Showing posts with label Selamat Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Selamat Hari Raya. Show all posts

Saturday, August 01, 2020

Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha Tahun 2020


Kenangan solat sunat hari raya Aidil Adha di Masjid Sultan Mahmud dalam suasana norma baru mengikut Sop yang ditetapkan.
Musim norma baru ni, semua pihak kenalah memahami dan memberi kerjasama. Di pihak staf masjid kena lebih beria berbanding hari-hari biasa.

Jika tak nak ikut SOP, duduk rumah je lah.

#PermaiMenulis #AidilAdha #solat #masjid #imammasjid #imamkecil

https://youtu.be/A9qRUSMSd3U

Friday, June 28, 2019

Jamuan Raya Penjawat Awam Lipis 2019

Hari ini jamuan raya penjawat awam daerah Lipis di perkarangan Pejabat Daerah Lipis. Macam-macam menu ada, Gerai Pejabat Agama dan Muip Lipis sediakan kek moist. Sekejap je dah habis.
Program gabungan sebegini dapat menjimatkan kos. Setiap pejabat sediakan satu menu sahaja.
Suasana pun lebih meriah, dengan pengunjung yang bertali arus.  Lebih meriah YAB Dato' Sri Menteri Besar Pahang turut sama hadir.






Cuma yang tak besnya, sehari ni sahajalah jamuan raya pejabat-pejabat. Kalau buat sendiri-sendiri, hampir setiap hari ada jamuan raya.
Macam-macam.
Dalam menikmati jamuan raya, jangan lupa madrasah Ramadan yang baru dilalui. Berjaya atau tidak didikan Ramadan dapat dilihat pada masa selepas Ramadan.
#PermaiMenulis #syawal #raya #jamuanraya #paid #lipis

Monday, July 03, 2017

Bila cuti lama

Hari ini kebanyakan rutin kembali seperti sediakala. Pelajar sekolah, guru, penjawat awam dan pekerja di semua lapangan telah kembali ke bangku masing-masing. Setelah bercuti sempena hari raya.
Pengalaman saya ketika bersekolah. Sudah pasti tidak bersemangat hendak kembali ke sekolah. Kalau boleh nak balik lewat sehari dua lagi. Lepas tu beri alasan tiket bas habis. Haha.
Sektor yang bercuti paling lama ialah sesetengah kedai makan. Ada yang sepanjang Ramadan tutup kedai, tambah lagi seminggu lepas raya. Saya rasa ketika nak operasi semula kedai makan setelah lama bercuti mesti agak liat dan malas.
Begitulah kita selaku hamba. Sepanjang Ramadan kita dah warm up melakukan amalan lebih  dari kebiasaan. Start Syawal kembali sejuk. Jangan biarkan lama sangat sejuk. Takut beku macam ais. Ambil masa pula nak cair dan panaskan semula.

#PermaiMenulis
#kitahamba

Saturday, July 01, 2017

Nasi Lemak makanan kesukaan

Nasik Lemak antara kegemaran saya. Rupanya dah lebih sebulan tak berjumpa dengan nasik lemak.
Pergi beraya jumpa pulak nasik lemak. Buat-buat tak pandang laksa fokus ke nasik lemak je. Haha.

Ketika darjah satu. Hampir setiap hari saya makan nasik lemak bungkus daun pisang di kantin. Menariknya nasik lemak tersebut percuma. Tak perlu bayar di kantin. Ambil sahaja. Semua pelajar di sekolah tersebut dapat percuma. Jangan tanya sebab apa. Sebab masa tu saya darjah satu. Terlalu kecil untuk memahami rentak pentadbiran. Huhu.

Air  saya bawa bekal. Duit belanja memang tak berusik. Kadang-kadang sahaja saya beli keropok di kantin. Atau aiskrim batang di rumah cikgu.
Kalau tak beli apa-apa, duit belanja saya serahkan pada guru kelas untuk disimpankan. Cikgu akan catatkan di buku notanya. Nanti beliau akan masukkan di pejabat pos atau Bank Simpanan Nasional. Atau pun van pejabat pos datang ke sekolah. Pelajar lain dalam kelas saya pun sama macam saya. Duit belanja saya ketika itu hanya dua puluh sen setiap hari.

Masuk darjah dua, saya bertukar sekolah. Tiada lagi nasik lemak percuma. Kena beli di kantin dengan harga tiga puluh sen sepinggan. Saya jarang beli, sebab bawa bekal dari rumah. Duit belanja saya ketika itu naik sikit, tiga puluh sen setiap hari. Cukup-cukup buat beli nasik lemak.

Darjah enam, saya bertukar sekolah. Nasik lemak di kantin lima puluh sen untuk yang biasa. Kalau letak sebiji telur rebus harganya jadi tujuh puluh sen sepinggan. Selalunya saya bawa bekal dari rumah. Jadi tak setiap hari saya membeli nasik lemak di kantin. Seingatnya. Saya tak pernah beli nasik lemak yang tujuh puluh sen tuh. Sebabnya duit belanja saya hanya 50 sen sehari.
Tingkatan 1, nasik lemak kantin RM 1 sepinggan. Cukup-cukup dengan duit belanja saya RM 1 sehari. Tak setiap hari juga belinya, sebab tak setiap hari saya berkunjung ke kantin.

Cerita nasik lemak bukan setakat di kantin sekolah. Semasa saya duduk di asrama sewaktu  tingkatan 4 dan 5. Malam-malam beli nasik lemak dekat kedai makan seberang sekolah. Kami berderet menunggu dekat pintu pagar. Waiter akan ambil oder dekat pintu pagar dan menghantar pesanan kami. RM 1.20 untuk sebungkus nasik lemak. Itulah juadah yang mampu buat saya. Tak lepas lagi nak beli nasik goreng pataya. Kenal pun tak lagi. Haha.

Ketika belajar di Mesir, kadang-kadang saya masak juga nasik lemak versi saya. Tak perlu pun tengok buku resepi atau toturial mana-mana. Redah je buat. Yang penting ada nasi, ada sambal, ada telur dan timun.

Kini, saya tidak lagi memasak nasik lemak. Hanya mencari dan mencuba di kedai-kedai makan.
Sempena mood raya ni. Ada yang nak menjamu saya makan nasik lemak ?

#PermaiMenulis
#Nasilemak



Saturday, July 09, 2016

Catatan Imam Kecil : Hang Pi Mana?

Salam Syawal buat semua kaum muslimin khususnya pembaca blog ini. Bila hari raya jalan raya akan penuh sesak, jem krem habis. Laluan Raub-Lipis yang biasanya hanya 40 minit boleh sampai 1 jam setengah. Nak kabonya ramainya orang yang keluar dari rumah masing-masing. Sama ada balik kampung, keluar berziarah ke rumah saudara dan rakan taulan.

Namun ada yang tidak dapat keluar beraya sakan. Kamu tau siapa dia?

Ada yang tidak dapat pulang ke kampung, mereka boleh kita gelarkan sebagai beraya di perantauan. Saya pernah merasainya semasa belajar di Mesir dahulu. Straight dari tahun pertama hingga tahun akhir di Mesir saya tidak pernah balik bercuti ke Malaysia. Walaupun di perantauan tetapi masih dapat beraya dengan sahabat-sahabat sepengajian.

Ada juga kelompok yang tidak dapat beraya sakan dan tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana terikat dengan tanggungjawab pekerjaan. Mereka yang bekerja shift seperti jururawat, polis, askar, Dj radio, hos TV,  Tetapi kebiasaannya mereka yang bekerja pada hari lebaran elaunnya akan dibayar berganda, ada yang sampai tripple dan mereka juga akan dapat Qadho' cuti selepas itu..Fuhh. 

Termasuk juga mereka yang sejawatan dengan saya iaitu pegawai Masjid. Jadi saya juga berpengalaman merasa  bekerja pada hari raya. Cuma kami pegawai masjid tidak mendapat keistimewaan elaun berganda tersebut.

Siapa lagi?

Di kesempatan ini, saya ingin highlight kan Pengawal Keselamatan atau orang panggil JAGA. Di Masjid kami juga ada khidmat pengawal keselamatan, di sekolah, jabatan kerajaan, bank, dan lain-lain premis. Walaupun mereka bertugas baik di masjid, sekolah, pejabat-pejabat, namun mereka hanyalah bekerja kontrak dan terikat dengan syarikat kawalan keselamatan yang mendapat tender di situ. Jika warga kerja di jabatan atau pejabat tersebut dapat imbuhan sempena raya, jangan sangka JAGA juga dapat, kadangkala kenaikan gaji pun mereka tidak dapat, gaji statik sahaja setiap tahun.

Kalau di masjid kami hanya ada dua orang pengawal keselamatan, mereka bergilir shift 12 jam seorang. Bekerja 7 hari tanpa cuti, kerana hanya ada dua orang. Jika salah seorang bercuti, partnernya yang seorang lagi terpaksa cover sampai melebihi 24 jam. Isu ini biasa berlaku di mana-mana sahaja terutama jika di agensi agama dan syarikat yang mendapat tender itu syarikat gergasi, tender-tender di kompeni yang kecil seperti di masjid depa tak ambil kisah sangat. Kebajikan staf mereka sering terabai. Apa yang boleh saya buat?,, di ruang dan sisi yang saya ada, saya timbulkan kepada pihak pejabat, pihak jabatan, juga maklum dan sebut kepada pihak syarikat.. Tetapi hanya sebut sahaja lah..

Saya puji dan mengkagumi mereka yang bergelar pengawal Keselamatan. Lagu Hang Pi Mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Khalifah jangan kita dengar sekadar suka-suka dan halwa telinga sahaja. Tetapi hargailah jasa dan pengorbanan Pengawal Keselamatan. Semoga nasib mereka semua semakin terbela. Selamat hari raya saya ucapkan khusus buat semua Pengawal Keselamatan.

ps : masih ada lagi kelompok lain yang kena bekerja pada hari raya tetapi tidak dapat saya sebutkan di kesempatan ini.

Thursday, September 24, 2015

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1436

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua kenalan dan pembaca Blog ini. Sempena Aidil Adha yang menjelang ini suka saya coretkan beberapa perkara :

- Musim haji tahun ini pelbagai tragedi berlaku di Mekah. Kren runtuh yang mengorbankan dan mencederakan  sejumlah jemaah haji termasuk dari negara kita. Terkini tragedi rempuhan di Mina yang juga mengorbankan sejumlah jemaah haji.  Sudah pasti kita menuntut kepada pihak yang terlibat dalam menguruskan jemaah haji terutama kerajaan Arab Saudi mengambil langkah yang lebih berjaga-jaga dan teliti di masa yang akan datang. Namun selaku hamba Allah yang beriman dengan Qadha' dan Qadar sudah pasti kita menerima dengan redha dan melakukan muhasabah hikmah yang tersirat di sebalik tragedi-tragedi yang telah berlaku ini.

-Tahun ini jumlah binatang korban merosot. Ada yang mendakwa terkesan dengan faktor ekonomi dan kewangan. Orang awam semakin tidak berduit, kewangan defisit ditambah dengan GST, kenaikan harga barang dan juga kos untuk masuk satu bahagian  korban juga meningkat menyebabkan ramai yang tidak berkemampuan. 

-Isu ketika sembelihan antaranya tukang sembelih biasanya mendapat upah atau diperuntukkan bahagian yang tertentu seperti kepala dan ekor. Mengikut hukumnya tidak harus memberi upah kepada penyembelih termasuk memperuntukkan bahagian-bahagian tertentu, tetapi jika diberi kerana kefakirannya dengan sebab hadiah  maka tidak mengapa.

- Selalu juga waris yang ingin membuat korban untuk  kaum keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Ulama Syafie berpendapat tidak boleh korban untuk orang lain tanpa izinnya begitu juga si mati jika ia tidak mewasiatkannya.

-  Kedapatan tokey haiwan korban yang mengambil kesempatan dengan mengabaikan syarat-syarat untuk binatang korban seperti terlalu kurus, cacat dan tidak cukup umur. Ada kita lihat diviralkan gambar di FB gambar lembu yang terlalu kurus. Hadis riwayat al-Barra' bin 'Azib daripada Rasulullah SAW maksudnya : 4 perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah mata, penyakit yang nyata, jelas tempangnya dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang. (At-Tirmizi, Abu Daud, Al-Nasaie dan Ibnu Majah).

-Terdapat orang yang beria mencari dan meminta untuk mendapatkan daging korban. Bahkan ada yang datang menolong untuk melapah semata-mata kerana inginkan mendapat bahagian-bahagian daging yang dihajatinya seperti ekor, kepala, tulang rusuk, kaki dan lainnya. Sampai ada yang bawa guni siap-siap.

- Bagi Masjid di negeri Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang telah membuat penyelarasan masa untuk solat sunat Aidil Adha untuk tahun ini pada pukul 8.15 pagi.  Biasanya maklumat tersebut agak lewat diturunkan ke peringkat akar umbi, mungkin Jabatan Mufti kena memikirkan mekanisma yang lebih berkesan untuk penyebaran maklumat seperti di media sosial, akhbar dan radio di samping melalui Pejabat Agama Islam Daerah. Ada juga orang ramai yang jenis tak cakna, itu yang sampai ke masjid orang dah siap solat.

-Ada orang ramai yang tidak bersetuju dengan isi kandungan khutbah Hari Raya Aidil Adha yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang. Namun pihak yang dipersalahkan adalah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Untuk makluman, di Negeri Pahang semua teks dan panel untuk Khutbah hari raya, khutbah jumaat dan khutbah khas seperti gerhana  di bawah seliaan Jabatan Mufti Negeri Pahang bukannya Jabatan Agama Islam Pahang. Jabatan Mufti diketuai oleh Dato' Sri Mufti Negeri  Pahang manakala Jabatan Agama Islam Pahang diketuai oleh Dato' Pengarah JAIP.

-Soalan-soalan tak patut dari para jemaah kepada  Imam dan Bilal seperti bertanyakan  tak balik kampung ke cuti raya ini. Dia ingat masjid ini boleh 'open' 'close' ke?. Hmm...tak ada pula ahli jemaah yang menawarkan untuk menggantikan tempat Imam dan Bilal semasa tempoh cuti raya. Hampir majoriti Pegawai-pegawai Masjid Daerah di seluruh negeri Pahang merupakan orang luar yang bukan berasal dari daerah tersebut. 

Setakat ini dahulu.. 

Saya sertakan gambar kenangan ketika Hari Raya Aidil Adha. (selepas selongkar, rupanya hanya ini sahaja  gambar -gambar yang ditangkap ketika hari raya Aidil Adha) 

 Kenangan ketika tahun 1 di Mesir : Bersama sahabat serumah Aishamuddin dan Humam(orang Perak) di depan masjid. Belakang budak lelaki tu ada kambing biri-biri untuk dikorbankan. 

Ramai budak-budak arab, seperti pesta meriahnya.

Selepas solat raya  di Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra. Bersama sahabat Se negeri (Hasnol, Zawawi dan Nazri)

 Tahun 3 di Mesir : Selepas solat di Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra

Gambar terbaru yang ditangkap pagi tadi (Aidil Adha 1436), bersama Pegawai Masjid Sultan Mahmud sebelum menunaikan solat sunat Aidil Adha.

Wednesday, July 22, 2015

Selamat Kembali Bekerja

Salam  6 Syawal,
Hari ini sekolah kembali dibuka setelah pelajar sekolah puas cuti beraya. Semalam dan kelmarin jalan raya banyak yang sangat sesak disebabkan kepadatan kenderaan. Malang tidak berbau kemalangan jalan raya tetap berlaku di musim perayaan ini. Tak pasal-pasal siap  viral di FB lagi cerita gajah pulak yang mengamuk di jalan Grik-Jeli, Ish..ish gajah pula yang dapat nama..

Bagi yang bekerja makan gaji dengan majikan selain dari guru sebenarnya hari isnin kelmarin dah mula bekerja, tetapi biasalah..mood raya katakan, ramai yang masih mengambil cuti rehat, ada yang seorang dua sahaja datang ke pejabat, itu pun duduk melepak sebab operasi kepejabatan masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Bila raya biasanya media membuat sorotan kepada mereka yang tidak bercuti terutamanya pada pekerja yang beruniform seperti polis, bomba, tentera, jururawat.

Di samping itu, ramai lagi kelompok-kelompok yang terpaksa bekerja pada hari lebaran cuma kurang diberi publisiti. Antaranya Staf pam minyak, staf makanan segera seperti KFC, Staf pasaraya besar (kalau staf non muslim ramai biasanya raya  pertama pekerja muslim diberikan cuti), pengawal keselamatan, DJ Radio dll.

Jika staf ramai, masih boleh buat penggiliran shif yang stabil, atau pun ada yang jika bekerja pada hari raya elaun dibayar sampai  double & triple.

Cuma media dan kerajaan  jarang fokus kepada satu kelompok yang dikira bertugas juga pada hari raya, iaitu pegawai masjid. Sistem kerja   di masjid sangat berbeza dengan penjawat awam yang lain. Penggiliran pegawai masjid tidak seragam di semua tempat bergantung pada situasi setempat dan semasa. Jika masjid tersebut ramai stafnya lain kiraannya.  Biasanya pemuafakatan dan toleransi sesama rakan sekerja sangat diperlukan.

Namun ada juga yang bersikap selfish. Setiap tahun asyik dia sahaja yang bercuti, bila ditegur boleh bergaduh. Nak pula jika di Masjid Daerah dan Negeri (masjid yang menggunakan penjawat awam sebagai pegawai masjid, kebanyakan pegawai masjid bukan orang tempatan) ada pegawai masjidnya yang memang bukan kaki masjid, tetapi terpaksa bertugas di masjid sebab ‘diposting’ sama ada pihak JAKIM atau JAIN ditambah dengan suka mengambil kesempatan di atas  tawadduk staf yang lain.

Biasalah jika penjawat awam, bos di peringkat pertengahan dan bawahan terpaksa menerima staf di bawah seliaannya tanpa dia berhak untuk memilih sendiri stafnya. Dapat yang ok seronoklah, dapat yang problem terpaksa terima juga..saya berpendapat  itu antara punca kenapa kualiti dan nilai hasil kerja  sektor swasta dan korporat lebih baik  berbanding di sektor kerajaan.

Akhirnya, bagi mereka yang berpeluang bercuti, selamat kembali bekerja. Bagi yang tidak berpeluang bercuti insyaa Allah di masa yang mendatang adalah rezeki dan hikmahnya. Apapun kita semua kena ingat, kita dibayar untuk kerja yang kita lakukan, maka bekerjalah bersungguh-sungguh. Elakkan dari terjebak dengan gejala yang diistilahkan makan gaji buta kerana bukan di sisi majikan  sahaja kita bersalah, tetapi yang lebih besar di sisi Allah SWT kita juga dikira bersalah kerana tidak amanah dalam menjalaskan tugas yang diberikan.


Bas sewa khas untuk membawa pelajar tingkatan 6 Kulliah Sultan Abu Bakar Pekan di hadapan Masjid Sultan Mahmud Lipis. Macam rombongan nak pergi hantar orang pergi Haji ke Mekah dah gayanya.













Sunday, August 03, 2014

Pagi Syawal 1435

 Bersama Al-Fadhil Qadhi Daerah Lipis 








Pagi 1 syawal umat Islam akan berpusu-pusu untuk menunaikan solat sunat aidil Fitri. Ramainya orang sehingga ramai yang terpaksa bersolat di luar bangunan masjid. Beberapa masalah  di Masjid kami ketika Syawal dan juga pada hari jumaat :
-Kawasan parking kenderaan yang sangat terhad. Dalam kawasan masjid hanya mampu menampung dalam 15 buah kenderaan sahaja. Pada waktu biasa solat Maghrib dan Isya' pun kawasan halaman Masjid sudah sesak.
-Kuantiti tandas yang sedikit
-Ruang solat yang sudah tidak dapat menampung jumlah penduduk.

Hampir kesemua daerah dalam negeri Pahang sudah mempunyai Masjid daerah yang baru. Bila tiba giliran daerah ini Wallahu'lam..