Wednesday, August 10, 2016

Program Bicara Mufti tahun 2016 di Daerah Lipis

Sempena program Bicara Mufti siri 4/2016 Jabatan Mufti Negeri Pahang peringkat daerah Lipis yang diadakan pada 10 Ogos 2016 di Masjid Batu 6 Penjom, beberapa acara diadakan pada sebelah siangnya. Antaranya seperti pameran, kaunter medical checkup, chek tarikh lahir dalam tahun Islam dan pertandingan membaca khutbah dan pertandingan memasak.



Pertandingan Membaca Khutbah. Sangat baik diadakan kerana dapat melatih dan mencungkil bakat. Banyak isu yang timbul berkaitan Tok Khatib khususnya di masjid-masjid kampung tradisional. 
Ada masjid yang terpaksa import Ustaz sekolah di daerah yang berlainan khusus untuk baca khutbah jumaat sahaja kerana di kampung tiada orang yang berkebolehan untuk membaca khutbah. 
kita masih belum bincangkan persoalan yang ada di kalangan agamawan kita membangkitkan pasal tok khatib patutnya berkhutbah bukannya membaca khutbah. Isu sekarang yang lebih kritikal adalah nak cari khatib yang boleh membaca khutbah pun dah sesak. Perkara ini mungkin tidak berlaku di bandar-bandar besar, hanya terpencil di kampung-kampung tertentu.


 Majoriti peserta adalah pelajar dari SMA Padang Tengku, Kuala Lipis.

En. Roslan satu-satunya peserta tunggal orang dewasa. Beliau merupakan bilal di masjid Kampung Penjom. Syabas kepada beliau.


 Suasana di meja pertandingan memasak. Memasak di rumah masing-masing. Masakan pula adalah berasaskan ikan patin. Memang semangat peserta-peserta ini.., ada yang siap pakai baju kurung seragam lagi.





Tuesday, August 09, 2016

Durian Kampung

Musim raja buah kembali lagi. Ada yang sanggup mencarinya ke segenap tempat, yang penting hati puas. Kelihatan di gerai-gerai yang menjual durian di tepi-tepi jalan kebiasaannya memang akan dikerumuni oleh orang ramai. Ada yang terus makan di situ sahaja, senang.. dan kalau tak sedap boleh kompelin terus ke penjual..huhu
Saya berkesempatan mengikuti rakan ke kebun durian di Kampung Telok Gunung, Lipis dekat dengan Merapoh.




Kereta-kereta sporty yang lowed tak lepas nak masuk ke kebun ni. Suasana persekitaran yang sangat cantik, bersebelahan dengan anak sungai yang jernih airnya. Memang seronok kalau nak berpicnic di sini.

Proses Pasang Kubah Masjid

Bukanlah syarat masjid mesti ada kubah. Cuma kebiasaan Kubah orang akan kaitkan dengan masjid. Sama juga halnya dengan bulan sabit. Tetapi jangan kita sangka masjid sahaja yang mempunyai kubah. Gereja juga ada yang mempunyai kubah, stadium , kubur seperti Taj Mahal dan bangunan-bangunan yang lain.

Disebabkan kubah di masjid Daerah Lipis sudah lama. Kelihatan karatnya di sana sini dan berlaku  kebocoran ke dalam ruang solat bila hujan. Maka sudah sampai masanya kubah yang lama diganti. 

Proses penggantian kubah gayanya memakan masa juga, kerana proses pemasangannya yang rumit. Tetapi jika ada duit semua boleh ejas. Sama-sama kita nantikan wajah kubah dan rupa masjid daerah Lipis yang baru.





Sunday, August 07, 2016

Menjadi peserta Seminar My Document bersama Byond Success

Jangan kata kita serba tahu, masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Realiti masih ramai yang tidak tahu yang mereka itu tidak tahu. Bahasa dalam kitab gelarkan Jahil Murakab.

Maka untuk menjadi tahu dan hebat kita perlu berguru. Menurut Tuan Abdul Basit selaku Pengerusi Eksekutif Byond Group of Companies ada 4 jenis guru diperlukan khususnya dalam menguruskan perniagaan.

Saya kongsikan di sini, Empat guru yang dimaksudkan ialah :
 i) Guru yang mampu memberi Motivasi dan Keberanian.
ii) Guru teknikal dan operasi
iii) Guru Pengurusan dan sistem
iv) Guru Agama dan kerohanian 

Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Seminar My Documents anjuran Byond Success. Program yang membicarakan khusus berkenaan cara urus bisnes gaya korporat. Kredit untuk Ustaz Bulah yang mengesyorkan untuk saya hadir.

Tidak rugi join program-program sebegini kerana pelbagai perkara yang dipelajari di samping secara tidak langsung  saya dapat recharge semangat. Saya syorkan pada sahabat di luar sana untuk menghadiri program-program yang dianjurkan oleh Byond  Success. 

Isi borang pendaftaran. 

 Pengisian dan perkongsian pengalaman oleh Tuan Basit.

#byondsuccess
#permaidihati

Saturday, August 06, 2016

Angin Ribut

Hujan lebat berserta angin kencang di Kerdau. Beberapa dahan pokok getah patah, pohon pisang juga tidak terkecuali. Mujur tiada pokok besar-besar berhampiran rumah. Sebatang dahan pokok jatuh menghalang laluan jalan di depan rumah. Begitulah kekuatan angin, mampu menumbangkan pokok yang berat dan besar. Maha hebat Allah yang mendatangkan angin.

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ يُرْسِلَ الرِّيَاحَ مُبَشِّرَاتٍ وَلِيُذِيقَكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَلِتَجْرِيَ الْفُلْكُ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (46)
Dan di antara tanda-tanda kekuasan-Nya adalah  Dia mengirimkan angin sebagai pembawa berita gembira dan untuk merasakan kepadamu sebagian dari rahmat-Nya dan supaya kapal dapat berlayar dengan perintah-Nya dan (juga) supaya kamu dapat mencari karunia-Nya. Mudah-mudahan kamu bersyukur” (ar Rum: 46).





 Pokok tumbang di tepi rumah



Laluan untuk ke KOMTAQ juga terdapat pokok yang rebah

Thursday, August 04, 2016

Catatan Imam Kecil : Gotong royong Pusara Daerah

Gotong royong antara Warga Pejabat Agama Islam Daerah Lipis bersama Majlis Ugama Islam (MUIP) Cawangan Lipis di tapak pusara daerah. Setakat ini masih belum ada jenazah yang dikebumikan di situ. Pihak pentadbiran bercadang setelah segalanya selesai seperti urusan landskap barulah pusara tersebut mula beroperasi.

 Sarapan pagi di cafe Masjid sebelum ke tapak pusara daerah

 Bilik stor dan tandas dari peruntukan JAIP 


Sambil-sambil menjamah durian yang dibawa oleh Al-Fadhil Qadhi

Wednesday, August 03, 2016

Jamuan Kelas Fardhu Ain Masjid

Pelajar Kelas Fardhu Ain Masjid Sultan Mahmud telah berpakat untuk mengadakan jamuan bersempena dengan hari raya. Cukup meriah jamuan yang para pelajar masing-masing membawa juadah di samping menempah menu dengan Katering. Menu utama yang pastinya jarang ada di tempat yang lain ialah Nasi Kebuli. 
Nak dapat Nasi kebuli ni pun payah, cari di kedai makan belum tentu ada. Kena tempah dengan tukang masak orang tempatan Lipis- Jerantut. Bagi yang belum pernah merasa kena try rasa tu..huhu

Kelas Fardhu ain ini dibimbing oleh Imam Faizal. Sambutan terhadap kelas ini sungguh menggalakkan.






Catatan Imam Kecil : Musim Rama-Rama ?

Sekarang adalah musim rama-rama? Saya katakan begitu kerana di Masjid kami sekarang dipenuhi dengan rama-rama. Cuma rama-rama yang datang ke masjid ini satu jenis sahaja. Rama-rama warna gelap, tiada yang berwarna cerah dan berwarna warni.

Allah berfirman dengan maksud :

“ Perhatikan dan fikirkanlah tentang apa yang ada di langit dan bumi  daripada segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya” 
(Yunus : 101)







Tuesday, August 02, 2016

Jamuan Hari Raya di PAID Lipis

2hb Ogos 2016 adalah jamuan hari raya di Pejabat Agama Islam Daerah Lipis. Istimewanya menu utama Nasi Arab berlaukkan daging kambing dimasak sendiri oleh Al-Fadhil Qadhi Daerah Lipis. 
Saya berjalan kaki ke Pejabat Agama Islam Daerah Lipis

Inilah rupa nasi Arab daging kambing

Tuesday, July 26, 2016

Hadir Kursus E-Usahawan

Ahad baru ini saya berkesempatan mengikuti Kursus E-Usahwan di RTC Kuala Pahang. Pelbagai info diperolehi, cuma masa agak singkat dan terbatas. Insya-Allah program sebegini sangat baik untuk kita turut serta.










Friday, July 22, 2016

Catatan Imam Kecil : Dah raya ke?

Perbualan seminggu dua ni bila bertemu dengan orang.

Fulan : Dah raya?
Imam Kecil : (buat-buat tak faham) Raya dah kan?
Fulan : Kita raya dah semalam

* Maksudnya dah selesai puasa 6 dalam bulan Syawal.
Biasa saya akan kabo dengan cara tidak serius,  Raya Aidil Fitri  1 Syawal sahaja, mana ada raya puasa 6, sesat nanti..huhu.

Imam Kecil : Lama tak nampak kat masjid ?, Pergi Mana? (maksudnya datang jemaah Maghrib di masjid)
Fulan : Oh, kita puasa 6 tak habis lagi.

* Realiti yang biasa berlaku, tak datang ke masjid sebab nak berbuka di rumah. Sedangkan Solat berjemaah lebih dituntut dari puasa sunat. Isu ini juga  berlaku dalam bulan Ramadhan, Waktu Maghrib masjid sepi sebab ramai yang berbuka puasa di rumah, kadangkala termasuk juga Imam dan Bilal. Ada yang 30 hari dalam bulan Ramadhan tak berjemaah di masjid pada waktu maghrib. Tapi time solat sunat terawih sampai tak muat masjid.

Beginilah Krisis yang melanda umat. Mereka tidak tahu hendak meletak yang mana lebih utama.

Thursday, July 21, 2016

Catatan Imam Kecil : Mesyuarat Pusara Daerah Lipis


Pagi ini bermesyuarat berkaitan Pusara Daerah di Pejabat Agama Islam Daerah Lipis. Tanah seluas 24 ekar, telah menerima peruntukan RM 30K dari Jabatan Agama Islam Pahang untuk menerangkan seluas 1 ekar, membina tandas, stor dan dewan terbuka.

Projek Pusara Daerah adalah kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP). Setakat ini Daerah Lipis merupakan yang pertama mengadakan mesyuarat  untuk projek Pusara Daerah. 

Di Pahang masih belum ada lagi pusara yang berkonsepkan Pusara dalam taman, tersusun rapi seperti di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Doakan semoga projek Pusara Daerah terlaksana dengan segera memandangkan kos belanjanya juga agak besar.


Tuesday, July 19, 2016

Catatan Imam Kecil : Bersua dengan Pengurus Pusat Giat Lipis

Pagi tadi saya berkunjung ke Pusat Giat Mara Lipis, bertemu dengan Tuan Pengurus Giat Mara Lipis. Asalnya ingin bertemu pada pagi jumaat yang lalu, tetapi disebabkan saya ada kecemasan lain maka terpaksalah ditunda ke hari ini.

Sudah hampir 3 tahun saya mengajar kuliah agama di Pusat Giat Mara Lipis. Kali ini Tuan Pengurus memaklumkan yang pihak HQ inginkan laporan perjalanan kelas dengan lebih terperinci. Ujian teori dan amali perlu dilaksanakan dan setiap topik perlu laporannya lebih terperinci. Dah macam cikgu sekolah pula.

Setakat ini syarat kemasukan hanya 3M (membaca, menulis dan mengira). Tetapi terdapat juga pelatih yang tidak tahu dan tidak lancar membaca dan menulis. Jika pelajaran agama yang melibatkan bacaan-bacaan yang perlu dihafaz..fuhh, memang sangat mencabar.. Maklum sahajalah..


Catatan Imam Kecil : Selepas Subuh

Selepas solat subuh, saya perlu melalui suatu tempoh menunggu jika mahu mengeteh atau bersarapan di kedai. Bahkan jika ingin beli bungkus pun perlu menunggu. Saya perlu tunggu jam 7 pagi kerana sebelum jam tersebut hampir sebahagian besar kedai makan di daerah ini belum bersedia untuk menghidangkan makanan.

Ada lah beberapa buah kedai makan yang boleh pergi selalu selepas solat subuh, yang pastinya dalam beberapa buah kedai tersebut kedai mamak memang termasuk dalam senarai. 

Kadangkala jika ada sekelompok ahli jemaah masjid yang ingin bersarapan bersama. Mereka akan melepak di tangga masjid berborak-borak menunggu ke jam 7. Melepak  di tangga juga tidak berapa molek di masjid kami kerana dalam tempoh ubahsuai masjid, muslimin muslimat perlu melalui tangga yang sama. Ada yang merasa kurang selesa terutamanya muslimat dan orang luar kerana perlu menempuh geng melepak di tangga untuk naik ke masjid.




Saturday, July 09, 2016

Catatan Imam Kecil : Hang Pi Mana?

Salam Syawal buat semua kaum muslimin khususnya pembaca blog ini. Bila hari raya jalan raya akan penuh sesak, jem krem habis. Laluan Raub-Lipis yang biasanya hanya 40 minit boleh sampai 1 jam setengah. Nak kabonya ramainya orang yang keluar dari rumah masing-masing. Sama ada balik kampung, keluar berziarah ke rumah saudara dan rakan taulan.

Namun ada yang tidak dapat keluar beraya sakan. Kamu tau siapa dia?

Ada yang tidak dapat pulang ke kampung, mereka boleh kita gelarkan sebagai beraya di perantauan. Saya pernah merasainya semasa belajar di Mesir dahulu. Straight dari tahun pertama hingga tahun akhir di Mesir saya tidak pernah balik bercuti ke Malaysia. Walaupun di perantauan tetapi masih dapat beraya dengan sahabat-sahabat sepengajian.

Ada juga kelompok yang tidak dapat beraya sakan dan tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana terikat dengan tanggungjawab pekerjaan. Mereka yang bekerja shift seperti jururawat, polis, askar, Dj radio, hos TV,  Tetapi kebiasaannya mereka yang bekerja pada hari lebaran elaunnya akan dibayar berganda, ada yang sampai tripple dan mereka juga akan dapat Qadho' cuti selepas itu..Fuhh. 

Termasuk juga mereka yang sejawatan dengan saya iaitu pegawai Masjid. Jadi saya juga berpengalaman merasa  bekerja pada hari raya. Cuma kami pegawai masjid tidak mendapat keistimewaan elaun berganda tersebut.

Siapa lagi?

Di kesempatan ini, saya ingin highlight kan Pengawal Keselamatan atau orang panggil JAGA. Di Masjid kami juga ada khidmat pengawal keselamatan, di sekolah, jabatan kerajaan, bank, dan lain-lain premis. Walaupun mereka bertugas baik di masjid, sekolah, pejabat-pejabat, namun mereka hanyalah bekerja kontrak dan terikat dengan syarikat kawalan keselamatan yang mendapat tender di situ. Jika warga kerja di jabatan atau pejabat tersebut dapat imbuhan sempena raya, jangan sangka JAGA juga dapat, kadangkala kenaikan gaji pun mereka tidak dapat, gaji statik sahaja setiap tahun.

Kalau di masjid kami hanya ada dua orang pengawal keselamatan, mereka bergilir shift 12 jam seorang. Bekerja 7 hari tanpa cuti, kerana hanya ada dua orang. Jika salah seorang bercuti, partnernya yang seorang lagi terpaksa cover sampai melebihi 24 jam. Isu ini biasa berlaku di mana-mana sahaja terutama jika di agensi agama dan syarikat yang mendapat tender itu syarikat gergasi, tender-tender di kompeni yang kecil seperti di masjid depa tak ambil kisah sangat. Kebajikan staf mereka sering terabai. Apa yang boleh saya buat?,, di ruang dan sisi yang saya ada, saya timbulkan kepada pihak pejabat, pihak jabatan, juga maklum dan sebut kepada pihak syarikat.. Tetapi hanya sebut sahaja lah..

Saya puji dan mengkagumi mereka yang bergelar pengawal Keselamatan. Lagu Hang Pi Mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Khalifah jangan kita dengar sekadar suka-suka dan halwa telinga sahaja. Tetapi hargailah jasa dan pengorbanan Pengawal Keselamatan. Semoga nasib mereka semua semakin terbela. Selamat hari raya saya ucapkan khusus buat semua Pengawal Keselamatan.

ps : masih ada lagi kelompok lain yang kena bekerja pada hari raya tetapi tidak dapat saya sebutkan di kesempatan ini.

Wednesday, July 06, 2016

Seputar Memori Silam : Menjadi Makmum Syeikh Jibril

Ketika berada di Mesir dulu, setiap kali malam 27 Ramadhan pasti kami tidak melepaskan peluang bertandang ke Masjid Amru Al-Ash, di Fusthat Kaherah Mesir. Antara tarikan  ke Masjid itu ialah untuk mendengar Syeikh Jibril menjadi Imam. Kebiasaan Syeikh akan menjadi imam jemputan di merata-rata tempat di seluruh dunia, tetapi pada malam 27 Ramadhan beliau akan  berada di Masjid Amru Al-Ash. Cuma sekarang Kerajaan Kudeta Mesir melarang  Syeikh Jibril menjadi Imam di Masjid Amru Al-Ash. Semoga Allah merahmati perjuangan Syeikh Jibril.

Kenangan Iftar di Masjid Amru Al-Ash, Mesir

Baru ini saya berkesempatan melihat video yang dirakam oleh Team Permai yang berkunjung ke Masjid Amru : 

Saya mula mengenali Syeikh Jibril semasa belajar di Maahad Tahfiz Masjid Negeri Pahang. Ketika itu Syeikh menjadi imam jemputan solat terawih di Masjid Negeri Pahang. Kami pelajar Maahad Tahfiz mengalukan ketibaan beliau di lapangan terbang Kuantan. Kemudiannya berbuka bersama beliau di Istana Abdul Aziz Kuantan dan kemudiannya menjadi makmum beliau di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan.

Kami, Pelajar Maahad Tahfiz menyambut ketibaan Syeikh Jibril di lapangan terbang Kuantan.
 Bergambar kenangan bersama Syeikh Jibril selepas solat terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan.

Sunday, July 03, 2016

Kisah Ramadhan (KIRAM 13) bersama Warga IPD Lipis

Rutin pada setiap bulan Ramadhan  Bahagian Agama dan Kaunseling Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis (BAKA IPD Lipis) akan menganjurkan majlis Khatam Al-Quran, Iftar Jamaie dan Qiamullail di surau IPD Lipis. Sama seperti tahun-tahun sudah, saya dijemput sama untuk memeriahkan majlis tersebut. Majlis turut diserikan dengan kehadiran dan hadiah peribadi daripada pemangku Ketua Polis Daerah Lipis, DSP Ab Rashid Mat Daud kepada peserta khatam al-Quran. 
Di kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah kepada bekas Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan yang baru dinaikkan pangkat  kepada Asisten Komisioner Polis (ACP) dan menjawat jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah  dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah.


 Peserta tadarus dan Majlis Khatam IPD Lipis 

Saya bersahur di Dapor Perkep IPD Lipis bersama sebahagian warga IPD Lipis.

Kisah Ramadhan (KIRAM 12) Imam Jemputan Terawih telah pulang

Kebiasaan imam jemputan terawih akan menamatkan servis mereka pada hari ke 27 Ramadhan. Kadangkala ada yang lebih awal seperti 25 Ramadhan. Cuma kalau terlalu awal masalah juga. Biasanya semasa deal di awal-awal lagi pihak masjid telah buat ketetapan. Jika ada yang banyak karenah alamatnya tahun akan datang tidak akan dipanggil lagi untuk berkhidmat.

Selepas imam jemputan telah pulang bercuti. Solat terawih akan diimamkan oleh imam sedia ada. Semalam di masjid kami, kebetulan ada pelajar maahad tahfiz Dar Abrar Bentong yang baru pulang, jadi kami minta dia menjadi imam terawih dan memimpin Qiamullail semalaman. Tetapi hanya dapat sehari sahaja kerana keesokannya dia pun hendak balik ke kampungnya di Kelantan.

Jumaat terakhir di bulan Ramadhan tahun ini, kami beri peluang pada Umair untuk membaca Khutbah sebagai latihan dan pengalaman buatnya.