Tuesday, April 15, 2008

'Cerdik'

'Cerdik'
Sejarah telah membuktikan manusia semakin hari semakin cerdik. Setiap tahun ada sahaja rekod-rekod kecemerlangan akademik yang baru dicipta. Beberapa tahun yang lalu kita telah mendengar seorang pelajar Nor Amalina Che Bakri yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM (17 A). Tahun lepas Siti Fatimah dari Maahad Muhammadi Kelantan mendapat keputusan yang paling banyak ‘A’ dalam peperiksaan SPMnya. Tahun ini lagi banyak ‘A’ yang diperolehi oleh seorang pelajar ‘ Azali Azlan’ dari SMKA Yan Kedah, 21 ‘A’, Jumlah ‘A’ yang tidak pernah terlintas di fikiran orang tahun 80-90 an. Ini baru potensi pelajar-pelajar yang mengikut aliran pendidikan rasmi negara.



Belum lagi kisah-kisah budak-budak genius di negara kita. Kita imbau kembali…permulaan mereka dan pengakhirannya yang masing-masing seolah mempunyai kaitan pengakhiran yang sama.
Dalam pertengahan tahun 70-an, seorang kanak-kanak, Mohd Shukri Hadafi, lebih awal menarik perhatian masyarakat dengan kebolehan yang tidak kurang hebat pada usia muda. Pada zaman masyarakat yang masih ramai buta huruf, Shukri sudah boleh membaca seawal usia 3 tahun dengan situasi pada zaman itu yang agak terbatas alat bantuan pembelajarannya. Disebabkan geniusnya itu beliau telah diambil berlakon bersama seniman Jins Shamsudin dan kemudiannya menjadi anak angkat kepada Prof Diraja Ungku Aziz. Namun di pertengahan zaman persekolahannya beliau telah terjebak dengan dadah yang meruntuhkan hidup dan potensinya. Kini setelah masyarakat melupakan kisahnya, Mohd Shukri hidup dengan bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah gerai.

Kan Hun Meng, pelajar genius berasal dari Seremban yang memperoleh ijazah pertama ketika berumur 16 tahun dan menerima doktor falsafah (PhD) ketika berusia 22 tahun.Namun akibat tekanan hidup yang dialami, dia membunuh diri pada usia 32 tahun. Kejadian ini berlaku dua tahun lalu.

Nama Sufiah Yusuf mula meniti bibir masyarakat Malaysia apabila beliau diterima memasuki Universiti Oxford seawal usia 13 tahun. Walaupun Sufiah berwarganegara Britain, namun disebabkan darah ibunya yang berasal dari negara kita turut membanggakan kita rakyat Malaysia...
Beberapa tahun selepas itu, ketika usia Sufiah mencecah 15 tahun, kisahnya kembali menjadi top, disebabkan beliau yang enggan pulang ke rumah dan telah meminta perlindungan di sebuah pertubuhan kebajikan. Kisahnya menjadi reda kembali.. Namun kembali menjadi cukup panas, bukan sekadar hangat mungkin telah hangus pun. Beliau telah melakukan sesuatu yang di luar batas selaku seorang Muslim. Laporan mengejutkan mengenai kisah kehidupan terkini Sufiah itu didedahkan akhbar News of the World pada 31 Mac lalu.

Kisah tragis yang menimpa Sufiah perlu menjadi pengajaran semua pihak mengenai nasib anak genius negara ini kerana selain Sufiah, Malaysia juga mempunyai Adi Putra Abdul Ghani, 8, dari Bagan Serai, Perak.Bagi kebanyakan orang, untuk mengira angka hingga berjuta sudah tentu memerlukan bantuan alat pengira elektronik, tetapi bagi Adi Putra, dia seakan-akan mempunyai mesin pengira dalam kepalanya untuk mengira dan memberikan jawapan tepat dalam masa singkat.

Persoalannya, apakah manusia genius pengakhirannya agak malang ?

Kita tinjau beberapa tokoh ilmuan zaman silam yang kita anggap mereka juga jauh lebih genius berbanding manusia zaman kini.

Antaranya Imam Syafie, beliau bukan sahaja menghafal al-Quran di usia yang muda, beliau mempunyai ingatan yang sangat tajam. Diceritakan sewaktu beliau menuntut ilmu, beliau yang agak miskin tidak mampu untuk membeli peralatan menulis hanya menulis dengan ‘olok-olok’, tetapi apabila disoal oleh gurunya beliau boleh menghuraikan pengajaran gurunya tanpa terkurang sedikit pun. Diberitakan juga ketika beliau membaca buku, beliau terpaksa menutup helaian depan di sebabkan takut terhafal sedangkan di waktu itu beliau baru membaca di helaian sebelumnya.

Ibnu Sina, di waktu remajanya juga sudah mampu mengira pelbagai bentuk objek yang ganjil. Diceritakan pada waktu remajanya beliau agak berlagak disebabkan kecerdikannya. Pada suatu hari beliau telah bertemu dengan gurunya, dengan megah beliau telah menyuakan sebentuk objek dan menyuruh gurunya mengira objek tersebut , dengan tenang gurunya tidak menjawab soalannya tetapi menyuakan kepadanya suatu risalah yang berkaitan dengan akhlak dan adab. Setelah membacanya Ibnu Sina seperti tersedar akan segala kesilapannya, maka beliau telah berubah menjadi Ibnu Sina seperti yang kita kenal sekarang.

Kesimpulannya, genius merupakan kurniaan Ilahi, namun jika ia tidak dikaitkan dengan Islam maka natijahnya seperti yang berlaku pada zaman kini. Pada zaman kegemilangan Islam tempohari ramai genius-genius yang mengkaji ilmu-ilmu, mencipta alat-alat tetapi mereka tidak melupakan agama, bahkan dalam masa yang sama mereka juga merupakan ulama yang terbilang. Akhirnya kita semua perlu, wajib mendalami ilmu agama, menjadi suatu fardu ain bagi semua orang untuk mempelajari ilmu agama, adapun ilmu-ilmu lain menjadi fardu kifayah..
Wasalam…

Thursday, March 20, 2008

Arus Perubahan
Pejam celik pejam celik, tanpa diduga, arus gelombang perubahan rakyat berlaku dengan begitu mendadak sekali. Tanpa disangka semuanya berubah. Kemuncak perubahan dizahirkan dengan Pilihan Raya Umum ke 12 baru-baru ini. BN telah mengalami suatu malapetaka yang tidak pernah terfikir oleh mereka sendiri bahkan oleh penganalisis-penganalisis politik semasa. Rakyat yang semakin cerdik memang sudah tidak tahan diperbodohkan dengan perjalanan pentadbiran Kerajaan BN yang cukup lintang pukang, penuh dengan kezaliman atau istilah yang semakin popular disebut iaitu Carca Merba.

Akhirnya Pilihan raya Umum yang dinantikan berlaku. Telah kita maklumi dalam sejarah Pilihan Raya, PRU kali ini antara yang terkotor sistem perjalanannya, BN melalui bonekanya SPR telah membuat pelbagai strategi jijik demi untuk memastikan mereka terus mendapat kekuasaan. Perjalanan semasa tempoh berkempen digunakan sepenuhnya oleh BN dengan memperalatkan semua Media Perdana sehinggakan rakyat merasa cukup ‘panas’ dengan kebobrokan yang mereka lakukan.

Hasilnya…
Komponen BN mengalami kemorosotan yang mendadak hampir di keseluruhan Tanah air. Hanya tempat-tempat terpencil, masyarakat kampung yang dungu, warga-warga emas yang sudah tidak mampu berfikir serta artis-artis liar sahaja yang masih mendaulatkan BN..
Sedangkan di kotaraya,bandar raya, pekan semuanya sudah berubah, baik Melayu, China dan India. Semuanya anti BN.

Sekarang…
Lima buah negeri telah jatuh ke tangan pembangkang. Kesemua negeri-negeri terbabit Menteri Besarnya telah mendapat perkenan Sultan dan Yang di Pertua Negeri dan masing-masing telah mengangkat sumpah walaupun berlaku sedikit salah faham di negeri Perak.

Namun sesuatu yang jenaka apabila asalnya media mula menumpukan 5 buah negeri ini dengan menyebarkan anasir-anasir fitnah yang bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat serta memberi maklumat yang silap terhadap rakyat akhirnya dapat kita lihat kerajaan negeri-kerajaan negeri pimpinan BN yang terang-terang mengalami kacau bilau. Contohnya Perlis dan Terengganu menghadapi masalah dalam mendapat perkenan Sultan bagi perlantikan Menteri Besar. Sebenarnya sudah lama pihak Istana berdiam diri tidak puas hati dengan Umno dan BN. Namun kali ini pihak Istana sudah mula menampakkan ketidak puasan hati mereka. Signal ini merupakan kemuncak kemelut antara pihak istana dan kerajaan BN. Hanya NegeriKU Pahang Sultannya merupakan seorang dacing ‘karat’. Sultan turut membantu dalam proses kempen bagi memenangkan BN dan Sultanah sendiri turun keluar mengundi.

Syukur kepada Ilahi di atas kurniaan kemenangan ini. Namun ujian dan fitnah kemenangan kadangkala lebih besar. Kita mesti sentiasa ingat akan Hadaf perjuangan kita. Tidak hanya bertanding dalam pilihan Raya sahaja, bukan hanya sebagai Parti Politik biasa sebagaimana Parti-parti politik lain termasuk Parti-parti pembangkang yang lain. Tetapi jauh lebih besar dari itu. Kita mesti sentiasa ingat bahawa kita ialah suatu Gerakan Islam. Pilihan raya ini hanya merupakan suatu wasilah sahaja, bukan menjadi matlamat. Kaedah, wasilah boleh berubah tetapi matlamat kita adalah tetap. Sekarang tugas kita menjadi semakin besar. Namun gerakerja perjalanan Tarbiah jangan diabai sama sekali. Masih kita teringat ketika mana kita mengalami kekalahan pada tahun 2004 (PRU ke 11) kedengaran suara-suara yang menyatakan “kurangnya tarbiah menyebabkan kita kalah”. Bila kalah terus kita ingat akan Tarbiah. Namun ketika kita menang dahulu pada tahun 1999, jarang sekali kita dengar orang-orang kita berbicara soal agenda tarbiah. Mudah-mudahan nikmat pra kemenangan kali ini banyak merubahkan kita ke arah yang lebih positif.
InsyaAllah…

Sunday, February 17, 2008

Bangkit Berjuang
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya telah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya seperti nikmat kesihatan, nikmat ukhwah, nikmat pendidikan, nikmat keluarga, nikmat kesenangan dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat kita hitung banyaknya . Namun seharusnya kita perlu sedar dan bertambah bersyukur lagi kerana kita dikurniakan dengan dua kurniaan nikmat yang paling besar dan jauh lebih berharga berbanding dengan nikmat-nikmat lain iaitu nikmat Islam dan Iman.

Rafak Syukur yang tidak terhingga dengan kurniaan dua nikmat ini, Islam dan Iman. Lahir-lahir sahaja ke dunia secara automatik telah kita warisi kedua nikmat ini tanpa perlu kita bersusah payah untuk mendapatkannya. Berbanding golongan terdahulu yang tidak mudah untuk mendapatkan nikmat ini. Namun atas jasa golongan terdahulu yang begitu bersungguh-sungguh berjuang mengembangkan Islam ini akhirnya kini kita mendapat nikmat ajaran Islam ini.

Jika menyelusuri sejarah silam, terbaca kita kisah-kisah para Sahabat, Tabi’en, Ulama-ulama, para Mujahid yang begitu bersungguh-sungguh berjuang untuk mengembangkan Islam. Mereka berjuang sehinggakan ada yang bermatian dan bermandikan darah. Matlamat mereka hanya untuk menyebarkan ajaran Islam ini. Tidak terlintas pun dalam fikiran mereka “sudah cukup aku dan kaum keluargaku sahaja yang beriman” tapi apa yang terlintas di fikiran mereka inginkan seluruh alam ini menerima dan beriman kepada Allah S.W.T.

Teringat nostalgia silam ketika mana Islam berjaya menguasai dan memerintah 3/4 dunia. Ketika itu seolah seluruh dunia mengakui bahawa khalifah (Amirul Mukminin) merupakan BOS dunia dan seluruh umat Islam bersatu di bawah pemerintahan Islam yang ditadbir oleh Khalifah.

Alhamdulillah, kini Islam merupakan agama yang terbesar dan dikenali di seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir tiada lagi dalam dunia ini yang tidak pernah mendengar kalimah ISLAM. Begitulah perjuangan dan pengorbanan golongan terdahulu dalam mengembangkan ajaran Islam. Terkenang kita bagaimana jerih payahnya mereka dahulu ketika melaksanakan misi mulia ini, berlayar di lautan samudera (kapal dahulu mana ada enjin), berkuda dalam hujan dan panas di daratan maju menuju ke seluruh pelusuk dunia bermatlamatkan untuk menyebarkan Islam.

Namun begitu, akibat kelalaian kita sendiri, musibah besar telah menimpa kita umat Islam. Bermula dengan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang akhirnya membawa kepada jatuh dan lenyapnya pemerintahan Khalifah Islamiah Uthmaniah Turki pada tahun 1924. Sejak dari itu umat Islam menjadi hilang arah seperti anak ayam yang hilang ibunya, tiada khalifah yang menjadi ketua, lalu dunia menyaksikan umat Islam terus ditimpa musibah demi musibah. Musibah terbesar apabila orang Islam yang mengaku beriman sendiri yang memusuhi ajaran Islam yang sebenar. Tindak tanduk mereka seolah-olah mereka bukannya beragama Islam dan kadangkala mereka lebih melampau berbanding dengan orang bukan Islam.

Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang??, ayuh bangkitlah bangun berjuang, kita ambil kembali semangat pejuang-pejuang terdahulu. Kita ingat kembali jerit perih mereka terdahulu dalam menegakkan dan memulakan rantai perjuangan ini. Sedarlah kita hanya menyambung kembali rantai-rantai perjuangan yang telah dimulakan oleh mereka. Menjadi fitnah besar jika sekiranya rantai perjuangan itu tidak mampu kita sambungi apatah lagi rantai itu terputus disebabkan kelalaian kita.

Malu kita kepada mereka, dengan dunia serba canggih dan mudah ini jikalau kita tidak mampu untuk menggalas tugas dalam memastikan rantai perjuangan itu terus bersambung dan bergerak.

InsyaAllah kita akan pastikan bahawa rantai perjuangan itu akan terus bersambung dan bergerak. Untuk itu banyak perkara yang perlu kita ambil berat dalam memastikan arus perjuangan Islam ini terus mekar. Bersedia untuk 8 hari bulan 3 nanti..

wasalam

Thursday, February 14, 2008


KEWAJIPAN MENGUNDI MENGIKUT HUKUM SYARA’

OLEH DATO' HAJI HARUN TAIB

Menegakkan Pemerintahan Islam
Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :
“mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.
Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:
“Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.
Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.

Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam
Ramai di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:

“Para ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu. Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.

Pendapat mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.

Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal
Kita telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau kedua-duanya sekali?

Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Al-Ijma dan ‘aqal (logik).

Ayat ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang memerintah kita.
Selain dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (Pemerintahan Islam).

Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
“Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.
Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.
Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam

Sebelum itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.
Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.

Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah 'ammah’ di masjid Al Nabawi.

Baiah 'ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.
Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam

Sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

“Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan baiah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.

Antara maksud lafaz baiah itu ialah:
“Aku memberi baiah kepad kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.

Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:
“Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)
Firman Allah lagi, maksudnya:
“Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)
Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:
“Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah: 283)

Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
“Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Mendaftar Diri Sebagai Pemilih
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.

Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majority). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.

Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bentangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.
Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syara’.
Kesimpulan dan Penutup
Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.
Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.
“Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.
12 FEBRUARI
12 FEBRUARI, tarikh yang agak sukar untuk kita congak simboliknya kepada kita. Ada apa dengan 12 februari? Hari memperingati apa?12 februari tidak pernah meminta di sambut kedatangannya, dan laluilah 12 februari seperti mana biasa.Namun 12 februari 1949, telah mencatatkan satu peristiwa penuh tragis, syahidnya Imam Hassan Al-Banna, pergi menghadap Allah untuk selama-lamanya.

Kisah pembunuhan As-syahid Imam Hassan Albanna diceritakan sebagai;Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'
Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.
Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna di bawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.

Dalam aspek lain, seorang raja telah menangguhkan hari jadinya dari 11 Febuari kepada 12 Febuari untuk sama berpesta meraikan dengan mereka yang meraikan kematian Imam al-Banna. Seorang pemikir (Sayid Qutb) menceritakan bahawa dia telah melihat pesta-pesta di salah sebuah hotel di Amerika yang merayakan kegembiraan terhadap kematian Imam al-Banna.
Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4/7/49 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan. Mereka dianugerahkan elaun khas di atas jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan negara.

Darah seorang syuhada yang harum bak kasturi itu telah menjadi baja kepada sebuah kebangkitan Islam yang akhirnya karya serta fikrah perjuangan yang dicetuskannya menjadi manhaj wajib kepada generasi kebangkitan Islam kini.
Beberapa sedutan komentar mengenai Imam Hasan al-Banna :

Ustaz Umar Tilmisani pernah menyatakan : “Sesungguhnya peranan Hasan al-Banna umpama tiupan angin lembut dan basah kala dinihari, mengibas debu-debu semalam yang telah melekat pada daun-daun pokok bunga yang sedang dilamun mimpi yang enak pada kesepian akhir malam sehinggalah terbitnya matahari pada waktu pagi. Pengajaran Hasan al-Banna menyedarkan orang-orang yang sedang tidur dan lalai. Beliau mendapat sambutan mesra dan hangat ibarat keindahan bunga mawar, jasmin, rerumput aas dan nasrin yang sedang mekar semerbak mewangi, mendatangkan keseronokan kepada orang-orang bertasbih memuji keindahan ciptaan Allah”

Tantawi Jauhari : “Pada pandanganku, Hasan al-Banna lebih hebat daripada Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh. Beliau adalah contoh gabungan ketakwaan dan kepintaran siasah yang menakjubkan. Beliau berhati saidina Ali dan berakal Muawiyah. Aku melihat pada beliau sifat-sifat pemimpin yang telah kehilangan dari dunia Islam”

Dr. Ishak al-Husaini : “Hasan al-Banna ibarat ensiklopedia yang luas lagi lengkap. Beliau berbicara mengenai semua tajuk biarpun tanpa persediaan. Beliau menggunakan gaya bahasa yang mudah dan ungkapan-ungkapan yang sesuai.”


Perjuangan yang telah beliau tinggalkan tidak akan terpadam begitu sahaja. Rantai perjuangan itu akan terus bersambung. InsyaAllah doakan bersama agar kita semua termasuk dalam kelompok yang menyambung rantai perjuangan itu. Moga kita sentiasa thabat, istiqamah dan bersemangat..
Akhirnya..
Mudahan kita semua dapat menggunakan peluang pilihan raya kali ini sebagai medan jihad untuk kita semakin menghampirkan diri kepada Allah.
Allahuakbar….

Tuesday, January 22, 2008

ADAB BERSAHABAT

1. Hendaklah seseorang itu menolong sahabatnya dengan hartanya. Dalam masalah ini ada tiga martabat :
I) Ia menolong sahabatnya dengan harta yang lebih daripada keperluan dirinya apabila ia memerlukan.
II) Ia menolong sahabatnya dengan harta yang Ia memerlukan harta itu untuk dirinya.
III) Ia menolong dengan harta lebih daripada ia menolong dirinya sendiri. Inilah tingkatan yang paling tinggi dari kalangan sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang dinamakan ithar.



2. Hendaklah seseorang itu menolong sahabatnya dengan segera sebelum sahabatnya meminta pertolongan. Maka hendaklah ada usaha menyiasat kesusahan sahabatnya.


3.Hendaklah seseorang sahabat itu menyimpan sebarang rahsia sahabatnya dengan penuh amanah.
4. Hendaklah seseorang itu menutup (keaiban) kesalahan sahabatnya, jangan sesekali mengebohkannya kepada orang lain.
5. Hendaklah ia menasihati sahabatnya supaya meninggalkan kejahatan secara rahsia ‘personal’.

6.Jika seseorang mendengar orang mencela sahabatnya jangan sekali-kali ia menyampaikan kepada sahabatnya.
7. Sebaliknya, sekiranya ada orang memuji sahabatnya hendaklah ia menyampaikan kepada sahabatnya.
8.Jika orang mencela sahabatnya janganlah didengarnya malah hendaklah ia berpaling dari mereka.
9. Jika orang mencela sahabatnya hendaklah ia membantahnya.

10.Apabila sahabatnya bercakap (berkata-kata) kepadanya hendaklah ia mendengar dengan penuh perhatian.
11. Jangan sesekali membantah, berhujah dan bertengkar dengan sahabatnya, malah berbincanglah dalam apa jua masalah dengan penuh kasih sayang.
12.Hendaklah seseorang memanggil nama sahabatnya dengan nama sebutan yang paling disukai.
13. Apabila sahabatnya mendapat nikmat, tunjukkan rasa kesyukuran, sebaliknya apabila ditimpa kemalangan atau bala tunjukkan rasa simpati kepadanya.

14.Hendaklah seseorang itu selalu memaafkan kesalahan sahabatnya.

15.Hendaklah seseorang itu sentiasa menasihati sahabatnya dengan sindiran atau kata-kata yang penuh sopan.

16.Hendaklah seseorang itu sentiasa mendoakan sahabatnya di dalam solatnya pada masa hidupnya atau sesudah matinya.

17.Hendaklah ia berbuat kebajikan kepada ahli keluarganya selepas mati.
Jangan memberati sahabatnya dengan sebarang masalah (hajatnya) supaya senang hati sahabatnya.

18.Berusahalah untuk memulakan salam kepada sahabatnya kerana orang yang memulakan salam itu afdal.
19.Apabila seseorang itu berada dalam majlis orang ramai, sekiranya sahabatnya datang hendaklah ia memberi ruang untuk beliau duduk, jika tiada ruang hendaklah ia beredar ke tempat lain supaya sahabatnya boleh duduk.
20.Apabila sahabatnya meninggalkan rumahnya hendaklah diikuti sampai ke pintu rumahnya atau pintu pagar atau barang sepatunya.
21.Apabila sahabatnya bercakap atau berkata-kata hendaklah didengar dengan teliti sampai ia selesai dengan perkataannya maka jangan sesekali mencelah percakapan sahabatnya.

Thursday, December 20, 2007

Haji...
*Sempena Aidil Adha ini, terkenang Nostalgia silam tika daku menunaikan Haji beberapa tahun yang lampau. Lalu Ku persembahkan kembali catatan ini yang telah 3 kali dipersembahkan. Mohon maaf catatan yang tidak tersusun, banyak ayat dan istilah pasar digunakan.

Haji seperti diketahui umum merupakan rukun Islam yang terakhir.Namun tidak seperti rukun2 yang lain, tidak ditaklifkan rukun ini ke atas seseorang kecuali bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Ulama mempunyai berbagai pandangan mengenai pengertian mampu itu sendiri. Jika kita meninjau zaman nenek moyang kita dahulu, kita mendapati bukan semua orang kaya yang mampu dan sanggup untuk menunaikan haji. Menunaikan Haji pada masa itu seumpama menyabung nyawa. Majlis wida’ semasa menghantar mereka yang menunaikan haji akan terasa begitu pilu sekali seumpama tidak akan bersua muka kembali. Apatah lagi dengan sistem perhubungan dan penganggkutan yang masih lemah dan lembab. Allahyarhamah Wan saya sahaja, selepas 2 tahun berada di Mekah baru kembali ke tanah air. Tapi itu semua kisah lama, kini keadaan sebaliknya, semua orang berpusu-pusu menunaikan haji sehingga terpaksa diwujudkan giliran serta kouta oleh pihak berwajib.

Alhamdulilah dengan izin Allah serta berkat doa kawan-kawan, ana telah berkesempatan menunaikan fardhu haji.

Sedikit sebanyak catatan mengenainya.

Tengah bulan 12 tahun 2005- taklimat (kursus haji) mengenai perjalanan haji diadakan di h10. sesi selama ½ hari sahaja. Kalau kursus di Malaysia lebih kurang 3 bulan..
23.12 (jumaat) : taklimat pengurusan kepada yang berkenaan (2 musyrif dan 2 ajk) di rumah Us. Nik Syahir kat Mansurah (musyrif thn lps). Musyrif Us. Fairuz (ydp Johor), pembantu Musyrif Us. Zainudin (penasihat 1 DPM Shoubra), AJK Us. Hafiz (penasihat 2 DPM Shoubra dan Azraie.
26.12 (malam isnin) majlis meraikan bakal hujjaj peringkat Shoubra diadakan di markaz Dewan Perwakilan Pelajar.
Tengah malam- ahli bait (room mate) menyediakan bekalan makanan untuk sepanjang perjalanan di atas kapal. Makanan disejukkan dulu sebelum dibungkus utk mengelakkan cepat basi. Kemudian dibungkus dengan foil. Ana bwk dua beg yang sederhana besar. Satu untuk pakaian dan satu lagi diisi dengan bekalan makanan untuk dimakan dalam kapal.

27.12 (selasa) pergi ke h10 dari Shoubra dengan menaiki teksi. Ditemani oleh seorang ahli bait. Sampai di H10 elok-elok azan subuh. Berangkat dengan 30 ahli rombongan. 18 dari shoubra dan selebihnya dari kuliah, 2 perempuan dan seorang pakcik dari singapura yang belajar bahasa arab di sini.
Rujuk jadual perjalanan..


SELASA 27/12/2005
6.30pg Berkumpul di dataran H-10
8.15pg Bertolak ke Port Suez .
11.45pg Tiba ke Port Suez: Pemeriksaan barang2,dibawa ke Minaa’, isi borang maklumat diri, pemeriksaan pasport & tiket.
12.30tgh Check-in kapal: pasport diserah,jumpa pegawai maklumkan jumlah jemaah. Semua dpt bilik first class. Adakan taklimat untuk jemaah.
4.30ptg Kapal berlepas
RABU 28/12/2005
8.00 mlm : Masuk kawasan MIQAT
KHAMIS 29/12/2005
3.50 ptg : Tiba di Port Jeddah: pemeriksaan pasport.
Dibawa ke Madinah Hujjaj.Tunggu bas untuk ke Maktab. Serah pasport ke Maktab, bagi alamat tempat tinggal.
3.00pg : Abg Nasir (anak baba) jemput di maktab utk dibawa ke tempat tinggal (FALAKI)
3.30pg :Tiba di tempat tinggal. Tawaf Qudum

JUMAAT----SABTU(SEMINGGU)
Umrah & aktiviti sendiri Bayar sewa rumah & makanan. Makan 2 kali sehari (tengah hari & malam). Kuliah bersama Sheikh Nuruddin al-Banjari di rumah. Juga berkesempatan bersama majlis Syeikh Mohammad Ismail Zain (anak tok guru Syeikh Nuruddin) Urusan dengan maktab untuk bas ke Arafah. Bas disediakan. Taklimat untuk jemaah

AHAD 8/01/2006
9.30 mlm : Bertolak ke Arafah. Jalan sesak & pemandu tersilap jalan.
1.00pg : Tiba di Arafah, makan malam & berehat
ISNIN 9/01/2006
WUKUF , Makan di Arafah (3 kali makan) Sarapan pagi,mkn tghari & mkn mlm. Dengar khutbah. Berdoa & berzikir slps zohor hingga maghrib Bertolak ke Muzdalifah. Kutip batu & berehat.
SELASA 10/01/2006
2.00 pg : Bertolak ke Mina. 2.30pg :Tiba di khemah.Melontar jamrah ‘Aqobah. Setengah jemaah pulang ke Mekah termasuk ana untuk tawaf Ifadhah & saie’(Tahallul Sani) Setengah jemaah lagi terus menginap di mina (Tahallul Awwal) Makan di mina 3 kali (sarapan pagi,mkn tengahari & mkn malam)

RABU 11/01/2006
8.30 mlm : Bergerak ke Jamrah untuk Melontar dan Mabit (bermalam) di dataran masjid khif. 3.00 pg : Selesai mabit pulang ke khemah

KHAMIS 12/01/2006
Sda
JUMAAT 13/01/2006
11.30pg 2.00ptg
11.30 pg : Bergerak ke Jamrah utk Melontar terakhir & pulang ke khemah.
2.00ptg : Bersiap & pulang ke Mekah
SABTU----RABU
Umrah & aktiviti sendiri

KHAMIS 19/01/2006
ZIARAH sekitar Mekah Mukarramah, Jabal Thur, Jabal Rahmah, Ja’ranah, Jabal Nur.
JUMAAT----AHAD
Umrah & aktiviti sendiri. Taklimat untuk jamaah Buat urusan dengan maktab untuk ke Madinah. Bas disediakan.

ISNIN 23/01/2006
3.00 ptg :Tawaf wada’ & solat asar
4.30ptg :Bertolak ke Madinah Munawwarah Bagi maklumat jemaah & alamat tempat tinggal di Madinah

SELASA 24/01/2006
2.00 pg : Tiba di Madinah Munawwarah. Disambut oleh Pelajar Madinah(PPIM), Berehat. 8.00 pg : ZIARAH sekitar Madinah Munawwarah Jabal Uhud Masjid Qiblatain Masjid Quba’
11.30pg : Pulang ke hotel. Bas disewa PMRAM.

RABU 25/01/2006
Solat di Raudhah Ziarah Maqam Rasulullah s.w.a.,Sahabat& perkuburan Baqi’ Buat urusan di Maktab Mesir untuk pulang ke Jeddah. Bas disediakan. Ajk berjumpa dgn PPIM (perpustakaan pelajar Islam Madinah) di markaz PPIM.

KHAMIS 26/01/2006
10.45mlm : Bertolak ke Jeddah (Madinah Hujjaj)
JUMAAT 27/01/2006
5.45pg : Aktiviti sendiri Tiba di Madinah Hujjaj Berehat. Bilik disediakan
SABTU 28/01/2006
6.30ptg : Bertolak ke Port Jeddah Cop Pasport Check-in, serah pasport & dapatkan bilik.
AHAD 29/01/2006
3.00pg : Kapal berlepas Majoriti jemaah mabuk laut
ISNIN 30/01/2006
Aktiviti sendiri

SELASA 31/01/2006
2.00 pg : Tiba di Port Suez .
7.00 pg : Check out kapal Pemeriksaan barang & pasport di imigresen.
8.00 pg : Bertolak pulang ke Kaherah. 10.00 pg Tiba di H-10
Sedikit Ulasan..

1.Mekah
· kami menyewa di rumah orang Patani. Kami panggil baba dan isterinya kami panggil mama. Mama memasak utk kami, makan tengahari dan malam. Rumah berdekatan dengan masjidil Haram.
· Hampir keseluruhan melaksanakan haji tamattu’. Banyak kelonggarannya tapi kena bayar dam iaitu seekor kambing untuk seorang.
· Dikira beruntung kerana Syeikh Nuruddin juga menunaikan haji. Lebih beruntung Syeikh datang ke rumah kami utk beramah mesra dan discus pasal haji yang mabrur. Dan berkesempatan ke majlis Syeikh Mohammad Ismail Zain (anak tok guru syeikh Nuruddin) dan menerima beberapa hadis musalsal darinya.
· Jemaah Indonesia paling ramai diikuti Pakistan, Turki, Iran dan Malaysia. Semuanya dengan berbagai fesyen pakaian seragam terutama Indonesia. Turki dgn baju sepasang lelaki n perempuannya semacam pakaian kilang je.
· Ramai jemaah haji dari Iran. Kita tahu pegangan Iran adalah syiah. Mereka mempunyai misi yg tersendiri. Ana pun pernah didakwah oleh orang Syiah, seorang pensyarah universiti dari Iran.
· Ramai orang yang jahil di sana. Jadi bermacam ragam dalam melaksanakan ibadah. Antaranya- tutup aurat yg tdk sempurna bagi perempuan. Cth negara Pakistan dan India hanya pakai selendang nipis selapis je. Kalau tawaf penuh sesak hilanglah selendangnya, jadi kenalah keluar masjid dgn x bertudung. Lelaki dari Pakistan dan India sebaliknya, berjambang dan berjanggut panjang.ok pulak. Kalau dari China- perempuannya pakai tudung mcm tudung kepala firaun zaman dahulukala. Lawak je tengoknya.
· Terlalu ramai manusia di sana, bersesak2 x kira laki ke perempuan semuanya bersesak2, solat sblh menyebelah je laki n perempuan, x blh nak control sbb manusia terlalu ramai 5 juta lebih org..
· Kucup hajar aswad hanya sunat. Tapi ingin mendapatkannya cukup sukar di musim haji terutamanya bagi orang asia.ana pernah mencubanya beberapa kali, pegi berdua @ bertiga. Sehasta dan selangkah je lg utk mendptkan hajar aswad tapi xde rezeki. Sekali orang negro, Turki tolak terpelanting kt. Di kawasan tu org Mlysia memang xde yg mencuba, indonesia ada x kira laki ke perempuan bg mereka mcm wajib plk. Kalau perempuan tu telekong sampai tertanggal apatah lagi kalau pakai selendang je, lagi le. Pernah sekali. Depan ana ada perempuan Indon dgn suaminya kat kawasan hajaratul aswad. Slps bbrp ketika bertahan perempuan tu x thn dah, nk pengsan, jadi kena keluar dr kwsn tu. Cara nk keluar kena julang atas orang (istilah syeikh Nuruddin berenang atas orang), jadi kena pasing2 lah perempuan tu smpai kain terselak sampai ke peha, diapun satu x pakai seluar pnjg.
· Kebiasaannya kami berthn paling lama ½ jam kat kwsn tu, lama lg takut pengsan pulak.
· Perjalanan umrah:
Biasanya ana buat lps solat isya’ dlm pkl 10 mlm. Bersiap n pergi ke tanah halal (Tanaim). Dari rumah (tnh haram) naik trenco 2 rial tambangnya. Sampai di Tanaim (tempat miqat Saidatina Aisyah) solat sunat di Masjid Aisyah n berniat. Pastu balik semula ke Tanah haram dgn trenco juga. Kalau naik teksi lbh krg 30 rial pegi shj.
Dlm prjlnn disunatkan bertalbiah. Sampai masjid terus tawaf.
Tawaf. : kalau kt buat brdktn dgn kaabah (kwsn terbuka x beratap) lbh krg 4 minit satu pusingan, 7 pusingan lbh krg ½ jam. Kalau kt tawaf kat atas 1 ½ jam masanya. Jadi Ana lebih suka tawaf di bawah, org Msia terutama makcik2 biasanya tawaf kat atas. Walaupun lama tapi x sesak sangat.
· Lepas tawaf disunatkan solat sunat dkt maqam Ibrahim. Tapi bila musim hj agak payah, org terlalu ramai jd kwsn kat maqam Ibrahim pun org twf. Umrah terakhir ana dpt juga solat betul2 dpn maqam Ibrahim, ada orang iran cover. Diorang buat bulatan jadi ana solat dlm bulatan diorang.
· diSunatkan minum air zam2 slps tu. Ada 2 pendapat. Jumhur berdiri mengadap kiblat dan bg Syafie duduk. Terpulang pd kita nak ambil yg mana.
Saie- lps tawaf kita saie. Mula di safa dan berakhir di marwah. Ada kwsn yg disunatkan bg lelaki utk berlari2 ank (tempat dimana hajar pernah berlari2 anak). Tidak disunatkan bg perempuan tapi ada yg jahil sama2 berlari. Tawaf sunat ada tapi saie sunat tiada, jd bila saie kenalah berihram, pakaian tidak berjahit bg lelaki dan tidak tutup muka dan tangan bg perempuan. Tapi ada juga yg pakai baju biasa je, anggap mcm saie sunat pulak. Menghairankan.
Masa saie terkenang pengorbanan Hajar (seorg ibu) trhdp anaknya Ismail yang kelaparan. Mencari air mendaki safa kemudian ke marwah sambil berlari-lari anak. Jauh tu. Dari safa ke marwah blh thn jugalah jauhnya. Habis 7 pusingan tu kira penatlah, kalau balik rumah letak kepala lena terus. Tu yg muda kalau tua tak tahulah, ade yg sampai kena brtlk dgn kerusi roda.
Abis saie bertahallul iaitu bergunting sekurang2nye 3 helai rambut. Dan satu ruas sekali gunting bg perempuan kalau x silap lah. Biasanya orang terus je bertahallul dkt marwah tu, bergunting kat rmh pun tiada masalah, masalahnya perempuan pun ramai yg bergunting kat situ, selamba je, siap blh pnjm gunting kita plk. Selepas bertahallul, selesailah umrah kt, kalau pegi time usia muda nie byk sikitlah umrahnya yg blh kt buat, kata orang..tenaga dan kudrat masih kuat .

-persekitaran masjidil Haram byk kedai. Penjualnya terdiri dari org Bangladesh. Org Malaysia ckp dikenali, Malaysia bagus katanya, ini kerana org Mlysialah yg suka berbelanja dan banyak membeli belah berbanding negara lain. Mngkin taraf ekonomi yg blh dikatakan tinggi menyebabkan org Mlysia agk berada berbanding dari tempat2 lain.

-Di Mekah air boleh dikatakan agak bermasalah. Di sini tiada sungai seperti Mesir yg terkenal dgn sungai Nil. Bekalan air diperolehi melalui air laut yg disuling dan dihantar ke rumah melalui lori2. setiap rumah mempunyai tangki air simpanan bwh tnh yg bsr.bila air abis je kena panggil lori untuk hantar air.
-Air zam2 hanya di masjidil Haram shj. Dan dihantar ke Masjidil Nabawi. Di rumah kami setiap masa minum air zam2. ada diubuh dlm cooler dan hoter. Jadilah air teh, horlik dari air zam2, buat megi pun dgn air zam2.

2. Arafah.
Beza haji dgn umrah ialah wukuf di arafah. Umrah tiada wukuf. Wukuf ialah berada di kawasan arafah lbh krg satu ari. Disunatkan memperbanyakkan berdoa. Dan mustajab berdoa di hari wukuf.

3. muzdalifah.
Dari arafah ke muzdalifah, kami sampai ke kwsn kami (tempat dibagi2 oleh saudi mengikut maktab)org ramai tapi tempat terhad, duduk disitu dan mengutip batu untuk melontar di jamratul Aqabah.

4. mina.
Dari muzdalifah (pukul 2.am) dibawa ke khemah di Mina. Khemah luas ada aircond, laki perempuan bertentangan. Slps check in terus ke jamrah. Khemah agak jauh ke jamrah..lbh krg 4 km jln kaki. Melontar di Jamratul Aqabah..lps tu bertahallul dan terus balik ke Mekah utk tawaf ifadah (tawaf hj). Sebahagian rombongan x terus ke Mekah tapi balik ke khemah.
Malam mesti mabit (berada) di mina. Oleh kerana khemah kami dikwsn mina jadid jd kami berpendpt lbh slmt utk mabit di Mina asal. Menurut fatwa saudi mina jadid juga dikira sbg mina. Kami mengambil jln lbh slmt dgn mabit di mina asal. Jd lps magrib kami ke jamrah utk melontar di 3 jamrah dan lps tu bntg tikar di kwsn lpg tunggu smpi tgh mlm baru blk ke khemah.

5. tawaf wida’
Hari yang dirasakan cukup sedih berbanding ketika nk ke Mesir dulu. Bg perempuan yg uzur berdiri menghadap ke kaabah di luar masjid melahirkan rasa sedih yg amat sangat.
Madinah :
Kami berada di Madinah tak lama 3x subuh shje. Memandangkan kos penginapan di sana yg agak mahal. Kat Madinah sewa dgn org bangla, bukan dgn org patani, kalau patani murah sikit.
Suasana di Madinah lebih tenang, bandarnya lebih tersusun berbanding Mekah.
Subuh.1
Sampai ke Madinah pkl 2 am. Pkl 3.30 am ana ke sana. Mula sampai kwsn raudhah dh penuh. Dpt solat sunat shj di raudhah. Lps solat ziarah Rasul.s.a.w., Abu Bakar r.a, Omar r.a. lps tu balik rumah.. pkl 7.00 terus ziarah di Madinah.
Subuh2
Pegi masjid pkl 3 am.(masjid buka pkl 2.30 am) Raudhah dah penuh tapi alhamdulillah ana dpt tempat. Slps sunat Dhuha, ziarah Rasul, Saidina Abu Bakar, Umar, dan terus ke Baqi’.
Subuh3
Pegi ke masjid pkl 2am.beratur dpn pintu. Dpt tempat yg strategik dlm raudhah (tiang taubat), sunat dhuha di tiang Aisyah. Ziarah rasul dan sahabat. Alhamdulillah dpt 5 solat waktu di raudhah.-baru dpt step mcmana nk dpt mudah masuk ke raudhah.-mlm balik ke Jeddah..
Raudhah.
Raudhah digambarkan oleh Nabi sebahagian dari Taman Syurga. Kecil shj. Ada beberapa tiang yg digambarkn Nabi jika solat berhampirannya mempunyai kelebihan yg tersendiri. Ada tiang wangi, tiang taubat, tiang Aisyah, tiang Katil dan bbrapa lg. lps solat subuh je tirai dinaikkan utk bagi giliran perempuan pula masuk ke raudhah. hanya tinggal 2 tiang utk lelaki.solat zohor baru lelaki dpt msk, lps solat tirai dinaikkan semula sampai asar. Asar, magrib, isya’ baru tirai diturunkan sepenuhnya.
Tu aje yg dpt dicoretkan kali nie..byk lg yg blh ditulis.. ¦insyaAllah di lain kesempatan.
Byk perkara lg yg rasanya ingin diutarakan Gua Hira’.perkuburan Ma’la, perkuburan Baqi’, kokka, pljr Madinah n byk lg..

Wasalam….

Monday, November 05, 2007

Perjuangan …

Sejak bermulanya kejadian manusia ini, juga secara rasminya telah bermulanya berbagai-bagai bentuk perjuangan. Proses kejadian manusia sendiri telah menggambarkan suatu perjuangan, sejak dari rahim ibu hingga kelahiran, dari remaja hingga dewasa dan ketika sudah berusia lanjut semuanya dipenuhi berbagai-bagai bentuk perjuangan dalam mendepani pelbagai cabaran dan halangan dan diakhiri dengan kematian.
Begitulah….
Tiada manusia yang terlepas dengan sebarang bentuk perjuangan. Semua manusia berjuang demi mencapai apa yang dihajati dan diingini. Perjuangan bagi mencapai suatu matlamat sememangnya banyak menempuh kesukaran dan kepayahan. Tanpa kesukaran ia tidak dinamakan perjuangan. Untuk menempuh sesuatu perjuangan, memerlukan pelbagai persiapan dan bekalan bagi mendepani segala macam bentuk halangan.
Semua bentuk perjuangan mempunyai proses dan tingkatannya sebelum mencapai tahap kematangan. Manusia tidak boleh menganggap perjuangan itu sebagai sesuatu beban. Mereka yang tidak mahu berjuang adalah mereka yang tidak normal, kerana perjuangan itu adalah sunnah manusia.
Perjuangan yang sebenarnya ialah menegakkan agama Allah. Perjuangan atas dasar ini juga bukannya suatu pilihan tetapi adalah suatu kewajipan yang perlu ditunaikan.
Kesimpulannya….
Perjuangan di muka bumi ini terbahagi kepada dua kelompok utama.
i) Perjuangan menegakkan kalimah Allah.
ii) Perjuangan berdasarkan nafsu dan tidak berlandaskan Allah sebagai paksi utama.
Sesungguhnya perjuangan menegakkan Islam sahajalah yang menentukan kejayaan manusia. Perjuangan yang hanya menegakkan matlamat duniawi semata-mata dan tidak mempunyai matlamat akhirat hanya akan menjauhkan mereka dari mencapai matlamat dan kejayaan hidup yang hakiki. Mereka hanya mengharapkan suatu ganjaran dunia yang segera dan zahir jelas di hadapan mata. Perjuangan yang tidak hakiki ini terkandung dalamnya hasad dengki, sentiasa berusaha menghancurkan pihak yang lain secara halus mahupun terang-terangan. Ia tidak langsung mencerminkan rasa tanggungjawab dan kesedaran selaku Hamba kepada Allah. Akhirnya…Perjuangan hidup seperti ini akan menghasilkan suatu musibah dan kepincangan kepada manusia sendiri.
Bagi pejuang-pejuang Islam yang telah meletakkan Islam sebagai matlamat perjuangan, mestilah terus thabat, tetap dengan pendirian dan istiqamah dengan perjuangan biarpun semakin menempuh pelbagai tribulasi dan kepayahan. Golongan tua yang memahami hakikat perjuangan sebenar akan dan hendaklah mendidik generasi muda untuk menggantikan tempa mereka. Tidak benar bahawa perjuangan itu akan tamat dengan berakhirnya generasi tua. Pengganti generasi tua masih ramai yang menanti…
Cuma, peluang sahaja yang harus diberi atau disambung bagi memastikan Islam terus ditegakkan di tahap yang lebih gemilang….

AllahuAkbar….

Program Musim Cuti Sekolah


Saturday, October 20, 2007


Selamat Hari Raya


Sedari mahupun tak, Ramadhan telah pun ditinggalkan. Berlalu pergi meninggalkan kita, ketemu kembali pada tahun hadapan jika diizinkan Ilahi. Kini tiba Syawal. Bulan kemenangan umat Islam. Gembira kita merayakan bulan kemenangan ini, dizahirkan dengan kita berpakaian serba baru serta menziarahi saudara mara, sahabat handai, rakan taulan bagi mempereratkan lagi ukhwah sesama kita.


Namun begitu dalam kita merayakan bulan kemenangan ini jangan terlupa tentang nasib saudara-saudara seakidah kita yang berada di Palestin. Dalam kita riang ria sakan bergembira mereka bermandikan keringat dan darah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis. Moga kita sentiasa ingat untuk mendoakan mereka serta seluruh pejuang-pejuang Islam.


Suka saya menimbulkan beberapa perkara yang sering berlaku ketika menyambut hari Raya Syawal. Antaranya ialah :




  • :Bila tibanya hari Raya, Umat Islam akan menyambutnya dengan penuh gembira bagi merayakan hari kemenangan ini, di hari gembira ini, tiba-tiba kita menyuramkannya dengan beramai-ramai berziarah ke kubur . Tidak salah untuk kita berziarah ke kubur, dapat menginsafkan dan mengingatkan kita dengan kematian, namun tidak sesuai di hari kita sepatutnya bergembira, kita tiba-tiba menjadi sedih. Kadang-kadang apabila sahabat handai datang ingin menziarahi kita, kita sekeluarga tiada di rumah, semuanya ke kubur belaka.
    Cadangan yang diutarakan, boleh sahaja kita tukar hari berziarah ke kubur seperti di penghujung Ramadhan, 29 @ 30 syawal. Jadi bila menjelang syawal kita telah selesai berziarah ke kubur, so?...kita ziarahlah pulak sahabat handai dan saudara mara yang masih hidup.


  • :Banyak tragedi-tragedi yang tidak diingini berlaku, seperti kemalangan jalan raya yang membawa padah kepada kehilangan jiwa dan cedera yang amat parah. Sehinggakan Jabatan Agama Islam Pahang terpaksa mengeluarkan teks khutbah Jumaat yang dibaca pada hari Jumaat di pengakhiran Ramadhan berkaitan keselamatan di jalan raya.


  • :Bagi kanak-kanak pula tidak terlepas dari tragedi-tragedi yang selalunya berpunca dari mercun, bunga api dan seangkatan dengannya.




  • :Masjid kembali menjadi kaku dan sepi seperti sebelum tibanya Ramadhan. Bayangkan? Baru beberapa hari Ramadhan meninggalkan kita, motivasi, didikan dan latihan yang yang kita bina ketika madrasah Ramadhan banyak yang telah lebur sekelip mata sahaja.

Kembali kepada Hari Raya kita, Dalam kita merayakannya nanti, jangan terlupa pula untuk berpuasa 6 hari dalam bulan syawal ini.


wasalam..

Tuesday, October 09, 2007



Selamat Tinggal Ramadhan


Kita semua sudah maklum bahawa Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Pelbagai istilah yang orang berikan kepada Ramadhan untuk menggambarkan betapa mulianya bulan ini. Ada orang sebut Ramadhan al-Mubarak, Ramadhan Kareem dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, Tahun ini Ramadhan genap 30 hari, dan lebih istimewa lagi kita mengalami 5 kali Jumaat dalam Ramadhan kali ini, Ramadhan ke2,ke 9,ke16,ke23 dan ke30. Istimewa (hari jumaat)terkandung dalam istimewa (Ramadhan).Namun kini sedar tidak sedar Ramadhan yang mulia sudah berada di penghujungnya.


Sudah hampir sebulan kita semua berlapar dan berdahaga di siang hari. Namun bukan ini sebenarnya yang diharapkan dari bulan Ramadhan, Ada orang kata bulan Ramadhan dapat menyihatkan badan, peluang mengurangkan berat badan,atau apa sahajalah kata orang. Tetapi apa yang perlu sebenarnya ialah Ramadhan ini dapat menambahkan lagi ketakwaan kita kepadaNya.
Maksud Firman Allah : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu, supaya kamu bertakwa.(al-Baqarah:183)


Ramadhan bukanlah bulan untuk kita bermalas-malas, tetapi merupakan bulan perjuangan. Mengungkit sejarah silam ketika mana berlakunya peperangan pertama umat Islam, perang Badar al-Kubra dalam bulan Ramadhan yang mana kita ketahui umat Islam hanya berjumlah 313 berjaya mengalahkan ribuan kuffar musryrikin. Begitu juga tatkala pembukaan Kota Mekah juga dalam bulan Ramadhan. Dalam dunia moden ini, kalau kita masih ingat peristiwa Mesir berjaya mengalahkan Israel dalam Perang Oktober 1973 juga dalam bulan Ramadhan.


Akhirnya, Mudahan Madrasah Ramadhan kali ini dapat memberi suatu yang cukup berharga buat diri kita yang pengajarannya, pengalamannya kita akan bawa terus ke bulan-bulan yang lain sehingga bertemu kembali Ramadhan tahun mendatang jika diizinkanNya, insyaAllah.

Thursday, September 20, 2007

Muhasabah Ramadhan

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk serta menjadi pembeza (antara yang benar dengan yang salah). Oleh itu sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadhan, maka hendaklah dia berpuasa bulan itu. (al-Baqarah :185)

Jelas pada kita bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang paling terpilih dan suci dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Allah menghendaki hambaNya supaya memenuhkan bulan Ramadhan dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepadaNya. Sesuatu yang teristimewa ialah dalam bulan ini terdapat satu malam yang dipanggil dengan Lailatul Qadar. Pada malam istimewa tersebut Allah akan gandakan segala amalan sehingga menyamai amalan selama seribu bulan atau lebih kurang 83 tahun.

Umum mengetahui bahawa segala amal-amal yang kita lakukan dalam bulan yang mulia ini pahalanya akan dilipat gandakan. Jadi beruntunglah bagi sesiapa yang menjaga amalannya dan merebut peluang kesempatan Ramadhan dengan memaksimakan amalannya.

Namun beberapa perkara yang sering terlepas pandang oleh masyarakat kita. Sedikit sahaja yang ingin disebut di sini, antaranya ialah :

Masyarakat kita sering melaksanakan amalan fardhu secara sambil lewa , tetapi terlampau mengambil berat amalan sunat. Sebenanya amalan Fardhu adalah amalan yang wajib kita laksanakan, berdosa kalau kita tinggalkannya. Sedangkan amalan sunat kaedahnya buat dapat pahala, tak buat tidak mengapa.

Beberapa perkara Fardhu yang kurang diendahkan:
i)Solat fardhu lima waktu berjemaah di masjid.

Dalam bulan-bulan biasa : Tuntutan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah amat kuat dalam Islam dan amaran kepada mereka yang meninggalkan solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran sehinggakan pada waktu perang pun Allah mengajar Rasulullah dan para sahabat cara melaksanakan solat berjemaah ketika berperang. Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya ; Rasulullah bercadang untuk membakar rumah orang-orang Islam yang tidak hadir solat berjemaah. Jika meneliti Sunnah Rasulullah, kita akan mendapati Rasulullah memang sentiasa solat berjemaah sehinggakan di saat akhir hayat Baginda ketika mana dalam keadaan cukup uzur pun masih ke masjid dengan dipapah oleh para sahabat.

Dalam bulan Ramadhan : Kalau dalam bulan-bulan biasa tuntutannya sudah sebegitu, sudah tentu di bulan yang mulia ini tuntutannya juga semacam itu bahkan ganjarannya akan dilipat kali gandakan lagi.
Namun masyarakat kita tersilap. Mereka lebih mengutamakan hadir ke masjid untuk bersolat sunat terawih sahaja, sedangkan solat fardhu yang sepatutnya lebih utama mereka buat di masjid tidak pula diambil berat. Buktinya, kita dapat lihat bila tiba musim Ramadhan malamnya masjid-masjid akan penuh, padat dan sesak. Tapi waktu-waktu lain seperti Zohor, asar dan Magrib cukup mengecewakan.
Suatu lagi masalah yang sering berlaku ialah:
Dalam bulan-bulan lain : Lazimnya pada waktu malam masjid akan menjadi sedikit meriah berbanding dengan hari siang.Orang ramai akan solat magrib secara berjemaah di masjid. Sering kita menyaksikan waktu magriblah ahli jemaah teramai berbanding dengan waktu-waktu lain.

Dalam bulan Ramadhan : Tiba-tiba di bulan yang penuh keberkatan ini, waktu magribnya masjid menjadi sepi dan kaku. Pelik bukan? Sepatutnya orang semakin membanjiri masjid kerana hendak mengejar fadhilat-fadhilat di bulan Ramadhan. Kadang-kadang mereka yang ditaklifkan sebagai Imam dan Bilal juga lesap entah ke mana..

ii) Menuntut Ilmu.
Dalam bulan-bulan lain: Menuntut ilmu hukumnya wajib. Malang bagi seseorang kalau dalam masa tiga hari ilmunya tidak bertambah apa-apa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap orang muslim. Pepatah menyebutkan menuntut Ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Ada juga kalam yang menyebutkan tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China. Maka ganjaran akan diberikan terhadap orang yang menuntut ilmu dan orang yang menyampaikan ilmunya.

Dalam bulan Ramadhan : Tiba-tiba di bulan yang penuh keberkatan ini, majlis-majlis ilmu dihalang, disekat bahkan ada yang menyebut HARAM diadakan. Contohnya : majlis-majlis tazkirah (ilmu) tidak dibenarkan dibuat semasa solat terawih.

Kesimpulan: Ramadhan masih awal, Belum terlambat untuk kita berubah, gunakan baki umur yang ada untuk melakukan anjakan perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat setempat dan ummah. Moga-moga dengan madrasah Ramadhan ini dapat membentuk semula diri kita…insyaAllah.

Tuesday, September 18, 2007

Sekitar Bakti Siswa di SMA al-Wosto Temerloh (6.9.2007)

Penyerahan cenderamata kepada pihak Sekolah

Kenangan bersama urusetia


Bersama urusetia



Pelajar2 Putera



Pelajar2 Puteri

Wednesday, September 05, 2007


Kronologi Politik Turki


1281: Kerajaan Uthmaniyyah diasaskan oleh Uthman bin Ertoghrul
1924: Kejatuhan Daulah Uthmaniyyah.
1924: Turki diisytihar sebuah republik, Kamal Ataturk menjadi Presiden.
1928: Turki menjadi Negara secular
1938: Kamal Ataturk meninggal dunia, penggantinya Ismet Inonu
1950: Pilihan raya pertama, Parti Demokratik menang.
1952: Turki menjadi anggota NATO
1960: Tentera merampas kuasa.
1965: Suleyman Demirel menjadi Perdana Menteri.
1971: Tentera memaksa Demirel meletakkan jawatan.
1974: Turki menyerang utara Cyprus.
1980: Tentera merampas kuasa.
1983: Parti tanah air (ANAP) pimpinan Turgut Ozal menang pilihan raya.
1984: Turki mengiktiraf “Republik Turki Cyprus Utara”. Parti Pekerja Kurdistan (PKK) melancarkan perang gerila di tenggara Turki.
1990: Turki membenarkan Amerika Syarikat menyerang Iraq dari pengkalan di Turki.
1993: Tansu Ciller menjadi perdana menteri wanita pertama di Turki. Demirel dipilih menjadi Presiden.
1995: Turki menyerang gerila Kurdi di utara Iraq.
1996: Pemimpin Parti Kebajikan, Necmettin Erbakan, mengetuai pemerintah pro-Islam pertama sejak 1923.
1997: Parti Tanah Air pimpinan perdana menteri Mesut Yilmaz mengambil alih kuasa.
1998: Parti Kebajikan diharamkan. Yilmaz meletakkan jawatan diganti oleh Bulent Ecevit.
Jan 2000: Ahmet Necdet Sezer menjadi Presiden.
Jun 2001: Mahkamah Perlembagaan mengharamkan Parti Kehormatan. Anggotanya menubuhkan Parti Saadet.
Julai 2002: Lapan Menteri meletakkan jawatan selepas Ecevit, yang sakit enggan meletakkan jawatan.
November 2002: Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memenangi pilihan raya. Timbalan ketua AKP, Abullah Gul menjadi Perdana Menteri.


Dis 2002 : Perlembagaan dipinda bagi membolehkan pemimpin AKP, Reccep Tayyip Erdogan, bertanding kerusi Parlimen.


Mac 2003 : Erdogan memenangi kerusi parlimen. Abdullah Gul letak jawatan sebagai Perdana Menteri, diganti oleh Erdogan.


Dic 2004 : Kesatuan Eropah (EU) akur mulakan rundingan kemasukan Turki.
Okt 2005 : Rundingan keanggotaan Turki dalam EU dimulakan.


Dic 2006 : EU bekukan rundingan erana Ankara enggan membuka pelabuhan dan lapangan terbang kepada Cyprus.
April 2007 : AKP menamakan Abdullah Gul sebagai calon Presiden.
Mei 2007 : Parlimen menganjak tarikh pilihan raya ke depan, pada 22 Julai.


22 Julai 2007 : AKP menang besar dalam Pilihan Raya Parlimen.


28 Ogos 2007 : Abdullah Gul menjawat jawatan Presiden.

Monday, September 03, 2007

MERDEKA
Ogos telah pun kita tinggalkan. Bersempena bulan kemerdekaan tersebut pelbagai program mega telah dilangsungkan bersempena meraikan hari kemerdekaan Negara kita yang ke 50 tahun. Semua golongan meraikannya walaupun teknik merayakannya kadangkala agak pelik dan seolah tiada kaitannya dengan hari kemerdekaan. Orang tua dengan cara orang tua, golongan belia dengan style mereka dan tidak terkecuali golongan kanak-kanak juga merayakannya.

Amat baik sebenarnya untuk kita merayakan sambutan hari kemerdekaan sebagai memperingati hari yang penuh bersejarah itu, namun apakah konsep sambutan-sambutan yang dilangsungkan itu bertepatan dan kena dengan tema untuk hari kemerdekaan. Sebagai contoh bersempena dengan kemerdekaan diadakan konsert-konsert yang dihidangkan dengan pelbagai bentuk genre hiburan yang melalaikan dan sesungguhnya tidak ada kaitan langsung penghayatannya dengan hari kemerdekaan. Begitu juga diadakan acara-acara sukan, pertandingan-pertandingan seperti mewarna dan melukis untuk kanak-kanak. Bagi kaum ibu diadakan pertandingan menganyam, memasak dan pelbagai lagi.

Persoalan yang kita ingin timbulkan ialah sejauh mana penghayatan masyarakat terhadap mengenang hari kemerdekaan . Adakah matlamat sebenar program-program yang dilangsungkan itu bertujuan untuk menimbulkan penghayatan masyarakat terhadap kemerdekaan atau pun hanya sekadar program-program biasa yang menumpang dan mengambil kesempatan di atas berlangsungnya hari kemerdekaan seperti kata pepatah melayu menangguk di air keroh. Hanya penganjur program-program tersebut sahaja yang tahu matlamat asal mereka menjayakan program-program tersebut dan mungkin terdapat juga segelintir penganjur yang tidak mempunyai matlamat yang jelas mengenai program-program anjuran mereka itu.

Setakat penelitian kita setelah 50 tahun Negara mencapai kemerdekaan, majoriti rakyat masih lagi jahil dan tiada nilai sensitiviti kenegaraan walaupun kita melihat setiap kali tibanya bulan Ogos bendera-bendera berlambak-lambak dipasang di merata-rata tempat sehinggakan di kenderaan pun terpacak bendera Negara kita. Tapi hanya sekadar bendera sahaja, nilai kemerdekaan yang sebenar mungkin terlalu tipis dalam benak masyarakat.

Pejuang-pejuang dahulu, memang mereka tiada bendera-bendera untuk dipacakkan namun semangat mereka menentang penjajah hinggakan bermandian darah bahkan ramai yang menggadaikan nyawa mereka demi memastikan kedaulatan Negara tercinta . Namun kini jasa-jasa mereka banyak yang telah kita lupakan dan kadangkala nama-nama mereka pun tidak pernah kita mendengarnya. Terdapat juga pejuang-pejuang sebenar kemerdekaan yang jasa mereka seolah-olah tidak diiktiraf.Kebanyakannya terdiri dari golongan muda dan ulama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakub, Sheikh Ahmad Muhammad Zain, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Maulana Abdullah Noh, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi tokoh-tokoh sebenar yang tidak diketengahkan jasa- jasa mereka. Yang kita kenal dan di’highlightkan biasanya Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak lebih dari itu.

Setelah diisytiharkan 50 tahun kita telah merdeka, persoalan yang timbul benarkah kita sebenarnya telah merdeka? Atau hanya merdeka dari segi istilah sahaja? Kita melihat sehingga sekarang rakyat masih belum ‘merdeka’ (bebas)dari makhluk, Kakitangan kerajaan dan mahasiswa belum ‘merdeka’ dari Akujanji. Bayangkan setelah 50 tahun merdeka tiba-tiba sahaja pelajar-pelajar sekolah kita terpaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa penjajah. Tiada Negara dalam dunia ini yang telah merdeka tapi masih mengagongkan bahasa luar.kita lihat Negara lain contohnya Jepun, semua rakyatnya menggunakan bahasa mereka dalam segala urusan rasmi dan tidak rasmi. Diplomat-diplomat mereka juga menggunakan bahasa mereka walaupun ketika berurusan dengan Negara luar. Pihak luar terpaksa menggunakan para penterjermah untuk berurusan dengan mereka, bukan mereka tidak belajar bahasa Inggeris tetapi semangat kebangsaan mereka begitu tinggi.

Sedarlah walaupun usia kemerdekaan Negara kita telah genap 50 tahun iaitu satu usia yang boleh dikatakan sangat matang bagi seseorang manusia, tetapi Negara kita sebenarnya tidak sepenuhnya merdeka apalagi boleh diistilahkan sebagai matang samada dari segi system pemerintahan, pendidikan dan juga daya pemikiran. Semuanya masih bergantung kepada system penjajah. Kemerdekaan yang dilaung-laungkan hanyalah atas nama sahaja sedangkan etinya yang sebenar tidak dihayati sepenuhnya.
Wasalam.

Wednesday, August 29, 2007

Manisnya dosa dan pahitnya cinta.

Begitulah kata-kata yang tertulis di sebuah tembok. Kata-kata ini sebenarnya bertepatan dengan sebuah hadis yang bermaksud : Jalan ke syurga itu dipenuhi dengan onak dan duri manakala jalan ke neraka dipenuhi oleh keseronokan dan poya-poya.


Realiti kehidupan kita memang begitu. Perkara-perkara yang membawa kepada dosa memang menyeronokkan manakala perkara yang berpahala sukar dan tidak seronok. Walaubagaimanapun, sebagai makhluk yang rasional, kita boleh memilih manakah perilaku yang hendak kita kerjakan. Adakah perkara yang menyeronokkan nafsu tetapi haram atau yang halal tetapi tidak menyeronokkan.


Allah maha berkuasa untuk member hidayah kepada semua makhluknya. Semua manusia dijadikan baik belaka. Tidak melakukan dosa, tetapi Allah telah berjanji akan memenuhkan neraka dengan jin dan manusia: kerana itu ada manusia yang membuat pahala dan ada pula yang membuat dosa. Sebagai manusia yang berfikiran waras, sudah tentu kita tidak mahu mengakhiri kehidupan akhirat kita di neraka.


Oleh itu marilah kita bersama menjaga tingkah laku agar semua yang kita lakukan hanyalah yang halal sahaja.InsyaAllah

Monday, August 27, 2007

Usia dan Gugur

Alhamdulillah syukur kepada ilahi yang telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga kepada kita. Selaku hambaNya tugas dan tanggungjawab kepadaNya perlulah diambil berat, jangan apabila ditimba musibah baru teringat kepadaNya. Sungguh bongkak kalaulah ada yang bersifat sedemikian.

Sedar tak sedar perjuangan menyebarkan Islam telah memakan usia ribuan tahun lamanya. Zaman bertukar zaman, namun perjuangan dalam menyebarkan risalah Allah terus berjalan walaupun arus perjalanannya tidak menentu, kadangkala laju, kadangkala perlahan dan adakalanya pula seolah hampir terhenti , namun di atas KehendakNya risalahNya tetap terus tersebar.

Kalau kita perhati pada usia seseorang manusia, semakin tua semakin lemah tidak berdaya, uzur menunggu masa sahaja walaupun tidak dinafikan padanya terkandung seribu macam pengalaman hidup yang sangat berharga untuk dikutip.

Namun dalam perjuangan menyebarkan risalahNya, hal ini berbeza sekali. Lamanya tempoh sesebuah perjuangan tidak boleh menggambarkan letih, lemah, uzur pejuang-pejuang itu. Bahkan dengan lamanya tempoh perjuangan sebenarnya merupakan suatu proses pentarbiahan secara langsung dari Allah s.w.t kepada pejuang-pejuang. Kita menyaksikan dalam proses pentarbiahan itu ada yang berjaya menjalaninya, mereka melaluinya pantas seperti kilat, ada juga yang berjaya setelah menjalani suatu kehidupan sukar yang cukup mencabar dan ada juga yang gugur tertewas di pertengahan jalan perjuangan tanpa sempat menghabisi sukatan-sukatan tarbiah yang mungkin tidak disedarinya.

Sebenarnya dengan tidak disedari oleh kebanyakan manusia ini merupakan suatu proses tapisan dari Allah s.w.t sendiri kepada hambaNya. Hanya mereka yang melepasi tapisan ini layak untuk bergerak dalam saff perjuangan.

Banyak kisah-kisah silam yang telah kita baca dan ketahui mengenai mereka yang gugur di sepanjang jalan perjuangan. Kita berdoa kepada Allah mudahan dikurniakan kekuatan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang merupakan tamrin-tamrin dari ilahi yang menyusun suatu proses tarbiah kepada hambaNya. Kita bermohon agar dikurniakan keampunan terhadap kesalahan-kesalahan dan kelemahan kita.

Kita sentiasa berharap Allah s.w.t memelihara kita dari anasir-anasir keguguran di medan perjuangan, tidak tergesa-gesa mengejar kejayaan yang bukan pada masanya lagi. Sabar di atas jalan yang jelas sekalipun perjalanannya panjang dan sukar adalah lebih terpuji dari berada di atas jalan yang mudah tetapi dipenuhi kesamaran, pura-pura, munafik dan kebatilan.
Ameen..

Monday, August 20, 2007

Rantai Perjuangan
Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya telah mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga banyaknya seperti nikmat kesihatan, nikmat ukhwah, nikmat pendidikan, nikmat keluarga, nikmat kesenangan dan pelbagai lagi nikmat yang tidak dapat kita hitung banyaknya . Namun seharusnya kita perlu sedar dan bertambah bersyukur lagi kerana kita dikurniakan dengan dua kurniaan nikmat yang paling besar dan jauh lebih berharga berbanding dengan nikmat-nikmat lain iaitu nikmat Islam dan Iman.
Rafak Syukur yang tidak terhingga dengan kurniaan dua nikmat ini, Islam dan Iman. Lahir-lahir sahaja ke dunia secara automatik telah kita warisi kedua nikmat ini tanpa perlu kita bersusah payah untuk mendapatkannya. Berbanding golongan terdahulu yang tidak mudah untuk mendapatkan nikmat ini. Namun atas jasa golongan terdahulu yang begitu bersungguh-sungguh berjuang mengembangkan Islam ini akhirnya kini kita mendapat nikmat ajaran Islam ini.
Jika menyelusuri sejarah silam, terbaca kita kisah-kisah para Sahabat, Tabi’en, Ulama-ulama, para Mujahid yang begitu bersungguh-sungguh berjuang untuk mengembangkan Islam. Mereka berjuang sehinggakan ada yang bermatian dan bermandikan darah. Matlamat mereka hanya untuk menyebarkan ajaran Islam ini. Tidak terlintas pun dalam fikiran mereka “sudah cukup aku dan kaum keluargaku sahaja yang beriman” tapi apa yang terlintas di fikiran mereka inginkan seluruh alam ini menerima dan beriman kepada Allah S.W.T.
Teringat nostalgia silam ketika mana Islam berjaya menguasai dan memerintah 2/3 dunia. Ketika itu seolah seluruh dunia mengakui bahawa khalifah (Amirul Mukminin) merupakan BOS dunia dan seluruh umat Islam bersatu di bawah pemerintahan Islam yang ditadbir oleh Khalifah.
Alhamdulillah, kini Islam merupakan agama yang terbesar dan dikenali di seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir tiada lagi dalam dunia ini yang tidak pernah mendengar kalimah ISLAM. Begitulah perjuangan dan pengorbanan golongan terdahulu dalam mengembangkan ajaran Islam. Terkenang kita bagaimana jerih payahnya mereka dahulu ketika melaksanakan misi mulia ini, berlayar di lautan samudera (kapal dahulu mana ada enjin), berkuda dalam hujan dan panas di daratan maju menuju ke seluruh pelusuk dunia bermatlamatkan untuk menyebarkan Islam.
Namun begitu, akibat kelalaian kita sendiri, musibah besar telah menimpa kita umat Islam. Bermula dengan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam yang akhirnya membawa kepada jatuh dan lenyapnya pemerintahan Khalifah Islamiah Uthmaniah Turki pada tahun 1924. Sejak dari itu umat Islam menjadi hilang arah seperti anak ayam yang hilang ibunya, tiada khalifah yang menjadi ketua, lalu dunia menyaksikan umat Islam terus ditimpa musibah demi musibah. Musibah terbesar apabila orang Islam yang mengaku beriman sendiri yang memusuhi ajaran Islam yang sebenar. Tindak tanduk mereka seolah-olah mereka bukannya beragama Islam dan kadangkala mereka lebih melampau berbanding dengan orang bukan Islam.
Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang??, ayuh bangkitlah bangun berjuang, kita ambil kembali semangat pejuang-pejuang terdahulu. Kita ingat kembali jerit perih mereka terdahulu dalam menegakkan dan memulakan rantai perjuangan ini. Sedarlah kita hanya menyambung kembali rantai-rantai perjuangan yang telah dimulakan oleh mereka. Menjadi fitnah besar jika sekiranya rantai perjuangan itu tidak mampu kita sambungi apatah lagi rantai itu terputus disebabkan kelalaian kita.
Malu kita kepada mereka, dengan dunia serba canggih dan mudah ini jikalau kita tidak mampu untuk menggalas tugas dalam memastikan rantai perjuangan itu terus bersambung dan bergerak.
InsyaAllah kita akan pastikan bahawa rantai perjuangan itu akan terus bersambung dan bergerak. Untuk itu banyak perkara yang perlu kita ambil berat dalam memastikan arus perjuangan Islam ini terus mekar.