Wednesday, June 27, 2018

Cara nak hilangkan getah nangka

Siapa yang tak kenal dengan buah nangka. Saya perhatikan banyak gerai menjual buah nangka madu terutamanya antara perjalanan Raub ke Bentong. Saya bukanlah pembeli tegar buah nangka. 

Semenjak kecil, saya kerap makan buah nangka. Ini kerana di rumah terdapat pokok nangka yang memang tak henti-henti berbuah. 

Rumitnya bila bermain dengan buah nangka ialah getahnya. Habis melekat-lekat di tangan dan pisau. Biasanya pisau akan disapu dengan minyak masak untuk menghapuskan kesan degil getah..huhu.

Cara lain untuk menghilangkan getah ialah dengan cara merebus buah nangka ke dalam air panas. Hasilnya si pemotong buah  tidak lagi bergelumang dengan getah. 

Boleh juga letak buah nangka dalam bara api. Hasilnya sama.

Selain kita makan buah nangka yang sudah masak. Nangka muda boleh dibuat sayur. Bayangkan sayur nangka masak lemak. Boleh terguris hati mereka yang berada di luar negara mendengarnya. 

Cuma kena tahu, selain buah nangka yang berasal dari pokok nangka. Ada lagi sejenis nangka yang datangnya dari pokok pisang. Kita gelarkan sebagai pisang NANGKA. Pisang nangka tak perlu rebus dulu. Orang biasa buat pisang goreng dari jenis pisang nangka.



#PermaiMenulis #nangka #getah #hilanggetah #makanan

Tuesday, June 26, 2018

Kad TouchnGo tamat tempoh

Baru-baru ini, ketika saya menyentuh kad Touch N Go di kaunter tol masuk Gambang. Terpampang di skrin perkataan KAD TELAH TAMAT TEMPOH. Terkejut saya. Sudahlah baki duit masih banyak. Baru sahaja  topup  pada minggu sebelumnya. Tak pernah tahu pun yang kad Touch N Go ada tamat tempoh. Tambahan pula memang di kad saya langsung tiada makluman bila  tarikh tamat tempoh kad. 
Memang kad tersebut sudah lama. Mungkin sudah 10 tahun saya pakai.

Nak undur ke belakang, ada kereta lain telah beratur di belakang. Mahu kena sumpah seranah nanti.
Mujur ada staf penjaga di kaunter. "Bagi IC" katanya. Maka lepaslah kami masuk lebuhraya dengan menggunakan IC.

Sampainya di kaunter  exit tol Temerloh, kena tambah nilai di kad pengenalan. Barulah lepas keluar. Kemudian kami menapak ke kaunter di pejabat Tol. Mujur masih dibuka sehingga jam 10 malam.


Saya kena mengisi borang permohonan untuk refund duit baki yang ada dalam kad. Duit akan terus masuk ke dalam akaun bank.  Kata staf di situ, mereka hanya submit borang ke pihak Touch N Go. Selepas 5 minggu jika tiada berlaku apa-apa, saya kena hubungi pihak Touch N Go.

Jika nak kad baru, saya kena beli dengan harga RM 10 ringgit tanpa ada nilai.
Pandangan saya, pertukaran kad baru bagi sahaja percuma memandangkan bukannya kecuaian dari pihak pengguna. 
Saya masih menantikan, bilakah tol percuma seperti mana janji yang ditawarkan oleh kerajaan yang memerintah sekarang (Goverment of the day).



#PermaiMenulis #tolfree #TouchNGo 

Wednesday, June 20, 2018

Songkok identiti kita

Songkok merupakan pakaian penutup kepala warisan tradisi melayu yang dipakai di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. 
Secara tak langsung songkok menjadi simbol identiti Islam. 
Bagi sesetengah upacara dan  program rasmi di negara kita, pemakaian songkok menjadi protokol yang perlu dipatuhi khususnya program yang melibatkan DYMM Agong dan Sultan.

Saya bersekolah menengah agama yang songkok termasuk dalam pakaian seragamnya. Saya masih ingat, ketika membuat persiapan kelengkapan untuk memasuki tingkatan 1, songkok saya dibeli di kedai Al-Hidayah Temerloh. 
Selepas setahun berlalu, songkok saya berubah warna menjadi warna kehijauan. Mana taknya, hampir setiap hari berhujan ketika pulang ke rumah.

Selepas zaman sekolah menengah, Saya tidak mempunyai dan tidak memakai songkok, baik ketika di Maahad Tahfiz Masjid Negeri Pahang dan ketika di Mesir.

Saya kembali memiliki songkok apabila mula berkerjaya. Walaupun kini saya tidak memakainya setiap hari, namun selaku pegawai agama Jabatan Agama Islam Pahang tentunya songkok termasuk antara pakaian rasmi saya.

Kini, Saya mempunyai sebuah Songkok Gundal yang terkenal di Kuantan. Harganya pun boleh tahan. Tak lah murah. Saya membelinya ketika berkerja sebagai tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Ketika kami para imam masjid daerah menghadiri Persidangan Imam Besar Peringkat Kebangsaan anjuran JAKIM yang diadakan di Kedah, ketika bersiar di Pulau Pinang, kami terjumpa sebuah kedai songkok legend yang beroperasi sejak tahun 1936. Kedai Songkok OSM Mohd Shariff yang beralamat di 157 Lebuh King. Menurut sumber, terdapat pembesar negeri  yang menempah di situ. Menariknya semua imam masjid daerah dari Pahang yang menghadiri persidangan tersebut menempah songkok lipat di kedai tersebut. Paling terkejut, harganya sangat murah. Tak sampai RM 30 untuk sebuah songkok termasuk harga pos. 

Kenapa saya bersemangat bercerita pasal songkok ?

Kerana hari ini, saya menerima hadiah dua buah songkok dari Indonesia. Terima kasih tidak terhingga buat Tengku Aisyah. 


  


Sebuah songkok yang belah depannya bulat, dan sebuah songkok lipat.

 Songkok lipat




Kata Sukarno



#PermaiMenulis #CatatanImamKecil #syawal #raya #songkok

Thursday, June 14, 2018

Jangankan ini Ramadan Terakhir

Ramadan tahun ini hampir sahaja melabuhkan tirainya.
Namun realiti kebiasaan, semakin ke penghujung, kita semakin lesu dalam pelayaran Ramadan.
Pemandangan biasa, bilangan saf dan jumlah kehadiran ahli jemaah ke masjid untuk menunaikan solat terawih semakin merosot berbanding ketika di awal-awal Ramadan.
Tak tahulah ke mana mereka menghilang.  Mungkin ada yang telah mula berkampung di rumah sama ada untuk menghias rumah atau memasak juadah sempena hari raya. Atau  berhari-hari tawaf ke pusat membeli belah mencari pakaian, perabut  dan perhiasan.
Tidak salah untuk berjalan dan membeli belah. Namun berpada-pada lah. Kan..Kerajaan pun tengah ambil langkah berjimat..

Namun, masih ada yang istiqamah staminanya menghadapi Ramadan.
10 malam terakhir, masjid kami menyediakan juadah bersahur sebagai galakan untuk ahli jemaah beriktikaf di masjid.

Daripada Aisyah RA, bahawa  Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan hingga Baginda wafat, kemudian isteri-isteri Baginda meneruskan beriktikaf selepas Baginda wafat. (Bukhari & Muslim)

Saya perhatikan, dalam pukul 11-12 malam, beberapa orang ahli jemaah hadir ke masjid kami dengan membawa beg galas, mengisi malam mereka dengan beriktikaf dan berqiamullail.

Saban tahun, ayah saya akan melazimi beriktikaf di masjid-masjid. Kiranya 10 terakhir Ramadan memang tak balik rumah. Ramadan tahun lepas, ayah saya mengikuti daurah tafsir di Masjid Pondok Darul Ulum, Jertih Terengganu. Selesai daurah, dalam perjalanan pulangnya, beliau singgah beriktikaf dan bersahur di Masjid Daerah Lipis. Sebelum meneruskan iktikafnya di Masjid kampung Kerdau.
Itulah Ramadan terakhir buat  ayah.

Sanad tafsir al-Quran ayah. 

Kita masih berkesempatan dengan Ramadan tahun ini. Ramadan tahun hadapan ? Belum tentu lagi.

Maka, jangan lepas dan persiakan  peluang keemasan bersama Ramadan.

Azraie Mohd
Masjid Sultan Mahmud


#PermaiMenulis #CatatanImamKecil #Ramadan #iktikaf #lailatulqadar #masjid



Wednesday, June 06, 2018

Kembara Ramadan ke Masjid Lentang, Lipis

Saya berkesempatan bersama team Pejabat Agama Islam Daerah Lipis berkunjung ke Masjid kampung Lentang, Kuala Lipis.
Terima kasih kepada pihak AJK Masjid Kampung Lentang yang telah menyantuni kami dengan baik. 

Dalam kesempatan tazkirah ringkas, Saya menyatakan di fatrah penghujung Ramadan jangan kita alpa terhadap 3 item yang sangat penting :  
1. Baca Al-Quran
2. Iktikaf (Solat terawih, Qiamullail, berzikir, berdoa, muhasabah)
3. Memburu Lailatul Qadar.


Perjalanan ke Masjid Kampung Lentang, Syeikh Amin yang bawa.

 Bersama Abang Din.


 Iftar bersama Pegawai Masjid Kampung Lentang.





Sesi bual-bual Ramadan





 Solat terawih bersama penduduk kampung Lentang





#CatatanImamKecil #PermaiMenulis #MasjidDiHati #IhyaRamadan #KembaraRamadan #PaidLipis

Friday, June 01, 2018

Titik persamaan

Perasan tak, mereka yang berlainan watak dan perangai, tetapi boleh berkawan baik atas sesuatu titik persamaan. 
Seperti hobi sama-sama minat memancing, Sama-sama minat main game dan baca komik, Dan sebagainya.
Maka persamaan inilah yang menyatukan hati-hati mereka. 
Perlahan-lahan garap supaya penyatuan itu dibina kerana Ukhuwah fi llah.