah) di Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Pernah seketika menjadi trainer hafazan al-Quran di UIA Kuantan, pernah bersama rakan taulan menganjurkan bengkel al-Quran dan sekarang masih membimbing pengajian tahfiz al-Quran dewasa di Masjid kami. Dengan sedikit  pengalaman itu saya membuat sedikit komen yang membina untuk sekolah tahfiz tersebut. Demi masa depan sekolah tersebut, juga masa depan pelajarnya dan masa depan adik saya.
Waalahua’lam.

No comments: