Monday, June 13, 2016

Tahniah KESUMA MDL

Tahniah pada Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Daerah Lipis kerana membuat dan memulakan  projek Infaq kepada sesiapa yang memerlukan di Masjid Daerah Lipis.
Konsepnya cukup mudah, terbuka pada sesiapa yang ingin memberi infaq berupa makanan dan minuman seperti beras, gula, kicap, sardin dan sebagainya. Letak sahaja ke dalam rak yang disediakan.
Penerimanya pula terbuka kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Tidak perlu isi borang atau meminta kebenaran. Kita hanya mengharapkan ketelusan bagi penerima dan keikhlasan bagi pemberi.


 Bersama Al-Fadhil Qadhi, Tuan Setiausaha MDL dan sebahagian penerima sumbangan

 Pihak KESUMA MDL turut memberi sumbangan makanan kepada mereka yang memerlukan



Tuan Setiausaha MDL sedang memberikan taklimat

Rak yang disediakan di Masjid Sultan Mahmud







Catatan imam kecil : Nak Kerat meja

Pagi ni Al-Fadhil Qadhi ajak saya pergi ke kedai kayu. Projeknya ialah untuk kerat meja banquet yang besar menjadi panjang 18 inci sahaja.

Asalnya, disebabkan program Tafaqquh yang berjalan  di Masjid Daerah, maka kami pun meng'oder' meja dari kedai perabut. Dengan saiz meja yang besar dan dewan kelas yang kecil menyebabkan jumlah meja yang boleh masuk ke dalam dewan menjadi terhad.

Tokey kedai bersetuju untuk kerat setiap meja dengan upah RM 20 untuk satu meja. Cuma kami perlu mencari lori atau hilux untuk mengangkutnya. 

Kalau saya seorang nak angkat..fuhh..
 Anak tokey kedai bersama Al-Fadhil Qadhi
Bawa Sebuah dahulu meja banquet, ada 30 lagi

Sunday, June 12, 2016

Catatan Imam Kecil - Sebuah Kuarters Khas

Catatan imam kecil - sebuah kuarters khas

Saya tinggal di kediaman yang diperuntukkan khas buat saya. Tertulis dalam slip gaji perumahan khas. Nampak macam hebat dan mantap je kan?
Tapi realiti sebenar, kuarters saya yang selaku pegawai kerajaan sangatlah dhoif. Musim kemarau sebelum ini yang dikaitkan dengan fenomena elnino, Daerah Lipis memgalami masalah air yang sangat serius, sungai cetek, air sungai kena tarik ke empangan dan paling parah mesin pam air rosak. Setelah semuanya selesai dibaiki. Rumah orang lain telah mempunyai air, tetapi kuartersku masih tiada air, akhirnya pihak PAIP terpaksa tarik cabang paip lain untuk tarik ke kuarters supaya berair.
Kini masalah bekalan elektrik yang selalu putus di kuarters. Ketika tempat lain dan masjid ada, kuarters kami tiada, terkini semakin parah, mungkin perlu dibaiki..
malam ini terpaksa menumpang tidor di pejabat masjid lagi...

Saturday, June 11, 2016

Kelas Qiraat Bulanan di SRITI Pahang

Alhamdulillah, kelas pengajian Qiraat berjalan sebulan sekali bersama para guru SRITI Pahang.
Qiraat mungkin masih baru dan asing di negeri kita. Akan tetapi sampai bila terus asing?,
Jadi kami cuba sekadarnya dengan membuat kelas sebegini dengan harapan memberi pendedahan kepada masyarakat di tempat kita.
Semoga kita semua terus mendalami dan akrab dengan Al-Quran.

Kelas berjalan di SRITI Al-Fateh, Taman Temerloh Jaya

Catatan imam kecil : suara ramadhan dan kipas

Bila tiba ramadhan, masjid menjadi agak sesak pada malamnya berbanding bulan-bulan yang lain. Bila bersesak akan timbullah suara-suara seperti masjid ini panas, kipas tak cukup, kena pasang penghawa dingin (ekon). Ada juga yang berkata duit masjid banyak, gunalah buat beli ekon, jangan simpan je.
Suara-suara tersebut akan hilang selepas musim Ramadhan dan masjid juga sepi dari kelibat suara-suara tersebut.
Bagi saya, keselesaan di masjid juga perlu diambil kira.
Saya syorkan supaya spec bangunan masjid yang diselenggara oleh JKR perlu dimasukkan sekali pemasangan penghawa dingin atau pun kipas gergasi semenjak dari awal lagi.
Tak perlulah setelah beberapa tahun beroperasi, pihak masjid sendiri terpaksa ubahsuai masjid seperti memasang kipas gergasi atau penghawa dingin...
Semoga dengan keselesaan beribadah dan berada di masjid menjadi tarikan untuk orang ramai lebih mesra dan akrab dengan masjid.

Tuesday, June 07, 2016

Catatan Imam Kecil : Menerima APC

Alhamdulillah, terima kasih kepada bos yang memilih saya untuk menerima APC bagi tahun 2015. Untuk Daerah Lipis saya dan Al-Fadhil Qadhi Daerah yang menerimanya. Semoga pengiktirafan ini semakin memotivasikan saya untuk lebih gigih bekerja, memajukan Jabatan Agama Islam Pahang dan menyebarkan risalah dakwah.  

 Naik bas untuk ke tempat program di Manggala Resort

 Nyanyian lagu negaraku, lagu negeri Pahang dan perkhidmatan awam oleh kumpulan koir, mujur warna oren.

Penerima bersama YB Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri dan YH Dato' Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang.

Kisah Ramadhan (KIRAM 7) : Iftar hari pertama 1437

"Dalam bulan Ramadhan, saya syorkan jangan baca catatan ini pada hari siang. Saya tulis catatan ini pun pada hari malam". 

Sama seperti tahun-tahun sudah, saya berbuka puasa di masjid. Cuma bezanya Ramadhan tahun ini, masjid kami tidak menganjurkan majlis berbuka puasa secara besaran seperti tahun-tahun sebelumnya. Ini kerana masjid masih lagi dalam baik pulih (renovation). 

Pentadbiran masjid hanya menyediakan juadah bubur lambuk sepanjang Ramadhan untuk musafir yang singgah berbuka di masjid. Ada pun ahli jemaah digalakkan untuk membawa bekalan masing-masing (pot lak) dan berbuka bersama-sama sambil berkongsi dan bertukar-tukar juadah dengan sahabat jemaah yang lain. 

Bila sebut bubur lambuk, sudah tentu terbayang bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru yang mashyur itu. Saya tidak tahu bagaimana kesedapan bubur lambuk tersebut, kerana belum pernah berpeluang menjamahnya. Namun katerer yang memasak bubur lambuk di masjid kami ini boleh la sedap juga rasanya.

Ketika saya berbuka dengan bubur lambuk  bersama Bilal Johne tadi, teringat kenangan ketika tinggal di Syari'  Khoulusi, Shoubra ketika belajar di sana dahulu. Semua jemaah dibekalkan dengan semangkuk kecil 'Aruz Laban' yang disertakan sebiji kurma. Sesudah menjamah Aruz Laban bersegera kami menunaikan solat maghrib berjemaah, kemudian barulah dihidangkan dengan juadah berat.

Di Mesir Aruz Laban yang sedap itu harganya murah sahaja. Ada kedai khusus yang hanya menjual Aruz Laban. Di Malaysia terdapat juga Aruz Laban dijual di sesetengah restoran nasi arab. Harganya sudah tentu lebih mahal berbanding yang dijual di Mesir. Saya syorkan sahabat-sahabat untuk merasa Aruz Laban. Cuma kadang-kadang restoran nasi arab di sini mereka mencampurkan sekali Za'faran dengan Aruz Laban. Terasa seperti makan minyak wangi, huhu...



Kurma, air zam-zam dan bubur lambuk saya dan bilal

Sesudah solat maghrib, makan nasi bersama Imam Terawih jemputan 

Monday, June 06, 2016

Kisah Ramadhan (KIRAM 6) : YH Dato' Ahmad Faizol Perasmi Imam Terawih di Masjid Lipis 2016

Alhamdulillah, bulan Ramadhan yang mulia telah berkunjung tiba. Istimewa bagi jemaah masjid Daerah Lipis,  solat terawih untuk malam pertama diimamkan oleh YH Dato' Ahmad Faizol bin Ghazali, johan qari tilawah peringkat antarabangsa tahun 2003. Turut sama YH Dato' sebagai bilal ialah ustaz Razuan Jamal, yang pernah menjadi johan Qari tilawah peringkat Negeri Pahang.

YH Dato' mengambil kesempatan menghantar anaknya Umair yang menjadi imam terawih di masjid ini. Umair pernah menjadi imam terawih di masjid ini dua tahun lepas. Semoga YH Dato' Ahmad Faizol, Ustaz Razuan Jamal dikurniakan kesihatan juga buat kita semua.

Ramadhan Karem 


 Selesai solat witir

 Sempat Selfie
 Turut sama Al-Fadhil Qadhi Daerah Lipis

Pegawai masjid bersama YH Dato' Ahmad Faizol.

Rest For Caliph

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri program Rest For Caliph (RFC 1.0) yang diadakan di Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah (KOMPAS) Temerloh pada 28 dan 29 Mei 2016. Program julung kali ini dikelolakan di bawah Akademi Al-Istiqamah dengan kerjasama Nadi Al-Bahgdadi Indera Mahkota.

Para peserta dibimbing untuk menghafaz surah pilihan dengan menggunakan kaedah neuro Al-Baghdadi di samping menguasai bahasa perbualan asas dalam bahasa arab dan cina. Peserta juga berpeluang menjalankan aktiviti beriadah dengan berkuda dan memanah.

Insya-Allah Akademi Al-Istiqamah akan merancang untuk mengadakan program-program khususnya untuk para pelajar.

 Kenangan bersama para peserta dan ibu bapa

 Barisan Urusetia bersama Penasihat Akademi Al-Istiqamah


Selesai Kem Intensif Al-Quran di Masjid Kampung Awah

Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir di program Kem Intensif Al-Quran di Masjid At-Taqwa Kampung Awah, Maran Pahang. Program Kem Intensif Al-Quran di Masjid Kampung Awah ini adalah yang kedua untuk tahun 2016.
 Semoga program sebegini lebih rancak diadakan lagi. Terima kasih kepada urusetia penganjur serta ibu bapa yang sudi menghantar anaknya ke program Kem Intensif Al-Quran ini.


Sesi taaruf Fasilitator 

Gambar kenangan Urusetia bersama peserta

Urusetia penganjur dan fasilitator


 Adik Dalili, yang membuat sendiri penanda buku bergambarkan haiwan untuk diberi kepada fasilitator dan kawan-kawan sekumpulannya.

 Slot memanah juga ada di kem ini.

Thursday, May 26, 2016

Catatan Imam Kecil : Tetamu di waktu petang

Petang tadi, saya bertemu dengan En Shafie dan Ustaz Zarifin dari Kampung Chegar Perah. Mereka berhajat untuk membuat koperasi masjid di kampung mereka. Oleh kerana di Masjid kami telah ada koperasi masjid, lalu mereka berdua datang bertemu dengan saya untuk menanyakan perihal yang berkaitan dengan koperasi masjid.
Cuma mereka mempunyai masalah. Tok Empat Kampung (Ketua Kampung) tidak berapa bersetuju dengan projek tersebut. Mereka juga memerlukan orang yang boleh dan mampu membuat kerja kesetiausahaan seperti membuat kertas kerja, membuat surat dan sebagainya yang berkaitan.
Saya doakan semoga usaha mereka untuk membangunkan Koperasi Masjid di kampung mereka dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

Bersama Ustaz Zarifin dan En. Syafie di Koperasi Masjid Sultan Mahmud Lipis


Bukan Pepsi ni, tapi air yang orang minta tolong jampikan dengan bacaan Yasin

Semasa saya sedang menulis catatan di atas, datang seorang lelaki ke rumah saya. Katanya dia membawa hajat orang, minta tolong dibacakan Yasin ke air ini. Antara dialog saya dengan beliau :

Beliau : ini Bilal Masjid?
Saya   : Lebih kurang la (saya hanyalah imam kecil, orang tak kenali berbanding orang kenal YB)

Beliau : Ada orang minta tolong bacakan Yasin, dia kirim air ni
Saya   : Orang tu tak mari ke malam ni?, elok dia pun mari, jangan hanya nak harap orang lain je yang baca.

Beliau : Tak mari, sibuk katanya..
Saya   : Gone pula sibuknya, Urusan agama kena bagi juga masa

Beliau : Ni nombor telefon saya, nanti saya ambil pukul 9 dekat pondok sekuriti
Saya   : Ya lah


Ini antara realiti yang biasa berlaku kepada kami, pegawai masjid..
Siapa nak ulas kisah saya ni?..Persilakan..huhu

Catatan Imam Kecil : Kursus Profesionalisme Bilal Daerah Lipis

Pagi ini saya diberi berpeluang berbicara sepatah dua kata kepada para Bilal di Kursus Peningkatan Profesionalisme  Bilal Qaryah Daerah Lipis yang diadakan di Dewan Residen Lipis. Kursus ini anjuran Majlis Ugama Islam (MUIP) Lipis.

Pada kesempatan tersebut saya nyatakan beberapa perkara. Antara pointnya : 
1. Bilal 'mengejutkan' masyarakat yang tidur dengan laungan azan.
2. Bilal semua dilatih dan menjadi orang yang menepati masa dan sangat berdisiplin.
3. Hanya orang lelaki sahaja yang boleh melaungkan azan.
4. Para Bilal perlulah menjaga sahsiah diri, seperti pakaian yang kemas ke masjid.
5. Para bilal kena menambahkan ilmu pengetahuan.
6. Besarnya ganjaran sebagai Bilal. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bara' bin Azib RA maksudnya " Sesungguhnya Allah dan Malaikat berdoa untuk yang berdiri di saf pertama. Para Muazzin pula diampunkan sebanyak mana suaranya dan siapa yang mendengarnya menjadi saksi, dan dia akan mendapat pahala yang mengerjakan solat bersamanya". (Al-Nasai)

Menurut Syeikh Daud al-Fathani dalam Furu' Masail : Bilal dikatakan di akhirat nanti lehernya panjang. Kerana panjang harapannya dek semua makhluk yang pernah mendengar laungan azannya menjadi saksi di akhirat.

Semoga Karisma para Bilal khususnya dan pegawai masjid umumnya dipertingkatkan di negara kita.

Terima kasih kepada Ustaz Hazwan Hafiz, Pegawai Hal Ehwal Islam MUIP Lipis kerana memberi peluang kepada saya.





Program Kem Intensif Al-Quran Permai

Cuti sekolah bakal menjelang. Biasanya pelbagai aktiviti telah dirancang oleh ibu bapa dan juga para pelajar dalam mengisi waktu cuti sekolah mereka. Justeru PERMAI tidak ketinggalan menawarkan suatu program yang sangat bermanfaat buat semua pelajar. Program dinamakan Kem Intensif Al-Quran (KIA) yang bertujuan membimbing para pelajar selok belok mengenai ilmu al-Quran khususnya dalam bidang tajwid dan bacaan. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah menjadi panel temuduga pegawai masjid Qaryah dan guru Kafa, saya melihat hampir 80% tidak dapat menjawab dan membaca al-Quran dengan tajwid yang baik. 

Sesungguhnya Al-Quran perlu dipelajari secara khusus, bukanlah suatu jaminan seseorang yang memasuki Sekolah agama bahkan Maahad Tahfiz akan dapat membaca al-Quran dengan baik. 

Justeru program Kem Intensif Al-Quran (KIA Permai) antara salah satu wadah untuk membendung gejala tidak pandai membaca Al-Quran.


Baru-baru ini, team Permai berkesempatan mengedarkan Iklan program di Pekan Sari Temerloh dan Pasar Malam Paya Pulai. Semoga usaha kita semua diberkati dan program KIA dapat berjalan dengan lancar.











Seminar Ulama' Pahang kali ke 5

Saya berkesempatan hadir ke program Seminar Ulama Pahang kali ke 5 yang diadakan pada 23-24 Mei 2016 di hotel M.S Garden, Kuantan. Program yang dirasmikan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang ini dihadiri oleh 250 orang peserta. 
KDYTM juga telah  mengikuti pembentangan kertas kerja dalam seminar tersebut.

Pelbagai kertas kerja dan tajuk yang menarik dibincangkan dalam seminar ini. Semoga hasil dari seminar Ulama Pahang ini tidak terhenti setakat di dalam kertas kerja seminar sahaja tetapi ada tindakan susulan dari pihak berwajib. 

Semasa majlis perasmian Seminar Ulama Pahang ini juga KDYTM Tengku Mahkota Pahang juga telah berkenan melancarkan Portal Di Raja Pahang. 








Pengajian Qiraat Bersama Guru Sriti Pahang

Alhamdulillah, kelas pengajian bulanan bersama dengan guru SRITI Pahang dapat diteruskan semula selepas lama tergendala. Asalnya dahulu kelas bersama guru Pasti dan Kaffah. Selepas penjenamaan semula kini  kelas Kaffah dikenali dengan nama SRITI.
Doakan semoga kelas ini dapat  berjalan lancar. Jika ada yang bukan guru SRITI berminat juga dialukan untuk turut serta program ini.