Friday, June 23, 2017

Khatib Jemputan Masjid

Khatib jumaat siang tadi merupakan khatib jemputan. Irfan bin Aidil merupakan pelajar tingkatan 6 SMA Padang Tengku.

Dua minggu lepas, Khatib jumaat juga merupakan khatib jemputan. Umair bin Dato’ Faizul, pelajar Maahad As Syatibi Kedah.

Masjid kami biasa je menjemput khatib lain selain dari pegawai masjid sedia ada.
Antara yang pernah membaca khutbah di Masjid Daerah Lipis seperti  YH Dato’ Abu Jamal bin Nordin, mantan Pegawai Daerah Lipis. YH Dato’ Mohamad Noor bin Abd Rani, mantan  Pegawai Daerah Lipis, Kini sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang. YH Dato’ Ahmad  bin Daud, mantan Pegawai Daerah Lipis, Kini telah bersara. Ustaz dari BAKA, Ustaz dari  KAGAT dan ramai lagi.

Pihak masjid sentiasa membuka peluang dan ruang terutama kepada generasi pelapis untuk belajar naik ke atas mimbar untuk menyampaikan khutbah. Kerana bukan semua yang bergelar para Ustaz berani tampil naik ke  atas mimbar. Itu pun bukannya berkhutbah, hanya naik membaca teks khutbah yang telah disediakan.
Jika tidak dilatih dari rebung, bila dah dewasa semakin sukar. Mulalah beri alasan  ‘saya tak biasa’ , ‘ saya tak bersedia’.

Saya sangat menyokong program yang dilaksanakan di  SMA Padang Tengku, yang melatih para pelajarnya menyampaikan khutbah jumaat (real bukan olok-olok) di Masjid Padang Tengku.

Di kesempatan ini, saya mencadangkan supaya masjid-masjid lain juga melatih dan memberi peluang generasi muda tampil naik berkhutbah.

Realiti yang berlaku di kebanyakan masjid kampung tradisi, ialah hampir tiada generasi muda yang mengisi  kekosongan di masjid. Kebanyakan masjid yang hanya ada seorang tok imam, itu pun dah uzur. Hanya ada seorang bilal.

Bila sesi temuduga pegawai masjid, biasanya yang hadir sudah berusia dan katanya terpaksa hadir sebab dah tiada orang lain yang sanggup. Kebanyakan mereka yang hadir temuduga bukannya lepasan pelajar agama yang bergelar Ustaz. Sehingga ada di kalangan mereka yang menyelar golongan agamawan yang sebahagiannya  selesa berkhidmat di sekolah atau pun berceramah ke merata tempat, tetapi masjid dan surau di tempat sendiri dibiarkan.
Moh kita renung bersama.
 Irfan bin Aidil

Umair bin Dato' Faizul

#PermaiMenulis
#catatanimamkecil




No comments: