Thursday, September 17, 2015

Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Negeri Perak

Pengenalan ringkas mengenai Masjid negeri Perak yang diambil dari sumber Wikipedia :
Masjid Sultan Idris Shah II terletak berhampiran Stesen keretapi Ipoh, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Mahkamah Syariah serta Mahkamah Tinggi Ipoh dan stesen bas Ipoh. Masjid ini telah dirasmikan pada 15 September 1978 oleh Sultan ldris Iskandar Shah II (1963-1984), Sultan yang ke-33, sempena dengan perayaan ulangtahun hari keputeraan baginda yang ke-33. Ianya terletak di atas sebidang tanah seluas kira-kira 2.6 hektar di tengah- tengah bandaraya Ipoh. Kerja-kerja pembinaan masjid tersebut telah dimulakan pada 16 Mei 1966, dan batu asas telah diletakkan pada 27 Oktober 1967 oleh (Allahyarham) Tun Haji Abdul Razak, pada ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Masjid ini telah siap dibina pada 26 Ogos 1968.
Pada mulanya, masjid ini dinamakan sebagai 'Masjid Negeri (Perak)' dan telah digelarkan 'Masjid Sultan Idris Shah II' sempena nama Sultan Idris Iskandar Shah II yang telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 1984.

Idea pembinaan masjid ini berasal daripada (Allahyarham) Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Abdul Wahab pada tahun 1951. Beliau yang pada ketika itu adalah Menteri Besar telah sedar bahawa masjid-masjid yang sedia ada di lpoh tidak mencukupi untuk memuatkan semua jemaah yang menunaikan ibadah pada satu-satu masa seperti hari kebesaran Islam dan ibadah sembahyang Jumaat. Jumlah kos perbelanjaan pembinaannya ialah RM1,840,000.00

Keunikan masjid ini yang mempunyai sebanyak 30 buah kubah gelembong, 14 kubah leper (seperti yang tercatat di papan kenyataan masjid)



 Pejabat Imam Besar Masjid Negeri Perak


Menariknya, pejabat bahagian pengurusan masjid dan surau Jabatan Agama Islam Perak bertempat di Masjid ini, bukannya di Kompleks Islam Darul Ridzuan.
 Bergambar kenangan di plak perasmian

 Dewan solat tingkat atas yang dihias dengan menarik dan selesa. Sekarang solat fardhu 5 waktu ditunaikan di dewan tingkat bawah. Hanya solat jumaat dan hari raya ditunaikan  di dewan solat tingkat atas.

Singboard Utama Masjid Negeri Perak.


Terdapat kemudahan mesin ATM bank rakyat yang disediakan di dalam kawasan Masjid Negeri Perak.


Thursday, September 10, 2015

Kelas Takmir Masjid Batu 9

Saya tidaklah pandai,  tetapi disebabkan kelas takmir di daerah Lipis banyak kekosongan maka saya cuba mengisi kelompongan tersebut. Had yang diperuntukkan kepada saya oleh JAKIM/JAIP  hanya 4 kali kelas sahaja sebulan. 
Maka saya ada jadual kelas takmir (kuliah maghrib)  di Masjid Kg Batu 9, Kuala Lipis. Semalam sepatutnya saya ke masjid tersebut, tetapi lewat petang Abang  Nawi (siak masjid Batu 9) menelefon memaklumkan yang jalan licin untuk ke sana. Ada satu lagi jalan dalam melalui  kebun durian tetapi saya tidak tahu jalan tersebut. Maka akhirnya kelas pun ditangguhkan, kebetulan pula Ustaz Zabadin yang mengajar kuliah mingguan di Masjid Sultan Mahmud ada halangan untuk hadir, maka saya pun menggantikan beliau. 
Banyak lagi masjid dan surau  daerah ini terutamanya di pedalaman tidak mempunyai kelas/kuliah pengajian walaupun sekali seminggu. Jawatan pegawai masjid dan surau yang tidak mencukupi dan ada kekosongan, sama ada tiada calon untuk jawatan tersebut ataupun nama yang diangkat ke pihak atasan masih 'pending'. itulah antara situasi di masjid dan surau qaryah.
Saya menyeru terutamanya kepada ustaz dan ustazah yang mengajar di sekolah-sekolah, ambillah bahagian dalam mengimarahkan masjid. Kesian orang-orang kampung yang dahagakan ilmu agama, tetapi tiada siapa yang sudi untuk membimbing mereka. Mudahan Allah mengurniakan taufiq dan hidayah buat kita semua. 

 Bila hujan, jalan ini akan licin dan merbahaya.


 Masjid Batu 9

Perjalanan pulang selepas Isya'

Wednesday, September 09, 2015

Sejarah di SMATAF

Dalam negeri pahang terdapat 19 buah sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri Pahang yang diletakkan di bawah Jabatan agama Islam Pahang. Salah satunya ialah Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF). 
Sedikit pengenalan mengenai sekolah SMATAF yang dipetik dari laman web http://smataf.pahang.edu.my/index.php/mengenai-kami/sejarah-sekolah  
"Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah ( SMATAF) adalah sebuah sekolah menengah agama perempuan pertama dan tunggal di negeri Pahang Darul Makmur yang terletak di Bandar Diraja Pekan. 
Sekolah ini diasaskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada tahun 1959 bertempat di Istana Kuning yang telah dikurniakan KDYMM Sultan Pahang Al-Marhum Sultan Abu Bakar Al-Muadzam Shah. Sekolah ini telah mendapat bantuan Kerajaan Pusat untuk mendirikan sebuah bangunan yang bernilai RM 120,000.00. Nama asal sekolah ini ialah Kuliah Tengku Ampuan Fatimah Pahang. Nama ini di ambil sempena nama Tengku Ampuan Pahang pada ketika itu. Sekolah ini dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah pada 1 Februari tahun 1960. 
Pada tahun 1996 sekolah ini telah di ambil alih oleh kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.  Pada tahun 70-an, sekolah ini telah membuka peluang kepada pelajar lelaki sehinggalah tahun 1984 kerana ketandusan pelajar. Mulai tahun 1985 sehinggalah ke hari ini, sekolah ini hanya menerima pelajar perempuan sahaja.
Pada tahun 1985, sebuah asrama pasang siap telah di bina oleh Yayasan Pahang di dalam kawasan sekolah yang dapat menampung kira-kira 120 orang pelajar dan telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah pada 6 September 1986 serentak dengan sambutan suku abad Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan. Penambahan telah dibuat pada tahun 1987 iaitu sebuah bangunan baru tiga tingkat yang mempunyai bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, pejabat, makmal.
Pada awal tahun 1989, sekolah ini telah mendapat penambahan asrama di belakang kawasan sekolah yang telah dikurniakan KDYMM Sultan Pahang yang boleh menampung 80 orang pelajar. Pada tahun 1991 telah didirikan sebuah surau yang boleh memuatkan 200 orang jamaah. Pembelajaran di sekolah ini berjalan lebih selesa dengan penambahan kelas dan asrama tersebut. Secara tidak langsung pencapaian prestasi pelajar semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan adanya kemudahan-kemudahan tempat belajar, tempat tinggal dan tempat makan yang sederhana.
Sekali lagi KDYMM telah bermurah hati mengurniakan tapak Istana Inderapuri untuk didirikan kompleks asrama yang lengkap, dengan peruntukan perbelanjaan daripada kerajaan negeri berjumlah RM6.2 juta. Asrama ini mampu menempatkan kira-kira 300 orang pelajar dan telah diduduki dengan rasminya pada 7 Februari 1998. Pada hari ini sekali lagi, sekolah ini mencatat sejarah dengan perasmian Asrama Puteri Inderapuri oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaiin Billah. Alhamdulillah dengan siapnya kompleks asrama ini telah memberi  peluang kepada pelajar-pelajar untuk menikmati kemudahan yang selesa.

 Bangunan SMATAF terkini (2015)

Lebih menarik, di SMATAF terdapat suatu sejarah silam yang mungkin tiada di sekolah-sekolah yang lain. Penemuan patung Buddha yang dikatakan berasal dari Siam dijumpai di SMATAF semasa kerja-kerja gotong royong membersih kawasan asrama dan surau pada tahun 1993. Patung ini dikaitkan dengan zaman pengaruh Siam di negeri Pahang pada kurun ke 14 dan awal kurun ke 15.

Maklumat yang dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

Dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar Pekan


Mungkin di sekolah-sekolah yang lain juga terdapat sejarah silam yang penting. Ayuh kita kongsi bersama-sama.


Tuesday, September 08, 2015

Kursus Imam Wibawa 2015

Menghadiri Kursus Imam Wibawa bagi Imam masjid daerah seluruh negeri pahang. Selain mendengar amanat dari ketua Penolong Pengarah bahagian Masjid, YH Dato' Badlishah bin Alaudin, para peserta turut menadah kitab Hidayatus Sibyan bersama Tuan Guru hj Yahya dari Rompin. 

 Amanat KPP Bahagian masjid dan surau. Antara pesanannya, kena bagi pencerahan pada orang awam yang bab berkait infrastruktur bangunan masjid seperti kebocoran bukan di bawah unit masjid tetapi di bawah unit pengurusan JAIP dan JKR.
 Para peserta bersama KPP Masjid


Pengajian kitab Hidayatus Sibyan bersama Tuan Guru Hj Yahya dari Rompin. Beliau biasa mengajar takmir di sekitar daerah Pekan dan Rompin. Sebelum ini pernah menuntut di Patani.

Sunday, September 06, 2015

Chef yang solat

Baru ni kami bersiar-siar mencari tempat untuk makan malam. Akhirnya kami nampak suatu pemandangan yang sangat menarik dan sangat jarang berlaku di tempat kita. Kami terus memutuskan untuk bertandang ke kedai tersebut. Semoga makanan yang kami makan diberkati dan staf kedai makan tersebut mendapat rezeki yang berkat. Jom kita bertandang ke IDEA KITCHEN, terletak di belakang Pappa Rich Bandar Temerloh (dekat dengan roundbout ke jambatan Temerloh).






Mereka menunaikan solat fardhu maghrib, waktu maghrib sangat sempit. Jangan miss solat fardhu 5 waktu, khusus buat peniaga kedai makan, pasar malam, pasaraya dan buat pengunjung yang suka bersiar-siar pada waktu maghrib.

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya" (An-Nisa' : 103)

"Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang di kalangan kamu yang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari. Kata al-Hasan : dan apakah lagi kekotorannya yang tinggal?" ( riwayat Muslim)

Friday, September 04, 2015

Makam Sultan Muhammad Shah di Pahang Tua

 Berkesempatan menziarahi Makam Sultan Muhammad Shah di Pahang Tua



Sedikit sedutan cerita Sejarah :
Asal Usul Nama Negeri Pahang dari Kampung Pahang Tua. Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu di Kampung Pahang Tua, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan. Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Setelah Melaka dapat menawan, maka Sultan Mansor Shah telah melantik wakil raja  di Pahang yang bernama Dato Seri Bija Diraja sebab pada masa itu belum ada raja muda yang layak menjadi raja sebagai wakil sultan,sehingga berlaku peristiwa pembunuhan Tuan Besar anak Tuk Perak.
Raja Muhammad sepatutnya mengantikan ayahndanya Sultan Mansur Shah sebagai Sultan di Melaka, akan tetapi apabila berlaku peristiwa sepak takraw yang mengenai kepala baginda, langsung dibunuhnya anak bendahara. Kerana peristiwa itu, maka baginda dihantar menjadi raja di Pahang. Beliau dilantik menjadi raja Pahang pada tahun 1470 dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.
Wilayah kekuasaan baginda dari Sedili hingga ke Terangganu. Baginda bersemayam di Tanjong Langgar Pahang Tua, Pekan, terdapat banyak makam raja Melaka di Pahang Tua.
Dengan tertakluknya Pahang di bawah kekuasaan Melaka,  dengan rasminya Pahang sudah menjadi sebuah negara Islam ketika itu. Maka rakyat jelata yang sudah ramai memeluk Islam menyambut baik kedatangan raja Melaka yang membebaskan mereka dari cengkaman Siam yang beragama Budha. Kedatangan orang Melaka bukan sahaja mengubah corak pemerintahan dan politik, akan tetapi membawa bersama mereka Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Laut Melaka yang berasaskan perundangan Islam dan bermazhab Syafie.

Pemerintahan Sultan Muhammad Shah berlangsung selama enam tahun sebelum mangkat pada 1475. Sultan Muhammad Shah selepas itu dimakamkan di suatu tempat yang dikenali sebagai Dusun Pinang yang terletak di dalam mukim Pahang Tua di Pekan.
Batu nisan yang terdapat pada makam Sultan Muhammad Shah bagaimanapun dipercayai ditemui di makam Langgar di tepi Sungai Pahang Tua selepas berlakunya banjir besar pada 1926.