Tuesday, July 31, 2018

Air terjun Lentang

Biasanya hanya lalu sahaja. Kali ini terdetik nak berhenti singgah. Sebab dah lama sangat tak masuk ke situ.
Kalau dahulu semasa kecil.  Biasanya ayah akan singgah di Lentang jika nak ke Kuala Lumpur.
Pernah saya mengikuti ayah dan beberapa kawannya survey ke beberapa kawasan air terjun, termasuklah di Lentang. Tujuannya untuk buat program Perkhemahan Islam untuk pelajar sekolah menengah. 
Beberapa tahun dahulu, saya juga  singgah beberapa kali ke Lentang, bukannya untuk mandi. Tetapi kerana suka melihat dan merasai suasana air terjun.
Tetapi kali ini, agak terkejut bila terpaksa membayar kupon untuk masuk. RM 2 untuk seorang dewasa.

Sekarang kebanyakan perkhidmatan semuanya nak duit. Kan ?
Parking di bandar kena bayar, nak masuk tandas kena bayar. Ini nak tengok keindahan alam pun kena bayar ?
Hai, inilah Malaysiaku.
Saya pernah terbaca sebuah cerpen dalam majalah Tamadun. Sebuah majalah yang tak lama usianya, tetapi seperti pisang goreng panas ketika era reformasi 1998 dahulu. Penulis  tersebut bercerita dalam cerpennya tentang kisah seorang anak muda di masa hadapan, yang nak mengambil wuduk di masjid pun kena masukkan duit, baru air keluar. 
Mungkin ada yang bersangka baik, untuk kos pengurusan. Tetapi sebenarnya jika diurus dengan baik, sumber hutan juga menghasilkan pendapatan yang lumayan. Berapa banyak lori balak yang kita lihat mundar mandir di jalanan ?
Hasil balak ke mana ? Adakah ke poket orang-orang tertentu sahaja ?



 Sudah terbiar,
Antara bangunan yang telah terbiar


Semasa di Mesir, saya tidak melepaskan peluang berkunjung ke air terjun Shalalat di Fayyoum. Kalau ikut kata senior semasa memberi penerangan “memang wow”, satu-satunya air terjun di Mesir.

 Kenangan di Shalalat, Fayoum





Jom kita meneroka alam. Melihat kebesaran ciptaan Allah. Sambil menenangkan fikiran.
Saya tutup cerita ini dengan :
Firman Allah SWT yang bermaksud :  "Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu  ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh  ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan" .( Al-Baqarah : ayat 74).

Blog : http://syababgr.blogspot.com
FB : https://www.facebook.com/alfaqirazraie/

#PermaiMenulis #alam #hutanlipur #lentang #fayoum 



  

Friday, July 27, 2018

Menjadi imam di Masjid Komtaq

Hari ini berkesempatan solat maghrib di Masjid Komtaq (Kompleks Tahfiz Al-Qardhawi). Sesampai sahaja, hanya ada 5 orang wan / nenek duduk menunggu dalam saf.
Kata salah seorang dari mereka, "budak-budak takde, pergi kem dekat Janda Baik".
Adik saya "qamat", dan Saya "naik"  jadi imam.

Ketika dalam perjalanan ke Komtaq untuk solat Isyak, kedengaran laungan azan dari seorang aki / atuk. Sampai di masjid Komtaq, kelihatan dua 'tokki' dan lima orang wan/ nenek yang setia.
Kali ini, adik saya Ansar pula yang naik jadi imam.
Ansar biasa jadi imam gantian di Masjid Komtaq atau pun imam  jarang-jarang di Masjid Saidina Omar. Saya katakan jarang-jarang maksudnya bila tiada langsung jemaah yang boleh dan volunteer jadi imam, barulah dia dipelawa.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya sebut padanya, kena rajin jadi imam. Kerana bila jadi imam ibaratnya kita membuat 'persembahan'. Imam akan prepare ayat-ayat yang akan dibaca. Secara tak langsung kita akan mengulang hafazan.
Ansar bekas pelajar Maahad Tahfiz.

Ansar, selepas solat Isyak di Masjid Komtaq



Ada bekas menteri yang mencadangkan supaya Maahad Tahfiz ditutup. Pandangan tersebut tidak akan timbul jika akal dipandu dengan agama.
Jika sebaliknya, akal akan terpengaruh dengan hawa nafsu yang mentornya adalah syaitan.
Maka muncullah kononnya tokoh-tokoh pemikir yang memikir idea dan cadangan yang berlawanan dengan Islam.
Ramai pula yang menyanjung mereka. Tetapi mengkritik dan memperlekehkan para ulama yang hakiki.
Ikut Islam insya-Allah sejahtera.

Blog : http://syababgr.blogspot.com
FB : https://www.facebook.com/alfaqirazraie/

#PermaiMenulis #komtaq #tahfiz #CatatanImamKecil #imam


Aiskrim coklat dan Vanila yang sedap

Setelah dua tahun “gantung kasut but” hari ini mesin aiskrim kembali beroperasi di kedai Koperasi Masjid Sultan Mahmud.
Kenapa mesin berehat sampai dua tahun ?
Sebab asalnya berkait dengan masjid ditutup untuk memberi laluan proses baik pulih masjid. Bila masjid tutup, kedai pun terpaksa ditutup. Kalau kedai buka juga, alamatnya tiada siapa yang datang.
Apabila masjid telah beroperasi semula, kedai masih belum dapat beroperasi. Barang-barang banyak yang telah expired. Ibaratnya seperti baru nak start berniaga semula. Setelah beberapa bulan selepas itu barulah kedai koperasi dapat dibuka semula.
Tetapi mesin aiskrim masih berehat. Huhu.
Apabila mesin hendak dihidupkan semula, Rasa macam baru beli mesin baru. Kena belajar semula ‘tutorial’. Cara nak pasang mesin sampailah cara nak cuci setelah selesai menggunakannya.

Begitulah ibaratnya apabila kita menghafal al-Quran. Selepas hafal kita tinggal lama hafazan tersebut. Tak buat ulangan (murajaah), kebiasaanya kita akan lupa. Sebab itu bagi penghafal al-Quran sangat penting untuk mengulang ayat yang telah dihafal. Biasa berlegar di kalangan pelajar Maahad Tahfiz kalam “nak menghafal senang, tetapi nak mengulang yang payah”.
Untuk mengulang al-Quran memang kena berdisiplin dan berjadual. Antara kaedah mengulang yang popular di tempat kita, menggunakan kaedah yang biasanya digunakan di Madrasah Pakistan (Sabak, Sabki, Manzil). Selain menghafal baru, ada masa untuk mengulang hafazan yang masih baru dihafal, dan ada jadual untuk mengulang hafazan yang telah lama dihafal.
Apabila kita rajin mengulang, natijahnya insya-Allah kita akan ingat.
Sama juga bagi penuntut ilmu. Rajin mengulangkaji pelajaran, kejayaan akan bersama kita.

Alhamdulillah, hari ini Abang Din, seorang kontraktor telah sudi belanja aiskrim untuk semua pelajar Sar Kafa Tahfiz Masjid Sultan Mahmud.
Saya mesej ucap terima kasih kerana menaja. Jawapan Abang Din, "Rezeki dari Allah".
Hari esok ?
Kena beli sendirilah. Satu kon berharga RM 1.50.
Bukan hanya kanak-kanak yang suka makan aiskrim, semua peringkat umur sukakannya.

Semoga perniagaan Kedai Koperasi Masjid terus bergerak maju dan aiskrim semakin laku.
Bukan senang nak jadi senang. Senang kita tengok orang yang telah senang. Tetapi cuba kita tanya orang yang telah senang, bagaimana usahanya untuk mengecapi kesenangan. Tentu tidak duduk senang lenang untuk mencapai kesenangan sekarang.

Alfaqir Azraie
Pengerusi Koperasi Masjid Sultan Mahmud,
Pengerusi Sar Kafa Tahfiz Masjid Sultan Mahmud.

 Komponen Mesin Aiskrim yang bercerai berai. 2 tahun berehat. Ada dalam almari, ada dalam kotak, ada dalam bakul.


 Aiskrim perisa Vanila dan coklat. Sebelum dimasukkan ke dalam mesin aiskrim kena cairkan. Cair macam minyak masak dalam paket.



 Mesin Aiskrim telah bersedia untuk beroperasi
 Pelajar SAR KAFA Tahfiz Masjid Sultan Mahmud


 beratur menunggu giliran

 Moh beli Soft aiskrim di kedai Koperasi Masjid Sultan Mahmud

Blog : http://syababgr.blogspot.com
Channel : https://t.me/AzraiePermai

#PermaiMenulis #koop #koperasimasjid #aiskrim