Friday, November 04, 2011

Pengajian Ilmu di Masjid.


Pengajian Ilmu di Masjid.
Beberapa bulan yang lalu, Kuliah Ustaz Zabadin di Masjid Sultan Mahmud,
elektrik tiba-tiba putus, kuliah tetap diteruskan.
Lazimnya   Masjid dan surau di tempat kita menganjurkan kelas pengajian ilmu. Ada Kuliah subuh, Zohor, Kuliah Dhuha, Kuliah Maghrib, Ceramah bulanan, tazkirah sebelum jumaat  dan lain-lain pakej lagi.
Walaupun tidak dinafikan banyak juga masjid dan surau yang tidak ada menganjurkan program pengajian ilmu. Barangkali  penganjurnya (baca AJK masjid & surau) sudah alim atau fobia melihat ahli jemaah menjadi pandai agama belaka.
Pengajian ilmu di masjid dan surau  sangat baik dan dari dulu sehingga kini ia menjadi tempat bagi orang ramai memahami dan mempelajari Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa Masjid merupakan tempat penyebaran ilmu yang terutama. Sebagai contoh, terdapat 40 hingga 50 halaqah ilmu pada setiap hari  di Masjid al-Mansur pada zaman Khalifah Harun al-Rasyid. Menarik juga, kemunculan universiti islam bermula dari masjid seperti masjid Qurawiyyin di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir.

Realiti Pengajian ilmu di Masjid
Di Tempat kita sekarang,  Kebiasaannya format pengajian adalah umum dan terbuka kepada sesiapa sahaja. Tidak ada senarai kehadiran. Tempat duduk pun bebas, ada yang memilih untuk duduk berhadapan dengan guru, ada yang memilih untuk parking  bersandar di tiang-tiang masjid dan surau, bahkan ada juga yang memilih untuk duduk di beranda masjid.
Lebih istimewa pengajian ilmu di masjid dan surau tidak mengenakan yuran pengajian buat pelajarnya. Percuma sahaja, sekolah tadika pun kena bayar yuran. Jadi taklah perlu risau bajet kewangan tak cukup.  Kalau bawa seluruh keluarga pun tetap percuma juga. Tak ke rugi  kalau tak ambil peluang ini.
Unik juga berbanding di tempat pengajian formal yang lain seperti sekolah, universiti hatta tadika, kebiasaannya penuntut ilmu di kelas pengajian di masjid dan surau ini tidak perlu membawa buku, kitab dan kelengkapan menulis, mereka hanya bawa diri dan tadah telinga sahaja menerima curahan ilmu dari sang guru. Inilah sebahagian realiti yang berlaku di pengajian-pengajian ilmu di masjid.

Kajian UUM
Kajian penah dibuat oleh Dr. Hasan Bahrom, Dr. Huzaimah Ismail dan Dr. Mohd Afendi Mat Rani berkenaan tahap pencapaian pengajian kuliah maghrib di masjid. Beberapa masalah utama yang menjadi isu pengajian ilmu di masjid ini ialah :

1. Pengurusan dan pentadbiran masjid/surau tidak sistematik dan tersusun. Kebiasaannya masih diurus secara tradisional.

2. Aktiviti dan program pengajian telah lama dijalankan. Namun ia dilihat tidak memberi impak yang besar kepada peningkatan budaya ilmu di kalangan masyarakat.

3. Corak pendidikan lebih menumpukan kepada pengajian fiqh ibadat, tidak dapat mengimbangi tuntutan syarak agar kita mendalami ilmu al-Quran, hadis, akidah, syariat dan akhlak.

4. Tidak ada suatu kaedah dalam pengajaran dan pendidikan di masjid menyebabkan wujud tanggapan pengajian di masjid sebagai program sampingan.

5. Sikap masyarakat yang masih beranggapan negative bahawa masjid sebagai tempat beribadah (baca solat) semata-mata dan pengajian di masji/surau bukan pendidikan formal.





Hasil Kajian

a) Pengajian di masjid didominasi oleh orang lelaki. Hanya 12 %  sahaja orang perempuan yang menjadikan masjid/surau sebagai tempat untuk mereka menimba ilmu.
b) Kehadiran dipenuhi oleh mereka yang telah bersara atau mereka yang melepasi umur 55 tahun ke atas. Maknanya menjadi budaya masyarakat kita mula mendekati pengajian agama apabila mencapai usia pencen sementelah usia mudanya dihabiskan dengan kesibukan dunia.
c) Sejumlah besar dari penuntut ilmu di masjid/surau, hampir 22 % telah belajar di masjid hampir 15 tahun lamanya. Namun seperti tiada peningkatan ilmu. Sepatutnya mereka telah dipanggil dengan gelaran ustaz/ustazah .
d) Sebahagian besar, jemaah yang menghadiri majlis ilmu di masjid tidak mengetahui sumber rujukan/ buku yang digunakan oleh pengajar. Bahkan mereka juga tidak mempunyai buku rujukan.
e)Tenaga pengajar tersasar dari topik perbincangan. Kemungkinan tidak membuat persediaan.
f)Tenaga pengajar tidak mempunyai fokus yang tetap dalam pengajaran mereka. Sekadar memenuhkan jadual program masjid.

Pengalaman menarik
Saudara Munir bin Ramli dalam bukunya : Rindu Eropah Tawan Damascus ada menceritakan suasana pengajian ilmu  masjid-masjid di Syria. Selain pengajian yang berkesan dan berkualiti, masjid juga  ada menyediakan asrama dan biasiswa kepada penuntutnya.

Saudara Azmil Mustafa, pelakon filem Ali Setan menceritakan pengalamannya dalam ruangan IKON, majalah I LuvIslam. Katanya “ saya mula mengaji dengan seorang syeikh di masjid dekat dengan rumah saya. Tiap-tiap pagi dia mendengar bacaan saya, al-Fatihah sahaja ambil masa 4 bulan untuk saya lulus. Menurut Azmil lagi, sistem pembelajaran di Syria lebih banyak berlangsung di masjid-masjid. Paling menarik guru yang mengajar tidak menuntut yuran, tetapi sebaliknya mereka pula yang selalu memberi wang kepada pelajar.  

Dr. Zulkifli bin Muhammad al-Bakri semasa belajarnya pernah berguru dan bertalaqi  dengan ramai tokoh semasa belajar di Madinah dan Syam. Antaranya Syeikh Muhammad Ali al-Thani (imam Masjid Nabawi), Syeikh Rusdi bin Salim (Imam Masjid Abdullah bin Rawahah Damsyik).  

Syeikh Muhammad Idris bin Abd Rauf al-Marbawi menceritakan dalam mukaddimah kitabnya Bahrul Mazi bahawa dia belajar dengan gurunya Syeikh Muhammad Ibrahim as-Samaluthi, guru hadis yang masyhur mengajar berpuluh-puluh tahun di Masjid Saidina Husin di Kaherah Mesir berdekatan dengan Masjid al-Azhar.  

Penutup
Marilah kita sama-sama memperkasakan pengajian ilmu  di Masjid-masjid. Jadikan Masjid sebagai pusat gedung ilmu yang terkemuka. Semua pihak perlu memainkan peranan baik dari pentadbir Masjid, tenaga pengajar dan pelajar. Cuba bayangkan alangkah indahnya suasana ketika itu.

Bersama almarhum Syeikh Atiyyah Saqr selepas liqa' selepas solat jumaat di Masjid  St Theresa.

Riwayat Hidup Syeikh Atiyyah Saqr


Riwayat Hidup Syeikh Atiyyah Saqr


Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr.
 Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Beliau mula menghafaz al-Quran ketika berumur 9 tahun dan beliau mula meminati dan mempelajari bidang fiqh ketika berusia 10 tahun. Beliau memulakan pengajian secara formal di sebuah sekolah rendah yang terdapat di kampung beliau, Behna Bai. Minat beliau pada ilmu tidak pernah berkurang. Ini dibuktikan apabila beliau melanjutkan pengajiannya ke Sekolah Tinggi Agama di Zaqaziq (Maahad Zaqaziq al-`Ali al-Dini) pada tahun 1928. Beliau mendapat Shahadah Aliyah (Sijil Tinggi) pada tahun 1941 dalam bidang Usuluddin pengkhususan bidang dakwah.

Sudah menjadi resam bagi seorang ulama pendakwah yang tidak akan berhenti rehat walaupun sedetik, sebaik menamatkan pengajian, beliau terus berkhidmat di Kementerian Waqaf (agama) Mesir sebagai imam, khatib dan tenaga pengajar di Masjid Abdul Karim Ahmadi yang terletak di Bab al-Sya’riyyah di Qaherah pada 16 Ogos 1943. Kemudian pada bulan Februari 1944, beliau ditugaskan ke Masjid Al-Arba’in Al-Bahri (sekarang dengan nama masjid Ammar bin Yasir) di Giza.

Kerja-kerja dakwah yang beliau laksanakan tidak terhenti setakat itu sahaja malahan beliau juga turut menjadi wakil bagi al-Azhar pada tahun 1945 untuk menjadi penceramah di beberapa tempat di bumi Kinanah ini. Antaranya di Tahta Jarjawiyah, Suez , Raksu Al-Gharbiyyah dan juga Qaherah.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.


Walaupun sibuk dengan tugas yang diamanahkan ini, amanah ini tidak menghalang beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya dan menjadi ahli Dewan Rakyat pada 1984. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Kerajaan Mesir pada tahun 1989. Kepercayaan masyarakat tidak pernah luntur terhadap kebolehan Syeikh Atiyyah Saqr. Sekali lagi beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Jabatan Sunnah dan Sirah bagi Majlis Tertinggi Agama Islam yang terletak di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir pada tahun 1991.

Khidmat al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqr juga bukan hanya semata-mata tertumpu di Mesir sahaja bahkan masyarakat luar juga tidak mahu ketinggalan untuk menumpang keberkatan ilmu yang Allah swt kurniakan kepada beliau. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Keagamaan Negara Kuwait pada 1972 selama tujuh tahun. Beliau juga turut pernah mengadakan lawatan rasmi dan tidak rasmi di dalam menyampaikan misi dakwah. Antara negara yang pernah beliau kunjungi ialah Iran dan Indonesia (1971), Libya (1972), Bahrain (1976), Algeria(1977), Senegal, Negeria, Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Iraq, Paris, London, Malaysia, Brunei, Singapura dan Negara Soviet.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca.

Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.


Wednesday, November 02, 2011

Mari Menuntut Ilmu..


Mukaddimah
Firman Allah yang bermaksud : “supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam IlmuNya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah :11)

“Katakanlah : Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?” 
(al-Zumar : 9)

Ilmu sangat penting buat kita semua. Banyak perumpamaan yang menggambarkan kelebihan ilmu.  Seperti kalam yang membuat perbandingan di antara ilmu dan harta :

  • 1.       Ilmu adalah warisan para Nabi sedangkan harta adalah warisan Firaun dan Qarun.
  • 2.       Ilmu lebih mulia dari harta kerana ilmu yang menjaga manusia sedangkan  manusia yang perlu menjaga harta.
  • 3.   Orang yang berilmu mempunyai ramai kawan  sedangkan orang yang berharta ramai musuh.
  • 4.       Ilmu jika diberikan semakin bertambah sebaliknya harta akan berkurang jika diberikan.
  • 5.       Ilmu tidak boleh dicuri sebaliknya harta boleh dicuri.
  • 6.  Harta boleh habis sebelum pemiliknya mati  tetapi ilmu habis dengan kematian pemiliknya.
  • 7.       Ilmu tidak dapat dikira, sedangkan harta dapat diketahui jumlahnya.  

Pembahagian Ilmu
Ulama membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu ilmu agama dan dunia. Contoh ilmu agama ialah tafsir, hadis, feqah, tauhid, tasawuf. Contoh ilmu dunia ialah sejarah, sains dan matematik. Kesemua cabang ilmu adalah sangat penting lebih-lebih lagi ilmu agama.

Kaedah Menimba Ilmu
Firman Allah yang bermaksud : Dan Allah ajarkan kepada Adam nama-nama benda semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para Malaikat, seraya berfirman ; “Sebutkan kepadaKu nama semua benda ini, jika kamu yang benar”. (Al-Baqarah : 31)

Tabiatnya, Ilmu itu perlu dipelajari bagi mendapatkannya.  Keluar dari landasannya jika ilmu itu diperolehi tanpa dengan belajar. Contohnya kita duduk termenung sambil minum kopi di beranda rumah, selepas dua tiga jam  kita menjadi bijak pandai yang hebat disanjungi ramai dengan menyatakan kita seorang tokoh ilmuan terulung.
Namun kita tidak menafikan bahawa ada manusia yang dikurniakan ilmu oleh Allah dengan tidak belajar secara normal seperti kebiasaannya. Imam Hasan al-Banna menyatakan bahawa ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi adalah perkara yang wujud namun bukanlah menjadi dalil bagi hukum syarak. Ia diterima sekiranya tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Sabda Rasulullah yang bermaksud : Mimpi ada tiga jenis , mimpi yang datang dari Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi dari syaitan. (Riwayat Muslim).

Bagi mereka yang masih bergelar ‘budak-budak’ di zaman ini, memang kelaziman  rutin harian mereka dipenuhi dengan menuntut ilmu. Bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan Universiti, semuanya giat menuntut ilmu di peringkat dan lapangan masing-masing. Mereka yang kita sebut masih berada di alam pengajian, alam kampus , student dan sebagainya.  
Soalnya bagi orang awam  baik peringkat dewasa atau pun warga emas, di mana pula mereka ingin menimba ilmu? Sedangkan kita sangat maklum bahawa kewajipan menuntut ilmu itu selamanya, tidak terhad pada batas-batas waktu tertentu seperti  habis menuntut ilmu setelah  tamat sekolah menengah, graduan Ijazah pertama, mempunyai PHD, mendapat gelaran Profesor, pendita dan seumpanya. Maknanya siapa pun kita, baik seorang profesor ataupun seorang Ofice Boy   kita mesti sentiasa melazimi menuntut ilmu.

Zaman sekarang yang serba maju ini, banyak medium untuk kita menambahkan ilmu pengetahuan seperti :

1.Kuliah-Kuliah pengajian di masjid dan surau. Ada macam-macam pakej. Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Maghrib, khutbah jumaat. Ikutilah..percuma sahaja.

2. Kelas pengajian agama di pejabat atau di tempat kita bekerja. Jika tiada usahakan supaya ada. Sekali seminggu pun sudah dianggap berbaloi.

3. Membaca buku-buku, majalah ilmiah  yang berlambak-lambak di pasaran. Cuma perlu keluar modal untuk membeli buku. Jika bajet sangat terbatas boleh kunjungi perpustakaan.

4. Mewujudkan sembang ilmu dengan kawan-kawan. Baik di alam nyata mahupun maya.

5. Layari internet, mencurah-curah ilmu yang akan diperolehi, terpulang kepada jari kita yang menaip men’search’ nya.

Kesimpulan
Marilah kita sama-sama mendambakan diri dalam menjadi seorang yang sentiasa menuntut ilmu. Tiada titik noktah dalam pencarian ilmu. Jangan rasa sudah cukup dengan ilmu yang diperolehi. Jangan menangguhkan diri dengan alasan seperti tak ada masa nak dengar kuliah, tunggu selepas pencen atau senada dengannya. Kata yang sering disebut : “Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke lubang kubur”. Tiada had umur pencen dalam pencarian ilmu.  

Renungi pesan Imam Hasan al-Banna buat ahli Ikhwan : Wahai Saudara ! Memperelokkan bacaan dan tulisan, banyak mengkaji risalah Ikhwan, akhbar dan majalah. Kamu hendaklah memiliki perpustakaan peribadi sama ada kecil mahupun besar. Meluaskan ilmu dan seni sekiranya kamu mempunyai kemampuan.

Kalam menyatakan :
i.                     Siapa yang belajar sastera, maka lembutlah dan eloklah bahasanya.
ii.                   Siapa yang belajar hadis, maka kuatlah hujahnya.
iii.                  Siapa yang belajar sejarah, maka banyaklah iktibarnya.
iv.                 Siapa yang belajar matematik, maka tepatlah andaiannya.
v.                   Siapa yang belajar sains, maka betllah eksperimennya.
vi.                 Siapa yang belajar geografi, maka fahamlah kehidupannya.
vii.                Siapa yang belajar tauhid, maka kukuhlah aqidahnya.
viii.              Siapa yang belajar mantik, maka mudahlah menangkis hujah.
ix.                 Siapa yang belajar feqah, maka sahihlah ibadahnya.
x.                   Siapa yang belajar tasawuf, maka tinggilah akhlaknya.
xi.                 Siapa yang belajar al-Quran, nescaya Allah memeliharanya. Inilah kemuncak ilmu.


Mudahan kita semua diberi kemudahan, ruang, peluang, kemampuan dan keinginan untuk akrab dengan ilmu.

Wasalam..

Syeikh Ahmad bersama anak muridnya di masjid Khazandarah

Friday, October 28, 2011

Koperasi Masjid 2011

Taklimat & Mesyuarat Koperasi Masjid dan KOPERA (Koperasi Bela Rakyat) di MS Garden
Taklimat  dipengerusikan oleh YB  Dato' Ishak Muhammad  (Exco  Pembangunan Koperasi)
Turut hadir YB Aziz Kiram, YB Dr Syukri, YB Mohd Jaafar

Pencapaian Koperasi Masjid di Pahang :

1. Koperasi Masjid Bukit Sekilau Kuantan Berhad ; Tarikh Daftar 2010
2. Koperasi Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis Berhad ; Tarikh daftar 2010
3. Koperasi Jemaah Masjid Felda Tersang Raub Berhad ; Tarikh daftar 14.1.2011
4. Koperasi Jemaah Masjid Felda Jengka 23 Temerloh Berhad ; Tarikh Daftar 22.8.2011

Senarai Koperasi dalam penubuhan :

1. Koperasi Masjid Al-Wosto Tanjung Besar Temerloh Berhad.
2.Koperasi Masjid Kuala Kaung Lanchang Temerloh Berhad.

* Tak sampai 10 jumlah koperasi masjid di Pahang ini. Pengerusi Angkasa Zon Timur (Merangkap pengerusi masjid bla bla di zon timur)  pun tak buka lagi koperasi  kat masjid tempat dia. Jadi adakah projek SKM dan Angkasa untuk memperkasa koperasi masjid sekadar angan-angan sahaja?, atau ada udang di sebalik batu ? ataupun ??



Friday, October 14, 2011

Saturday, October 01, 2011

Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi



Dr. Syeikh Mohamad Idris bin Abdul Rauf Al-Marbawi, AMP (10 Mei 1896- 13 Oktober 1989) ialah seorang tokoh di dalam bidang persuratan yang tidak asing lagi bukan sahaja di Nusantara, malah di Mesir dan Makkah terutamanya dalam bidang bahasa Arab, ilmu Hadith, tafsir dan fiqah. Kamus Al-Marbawi, hasil nukilannya adalah kamus Arab-Melayu yang terunggul sekali di Nusantara sehingga hari ini.
Riwayat hidup
Syeikh Idris dilahirkan di sebuah kampung bernama Misfallah di Makkah pada 28 Zulkaedah 1313 Hijrah bersamaan 10 Mei 1896. Ibu bapa beliau berasal ari kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar Perak.
Sekembalinya ke Malaysia, beliau meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Lubok Merbau (kini dikenali Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi). Seterusnya beliau melanjutkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, antaranya Pondok Wan Mohammad, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (kini dikenali sebagai Madrasah Idrisiah), Pondok Tuan Hussien Al-Masudi (Kedah), Pondok Syeikh Ahmad al-Fatani (Bukit Mertajam) dan Pondok Tok Kenali (Kelantan). Setelah menamatkan pengajian, beliau bertugas sebagai guru agama di Perak.
Pada tahun 1924, beliau menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan berjaya memperoleh Ijazah 'Aliyah (tertinggi). Beliau merupakan anak jati Perak pertama berjaya melanjutkan pengajiannya di Makkah. Semasa berada di sana, beliau menyusun kamus Arab-Melayu atau dikenali sebagai Kamus Al-Marbawi yang diterbitkan dalam tahun 1937 dan telah diulang cetak lebih daripada 24 kali. Kamus ini pada mulanya disusun oleh tiga orang iaitu beliau sendiri, Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Namun, ketika dua tokoh yang terakhir ini kembali ke tanah air, karya itu diteruskan sendiri oleh Syeikh Idris al-Marbawi sebagai pengarang kamus tersebut.

Anugerah dan sumbangan

Atas sumbangan dan jasa besar dalam keagamaan dan persuratan, Syeikh Idris dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Julai 1980. Pada 1 Muharram 1408 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1987, beliau diisytihar sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan yang pertama.
Pada 19 April 1988, beliau telah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak (AMP) oleh Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah sempena hari keputeraan baginda.
Beliau adalah seorang tokoh ilmuan yang warak dan amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Orang ramai yang mengenali beliau ternyata amat menyenangi dan menghormatinya. Keperibadian mulia di samping ketajaman fikiran walaupun telah berusia 90-an, merupakan aset beliau yang amat berharga. Penghayatan beliau terhadap ilmu, sifat rendah diri, di samping sifat dahagakan ilmu yang dimiliki, tidak dapat dinafikan lagi.
Bahkan semasa diminta berucap setelah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah, beliau dengan terus terang menyatakan yang beliau tidak layak berucap di situ kerana merasakan dirinya masih kekurangan ilmu. Dalam satu kejadian lain pula, beliau telah dilihat mengambil wudhu’ dengan menggunakan air yang sangat minimum yang tidak habis segayung air.
Sepanjang hampir 60 tahun berada di Timur Tengah, beliau banyak menjelajah dan menyaksikan pelbagai bentuk kebangkitan Islam selain daripada menjalankan kerja berdakwah. Ini telah banyak memberi kesedaran dan pengalaman berguna kepada beliau. Atas dasar ingin melihat lebih ramai muda mudi memperolehi pendidikan yang sempurna, beliau telah menggunakan wang ganjaran Tokoh Ma’al Hijrah untuk membolehkan anaknya menubuhkan sebuah Kolej Pengajian Islam yang dinamakan Kolej Idris Al-Marbawi Al-Islami di Ipoh, Perak. Tenaga pengajarnya terdiri daripada anaknya, Mariam dan cucu-cucunya serta beberapa orang tenaga pengajar luar.

Meninggal

Walaupun belum puas mencurahkan bakti dan ilmu kepada seluruh umat manusia, ternyata Allah SWT lebih menyayangi beliau. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 93/96 tahun pada hari Jumaat, 13 Oktober 1989, jam 8.30 pagi di Hospital Besar Ipoh, Perak. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubok Merbau, Kuala Kangsar, Perak, bersebelahan pusara isteri beliau, Khadijah binti Mohamad Idham yang telah meninggal dunia 14 bulan sebelum itu. Beliau telah meninggalkan seorang anak perempuan, tiga orang cucu dan tujuh orang cicit yang tinggal di Malaysia. Di samping itu beliau telah meninggalkan balu kedua, Hajjah Munirah binti Abdul Wahab yang menetap di Mesir.
Bagi mengenang jasa beliau, namanya telah diabadikan di sebuah kolej kediaman di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan dikenali sebagai Kolej Idris al-Marbawi. Namanya juga diabadikan di sekolah tempat beliau menuntut ilmu di Kampung Lubok Merbau iaitu Sekolah Kebangsaan Syeikh Mohd Idris Al-Marbawi

Hasil karya

  1. Kamus al-Marbawi
  2. Kitab Bahrul Mazi
  3. Tafsir Quran Al Marbawi
  4. Tafsir Surah Yasin
  5. Tafsir Nurul Yaqin
  6. Tafsir Fathul Qadir
  7. Kitab Bulughul Maram
  8. Kitab Jami'ul Ulum
  9. Usulul Islam
  10. Nizamul Hayah
  11. Mu'jamul Ka'inat ( 4 Jilid ) dan lain-lain.

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

                 Qamus Idris al-Marbawi

Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.


Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.
Qamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan.


Paling luas penyebarannya
Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.
Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya.
Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”
Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.
Ianya dicetak oleh Matba`ah Mustafa al-Babiy al-Halbi Wa Awladihi di Mesir. Kamus ini menjadi rujukan pelajar di Malaysia bagi setiap peringkat sama ada peringkat rendah, menengah mahu pun universiti.



Kitab  Bahrul Mazi

MUKHTASAR SAHIH AL-TURMUDZI WA SYARHUHU BI LUGHAH AL-JAWI AL-MALAYU AL-MUSAMMA BAHRUL MAZI atau di dalam bahasa Melayunya Ringkasan Sahih Tarmizi dan Huraiannya di Dalam Bahasa Melayu Jawi Yang Dinamakan Bahrul Mazi. Di dalam alam Melayu, ia hanya dikenali sebagai Bahrul Mazi. Uniknya, kitab yang berbahasa Melayu ini dicetak dan diterbitkan di Mesir, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum dan sesudahnya. Kitab ini adalah terjemahan dan ulasan lengkap sesudah diringkaskan daripada Sahih al-Tirmizi. Ia merupakan karya yang pertama sekali di dalam bahasa Melayu yang seumpama dengannya.
Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Kitab ini mengandungi 22 jilid (11 buah buku) dan kitab ini sudah diterbitkan. Ia mengandungi 8200 permasalahan agama yang berkaitan dengan hal ehwal dunia dan akhirat.  Kesungguhan, minat dan kecintaan penulisnya untuk menyempurnakan kitab ini dapat dilihat daripada muqaddimah kitab yang telah beliau tulis sebelum memulakan penulisan, antaranya beliau menyatakan :
“Adalah daripasa sudah aku mengaji kitab yang bernama Sahih al-Turmudzi, sudahlah jatuh dalam hatiku berahi dan suka kepadanya oleh aturannya dan kenyataan pada segala hukum syariat Nabi kita Muhammad SAW..”.

Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:
- Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.
- Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.
- Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.
- Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.
- Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.
- Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.
- Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.
- Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.
- Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.

- Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.
- Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.
- Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.
- Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.
- Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
- Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.
- Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.
- Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.
- Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.

- Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.
- Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.” Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.
- Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.
- Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.
Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M.

Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

Kitab asal bagi kitab ini (dalam tulisan jawi) telah banyak kali diulang cetaknya. Hampir kesemua pelajar yang menuntut di Mesir mempunyai kitab ini, sebab kitab ini dicetak di sana. Sesungguhnya kitab asalnya dalam tulisan jawi, tetapi memandangkan kebanyakan generasi hari ini kurang mahir dalam tulisan jawi , maka Ustazah Noraine Abu telah cuba menyalinnya dari tulisan jawi ke tulisan rumi tanpa ada pindaan daripada teks asal.






METOD PENULISAN
          Syeikh Idris al-Marbawi mendahului tulisannya dengan menggarap sebuah mukaddimah yang agak ringkas. Ia didahuli dengan puji-pujian kepada Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seterusnya menyatakan minat beliau yang amat mendalam terhadap isi kandungan Sahih Tirmizi. Beliau juga menegaskan bahawa tujuan kitab ini dikarang adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT untuk meninggikan kalimah Allah serta menyebarkan hadis-hadis nabi kepada masyarakat yang tidak memahami bahasa Arab.
          Kitab ini ditulis menggunakan kaedah penulisan jawi lama yang mengandungi 3,016 hadith serta menghuraikan 8200 permasalahan yang berlainan hukum hakam yang berkaitan dengan hidup manusia di dunia dan akhirat. Ia dimulakan engan hadith niat yang membawa 30 masalah-masalah berkaitan dengan niat.
          Di dalam persoalan sanad, beliau hanya meletakkan seorang sahaja perawi (rawi a’la) sebelum menyatakan nama hadith. Seterusnya beliau menyatakan makna hadith di bawah matan hadith. Ia diikuti dengan huraian hadith dan juga pandangan-pandangan hukum menurut mazhab Syafie di samping menjaga maksud yang ingin disampaikan oleh Imam Tirmizi selaku penulis asal.
          Di dalam menghuraikan permasalahan yang terdapat di dalam hadith, beliau tidak lupa untuk membawa pandangan-pandangan ulama lain yang berbeza dengan diletakkan pandangan mazhab Syafie sebagai keutamaan. Sekiranya terdapat masalah yang berkaitan antara satu sama lain, beliau akan meminta pembaca merujuk semula kepada masalah-masalah yang lalu dengan katanya, “lihat masalah nombor sekian…”
          Di dalam menjelaskan status hadith, al-Marbawi tidak mengulangi penegasan yang dibuat oleh Imam Tirmizi di mana Imam Tirmizi sering memberikan komentar terhadap status mana-mana hadis yang ditulis di dalam sahihnya. Dengan kata lain, penulisan Bahrul Mazi tidak memasukkan komen Imam Tirmizi terhadap satu-satu hadis. Namun, al-Marbawi mengingatkan pembaca berhatihati dari sebarang penyelwengan kerana beliau tidak mengulangi komentar yang dibuat oleh Imam Tirmizi. Oleh kerana itu, beliau turut menulis sedikit mengenai maksud sahih, hasan dan gharib di dalam ilmu hadis selepas muqaddimah kitabnya.
KESIMPULAN
          Secara umumnya, kitab ini merupakan kitab yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri kerana merupakan kitab pertama di dalam bahasa Melayu yang membicarakan isu-isu fiqh yang disandarkan kepada hadis. Lebih dari itu, ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi seorang anak Melayu dapat menghasilkan karya seperti ini. Sehingga ke hari ini, ia masih relevan untuk dijadikan bahan pengajian dan juga teks kajian oleh masyarakat awam dan juga para pengkaji.

Tafsir Surah Yasin




Kurang tersebar sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

Kredit kepada :
-http://ahmadfadhli.wordpress.com/2007/11/12/bahrul-mazi-susunan-al-marbawi/
-Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH







Darul Permai: Mushaf Qiraat 10 Syatibiyah

Darul Permai: Mushaf Qiraat 10 Syatibiyah: Mushaf Qiraat 10 Toriq Syatibiyah & Durah Percetakan : Darul Sohabah Tanta

Darul Permai: Mushaf Qiraat 7 Syatibiyah

Darul Permai: Mushaf Qiraat 7 Syatibiyah: Mushaf Qiraat 7 Syatibiyah Percetakan : Darul Sohabah Tanta

Darul Permai: Mushaf Tajwid Qalun 'an Nafi'

Darul Permai: Mushaf Tajwid Qalun 'an Nafi': Mushaf Tajwid Qalun 'an Nafi' Percetakan : Darul Makrifah, Damsyik, Syria

Darul Permai: Mushaf Qalun 'an nafi'

Darul Permai: Mushaf Qalun 'an nafi': Mushaf Qalun 'an nafi' Saiz : Sederhana Percetakan : Darul Fajr Islami, Damsyik, Syria Harga : RM 40.00

Darul Permai: Mushaf Tajwid Warash 'an Nafi'

Darul Permai: Mushaf Tajwid Warash 'an Nafi': Mushaf Tajwid Warash 'an Nafi' Percetakan : Darul Makrifah, Damsyik

Darul Permai: Mushaf Warash 'an Nafi'

Darul Permai: Mushaf Warash 'an Nafi': Mushaf Warash 'an Nafi' Saiz : Sederhana Percetakan : Darul Salam, Mesir Harga : RM 40

Darul Permai: Mushaf Tajwid Durri 'an Abi Amru

Darul Permai: Mushaf Tajwid Durri 'an Abi Amru: Mushaf Tajwid Durri 'an Abi Amru Percetakan : Darul Makrifah, Damsyik

Darul Permai: Mushaf Tajwid Khalaf 'an Hamzah

Darul Permai: Mushaf Tajwid Khalaf 'an Hamzah: Mushaf Tajwid Khalaf 'an Hamzah Percetakan : Darul Makrifah, Damsyik

Darul Permai: Mushaf Ibnu Kathir

Darul Permai: Mushaf Ibnu Kathir: Mushaf Ibnu Kathir Percetakan : Darul Sohabah Tanta

Darul Permai: Taqrib Maani

Darul Permai: Taqrib Maani: Taqrib Maani Percetakan : Darul Zaman, Saudi Arabi Harga : RM 55 Kitab syarah Matan Hirzul Amani Susunan Imam Syatibi

Darul Permai: Minahul Ilahiah Jilid 1-3

Darul Permai: Minahul Ilahiah Jilid 1-3: Minahul Ilahiah Jilid 1-3 Percetakan : Darul Zaman, Saudi Arabia Harga : RM 90 Panduan Baca Jama' Qiraat Imam Syatibi

Monday, September 12, 2011

MC My Job

MC kerja..Tapi tak boleh MC dengan Allah..

Diskusi buku & Qasidah

Sekitar program diskusi buku himpunan benteng iman dan Islam pada 10.9.2011 di Masjid Sultan Mahmud. Program bermula selepas solat maghrib dengan Kumpulan al-Ahya' mengalunkan 2 buah qasidah. Selepas itu al-Fadhil Ustaz Afif mendiskusi buku himpunan secara ringkas. Majlis ditutup dengan kumpulan qasidah mengalunkan lagi 2 buah qasidah penutup. InsyaAllah program seperti ini akan dijayakan lagi di masa mendatang..

Ustaz Mohd Afif bin Yahya
 

Kumpulan Qasidah al-Ahya' dari Pulau Pinang

Rombongan menjamu selera sebelum pulang