Tuesday, February 26, 2013

Chap Goh Mei

Pejabat Agama Islam Daerah Lipis & Majlis Ugama Islam Cawangan Lipis telah menganjurkan program Cap Goh Mei bersama masyarakat cina yang beragama Islam bersama kaum keluarga mereka yang bukan muslim. Chap Goh Mei biasanya disambut dalam bentuk kekeluargaan dan merupakan kemuncak dan penutup sambutan tahun baru cina.

Hamper yang disediakan oleh Koperasi Masjid Sultan Mahmud, isinya tidak sama  dengan hamper-hampr yang disediakan oleh pasaraya biasa.
 Dr. Ann Wan Seng dalam  sesi dialog 

 Yee Sang & Limau 
 Tengah menggaul Yee Sang

 Mr. Tan -ketua Kampung (penempatan cina) di Padang Tengku kanan sekali 

 Berchopstik.. 





 hidangan terakhir- sayur
 Dr Ann Wan Seng berkuliah maghrib di Masjid Sultan Mahmud Lipis.

 Kelihatan YH Dato' Pegawai Daerah Lipis (berbaju coklat)


 Dr Ann Wan Seng menjual buku tulisannya berserta tandatangan, kelihatan YM Tuan Jurutera Daerah Lipis (baju melayu putih, berkopiah hitam)..

Thursday, February 14, 2013

Jom imarahkan Masjid..


Mutakhir ini kita melihat budaya pengajian ilmu di masjid dan surau dalam Negara kita semakin diminati orang,  golongan tua, muda, lelaki dan perempuan semuanya terlibat sama.
Kelas-kelas pengajian begitu rancak diatur oleh pentadbir masjid. Bermula dengan kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah muslimat, kuliah zohor, kelas pengajian al-quran selepas asar, kuliah maghrib, kelas al-quran selepas isyak, ceramah perdana, forum, kuliah bulanan dan bermacam lagi dalam rangka aktiviti pengimarahan masjid.

Fenomena positif ini kebanyakannya berlaku  Bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur dan negeri Selangor. Para ustaz dan ustazah tersohor yang dilabel selebriti semestinya mempunyai jadual yang padat bagi mengisi aktiviti-aktiviti pengimarahan tersebut.

Namun dalam keseronokan pentadbir-pentadbir masjid di bandar-bandar besar menyusun pengkuliah, mencari penceramah yang terkenal, terdapat banyak lagi masjid dan surau yang tidak dapat memaksimakan aktiviti pengimarahannya terutamanya memenuhkan diari masjid dengan majlis pengajian ilmu.

Isu ini disebabkan beberapa perkara:
AJK SALAH FAHAM -Ada masjid terbabit yang AJKnya memang sengaja tidak mahu mengimarahkan masjid mereka. Pada mereka masjid hanya tempat solat semata-mata.

AJK YANG SEKULAR –mereka bukannya ahli masjid, tetapi orang kuat politik sekular. Disebabkan itu mereka dipilih oleh ketua kampong menjadi AJK walaupun tidak disukai oleh ahli Jemaah. Mereka sengaja membiarkan masjid tidak berprogram, Jika mereka AJK menganjurkan banyak program ilmu, nanti ahli Jemaah semakin ramai memahami Islam akhirnya mereka takut ahli Jemaah akan menentang parti politik mereka.

MASJID & SURAU TIADA KEWANGAN (saya ingin mengulas isu ini)- kebanyakannya di kampong tradisional yang sangat jarang orang luar singgah, hanya ahli kampong terbabit yang berjemaah di masjid. Bukannya tidak ada tabung masjid, tetapi yang menderma hanyalah ahli kampong tersebut  yang terhad dan sudah tentu jumlah kutipan sangat sedikit, dengan kebanyakannya sudah berumur dan bekerja kampong sahaja ada yang kutipan setahun hanya berjumlah RM 400, RM 500 dan mungkin ada yang lagi sedikit dari jumlah tersebut. Dengan kewangan masjid  yang sangat terhad mana mungkin mereka mampu menganjurkan function yang besar. Duit habis dengan bayar bil air dan api sahaja.

Kadang-kadang dalam setahun, adalah sekali dua Jabatan Agama akan memilih masjid-masjid di pedalaman untuk berprogram bersama ahli qaryah. Punya suka mereka, sampai sekampung  turun mengambil bahagian, memasak bergotong royong  dengan sedikit duit peruntukan dari Jabatan. Jika tiada duit peruntukan, kembali sepi masjid mereka.

Bila mereka dengar masjid-masjid di bandar besar menganjurkan program besar, jealous juga mereka. Mungkin mereka boleh juga cuba mencari dan menghubungi penceramah-penceramah yang tersohor. Cumanya kesanggupan penceramah untuk turun ke pedalaman dan yang tak enaknya ada pula penceramah yang letak harga yang tinggi untuk kos depa datang berceramah (baca bukan semua..hanya sebahagian yang peratusnya sangat kecil).

Saya juga mengalami, bila menghubungi penceramah..bila dengar daerah yang hulu..ada yang kata jauh, payah nak pergi..bila kita tengok jadual depa, jauh ke luar negara boleh pula..Itu kalau dapat panggil sekali datang, beribu bayar..Guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebulan ada yang dapat RM 200 sahaja. Kerja lagi susah nak didik budak-budak kecil. Berceramah senang..cakap sahaja..menyanyi sikit, buat lawak bagi orang gelak-gelak..lepas tu beribu dapat syeikh….  

Di sini, saya ingin mengesyorkan kepada masjid kampong yang kewangannya tipis, Di bawah JAKIM ada disediakan Guru Takmir, setiap masjid dan surau layak memohon guru takmir untuk mengisi kuliah pengajian ilmu. Masjid dan surau tidak perlu runsing untuk membayar saguhati kepada ustaz-ustaz. JAKIM yang akan bayar. Walaupun jumlahnya tidak besar lepaslah untuk duit minyak kereta. Namun setiap masjid dan surau hanya boleh SEORANG sahaja menerima guru takmir.

Majlis Ugama Pahang (MUIP) ada menyediakan Brigged Penceramah, tetapi terhad untuk masjid sahaja yang boleh memohon. Untuk surau hanya guru takmir sahaja. Maknanya kalau setiap masjid ada guru takmir dan briged penceramah sudah ada dua majlis pengajian ilmu dalam seminggu. Bagi surau ada sekali seminggu. Selebihnya AJK masjid di kampong-kampung kena lebih kreatif. Mungkin sesuai kita katakan.. sekarang menjadi AJK masjid di kampong lebih mencabar berbanding di Bandar..Wallahua’lam..




 Surau Kg Lalang yang sudah setahun setengah tidak digunakan..
 Sejadah pun tiada, ambil dari masjid qaryah..
 Tok Ketua Kampung dalam ucapan aluan, pakai mic portable kuasa bateri..berhasrat ingin menghidupkan kembali surau ini...
Insya Allah bermula dengan program kuliah dwi mingguan dalam rangka ingin menghidupkan kembali surau ini..

Wednesday, February 06, 2013

Cerita AJK masjid..

PERLANTIKAN AJK
Kebanyakan masjid-masjid dalam Negara kita mempunyai AJK. Bagi negeri Pahang, perlantikan AJK dibuat berdasarkan cadangan al-fadhil Qadhi daerah ke Jabatan Agama Islam Negeri. Jabatan Agama akan mengangkat pula ke Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu (MUIP). Sebelum daripada ini, perlantikan AJK dibuat oleh ahli qaryah dalam mesyuarat agong. Kini cara itu tidak berapa dipraktikkan lagi, ahli qaryah hanya boleh melantik 2-3 orang sahaja, yang lain dilantik tanpa melalui pemilihan dalam mesyuarat agong. Kesnya kerana campur tangan daripada ahli politik pemerintah yang melihat kebanyakan daripada ajk masjid terdiri dari kelompok pembangkang jika dipilih melalui pemilihan dalam mesyuarat agong. Sebab itu kebanyakan dari masjid qaryah pengerusinya terdiri daripada penghulu, ketua kampong, ketua cawangan…


MESYUARAT AGONG
Berbeza dengan Masjid Daerah, langsung tiada mesyuarat agong. AJK  pula dilantik dari mereka yang berjawatan besar di peringkat daerah. Mungkin pengerusi terdiri dari kerabat, orang besar bergelar dan pegawai daerah. AJKnya pula Jurutera Daerah, Ketua Polis Daerah, Pegawai Pelajaran Daerah, YDP Majlis Daerah dan ketua-ketua jabatan di peringkat daerah.

KEKERAPAN MESYUARAT
Kekerapan Mesyuarat AJK masjid-masjid juga berbeza. Ada masjid yang bermesyuarat secara bulanan, namun ada yang tak pernah buat mesyuarat. Bagi masjid daerah yang AJKnya terdiri dari orang besar-besar lagilah sulit hendak mengadakan mesyuarat. Kalau buat mesyuarat pun ramainya yang menghantar anak buah menjadi wakil.

TABIAT AJK
AJK masjid boleh dibahagikan kepada beberapa kategori :
-AJK yang  dilantik menjadi AJK disebabkan jawatan yang disandang, biasanya menjadi ketua jabatan di peringkat daerah walaupun dia bukanlah merupakan ahli Jemaah tetap yang istiqamah hadir ke masjid.Positifnya untuk memudahkan gerak kerja dan aktiviti. Contohnya bila nak buat gotong royong, ketua-ketua ini akan mengerahkan staf masing-masing dan menggunakan peralatan mereka, seperti JKR, Majlis daerah, bomba, polis dan askar.

Negatifnya ialah, kebanyakan daripada ketua-ketua jabatan (bukan keseluruhannya) bukanlah terdiri daripada ahli Jemaah yang konsisten hadir ke masjid. Mereka hadir pada hari jumaat sahaja dan program-program besar yang melibatkan orang yang lagi besar dan berjawatan yang hadir. Apabila jarang hadir, mereka tidak menjiwai masjid itu sendiri.

-AJK yang dilantik tetapi tidak pernah menghadiri mesyuarat apatah lagi untuk melazimi bersolat Jemaah, mendengar kuliah & ceramah di masjid.
Perkara ini terjadi, biasanya kepada AJK yang dilantik disebabkan jawatan dan pangkat besar di peringkat daerah. Ada yang tidak pernah hadir ke mesyuarat AJK, hanya menghantar wakil yang sahaja ke mesyuarat.

-AJK yang dilantik tetapi macam dia tak tahu yang dia dilantik menjadi AJK.
Berlaku kepada ajk yang tidak pernah menghadiri mesyuarat termasuk  tidak pernah  menghantar wakil menghadiri mesyuarat.

-AJK yang rajin datang ke mesyuarat sahaja, tetapi jarang sekali menghadirkan diri ke masjid dan program-program anjuran masjid.

-AJK yang hadir ke mesyuarat dan selalu hadir berjemaah di masjid walaupun mempunyai jawatan besar di peringkat daerah.


PERANAN AJK
AJK Masjid berperanan besar  dalam mengoperasikan Masjid. Dari segi pembangunan, keceriaan, kebajikan, keselamatan, pengimarahan dan bermacam-macam lagi.

KESIMPULAN
Kita lihat masjid yang imarah, kebiasaannya mempunyai AJK yang istiqamah dalam membangunkan masjid. Mereka tidak mengharapkan jawatan tetapi bekerja bersungguh-sungguh dalam membangunkan masjid. Mereka bekerja tanpa ada elaun bahkan kadangkala mengeluarkan biaya sendiri demi memastikan rumah Allah sentiasa terpelihara dan diagongkan.

Sekian. 

p/s : Masjid kami baru sahaja mengadakan mesyuarat AJK yang dijadualkan 3 bulan sekali. Sekali dengan majlis penghargaan kepada AJK yang lama yang telah tamat sesi yang lepas.


 Mesyuarat berlangsung di Residen Inn, dipengerusikan oleh YH Dato' Pegawai Daerah (DO)
agak-agak saya duduk di mana :) 


 penyampaian cenderamata kepada bekas AJK, anak kepada bekas setiausaha menerima bagi pihak ayahnya yang uzur. Berkhidmat lebih daripada 25 tahun selaku setiausaha masjid.

 YH Dato' DO menyampaikan cenderamata kepada bekas bendahari masjid yang juga telah menjawat jawatan bendahari masjid lebih daripada 25 tahun. 
 jamuan selepas mesyuarat.

Wednesday, January 23, 2013

Maulidul Rasul Sallahu'alaihi wasallam


Fatrah minggu ini ialah Maulidul Rasul Sallahu’alaihi wasallam. Kebanyakan masjid dan surau menganjurkan program. Ada yang buat ceramah, forum, berarak, marhaban dan sebagainya. Saya juga diwakilkan untuk berforum di sebuah masjid sempena program yang mereka anjurkan. Saya lebih suka untuk bertazkirah secara bebas, kerana kita bebas untuk memilih topik dan isu  yang hendak dihighlightkan . Apabila forum kita terikat dengan skema soalan yang utarakan oleh penganjur.  Antara draf nota saya untuk forum tersebut ialah :  

1.Rasulullah sebagai Qudwah


 Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu 
bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)..

(al-Ahzab :21)
>Qudwah bermaksud contoh, ikutan.
>Tabiat manusia memiliki naluri untuk mengikut, meniru orang lain.
Jika yang diikut atau ditiru itu perkara yang baik…Alhamdulillah. Seperti sahabat Rasulullah ada yang mengikut Rasulullah sampaikan ada yang bila lalu di sebuah tempat tiba-tiba dia mengelak seperti melencong, orang bertanya kepadanya kenapa berbuat begitu lalu katanya…dahulu di sini ada pokok dan Rasulullah bila lalu di sini dia akan mengelak..walaupun pokok sudah tiada tetapi ingatanku besama Rasulullah menyebabkan aku tetap akan mengelak apabila lalu di sini.
Seperti juga kita meniru perbuatan ulama yang akrab dengan sunnah Rasulullah. Ada juga yang meniru untuk maksud-maksud lain. Contohnya Zizan Raja lawak yang meniru style Ustaz Azhar Idrus dengan janggut palsunya ketika membuat persembahan dalam Maharaja Lawaknya..

>Imam Hasan al-Banna telah menyebut dalam slogan Ikhwan Muslimin Mesir  ‘Ar Rasul Qudwatuna’ yang mesti  dihadami oleh ahlinya seiring dengan perbuatan, percakapan.

>Sebenarnya selaku orang Islam yang waras dan beriman, kita sudah maklum bahawa kena menjadikan Rasulullah sebagai Qudwah..tahu sangat dah..bermacam-macam slogan telah dilaungkan ..
>Cuma persoalannya..secara realitinya adakah betul kita menjadikan Rasulullah sebagai Role model kita?
>Kita muhasabah dan check balik diri kita…betul atau tidak kita jadikan Rasulullah sebagai model..atau kita tertipu dengan diri kita sendri..dengan hanya sekadar melaungkan slogan-slogan, berarak di jalanan, menganjur dan menghadiri program maulidul Rasul?
>Ramai yang salah faham..disebabkan acuan system pendidikan Negara yang tidak menekankan sangat mata pelajaran agama.

>Selaku orang yang beriman mari kita lihat beberapa contoh amalan Rasulullah yang kita dakwa sebagai qudwah.

i-Sebagai Rasul, pekerjaan utama Rasulullah ialah menyebarkan Islam kepada manusia. Dalam misi menyebarkan Islam sehingga Rasulullah telah keluar berjihad di medan peperangan.
Kita?..juga sebagai Daie…Ada kita buat kerja ini?..ianya bukan hanya kerja ustaz ustazah sahaja..walau siapa pun kita..kita ditaklifkan sebagai Daie untuk menyebar dan mempertahankan agama.

ii- Ibadah. Kita ikut Rasulullah atau hanya sekadar kita ikut adat sahaja? Hendak tahu ibadah kita tepat mengikut Rasulullah ..kita kena belajar khusus, kena berguru, berkitab..tidak cukup hanya dalam program ceramah maulid semata-mata.

>Semua kehidupan kita adalah ibadah.

>Makan- Ibadah, bagaimana makan kita boleh jadi ibadah?...Rasulullah selalu  makan apa? Daging kambing, susu..Kita?..berkait makan juga kita kena cermat dan teliti lihat siapa yang memasak makanan tersebut, kena pilih kedai makan..bukan semborono sahaja makan di mana-mana kedai.

>Sukan-Ibadah, Rasulullah pernah berlumba lari dengan Aisyah, Rasulullah anjurkan kita menunggang kuda, memanah. Kita? Dalam beriadah kena menutup aurat..Kita lihat pakaian atlet-atlet..Andai kita boleh bertanya kepada Rasulullah, agaknya Rasulullah  setuju dengan pakaian atlet kita?

>Kerja-Ibadah, kita tidak culas, amanah dengan kerja, tidak menerima rasuah, tidak masuk kerja lewat..balik awal..selalu nak claim itu ini, pergi kedai beli barang untuk pejabat pun  mintak persen.

>Ibadah Khusus : Solat- Bagaimana solat fardhu Rasulullah..Di masjid, sehingga di saat akhir Sahabat papah Rasulullah ke masjid..kita?

2. Rasulullah juga sebagai bapa yang cintakan anak-anaknya.

i- Rasulullah suka bermain-main dengan anak-anak dan kadang-kadang beliau memangku mereka. Beliau menyuruh Abdullah, Ubaidillah, dan lain-lain dari anak bapa saudaranya  Al-Abbas r.a. untuk berbaris lalu berkata, “Siapa yang terlebih dahulu sampai kepadaku akan aku beri sesuatu (hadiah).” merekapun berlumba menuju kepada Rasulullah, kemudian duduk di ribanya  lalu Rasulullah mencium mereka dan memeluknya.

ii-Nabi Muhammad SAW. sering berkunjung ke rumah para sahabat Anshar dan memberi salam pada anak-anaknya serta mengusap kepala mereka.

iii-Kisah yang masyhur Rasulullah bersama cucunya di masjid ketika solat.

Peranan Bapa :
a)bagi didikan agama kepada isteri dan anak-anak.
b) jika tidak mampu, bawa anak isteri mendengar program-program ilmu.
c)hantar anak ke sekolah agama, pusat tahfiz kerana jika pandai agama –boleh bawa kepada selamat dunia dan akhirat.-Ada ijazah sampai PHD tapi kalau jahil agama..tiada ertinya. Kalau kita mati bayangkan anak-anak upah orang lain untuk solat sebab mereka tidak pandai..Nak doakan kita pun minta imam yang bacakan doa.

3. Rasulullah dengan al-Quran 

Diceritakan oleh Ummul Mukminin Aisyah r.a : كان خلقه القران

Peranan Kita :
-      >>Kita boleh membaca al-Quran, kalau tak pandai kena mulakan dengan belajar. Jangan biarkan diri kita mati dengan buta huruf al-Quran.
-       >>Tidak cukup dengan tahu baca sahaja, kita kena fahamkan al-Quran, hadiri kelas pengajian tafsir..supaya kehidupan kita selari dengan kehendak al-Quran.

Monday, January 21, 2013

Judi : Bebas dan berleluasa di mana-mana

Baru-baru ini saya menghadiri operasi melupuskan barang-barang yang telah disita melibatkan peralatan permainan judi internet. Kebanyakan pusat operasi permainan judi berasaskan internet ini berselindung di sebalik perniagaan Cyber Cafe (menawarkan perkhidmatan menggunakan komputer dan internet kepada pelanggan). Setakat yang dimaklumkan di daerah Lipis terdapat 10 premis Cybber Cafe yang berlesen. Sepanjang tahun 2012 MDL dengan kerjasama pihak polis telah menjalankan 28 operasi.

Hasil operasi, pihak MDL telah menyita sebanyak 2040 buah barangan yang melibatkan kos sebanyak RM 156 000.00. Kebanyakan barangan seperti monitor, CPU, Keyboard, Mouse, Modem, pendrive, broadband.

Sekarang di daerah Lipis, dari 10 premis yang berlesen, 5 premis telah dibatalkan lesennya dan hanya tinggal 5 premis Cyber Cafe sahaja.

Perniagaan judi internet ini sangat merugikan pengguna, yang mendapat untung tokey-tokey CC yang menjalankan perniagaan ini. Diberitakan separuh hari perniagaan sahaja mereka telah memperolehi lebih dari RM 8000.00. Bayangkan satu hari sahaja menjalankan perniagaan hasil dapatan mereka mencecah hingga ke RM 20 000 ke atas.

Dalam Islam telah jelas HARAM hukum berjudi. Bahkan agama-agama yang lain juga menolak perbuatan berjudi.

Kemusykilan kita ialah..Islam dan agama-agama lain sepakat menolak judi, tetapi kenapa perbuatan dan tempat untuk berjudi masih ada di negara kita. Yang lagi pelik pusat judi terbesar juga turut ada di negara kita dan letaknya di negeri Pahang lagi. 

Firman Allah yang bermaksud : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya… (al-Baqarah: 219)

Kita berdoa agar kita semua diselamatkan dari gejala berjudi ini..dan InsyaAllah kita doakan suatu hari nanti negara kita khasnya akan bersih dari gejala judi..



Tuan Setiausaha Majlis Daerah Lipis sedang menyampaikan taklimat.

proses perlupusan, setelah dihancurkan..akan ditanam

...

Monday, January 07, 2013

Sekitar Program Cuti Sekolah Di ALC Bandar Temerloh

Sempena  cuti sekolah yang lalu, Al-Baghdadi Learning Center (ALC) Bandar Temerloh telah berjaya mengadakan program Smart Al-Quran selama dua minggu. Kini ALC Bandar Temerloh membuka sesi pengajian untuk tahun 2013. Jangan lepaskan peluang untuk bersama dengan kami. ALC Bandar Temerloh beroperasi di tingkat atas, Kedai Buku Al-Hidayah Temerloh. Hubungi : 019-9413293 (Ustaz Izhar)








Tuesday, January 01, 2013

Pomen Melayu atau Cina?

Bila kenderaan kita rosak, maka tempat yang dituju adalah bengkel atau biasa disebut workshop. Pekerja di situ dikenal dengan pomen. Ketika kenderaan saya rosak, orang-orang di sekitar menyarankan supaya jangan pergi ke bengkel orang melayu. Kata mereka ' bukan tak nak tolong orang kita, tapi itulah....baik pergi ke pomen cina' . Masing-masing pun menceritakan pengalaman silam mereka ketika berdepan dengan pomen melayu.

Persepsi kebanyakan masyarakat kita, bengkel melayu ini teruk, tak pandai, tidak mahir dan tidak berkualiti. Sebenarnya banyak juga bengkel melayu yang bagus. Contohnya di Temerloh saya biasa dengan bengkel Syam Pomen yang cukup tersohor di daerah itu. Dan bukan semua bengkel cina bagus. Contohnya, ketika kereta saya mengalami masalah semput, kebetulan pula pada musim raya..confirm bengkel melayu cuti berminggu-minggu, saya ke sebuah bengkel cina yang kebetulan buka. Pomen di situ menukar plug yang baru. Tetapi rupanya plug yang dia tukar itu tidak sesuai dengan enjin kereta. Terpaksa pula saya tukar semula di bengkel melayu di daerah lain.

Sekarang, kereta saya telah tersadai di sebuah bengkel melayu dekat dua bulan lamanya. Bila tanya macam-macam alasan yang diberikan..tunggu barang lah, tinggal sedikit sahaja lagi bla...bla... Maka orang di sekitar pun berbunyi...itu lah hantar lagi ke kedai melayu...

Kedai melayu itu, bermaksud kedai orang Islam...dan saya serta ramai lagi sebolehnya ingin membantu umat Islam yang lain. Cuma pekedai yang beragama Islam itu perlulah mengubah sikap mereka sesuai dengan kehendak agama. Jika tidak persepsi masyarakat tentang keburukan bengkel melayu terus berkekalan... Sedar dan berubahlah wahai Saudaraku yang bergelar pomen...tunjukkan kualiti terbaik selaras dengan kehendak Islam yang menyatakan kita adalah umat yang terbaik. 
Wasalam.