Wednesday, February 06, 2013

Cerita AJK masjid..

PERLANTIKAN AJK
Kebanyakan masjid-masjid dalam Negara kita mempunyai AJK. Bagi negeri Pahang, perlantikan AJK dibuat berdasarkan cadangan al-fadhil Qadhi daerah ke Jabatan Agama Islam Negeri. Jabatan Agama akan mengangkat pula ke Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu (MUIP). Sebelum daripada ini, perlantikan AJK dibuat oleh ahli qaryah dalam mesyuarat agong. Kini cara itu tidak berapa dipraktikkan lagi, ahli qaryah hanya boleh melantik 2-3 orang sahaja, yang lain dilantik tanpa melalui pemilihan dalam mesyuarat agong. Kesnya kerana campur tangan daripada ahli politik pemerintah yang melihat kebanyakan daripada ajk masjid terdiri dari kelompok pembangkang jika dipilih melalui pemilihan dalam mesyuarat agong. Sebab itu kebanyakan dari masjid qaryah pengerusinya terdiri daripada penghulu, ketua kampong, ketua cawangan…


MESYUARAT AGONG
Berbeza dengan Masjid Daerah, langsung tiada mesyuarat agong. AJK  pula dilantik dari mereka yang berjawatan besar di peringkat daerah. Mungkin pengerusi terdiri dari kerabat, orang besar bergelar dan pegawai daerah. AJKnya pula Jurutera Daerah, Ketua Polis Daerah, Pegawai Pelajaran Daerah, YDP Majlis Daerah dan ketua-ketua jabatan di peringkat daerah.

KEKERAPAN MESYUARAT
Kekerapan Mesyuarat AJK masjid-masjid juga berbeza. Ada masjid yang bermesyuarat secara bulanan, namun ada yang tak pernah buat mesyuarat. Bagi masjid daerah yang AJKnya terdiri dari orang besar-besar lagilah sulit hendak mengadakan mesyuarat. Kalau buat mesyuarat pun ramainya yang menghantar anak buah menjadi wakil.

TABIAT AJK
AJK masjid boleh dibahagikan kepada beberapa kategori :
-AJK yang  dilantik menjadi AJK disebabkan jawatan yang disandang, biasanya menjadi ketua jabatan di peringkat daerah walaupun dia bukanlah merupakan ahli Jemaah tetap yang istiqamah hadir ke masjid.Positifnya untuk memudahkan gerak kerja dan aktiviti. Contohnya bila nak buat gotong royong, ketua-ketua ini akan mengerahkan staf masing-masing dan menggunakan peralatan mereka, seperti JKR, Majlis daerah, bomba, polis dan askar.

Negatifnya ialah, kebanyakan daripada ketua-ketua jabatan (bukan keseluruhannya) bukanlah terdiri daripada ahli Jemaah yang konsisten hadir ke masjid. Mereka hadir pada hari jumaat sahaja dan program-program besar yang melibatkan orang yang lagi besar dan berjawatan yang hadir. Apabila jarang hadir, mereka tidak menjiwai masjid itu sendiri.

-AJK yang dilantik tetapi tidak pernah menghadiri mesyuarat apatah lagi untuk melazimi bersolat Jemaah, mendengar kuliah & ceramah di masjid.
Perkara ini terjadi, biasanya kepada AJK yang dilantik disebabkan jawatan dan pangkat besar di peringkat daerah. Ada yang tidak pernah hadir ke mesyuarat AJK, hanya menghantar wakil yang sahaja ke mesyuarat.

-AJK yang dilantik tetapi macam dia tak tahu yang dia dilantik menjadi AJK.
Berlaku kepada ajk yang tidak pernah menghadiri mesyuarat termasuk  tidak pernah  menghantar wakil menghadiri mesyuarat.

-AJK yang rajin datang ke mesyuarat sahaja, tetapi jarang sekali menghadirkan diri ke masjid dan program-program anjuran masjid.

-AJK yang hadir ke mesyuarat dan selalu hadir berjemaah di masjid walaupun mempunyai jawatan besar di peringkat daerah.


PERANAN AJK
AJK Masjid berperanan besar  dalam mengoperasikan Masjid. Dari segi pembangunan, keceriaan, kebajikan, keselamatan, pengimarahan dan bermacam-macam lagi.

KESIMPULAN
Kita lihat masjid yang imarah, kebiasaannya mempunyai AJK yang istiqamah dalam membangunkan masjid. Mereka tidak mengharapkan jawatan tetapi bekerja bersungguh-sungguh dalam membangunkan masjid. Mereka bekerja tanpa ada elaun bahkan kadangkala mengeluarkan biaya sendiri demi memastikan rumah Allah sentiasa terpelihara dan diagongkan.

Sekian. 

p/s : Masjid kami baru sahaja mengadakan mesyuarat AJK yang dijadualkan 3 bulan sekali. Sekali dengan majlis penghargaan kepada AJK yang lama yang telah tamat sesi yang lepas.


 Mesyuarat berlangsung di Residen Inn, dipengerusikan oleh YH Dato' Pegawai Daerah (DO)
agak-agak saya duduk di mana :) 


 penyampaian cenderamata kepada bekas AJK, anak kepada bekas setiausaha menerima bagi pihak ayahnya yang uzur. Berkhidmat lebih daripada 25 tahun selaku setiausaha masjid.

 YH Dato' DO menyampaikan cenderamata kepada bekas bendahari masjid yang juga telah menjawat jawatan bendahari masjid lebih daripada 25 tahun. 
 jamuan selepas mesyuarat.

Wednesday, January 23, 2013

Maulidul Rasul Sallahu'alaihi wasallam


Fatrah minggu ini ialah Maulidul Rasul Sallahu’alaihi wasallam. Kebanyakan masjid dan surau menganjurkan program. Ada yang buat ceramah, forum, berarak, marhaban dan sebagainya. Saya juga diwakilkan untuk berforum di sebuah masjid sempena program yang mereka anjurkan. Saya lebih suka untuk bertazkirah secara bebas, kerana kita bebas untuk memilih topik dan isu  yang hendak dihighlightkan . Apabila forum kita terikat dengan skema soalan yang utarakan oleh penganjur.  Antara draf nota saya untuk forum tersebut ialah :  

1.Rasulullah sebagai Qudwah


 Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu 
bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)..

(al-Ahzab :21)
>Qudwah bermaksud contoh, ikutan.
>Tabiat manusia memiliki naluri untuk mengikut, meniru orang lain.
Jika yang diikut atau ditiru itu perkara yang baik…Alhamdulillah. Seperti sahabat Rasulullah ada yang mengikut Rasulullah sampaikan ada yang bila lalu di sebuah tempat tiba-tiba dia mengelak seperti melencong, orang bertanya kepadanya kenapa berbuat begitu lalu katanya…dahulu di sini ada pokok dan Rasulullah bila lalu di sini dia akan mengelak..walaupun pokok sudah tiada tetapi ingatanku besama Rasulullah menyebabkan aku tetap akan mengelak apabila lalu di sini.
Seperti juga kita meniru perbuatan ulama yang akrab dengan sunnah Rasulullah. Ada juga yang meniru untuk maksud-maksud lain. Contohnya Zizan Raja lawak yang meniru style Ustaz Azhar Idrus dengan janggut palsunya ketika membuat persembahan dalam Maharaja Lawaknya..

>Imam Hasan al-Banna telah menyebut dalam slogan Ikhwan Muslimin Mesir  ‘Ar Rasul Qudwatuna’ yang mesti  dihadami oleh ahlinya seiring dengan perbuatan, percakapan.

>Sebenarnya selaku orang Islam yang waras dan beriman, kita sudah maklum bahawa kena menjadikan Rasulullah sebagai Qudwah..tahu sangat dah..bermacam-macam slogan telah dilaungkan ..
>Cuma persoalannya..secara realitinya adakah betul kita menjadikan Rasulullah sebagai Role model kita?
>Kita muhasabah dan check balik diri kita…betul atau tidak kita jadikan Rasulullah sebagai model..atau kita tertipu dengan diri kita sendri..dengan hanya sekadar melaungkan slogan-slogan, berarak di jalanan, menganjur dan menghadiri program maulidul Rasul?
>Ramai yang salah faham..disebabkan acuan system pendidikan Negara yang tidak menekankan sangat mata pelajaran agama.

>Selaku orang yang beriman mari kita lihat beberapa contoh amalan Rasulullah yang kita dakwa sebagai qudwah.

i-Sebagai Rasul, pekerjaan utama Rasulullah ialah menyebarkan Islam kepada manusia. Dalam misi menyebarkan Islam sehingga Rasulullah telah keluar berjihad di medan peperangan.
Kita?..juga sebagai Daie…Ada kita buat kerja ini?..ianya bukan hanya kerja ustaz ustazah sahaja..walau siapa pun kita..kita ditaklifkan sebagai Daie untuk menyebar dan mempertahankan agama.

ii- Ibadah. Kita ikut Rasulullah atau hanya sekadar kita ikut adat sahaja? Hendak tahu ibadah kita tepat mengikut Rasulullah ..kita kena belajar khusus, kena berguru, berkitab..tidak cukup hanya dalam program ceramah maulid semata-mata.

>Semua kehidupan kita adalah ibadah.

>Makan- Ibadah, bagaimana makan kita boleh jadi ibadah?...Rasulullah selalu  makan apa? Daging kambing, susu..Kita?..berkait makan juga kita kena cermat dan teliti lihat siapa yang memasak makanan tersebut, kena pilih kedai makan..bukan semborono sahaja makan di mana-mana kedai.

>Sukan-Ibadah, Rasulullah pernah berlumba lari dengan Aisyah, Rasulullah anjurkan kita menunggang kuda, memanah. Kita? Dalam beriadah kena menutup aurat..Kita lihat pakaian atlet-atlet..Andai kita boleh bertanya kepada Rasulullah, agaknya Rasulullah  setuju dengan pakaian atlet kita?

>Kerja-Ibadah, kita tidak culas, amanah dengan kerja, tidak menerima rasuah, tidak masuk kerja lewat..balik awal..selalu nak claim itu ini, pergi kedai beli barang untuk pejabat pun  mintak persen.

>Ibadah Khusus : Solat- Bagaimana solat fardhu Rasulullah..Di masjid, sehingga di saat akhir Sahabat papah Rasulullah ke masjid..kita?

2. Rasulullah juga sebagai bapa yang cintakan anak-anaknya.

i- Rasulullah suka bermain-main dengan anak-anak dan kadang-kadang beliau memangku mereka. Beliau menyuruh Abdullah, Ubaidillah, dan lain-lain dari anak bapa saudaranya  Al-Abbas r.a. untuk berbaris lalu berkata, “Siapa yang terlebih dahulu sampai kepadaku akan aku beri sesuatu (hadiah).” merekapun berlumba menuju kepada Rasulullah, kemudian duduk di ribanya  lalu Rasulullah mencium mereka dan memeluknya.

ii-Nabi Muhammad SAW. sering berkunjung ke rumah para sahabat Anshar dan memberi salam pada anak-anaknya serta mengusap kepala mereka.

iii-Kisah yang masyhur Rasulullah bersama cucunya di masjid ketika solat.

Peranan Bapa :
a)bagi didikan agama kepada isteri dan anak-anak.
b) jika tidak mampu, bawa anak isteri mendengar program-program ilmu.
c)hantar anak ke sekolah agama, pusat tahfiz kerana jika pandai agama –boleh bawa kepada selamat dunia dan akhirat.-Ada ijazah sampai PHD tapi kalau jahil agama..tiada ertinya. Kalau kita mati bayangkan anak-anak upah orang lain untuk solat sebab mereka tidak pandai..Nak doakan kita pun minta imam yang bacakan doa.

3. Rasulullah dengan al-Quran 

Diceritakan oleh Ummul Mukminin Aisyah r.a : كان خلقه القران

Peranan Kita :
-      >>Kita boleh membaca al-Quran, kalau tak pandai kena mulakan dengan belajar. Jangan biarkan diri kita mati dengan buta huruf al-Quran.
-       >>Tidak cukup dengan tahu baca sahaja, kita kena fahamkan al-Quran, hadiri kelas pengajian tafsir..supaya kehidupan kita selari dengan kehendak al-Quran.

Monday, January 21, 2013

Judi : Bebas dan berleluasa di mana-mana

Baru-baru ini saya menghadiri operasi melupuskan barang-barang yang telah disita melibatkan peralatan permainan judi internet. Kebanyakan pusat operasi permainan judi berasaskan internet ini berselindung di sebalik perniagaan Cyber Cafe (menawarkan perkhidmatan menggunakan komputer dan internet kepada pelanggan). Setakat yang dimaklumkan di daerah Lipis terdapat 10 premis Cybber Cafe yang berlesen. Sepanjang tahun 2012 MDL dengan kerjasama pihak polis telah menjalankan 28 operasi.

Hasil operasi, pihak MDL telah menyita sebanyak 2040 buah barangan yang melibatkan kos sebanyak RM 156 000.00. Kebanyakan barangan seperti monitor, CPU, Keyboard, Mouse, Modem, pendrive, broadband.

Sekarang di daerah Lipis, dari 10 premis yang berlesen, 5 premis telah dibatalkan lesennya dan hanya tinggal 5 premis Cyber Cafe sahaja.

Perniagaan judi internet ini sangat merugikan pengguna, yang mendapat untung tokey-tokey CC yang menjalankan perniagaan ini. Diberitakan separuh hari perniagaan sahaja mereka telah memperolehi lebih dari RM 8000.00. Bayangkan satu hari sahaja menjalankan perniagaan hasil dapatan mereka mencecah hingga ke RM 20 000 ke atas.

Dalam Islam telah jelas HARAM hukum berjudi. Bahkan agama-agama yang lain juga menolak perbuatan berjudi.

Kemusykilan kita ialah..Islam dan agama-agama lain sepakat menolak judi, tetapi kenapa perbuatan dan tempat untuk berjudi masih ada di negara kita. Yang lagi pelik pusat judi terbesar juga turut ada di negara kita dan letaknya di negeri Pahang lagi. 

Firman Allah yang bermaksud : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya… (al-Baqarah: 219)

Kita berdoa agar kita semua diselamatkan dari gejala berjudi ini..dan InsyaAllah kita doakan suatu hari nanti negara kita khasnya akan bersih dari gejala judi..



Tuan Setiausaha Majlis Daerah Lipis sedang menyampaikan taklimat.

proses perlupusan, setelah dihancurkan..akan ditanam

...

Monday, January 07, 2013

Sekitar Program Cuti Sekolah Di ALC Bandar Temerloh

Sempena  cuti sekolah yang lalu, Al-Baghdadi Learning Center (ALC) Bandar Temerloh telah berjaya mengadakan program Smart Al-Quran selama dua minggu. Kini ALC Bandar Temerloh membuka sesi pengajian untuk tahun 2013. Jangan lepaskan peluang untuk bersama dengan kami. ALC Bandar Temerloh beroperasi di tingkat atas, Kedai Buku Al-Hidayah Temerloh. Hubungi : 019-9413293 (Ustaz Izhar)








Tuesday, January 01, 2013

Pomen Melayu atau Cina?

Bila kenderaan kita rosak, maka tempat yang dituju adalah bengkel atau biasa disebut workshop. Pekerja di situ dikenal dengan pomen. Ketika kenderaan saya rosak, orang-orang di sekitar menyarankan supaya jangan pergi ke bengkel orang melayu. Kata mereka ' bukan tak nak tolong orang kita, tapi itulah....baik pergi ke pomen cina' . Masing-masing pun menceritakan pengalaman silam mereka ketika berdepan dengan pomen melayu.

Persepsi kebanyakan masyarakat kita, bengkel melayu ini teruk, tak pandai, tidak mahir dan tidak berkualiti. Sebenarnya banyak juga bengkel melayu yang bagus. Contohnya di Temerloh saya biasa dengan bengkel Syam Pomen yang cukup tersohor di daerah itu. Dan bukan semua bengkel cina bagus. Contohnya, ketika kereta saya mengalami masalah semput, kebetulan pula pada musim raya..confirm bengkel melayu cuti berminggu-minggu, saya ke sebuah bengkel cina yang kebetulan buka. Pomen di situ menukar plug yang baru. Tetapi rupanya plug yang dia tukar itu tidak sesuai dengan enjin kereta. Terpaksa pula saya tukar semula di bengkel melayu di daerah lain.

Sekarang, kereta saya telah tersadai di sebuah bengkel melayu dekat dua bulan lamanya. Bila tanya macam-macam alasan yang diberikan..tunggu barang lah, tinggal sedikit sahaja lagi bla...bla... Maka orang di sekitar pun berbunyi...itu lah hantar lagi ke kedai melayu...

Kedai melayu itu, bermaksud kedai orang Islam...dan saya serta ramai lagi sebolehnya ingin membantu umat Islam yang lain. Cuma pekedai yang beragama Islam itu perlulah mengubah sikap mereka sesuai dengan kehendak agama. Jika tidak persepsi masyarakat tentang keburukan bengkel melayu terus berkekalan... Sedar dan berubahlah wahai Saudaraku yang bergelar pomen...tunjukkan kualiti terbaik selaras dengan kehendak Islam yang menyatakan kita adalah umat yang terbaik. 
Wasalam.

Friday, December 28, 2012

Luahan Penggerak Masyarakat

Beberapa minggu yang lalu, disebabkan menteri hendak datang melawat ke kampung orang asal (asli) di Pos Pantos, saya turut sama hadir bersama-sama dengan sahabat penggerak masyarakat orang asli. Di penempatan orang asli, JAKIM ada menyediakan pegawainya yang berjawatan sebagai Penggerak Masyarakat orang asli, cuma jawatannya sehingga sekarang masih lagi berstatus kontrak. Di negeri Pahang, selain Penggerak turut terdapat jawatan pembantu penggerak yang diselenggarakan oleh MUIP dan Yayasan Pahang.

Biasalah, di mana-mana pun bila menteri datang, pelbagai permintaan dan kehendak orang kampung diluahkan. Ketika ucapan aluan Pegawai JKOA, beliau menyuarakan yang penduduk kampung ini inginkan pencawang telefon dipasang supaya kampung mereka ada 'line', tak kisahlah Celcom, Digi atau pun apa-apa syarikat, paling penting mereka nak ada 'line'.

Menjadi kelaziman dan sudah seperti kemestian, bila program dengan orang asli ada 4 agenda yang 'wajib'.
- mesti ada jamuan makan
- mesti ada acara karoke
- pembahagian bantuan makanan seperti beras, garam dan gula
- lobi kepada orang kampung supaya mengundi ahli politik sekian-sekian.

Saya berkesempatan berbual dengan penggerak-penggerak (daie) masyarakat di sini, kata mereka :
masyarakat orang asli sudah dibiasakan dengan bila orang luar (bandar) datang mesti bagi barang dan duit. Ada barang dan duit baru mereka layan disebabkan tabiat itu telah disebatikan sekian lama oleh golongan pemerintah.

Sehinggakan, para penggerak ini sudah menjadi seperti YB, tempat untuk mereka meminta-minta (baca bukan kesemuanya penduduk kampung begitu). 'Ustaz duit saya sudah habis, sudah dua hari saya tak dapat beli susu anak, minum air teh sahaja ' antara perbualan yang biasa dialami oleh penggerak. Nak tak nak Penggerak kenalah hulur duit buat mereka.

Hasrat dan luahan hati penggerak supaya mereka diberikan petty cash yang dapat dihulurkan, ketika berhadapan dengan permintaan orang asli. Sudahlah gaji kecil, jarak perjalanan yang jauh, kadang-kadang berasa payah juga, nak beri duit sendiri dah pokai, tak beri mereka akan jauh dengan kita, sebab budaya sentiasa diberi telah sebati dengan mereka.

Ancaman yang lain lagi ialah kesungguhan pendakyah kristian masuk kampung orang asli untuk menyebarkan ajaran mereka. Ada di kalangan pendakyah mereka yang sanggup hidup duduk bersama orang kampung bertahun-tahun, mereka buatkan generator elektrik, mereka buatkan empangan air, misi bantuan mereka yang tidak putus-putus, bekalan makanan lagi..duit, Dr-Dr yang mereka hantar ke kampung-kampung tidak terlawan oleh para Penggerak.

Kebiasaannya, di setiap negeri, Orng dari pejabat agama, majlis agama datang buat program pengislaman, buat surau..habis satu kampung masuk islam. Lepas itu mereka tinggalkan penduduk kampung, sekali sekala jenguk..berbeza dengan komitmen yang diberikan oleh pendakyah kristian.

Ada suara-suara yang biasa kita dengar menyebutkan : memang ada pihak yang hendakkan supaya masyarakat orang asli ini kurang berilmu pengetahuan dan jauh dari agama Islam, supaya senang mereka nak guna untuk mengundi dan menyokong Parti mereka. Wallahua'lam kebenarannya...

Namun begitu, tidak dinafikan semakin ramai yang sudah pandai dan belajar tinggi termasuklah dalam bidang pengajian Islam. Yayasan Pahang ada membuat PETAMA, lepasan dari Petama ada yang melanjutkan lagi ke Kelantan, dan ada yang telah melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

Rakan kami, Johari (orang asli) lepasan PETAMA yang turut mengaji dan menghafal al-Quran  ketika kami belajar di Maahad Tahfiz dahulu. Sekarang beliau menjadi tenaga pengajar PETAMA dan IKIP. 

Baru-baru ini, ketika temuduga guru KAFA, terdapat calon dari kampong orang asli dan pernah belajar agama di PETAMA, ketika ditemu uji jauh lebih baik berbanding sebahagian  lepasan pelajar agama yang mempunyai STAM.

Kesimpulannya : Penggerak (daie) perlu diperbanyakkan dan dibantu, terutamanya dari sudut kewangan. Program-program berbentuk pengisian ilmu perlu digiatkan di kampung-kampung supaya penduduk dapat memahami ajaran agama dan tidak lagi diperbodohkan oleh mereka-mereka yang mengambil kesempatan hanya untuk menjaga karier dan periuk nasi mereka sahaja.

Wasalam. 

Bersama Penggerak-pengerak berjalan di penempatan POS Pantos
Gelanggang futsal menteri dah bagi, mereka nak line telefon pula.


Ketika program berlangsung.
 

Thursday, December 20, 2012

Tazkirah minum Arak

Minggu lalu, saya mempunyai slot tazkirah khas bersama-sama 7 orang yang 'terpilih'. Mereka telah ditangkap di pusat hiburan dan disyaki telah mengambil minuman yang memabukkan. 6 lelaki dan seorang perempuan dan lingkungan umur hampir sebaya antara 20an-40an. Kebanyakan dari mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap. Turut bersama dalam sesi tazkirah tersebut ialah penjamin-penjamin kepada 7 orang yang 'terpilih' tadi.

Di sini saya tidak bercadang untuk menceritakan isi tazkirah tersebut, cuma sekadar menimbulkan beberapa muhasabah buat kita semua.

-Teks khutbah jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti negeri Pahang baru sahaja berbicara perihal 'minum arak' dan ini bukanlah kali pertama tajuk khutbah seperti itu, sudah kerap dan berulang-ulang saban tahun. Jenuh Khatib 'membaca' dan menyeru  para makmum sekalian supaya menjauhi minuman tersebut. Nampak gayanya peratus keberkesanan menyedarkan orang di mimbar khutbah jumaat sangat tipis, mungkin hampir-hampir sifar. Tidak menunding pada orang lain, rasanya termasuk saya ketika mendengar khutbah jumaat sepertinya kurang 'something feel' yang boleh menyebabkan orang boleh berubah bila mendengar khutbah jumaat.

-Boleh jadi, mereka yang terlibat dengan gejala minum arak tidak pergi menunaikan solat jumaat. Tidak menunaikan solat jumaat bukanlah sesuatu yang pelik sekarang ini. Manusia bebas dan tidak ada rasa segan untuk tidak solat jumaat. Biasa sahaja ketika waktu solat jumaat, kaum lelaki bebas berkeliaran di pusat membeli belah, kedai makan. Nak 'husnu dzan' sebagai musafir macam bukan. Seorang pakcik yang berniaga kedai makan sering bercerita, bila hari jumaat penuh meja-meja kedai makan dengan orang. Ada tokey kedai yang tidak kisah pun, turut sama  menjual makanan pada waktu solat jumaat. Kata pakcik itu lagi, di kedai dia, masuk waktu jumaat, dia tidak lagi menjual makanan, tapi dia tidak ada kuasa untuk larang orang dari duduk-duduk di kerusi kedai makan.
Kedai koperasi masjid yang terletak agak berjauhan dengan masjid di bandar baru, juga sering didatangi orang untuk minum-minum ketika hari jumaat, sebelum kami memutuskan untuk OFF buka kedai pada hari jumaat.

-Minuman arak mudah untuk diperolehi. Pergi sahaja ke kedai 'seven eleven' sesiapa pun boleh membelinya. Yang kesiannya casher dan pekerja di kedai seven e kebiasaannya orang islam.

-Untuk membenteras, kalau nak harap kepada penguatkuasa agama susahlah. Kalau di daerah-daerah di Pahang, setiap daerah hanya ada seorang dua sahaja penguatkuasa agama. Nak 'cover' suatu daerah yang besar ? (memang disengajakan penguatkuasa agama ini disikitkan oleh pemerintah)

-Hukuman yang dijatuhkan hanya kepada mereka yang minum, yang jual tidak ada apa-apa, lesen besar lagi. Yang kena hukum  pun kategori ikan bilis sahaja. Jerung dan paus penguatkuasa agama pun tak lepas nak tangkap. Silap-silap penguatkuasa ini yang bersalah.  

-Hukuman bila sabit kesalahan pun bagi negeri Pahang denda RM 5000, setahun penjara dan 6 kali sebatan. Tak lepas lagi dengan mahkamah Allah. itu pun boleh diskaun. Contoh macam kes Kartika, hukuman hanya buat khidmat masyarakat di rumah anak yatim sahaja.

Kesimpulan.
Bukan salah peminum sahaja : 
-kalau arak mudah nak dapat  dan beli.
-Pelajaran agama tidak menjadi teras dan keutamaan dalam sistem pendidikan.  
-Lesen menjual dan kilang arak bebas di dalam 'negara islam' ini.

Semua pihak perlu memainkan peranan di semua peringkat. Dari rumah, sekolah, tempat kerja, bandar, negeri, negara dan dunia Islam.  

wasalam.

Friday, December 07, 2012

Terus Berlari ; jangan tersungkur rebah!

Orang biasa mendengar Ceramah Motivasi, terutamanya golongan pelajar. Boleh dikatakan hampir 
100 % pelajar sekolah sekarang pernah mengikuti ceramah, kursus, program motivasi. Sama ada anjuran sekolah atau pun program anjuran mana-mana agensi.

Bila hampir peperiksaan, slot motivasi diperhebat.. Kata-kata taujihat penuh hamasah dilontarkan oleh si penceramah, oleh guru, oleh ibu bapa, adik beradik dan rakan taulan.

Saya juga pernah melalui zaman belajar formal yang bersistemkan peperiksaan. Bila hampir peperiksaan memang lumrahnya orang akan tertekan... Semangat dan perangsang memang sedikit sebanyak dapat menghilangkan kegusaran.

Antara kata yang selalu kami para senior ucapkan kepada generasi adik-adik kami :

"Terus berlari memegang Baton menuju ke garisan penamat... jangan tersungkur rebah..Bertahan..Larian perlu diteruskan, kita telah lama training untuk saat ini..Ayuh terus berlari"



Saya tertarik dengan kisah Derek Redmond seorang pemegang rekod kebangsaan Inggeris 400 meter. Pada sukan Olimpik 1992 beliau adalah calon untuk menjuarai acara 400 meter.

Namun dipertengahan lariannya, beliau mengalami kekejangan otot. Akan tetapi beliau tidak meninggalkan trek..Bahkan tetap meneruskan perjuangannya hingga ke garisan penamat.

Perjuangannya memukau 65 000 penonton, walaupun Derek telah kalah dalam acara perlumbaan tersebut, tetapi semua penonton bangun dan bertepuk tangan saat beliau sampai ke garisan penamat.


Klip ini dapat memberi suatu motivasi kepada kita semua, untuk terus bangkit..jangan rebah. Ini baru kisah Si Derek yang bukan Islam...Umat Islam tidak pernah tandus ikon-ikon pejuang yang dapat memotivasikan diri. 
Dalam menghayati kisah pejuang-pejuang Islam yang penuh dengan motivasi..Terlalu banyak kisah dan pengalaman buat pedoman kita semua. Seperti kisah yang masyhur, Semangatnya sahabat Rasulullah Sallallahu'alaihi wasallam, Mus'ab bin Umair R.A yang membawa panji dalam peperangan Uhud. Tangan kanan terpotong, panji berpindah ke tangan kiri, tangan kiri terpotong panji tetap dipeluk dengan kedua belah lengannya yang telah kudung.. Sehinggalah bumi Uhud menyaksikan kesyahidan Mus'ab bin Umair R.A.

Buat Sahabat-sahabat, Adik-adikKu, juga khusus buat AJK KONPIP, teruskan perjuangan kita yang tiada noktah akhirnya. Kalam yang masyhur "Kita bukanlah yang memulakan jalan perjuangan ini, jalan ini telah dimulakan oleh generasi sebelum daripada kita, kita hanyalah penerus kepada rantai perjuangan ini.

Wasalam..

Tuesday, November 27, 2012

Penceramah Selebriti Demand Harga untuk ceramah??



Dari FB Ustazah Wahibah (Pensyarah UPSI)..Luahan pengalaman sahabat sepengajian. Wahai ustaz dan ustazah juga para motivator, mohon pencerahan dan pandangan. Adakah ini fenomena dan keperluan, berpatutan atau tidak. Mohon sama2 membuat renungan jika kita benar2 mengaku menyambung warisan para anbiya.



-------------------------------------------

(dengan sedikit editan)




Malam tadi saya berceramah Sambutan Ma'al Hijrah di sebuah masjid.Lepas cermah biasalah ada jamuan, dan makan bersama j/kuasa masjid.Sambil duduk2 menanti hidangan seorg j/kuasa masjid mengadu kpd saya sekarang ini hdk dpt penceramah hebat2 cukup payah sebab bayaran sgt tinggi.Sebelum ini katanya, pihak masjid hdk jemput seorg penceramah celebriti yg selalu keluar di TV tapi pihaknya (melalui consultant) minta RM 5000.00.


Terkejut saya dibuatnya. Malupun ada.Sebab sayapun penceramah juga. RM 5000.00 utk ceramah lebih kurang 1-2 jam !Apa sudah jadi sesetengah penceramah agama kita ini?Jual agama utk dunia.Yg ini saya betul2 tak boleh terima.Pengalaman saya bertugas di sebuah institusi pernah penceramah celebriti yg menagih bayaran melampau terus kita hentikan.Dulu, kini salamanya dia takkan masuk tempat ini lagi, kalau perangainya tidak berubah. Kita kenal mereka ini.Walaupun penganjurnya agensi kerajaan,agensi kerajaan mana boleh bayar sebarangan.Mesti ikut peraturan.Yg mereka ini tak faham kenapa? Kalau dgn kerajaan duitpun terbatas inikan dgn org kampung.Betul melampulah penceramah2 ini.



Bagi saya penceramah spt ini sudah hilang roh. Dakwahnya telah rosak.Niat dakwahnya utk duit.Memburu kekayaan dunia dgn menggunakan agama. Inilah yg dikatakan pendusta agama.Saya juga faham keperluan memberikan sedikit sagu hati utk penceramah memang mesti difikirkan oleh pihak penganjur.Hargai penat lelah penceramah.Duit minyak, tol, masa, tenaga, keperluan tempat tinggal kalau perlu bermalam dll penganjur kena fikirkan.Jadi sebagai penganjur biasanya akan fikirkan itu semua. Namun bila diminta sampai kadar tidak logik mcm itu, itu yg jadi fitnah !



Selalu saya terfikir, banyak aktiviti keagamaan dibuat.Ceramah motivasilah, ceramah agamalah, macam2 ada tapi masyarakat Islam rosak juga.Apa tidak kenanya.Mungkin antara salah satu jawapannya ialah dakwah hilang unsur keberkatan.Penceramah bukan lagi utk berdakwah TAPI telah menukar niatnya.Dunia sudah di akhir zaman.





Saya  tambah :




Saya dan sahabat-sahabat yang bertugas di masjid memang sering mencari-cari tenaga penceramah untuk mengisi aktiviti pengimarahan masjid. Memang sukar untuk mendapat penceramah (baca yang mula bertaraf dan dianggap selebriti) , nak pula untuk masjid yang jauh terperosok dari bandar besar. Mereka tentu lebih mengutamakan di tempat-tempat yang lagi class, bayarannya pun mahal dan lumayan. Saya pernah juga beberapa kali berurusan dengan 'selebriti'..memang nampak macam berusan bisnes pula... 



Saya juga lihat, bukan ada apa sangat pun isi ceramah mereka, sekadar cakap-cakap sejam dua dapat bayaran beribu-ribu...Sebelum ceramah kena bayar deposit dulu. Program cansel..hilang deposit.. 

Saya cukup terkesan dengan seorang ustaz yang merupakan seorang al-hafiz dan pakar hadis, menghafaz hadis dengan sanadnya, setelah memberi pengisian di masjid kami, pengisian  yang cukup ilmiah  sarat dengan KATA-KATA ALLAH dan RASULULLAH Sallahu'alaihiwasallam, ketika ingin wida' saya menghulurkan sampul duit buatnya..lalu beliau menolak..kami kata kalau ustaz tak nak.. ambillah untuk pusat pengajian tahfiz yang dikelolakan olehnya..juga beliau menolak..
Lalu katanya kepada kami, Ana tak ambil duit dengan cara ini..duit ana dah cukup, sekolah ana pun alhamdulillah..nta doakan ana boleh terus istiqamah menyampaikan ilmu sudahlah. 
Mudahan kita semua cuba untuk berjiwa seperti itu...InsyaAllah..


Friday, November 09, 2012

Kenapa tak pandai solat?


Pada suatu pagi, ketika saya mundar mandir di hadapan masjid, kelihatan seorang lelaki seperti mencari seseorang. Ketika berselisih dengan saya, dia menanyakan hendak berjumpa dengan imam. Saya menanyakan hajatnya, terus lelaki tersebut menjadi sebak sampai terisak kecil. Beliau menceritakan hajatnya dalam keadaan sebak iaitu nak belajar solat. Katanya lagi dia dah berkeluarga, dah ada isteri dan anak. Tak ada orang nak ajar solat kepadanya.

Beberapa isu yang ingin saya kaitkan:
i.                     Lelaki ini merupakan rakyat tempatan dan generasi muda+pertengahan yang sudah pasti bersekolah di bawah Kementerian Pelajaran/pendidikan. Sudah tentu terkandung dalamnya mata pelajaran agama. Di sekolah rendah ada PAFA. Dia lulus PAFA?. Kalau dia diluluskan oleh ustaz & ustazah walaupun hakikat sebenarnya dia sepatutnya tak lulus..agak-agak malaikat raqib atid tulis apa ye dekat buku catatan amalan ustaz ustazah tersebut? Malaikat catat kebaikan? Sebab menolong orang dengan bagi markah lulus? Bukan ke ustaz ustazah tersebut telah melakukan penipuan dan khianat dalam amanah menyampaikan ilmu?
ii.                   Dilema yang dihadapi oleh ustaz ustazah yang terbabit dengan PAFA, memang ramai yang tidak layak untuk lulus. Tetapi pihak pentadbiran mengarahkan untuk bagi lulus untuk jaga prestasi sekolah. Hasilnya pelajar tak endah bila berhadapan dengan PAFA, sebab bagi dia tidak ada kesan apa-apa. Pentadbiran demi menjaga reputasi sekolah di mata manusia sanggup berbuat begitu..agak-agak dalam pandangan tuhan macamana si pentadbir tersebut?
iii.                  Kesannya, pelajar yang tak reti asas farhu ain, seterusnya meningkat dewasa kalau tiada kesedaran teruslah hanyut sampai ke mati.
iv.                 Lelaki tersebut telah berkahwin, sudah tentu dia telah melalui kursus kahwin yang menjadi syarat bagi pasangan yang hendak berkahwin mesti melalui kursus kahwin. Saya berpendapat, silibus dan konsep kursus kahwin yang sedia ada tidak berkesan kepada peserta. Contoh yang menarik, dahulu kursus kahwin diadakan di Pejabat agama yang duduk berhadapan dengan masjid, tetapi bila tiba waktu rehat untuk peserta makan dan solat zohor..tak ada yang sangkut ke masjid..bahkan penceramah nya pun batang hidungnya dalam setahun boleh kira beberapa kali tersangkut di masjid, semestinya hari jumaat, itupun jumpa di belakang-belakang.
v.                   Lelaki tersebut sudah tentu ketika kecilnya bersama dengan ibu bapanya. Ibu bapanya tak pernah ajar anaknya solat? Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam Hadisnya  yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Tirmizi. Maksudnya " suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat sewaktu umurnya 7 tahun, dan pukullah mereka sewaktu umurnya 10 tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur mereka'.  Hadis yang lain mafhumnya, setiap anak yang lahir dalam kedaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi.. Nampak gayanya ibu bapa juga ramai yang tidak mementingkan pegangan dan amalan anak masing-masing, sebabnya ibu bapa pun sama-sama jadi calon neraka.
Semestinya, pemerintah yang sepatutnya berperanan. Saya pernah terbaca kisah hidup Allahyarham Pak Sako, ketika mudanya beliau pernah berkhidmat sebagai ADO dan hakim. Beliau menceritakan ketika melalui temuduga, antara soalan yang ditanya kepadanya ialah pandai marhaban?..dan dia pun membacakan beberapa bacaan rawi yang dihafalnya..Agak-agak soalan macam itu ada ditanya sekarang? 

Friday, November 02, 2012

Mari Berubah-Dari Jahil kepada Alim

Perubahan
Mutakhir ini, sudah ramai insan  yang kembali sedar ke pangkal jalan. Suatu perkembangan yang sangat baik. Perkembangan ini meliputi orang muda, orang pencen, juga golongan artis. Kebiasaannya arus kesedaran ini merebak di bandar-bandar besar, di kampung dan pekan perkembangan seperti ini masih sukar.

Mengekalkan perubahan
Setelah mereka berubah, sudah pasti banyak tabiat lama yang sudah sebati  perlu dijauhi. Semua orang mampu berubah, cuma yang sukarnya adalah untuk mengekalkan perubahan. Untuk mengekalkan perubahan dan supaya ianya selari dengan kehendak syariat, maka insan yang ingin/telah berubah perlu mendalami ilmu agama.

Perubahan tidak lama
Kita pernah lihat, orang-orang yang berubah tetapi tidak lama perubahannya, bahkan ada yang menjadi lagi teruk berbanding zaman sebelum ia berubah. Hal ini berlaku kerana mereka tidak rapat dan akrab dengan majlis ilmu dan melaziminya. Contoh artis perempuan yang membuat perubahan, dari free hair kepada memakai hijab. Kemudian kita melihat ada yang sekejap pakai sekejap buka. Ada yang buka bila dapat tawaran berlakon dan pekerjaan. Tidak keterlaluan saya nyatakan contoh, seperti OGY, Lidyawati (mudahan mereka mendapat petunjuk).
Saya pernah lihat, seorang pak cik yang baru pulang dari menunaikan haji, dia membuat perubahan drastik dari datang ke masjid hanya pada hari jumaat, kepada datang setiap waktu. Bukan sahaja pada waktu solat fardhu, tetapi waktu dhuha, dan banyak masanya dihabiskan ke masjid. Cuma, apabila ada program ilmu, dia tidak berapa gemar nak mengambil bahagian. Katanya 'banyak mengata orang'. Tetapi tidak lama selepas itu, mungkin dia telah bosan, maka dia kembali semula kepada tabiat lamanya. 

Salah Faham Dalam Pencarian Ilmu
Ada juga yang selepas ada kesedaran, maka dia mengikuti kelas mengaji al-Quran. Pernah diceritakan oleh sahabat saya, seorang pakcik yang baru khatam al-Quran bercerita kepadanya, 'ustaz, saya ini dah habis belajar, tak tahu lah lepas ini saya nak buat apa untuk isi masa saya'. Kesian pakcik tersebut. Dia anggap dah OK hanya dengan belajar mengaji al-Quran sahaja? Ada yang lepas khatam dengan guru ini, dia pergi mengaji dengan guru lain pula..begitulah..
Kita lihat, ramai juga yang berkejar untuk belajar mengaji al-Quran sahaja. Ada yang dalam seminggu setiap hari dia belajar mengaji al-Quran dengan pelbagai guru. Tetapi ilmu lain yang sangat luas dia tidak ambil peduli. Pernah di masjid kami, ketika masjid menganjurkan program halaqah ilmu, antara pengisiannya ialah Syarah Kitab Hikam, Kitab Fiqh Manhaji & tafsir surah pilihan. Disebabkan ada program halaqah ilmu tersebut, maka guru mengajinya menunda kelas mengajinya yang juga di masjid. Ada makcik-makcik ini, dah sampai ke masjid pun, bila dapat tahu kelas mengaji cansel..balik dia..tak rasa langsung keinginan untuk mendengar majlis ilmu tersebut. Saya percaya situasi seperti ini berlaku juga di mana-mana.  

Langkah Kita
 
Maka kita kena memastikan seluruh kehidupan kita dipenuhi dengan pencarian ilmu. Kita buat check List pelajaran apa yang telah dipelajari dan yang mana belum. Contoh : Mengaji Al-Quran- Ada, Tafsir al-Quran-Xde lagi, Hadis-Xde, Feqah-Kadang-kadang dengar kuliah, Sirah-Ada, Aqidah-Xde...dll. Yang tak lagi, kita usaha bagi ada, dan yang dah ada kita istiqamah.

Akhirnya..Jom kita Belajar..Slogan Ustaz Azhar Idrus :Jom Gi Kuliah..Supaya kita tidak salah faham dalam Islam dan perubahan kita selari dengan kehendak syariat.
InsyaAllah, Allah akan mudahkan jalan kita... 

Friday, October 26, 2012

Salam Adha

Dua, tiga hari sebelum raya, jumlah ahli jemaah ke Masjid kami sudah berkurangan. Ramai warga tetapnya yang telah pulang ke kampung masing-masing. Ramai jemaah tetap kami terdiri dari orang luar yang bukan berasal dari daerah ini, cuma ditempatkan bertugas di sini, termasuklah hampir sebahagian besar pegawai masjid yang juga berasal dari luar.Sebab itu, bila hari cuti umum sukar untuk masjid ini mengadakan aktiviti yang besar kerana warga tetapnya tiada. Bukannya tiada orang pior daerah ini yang menetap di sekitar... tetapi mungkin mereka tiada selesa hendak ke masjid ini.

Malam dan subuh pagi raya, jumlah kehadiran kadangkala bertambah dengan musafir yang singgah, juga perantau yang pulang ke kampung halaman. Tetapi tak sampai pun 50 orang, sedangkan solat sunat raya nanti jumlahnya bertambah berlipat-lipat kali ganda, sehinggakan orang pun kata 'tak muat dah masjid kita ni, kena perbesarkan lagi'.
Solat sunat pula yang diutamakan berbanding yang fardhu. Mungkin sebab guru mereka yang mengajar begitu, ataupun ibu bapa yang mengajarinya. Ini yang menjadi ibadah hanya menjadi adat sahaja.
Ada pula golongan pemimpin yang bila hendak ke masjid, kena pula orang awam  meraikan beria, sebab itu pemimpin-pemimpin jarang datang ke masjid, sebab mereka tak nak menyusahkan orang awam. Mana taknya..bila nak pergi masjid kena buat sambutan beria..duit pun banyak habis..jadi depa kata tak nak lah menyusahkan orang ramai ini...Hebat depa ni..datang ke rumah Allah..menjadi tetamu Allah..manusia sambut hebat lagi..
Bila aidil adha ini, penceramah akan bicara soal pengorbanan, soal menunaikan ibadah haji, soal ibadah korban. Saya tertarik nak ulas berkaitan binatang korban. Ada yang bertanya kepada kami, masjid ini berapa ekor? tak sempat jawab terus dia sambung..tempat saya 9 ekor, 15 ekor...bla..bla..bla.. Ramai juga ulama yang berpendapat, sekarang ini aula kita sumbangkan kepada fakir miskin termasuk negara luar yang susah seperti di Palestin. Kampung kecil, sampai 15 ekor, setiap seorang dapat berkilo-kilo daging, penuh peti ais.. ada itu, sampai raya tahun depan, ada lagi rupanya sisa daging korban raya tahun ini. Bukannya tak bagus mengeluarkan duit untuk ibadah korban, tetapi kita mahukan seimbang..ini bila orang minta  infaq untuk perjuangan Islam liat nak bagi.. time korban hebat bersaing.   
Akhirnya, di kesempatan ini Saya ucapkan selamat hari raya Aidil Adha buat semua kenalan baik di mana jua anda berada. 

Kenangan ketika menunaikan Haji bersama sahabat-sahabat , tahun 2006 yang lalu.




Monday, October 22, 2012

Kem Intensif Al-Quran di SMA Pelangai



20-21 Oktober 2012 : Kem Intensif Al-Quran (KIA 2012) bertemakan ‘Mesra al-Quran akrab Ilahi’  telah diadakan di Sekolah Menengah Agama Pelangai, Bentong yang telah disertai oleh  semua pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama Pelangai yang berjumlah seramai 104 orang.

Program ini adalah anjuran bersama Sekolah Menengah Agama Pelangai bersama dengan sebuah NGO iaitu  Persatuan Alumni Pelajar Sekolah Menengah Agama Islam Pahang (PERMAI).

Dalam program ini, para peserta dibimbing untuk lebih mahir dan mengenali hukum hakam tajwid seperti hukum Nun mati, hukum Mim mati, hukum Mad dan sejarah al-Quran. Para peserta juga berpeluang untuk memperbaiki bacaan surah Al-Fatihah masing-masing.

Peserta dibimbing oleh 14 orang fasilitator daripada PERMAI yang juga merupakan lepasan sekolah menengah agama di negeri Pahang. Program KIA 2012 ini dirasmikan oleh Tuan pengetua Sekolah Menengah Agama Pelangai, Tuan Hj Mohd Nasir bin Abd Malek.


Tuan Pengetua, guru-guru SMA Pelangai bersama barisan Fasilitator.


Friday, October 19, 2012

Ingin Mendalami Agama ; Bagaimana?

Saya pernah berjumpa dengan orang yang nak sangat bertukar ke pejabat agama. Beliau sekarang bekerja di jabatan lain. Hasratnya hendak mendalami bidang agama, usia pun sudah semakin lanjut katanya lagi. Di pejabat agama islam di seluruh Malaysia ini, stafnya pun bercampur latar belakang. Staf yang berlatar belakang aliran agama biasanya bergred S,  LS dan ada staf gred N, F, R . Mereka ini  boleh bertukar-tukar ke jabatan lain, tidak tertakluk kepada agensi yang berkait dengan agama sahaja.

Bukanlah semua pekerja di pejabat agama berlatar belakangkan agama. Kebiasaannya, orang luar yang mendatangi pejabat agama semua akan digelarkan dengan ustaz dan ustazah. Driver pun orang panggil ustaz juga. Dulu-dulu pernah terjadi di suatu tempat, ada orang ini berurusan di pejabat agama dengan seorang staf perempuan yang digelarnya ustazah. selepas urusan itu, di waktu yang lain dia pernah terserempak dengan staf yang digelarnya ustazah itu bersiar-siar tanpa memakai tudung. Terkejut dia....sebabnya staf tersebut bukan aliran agama, staf kerani gred N,  memang dia tak bertudung pun, tapi bila pergi kerja pakailah tudung seiring dengan perkembangan semasa. Bila bukan time kerja dia free hair balik.. Walaupun dia bertugas di pejabat agama dia tetap sama seperti sebelumnya..hanya jadi ustazah celup aje.

Mungkin hasrat orang yang bertemu dengan saya itu baik, hendak menambahkan ilmu pengetahuan dalam agama, saya rasa itu hanya sebahagian daripada langkah untuk mendekatkan dengan agama. Paling berkesan dan utama dalam hendak mendekatkan diri dengan agama antaranya :
-sentiasa hadir ke masjid dan bukan hanya solat fardhu berjemaah, tetapi mengambil bahagian dalam kuliah-kuliah pengajian yang disusun oleh pihak masjid atau surau.
-Sentiasa membaca bahan-bahan berkaitan tentang agama. Sekarang sudah banyak bacaan santai berkaitan agama seperti majalah Solusi, al-Ustaz, QnA dan sebagainya.
-Mesra dengan Media islam seperti radio Ikim FM dan Tv Hijrah.
-Pada waktu-waktu free seperti tengah drive dengar cd-cd pengajian Islam. 
-Mempunyai guru khusus untuk bertalaqi pelajaran agama.
-Sentiasa mendampingi dan mengasihi para ulama.

Wallahua'lam.

Thursday, October 18, 2012

HPA yang kusertai

Sebelum ini saya tidak berapa pedulikannya walaupun saya tahu  kewujudannya. Semuanya bermula semasa saya berada di Mesir. Kami berpeluang mengikuti kursus anjuran HPA dan PMRAM yang dihadiri sendiri oleh pengasas HPA, Tuan Hj Ismail.
Saya begitu tertarik dengan penerangan, objektif dan perjuangan HPA dan Tuan Hj Ismail sendiri.
Setelah saya berada di tanah air, saya bersama sahabat-sahabat scara rasmi join HPA dengan menjadi ahli. Bukan setakat menjadi ahli biasa, tetapi turut pergi ke kursus PBC yang dianjurkan oleh HPA. Cuma semasa saya di kursus tersebut, penerangan yang diberikan oleh 'PJS' agak berlainan, kali ni mereka lebih fokus kepada mencari duit, jadi senang, boleh melancong, kereta hebat. Penerangan yang berbeza dengan Tuan Hj Ismail.
Yang paling tak best dalam PBC tersebut, penceramah tetapnya kencing berdiri. Saya pernah terserempak di dalam tandas, dia selamba aje kencing berdiri, sambil disaksikan oleh peserta-peserta yang rata-ratanya terdiri dari mereka yang agak akrab dan memahami agama.
Dalam kitab Bahrul Mazi dinyatakan hukum kencing berdiri bagi mazhab Syafie ialah makruh dan si pekencing berdiri tersebut tidak boleh dijadikan saksi.
Selepas itu, saya selalu membeli produk HPA sebagai keperluan harian. Biasanya apabila ada produk terbaru di kedai HPA saya akan beli, dan kebiasaanya juga produk terbaru itu, itulah kali pertama dan terakhir saya jumpa di kedai HPA. Kerana selepas itu, apabila kita tanya produk tersebut, jawapan penjaga kedai dengan lemah disertai dengan keluhan..tak hantar dah..stok tak cukup.
Saya masih teringat, ketika kami berkursus di UUM, kami sanggup menyewa kereta semata-mata untuk merasa makan di RFC. Di Kuantan  juga pernah dibuka sekejap RCH-Radix Coffe House dan saya antara orang terawal yang masuk ke kedai tersebut. Tetapi usianya tidak lama. 
Mutakhir kebelakangan ini rak-rak di Kedai HPA banyak kosong daripada berisi. Bila client masuk akan keluar dengan hampa, sebab barang yang dicari tiada. Bahkan si penjaga kedai pun sudah naik malu dan segan dengan pelanggan.
HQ membuat dasar baru dengan menyerahkan kedai-kedai di bawah mereka kepada stokis-stokis. Ada yang berjaya dan ada yang lingkup. Laluan yang biasa saya lalu iaitu Lipis dan Jerantut sudah tutup. Kedai di Jerantut sudah naik signbord untuk disewa dan di Lipis tokey kedai sedang giat merubah suai kedai yang asalnya disewa oleh HPA.
Manfaat yang koperasi masjid Lipis  dapat ialah, kami beli peti ais dan rak terpakai dari kedai HPA tersebut.
Akhirnya, memang banyak kisah-kisah tidak menarik yang melibatkan pengurusan tertinggi dalam HPA. Sepatutnya HPA menjadi semakin gagah, tetapi menjadi seperti yang saya kisahkan tadi. Memang hasrat Tuan Hj Ismail tinggi, tetapi orang-orang dibawahnya?

Wallaua'lam..


Wednesday, October 17, 2012

Kuliah Maghrib mingguan atau bulanan

Selepas Ramadhan dan Syawal berlalu..barulah kebanyakan surau dan masjid mula menyusun kembali program kuliah dan ceramah baik mingguan mahupun bulanan. Tiga pegawai dari masjid kami ada berkuliah di sebuah surau. Sudah lebih setahun program tersebut. Rupanya ada juga yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan pengkuliah-pengkuliah tersebut. 'macam tak de da dari tempat lain  yang boleh bagi kuliah, asyik dari Masjid ini sahaja' antara rungutannya.

AJK surau pula dalam mesyuarat mereka, merasakan kewangan mereka cepat sangat susut sebab adanya kuliah-kuliah agama ini. Maka mereka putuskan untuk menukar program kuliah maghrib daripada seminggu sekali kepda sebulan sekali. Ahli jemaah yang tidak berpuas hati mula melarikan diri berjemaah di masjid. 

Setelah beberapa ketika, ada personal berpengaruh  menyatakan kita jalankan juga program kuliah secara mingguan. Kita tak minta dana daripada AJK surau. Kita biayai sendiri kos penceramah, pengkuliah dan jamuan makan.

Akhirnya, atas desakan, Kuliah mingguan berjalan seperti biasa. Dan aktiviti-aktiviti pengimarahan yang lain juga akan kembali dirancakkan, tanpa cetusan, penglibatan serius dan  kewangan dari ajk.

Apa petandanya?

Wednesday, October 10, 2012

Selamat ber PMR

Ketika ingin pulang dari masjid selepas solat Isyak, saya dirapati oleh seseorang. Dia orang luar, singgah untuk solat dan tidur di Masjid sebelum meneruskan kelananya. Ada hajat katanya, rupanya ingin meminta untuk buatkan solat hajat untuk anaknya yang akan menduduki peperiksaan PMR pada keesokan paginya. Saya kata tiada masalah dan mengajaknya turut bersama berjemaah dan saya boleh mengajak lagi beberapa jemaah yang sedang rancak berbual di beranda masjid. Katanya 'imam buat sorang lah'.

Selesai solat saya bertemu dengannya dan dia bercerita 'tak tenang fikiran' kalau bersolat tak boleh nak tumpu. Ceritanya lagi ' semalam saya berniaga di Raub, malamnya tidur di masjid lama Raub. Tengah malam ada orang lelaki tanya dekat dia, 'nak tak buat projek dengan dia' . Dia terkejut lalu jawab berseloroh..Kalau nak dengan perempuan buat apa sesama lelaki'. Selepas itu Dia basuh budak itu.. dan katanya sepanjang hari..budak tu banyak menghantar sms dan miscall dia..Itu lah cerita kenapa Dia tak tenang dan rasa tidak boleh untuk buat solat hajat. 

Saya rasa, beliau bersungguh-sugguh mahukan kejayaan buat anaknya. Sebab itu beliau berusaha juga untuk memohon kepada Allah walaupun melalui wakilnya.
Selamat menduduki peperiksaan buat semua pelajar PMR.. Sebagai motivasi saya sarankan pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR tahun hadapan (Pelajar PMR tahun ini periksa dahulu, dah sudah baru boleh) untuk membaca dan menekuni komik Misi 8A. Banyak pengalaman dan pengajaran buat para pelajar sekalian.

Komik Misi 8A, karya Afiq dan Nazry keluaran PTS. Dapatkan di kedai-kedai buku.