Tuesday, August 02, 2016
Tuesday, July 26, 2016
Friday, July 22, 2016
Catatan Imam Kecil : Dah raya ke?
Perbualan seminggu dua ni bila bertemu dengan orang.
Fulan : Dah raya?
Imam Kecil : (buat-buat tak faham) Raya dah kan?
Fulan : Kita raya dah semalam
* Maksudnya dah selesai puasa 6 dalam bulan Syawal.
Biasa saya akan kabo dengan cara tidak serius, Raya Aidil Fitri 1 Syawal sahaja, mana ada raya puasa 6, sesat nanti..huhu.
Imam Kecil : Lama tak nampak kat masjid ?, Pergi Mana? (maksudnya datang jemaah Maghrib di masjid)
Fulan : Oh, kita puasa 6 tak habis lagi.
* Realiti yang biasa berlaku, tak datang ke masjid sebab nak berbuka di rumah. Sedangkan Solat berjemaah lebih dituntut dari puasa sunat. Isu ini juga berlaku dalam bulan Ramadhan, Waktu Maghrib masjid sepi sebab ramai yang berbuka puasa di rumah, kadangkala termasuk juga Imam dan Bilal. Ada yang 30 hari dalam bulan Ramadhan tak berjemaah di masjid pada waktu maghrib. Tapi time solat sunat terawih sampai tak muat masjid.
Beginilah Krisis yang melanda umat. Mereka tidak tahu hendak meletak yang mana lebih utama.
Thursday, July 21, 2016
Catatan Imam Kecil : Mesyuarat Pusara Daerah Lipis
Pagi ini bermesyuarat berkaitan Pusara Daerah di Pejabat Agama Islam Daerah Lipis. Tanah seluas 24 ekar, telah menerima peruntukan RM 30K dari Jabatan Agama Islam Pahang untuk menerangkan seluas 1 ekar, membina tandas, stor dan dewan terbuka.
Projek Pusara Daerah adalah kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP). Setakat ini Daerah Lipis merupakan yang pertama mengadakan mesyuarat untuk projek Pusara Daerah.
Di Pahang masih belum ada lagi pusara yang berkonsepkan Pusara dalam taman, tersusun rapi seperti di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Doakan semoga projek Pusara Daerah terlaksana dengan segera memandangkan kos belanjanya juga agak besar.
Tuesday, July 19, 2016
Catatan Imam Kecil : Bersua dengan Pengurus Pusat Giat Lipis
Pagi tadi saya berkunjung ke Pusat Giat Mara Lipis, bertemu dengan Tuan Pengurus Giat Mara Lipis. Asalnya ingin bertemu pada pagi jumaat yang lalu, tetapi disebabkan saya ada kecemasan lain maka terpaksalah ditunda ke hari ini.
Sudah hampir 3 tahun saya mengajar kuliah agama di Pusat Giat Mara Lipis. Kali ini Tuan Pengurus memaklumkan yang pihak HQ inginkan laporan perjalanan kelas dengan lebih terperinci. Ujian teori dan amali perlu dilaksanakan dan setiap topik perlu laporannya lebih terperinci. Dah macam cikgu sekolah pula.
Setakat ini syarat kemasukan hanya 3M (membaca, menulis dan mengira). Tetapi terdapat juga pelatih yang tidak tahu dan tidak lancar membaca dan menulis. Jika pelajaran agama yang melibatkan bacaan-bacaan yang perlu dihafaz..fuhh, memang sangat mencabar.. Maklum sahajalah..
Catatan Imam Kecil : Selepas Subuh
Selepas solat subuh, saya perlu melalui suatu tempoh menunggu jika mahu mengeteh atau bersarapan di kedai. Bahkan jika ingin beli bungkus pun perlu menunggu. Saya perlu tunggu jam 7 pagi kerana sebelum jam tersebut hampir sebahagian besar kedai makan di daerah ini belum bersedia untuk menghidangkan makanan.
Ada lah beberapa buah kedai makan yang boleh pergi selalu selepas solat subuh, yang pastinya dalam beberapa buah kedai tersebut kedai mamak memang termasuk dalam senarai.
Kadangkala jika ada sekelompok ahli jemaah masjid yang ingin bersarapan bersama. Mereka akan melepak di tangga masjid berborak-borak menunggu ke jam 7. Melepak di tangga juga tidak berapa molek di masjid kami kerana dalam tempoh ubahsuai masjid, muslimin muslimat perlu melalui tangga yang sama. Ada yang merasa kurang selesa terutamanya muslimat dan orang luar kerana perlu menempuh geng melepak di tangga untuk naik ke masjid.
Saturday, July 09, 2016
Catatan Imam Kecil : Hang Pi Mana?
Salam Syawal buat semua kaum muslimin khususnya pembaca blog ini. Bila hari raya jalan raya akan penuh sesak, jem krem habis. Laluan Raub-Lipis yang biasanya hanya 40 minit boleh sampai 1 jam setengah. Nak kabonya ramainya orang yang keluar dari rumah masing-masing. Sama ada balik kampung, keluar berziarah ke rumah saudara dan rakan taulan.
Namun ada yang tidak dapat keluar beraya sakan. Kamu tau siapa dia?
Ada yang tidak dapat pulang ke kampung, mereka boleh kita gelarkan sebagai beraya di perantauan. Saya pernah merasainya semasa belajar di Mesir dahulu. Straight dari tahun pertama hingga tahun akhir di Mesir saya tidak pernah balik bercuti ke Malaysia. Walaupun di perantauan tetapi masih dapat beraya dengan sahabat-sahabat sepengajian.
Ada juga kelompok yang tidak dapat beraya sakan dan tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana terikat dengan tanggungjawab pekerjaan. Mereka yang bekerja shift seperti jururawat, polis, askar, Dj radio, hos TV, Tetapi kebiasaannya mereka yang bekerja pada hari lebaran elaunnya akan dibayar berganda, ada yang sampai tripple dan mereka juga akan dapat Qadho' cuti selepas itu..Fuhh.
Termasuk juga mereka yang sejawatan dengan saya iaitu pegawai Masjid. Jadi saya juga berpengalaman merasa bekerja pada hari raya. Cuma kami pegawai masjid tidak mendapat keistimewaan elaun berganda tersebut.
Siapa lagi?
Di kesempatan ini, saya ingin highlight kan Pengawal Keselamatan atau orang panggil JAGA. Di Masjid kami juga ada khidmat pengawal keselamatan, di sekolah, jabatan kerajaan, bank, dan lain-lain premis. Walaupun mereka bertugas baik di masjid, sekolah, pejabat-pejabat, namun mereka hanyalah bekerja kontrak dan terikat dengan syarikat kawalan keselamatan yang mendapat tender di situ. Jika warga kerja di jabatan atau pejabat tersebut dapat imbuhan sempena raya, jangan sangka JAGA juga dapat, kadangkala kenaikan gaji pun mereka tidak dapat, gaji statik sahaja setiap tahun.
Kalau di masjid kami hanya ada dua orang pengawal keselamatan, mereka bergilir shift 12 jam seorang. Bekerja 7 hari tanpa cuti, kerana hanya ada dua orang. Jika salah seorang bercuti, partnernya yang seorang lagi terpaksa cover sampai melebihi 24 jam. Isu ini biasa berlaku di mana-mana sahaja terutama jika di agensi agama dan syarikat yang mendapat tender itu syarikat gergasi, tender-tender di kompeni yang kecil seperti di masjid depa tak ambil kisah sangat. Kebajikan staf mereka sering terabai. Apa yang boleh saya buat?,, di ruang dan sisi yang saya ada, saya timbulkan kepada pihak pejabat, pihak jabatan, juga maklum dan sebut kepada pihak syarikat.. Tetapi hanya sebut sahaja lah..
Saya puji dan mengkagumi mereka yang bergelar pengawal Keselamatan. Lagu Hang Pi Mana yang dinyanyikan oleh kumpulan Khalifah jangan kita dengar sekadar suka-suka dan halwa telinga sahaja. Tetapi hargailah jasa dan pengorbanan Pengawal Keselamatan. Semoga nasib mereka semua semakin terbela. Selamat hari raya saya ucapkan khusus buat semua Pengawal Keselamatan.
ps : masih ada lagi kelompok lain yang kena bekerja pada hari raya tetapi tidak dapat saya sebutkan di kesempatan ini.
Wednesday, July 06, 2016
Seputar Memori Silam : Menjadi Makmum Syeikh Jibril
Ketika berada di Mesir dulu, setiap kali malam 27 Ramadhan pasti kami tidak melepaskan peluang bertandang ke Masjid Amru Al-Ash, di Fusthat Kaherah Mesir. Antara tarikan ke Masjid itu ialah untuk mendengar Syeikh Jibril menjadi Imam. Kebiasaan Syeikh akan menjadi imam jemputan di merata-rata tempat di seluruh dunia, tetapi pada malam 27 Ramadhan beliau akan berada di Masjid Amru Al-Ash. Cuma sekarang Kerajaan Kudeta Mesir melarang Syeikh Jibril menjadi Imam di Masjid Amru Al-Ash. Semoga Allah merahmati perjuangan Syeikh Jibril.
Kenangan Iftar di Masjid Amru Al-Ash, Mesir
Baru ini saya berkesempatan melihat video yang dirakam oleh Team Permai yang berkunjung ke Masjid Amru :
Saya mula mengenali Syeikh Jibril semasa belajar di Maahad Tahfiz Masjid Negeri Pahang. Ketika itu Syeikh menjadi imam jemputan solat terawih di Masjid Negeri Pahang. Kami pelajar Maahad Tahfiz mengalukan ketibaan beliau di lapangan terbang Kuantan. Kemudiannya berbuka bersama beliau di Istana Abdul Aziz Kuantan dan kemudiannya menjadi makmum beliau di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan.
Kami, Pelajar Maahad Tahfiz menyambut ketibaan Syeikh Jibril di lapangan terbang Kuantan.
Bergambar kenangan bersama Syeikh Jibril selepas solat terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan.
Sunday, July 03, 2016
Kisah Ramadhan (KIRAM 13) bersama Warga IPD Lipis
Rutin pada setiap bulan Ramadhan Bahagian Agama dan Kaunseling Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis (BAKA IPD Lipis) akan menganjurkan majlis Khatam Al-Quran, Iftar Jamaie dan Qiamullail di surau IPD Lipis. Sama seperti tahun-tahun sudah, saya dijemput sama untuk memeriahkan majlis tersebut. Majlis turut diserikan dengan kehadiran dan hadiah peribadi daripada pemangku Ketua Polis Daerah Lipis, DSP Ab Rashid Mat Daud kepada peserta khatam al-Quran.
Di kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah kepada bekas Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan yang baru dinaikkan pangkat kepada Asisten Komisioner Polis (ACP) dan menjawat jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah.
Peserta tadarus dan Majlis Khatam IPD Lipis
Saya bersahur di Dapor Perkep IPD Lipis bersama sebahagian warga IPD Lipis.
Kisah Ramadhan (KIRAM 12) Imam Jemputan Terawih telah pulang
Kebiasaan imam jemputan terawih akan menamatkan servis mereka pada hari ke 27 Ramadhan. Kadangkala ada yang lebih awal seperti 25 Ramadhan. Cuma kalau terlalu awal masalah juga. Biasanya semasa deal di awal-awal lagi pihak masjid telah buat ketetapan. Jika ada yang banyak karenah alamatnya tahun akan datang tidak akan dipanggil lagi untuk berkhidmat.
Selepas imam jemputan telah pulang bercuti. Solat terawih akan diimamkan oleh imam sedia ada. Semalam di masjid kami, kebetulan ada pelajar maahad tahfiz Dar Abrar Bentong yang baru pulang, jadi kami minta dia menjadi imam terawih dan memimpin Qiamullail semalaman. Tetapi hanya dapat sehari sahaja kerana keesokannya dia pun hendak balik ke kampungnya di Kelantan.
Jumaat terakhir di bulan Ramadhan tahun ini, kami beri peluang pada Umair untuk membaca Khutbah sebagai latihan dan pengalaman buatnya.
Thursday, June 30, 2016
Catatan Imam Kecil : Walaupun mereka hanyalah buruh
Antara ahli jemaah tetap di masjid kami ialah beberapa orang warga Indonesia yang datang mencari rezeki di sini. Ada di kalangan mereka yang bekerja membuat rumah/binaan, ada yang bekerja mengambil upah menjaga ladang kelapa sawit, menjaga rumah burung layang-layang dan pelbagai macam kerja lagi.
Ketika musim Ramadhan ini, mereka bersama kami iftar di masjid dan terus iktikaf di masjid sehingga selesai berterawih 20 rakaat. Walaupun siangnya mereka penat bekerja namun tetap istiqamah beriktikaf di masjid.
Mereka juga rajin membantu para pegawai masjid. Saya doakan agar mereka murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan istiqamah berjemaah di Masjid.
Wednesday, June 29, 2016
Pak We Abu Samah kembali ke rahmatullah
Hj Abu Samah yang saya gelar Pak We, Suami kepada Mak saudara saya (kakak ayah saya) telah meninggal dunia petang semalam. Malamnya masih berterawih dan bertadarus di Masjid Abu Bakar Temerloh. Dalam pukul 1 pagi mengadu sesak nafas dan masuk ke hospital Temerloh pada pukul 2 pagi. Akhirnya ajalnya tiba dalam pukul 2.50 petang.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Pengkalan Manggis di bawah seliaan Masjid Daerah Temerloh. Selama puluhan tahun, Almarhum semasa hidupnya merupakan ahli jemaah Masjid Daerah Temerloh.
Al-Fadhil Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkesempatan menziarahi pusara Almarhum.
Beliau pernah menjadi calon bertanding di pilihan raya umum tahun 2004 di Dun Jenderak mewakili Parti Islam Semalaysia, Pas.
Kami doakan roh Almarhum ditempatkan bersama para salafussaleh dan syuhada' yang berjuang menegakkan Islam. Semoga keluarga Almarhum semuanya tabah dan sabar dengan pemergian Almarhum di bulan Ramadhan yang berkat ini. Amin.
Monday, June 27, 2016
Kisah Ramadhan (KIRAM 11) Ayam Golek
Teman berbuka saya pada hari ini di Masjid Sultan Mahmud adalah Ustaz Afnan dari Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dan Ustaz Atan dari Majlis Ugama (MUIP) Cawangan Lipis.
Rezeki kami semua petang ini, Tokey Ayam Golek berketurunan Pakistan yang berniaga di bazar datang berkongsi rezeki dengan kami. Kami bertiga mengadap seekor ayam golek, fuh.. Semoga murah dan berkat rezeki peniaga tersebut.
Saya teringat kenangan menjamah 'Firah Mashwi' di Shoubra dahulu. Kadangkala jika kami semua yang duduk serumah malas nak masak, call sahaja ke kedai Firah Mashwi untuk oder. Nanti pekerja dari kedai tersebut datang dengan menaiki basikal menghantar ayam seekor yang kami oder. Biasanya complete set selain ayam sekor yang dipanggang, roti 'Aish' Faadi juga disertakan, huhu.. Bila la agaknya nak melawat kedai Firah Mashwi lagi.
Thursday, June 23, 2016
Kisah Ramadhan (KIRAM 10) IFTAR bersama JKR
Disebabkan tahun ini, masjid kami tidak menganjurkan Iftar Jamaie untuk penyertaan Jabatan-Jabatan, NGO dan Parti politik, makanya kali ini JKR pula yang menjemput saya beriftar di tempat mereka.
Jangan pelik kalau saya sebut tempat iftar JKR yang dibuat di Setor JKR Lipis. Ejaannya memang 'Setor'.
JKR antara jabatan dan agensi yang rapat dengan saya. Sudah bertahun-tahun kelas mengaji saya bersama Staf JKR diadakan di sini. Bangunan masjid dan kuarters juga diselia oleh pihak JKR memnyebabkan secara tak langsung saya sentiasa berhubung dengan pihak JKR.
Saya bawa Nordin dan Umair untuk join sama
Seputar Memori Silam : Khatam Al-Quran
Sekarang kita masih berada dalam Bulan Ramadhan yang sangat istimewa. Al-Quran diturunkan dalam bulan ini.
Pada malam Al-Qadar turunnya Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia.
Firman Allah :
انا انزلناه في ليلة القدر
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Al-Qadar"
(Surah Al-Qadr : 1)
Kemudiannya Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW bermula pada 17 Ramadhan tahun 610M ketika Rasulullah SAW sedang berada di gua Hira'.
Peristiwa penurunan Al-Quran yang lebih dikenali Nuzul Al-Quran disambut dan diingati saban tahun. Di negara kita, ada negeri yang cuti khas sempena nuzul al-Quran termasuklah negeri Pahang.
Masjid, surau, NGO, Komuniti dan Jabatan menganjurkan pelbagai program sempena dengan Nuzul Al-Quran. Saya tidak mahu ulas aktiviti dan program yang dianjurkan. Cukuplah sekadar saya menyatakan semoga dengan program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bersempena dengan nuzul Al-Quran semakin dapat mendekatkan diri kita dengan Al-Quran.
Kenangan terindah di bulan Ramadhan ialah saya berjaya mengkhatamkan hafazan al-Quran ketika belajar di Maahad Tahfiz dalam bulan Ramadhan. Kebanyakan di kalangan kami memang telah 'set' masa untuk menamatkan hafazan dalam bulan Ramadhan untuk mengambil keberkatan bulan yang istimewa itu. Doakan semoga saya terus istiqamah sebagai 'Hamlatul Al-Quran' insya-Allah.
Sambutan Nuzul Al-Quran di KOMPAS
Sempena dengan hari Nuzul AL-Quran, pihak Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah (KOMPAS) dengan kerjasama rangkaian Al-Baghdadi Temerloh telah menganjurkan program sambutan Hari Nuzul al-Quran bersekali dengan perasmian Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah.
Antara program yang dilaksanakan ialah Tahsin Surah Al-Fatihah oleh Ustaz Zarimi selaku Mudir Maahad Tahfiz Al-Istiqamah. Beliau juga memberi pendedahan bacaan wajah-wajah Qiraat dalam surah Al-Fatihah. Program pertandingan hafazan al-Quran juga diadakan untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas Nadi Al-Baghdadi.
Pada sebelah petang diadakan riview program hafazan melalui kaedah Nadi Al-Baghdadi yang menggunakan Neuro dan berakhir sesi petang dengan majlis khatam al-Quran dan tahlil.
Kemudian majlis Iftar, solat terawih dan ceramah Nuzul Al-Quran serta perasmian oleh YB Ustaz Nasruddin selaku ahli parlimen Temerloh.
4 orang alumni pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang
Solat terawih yang diimamkan oleh Ustaz Zarimi Al-Hafiz, beliau membaca dengan Qiraat Imam Warsh 'an Nafi'. Teringat ketika bersolat terawih di Masjid Al-Azhar dahulu, Syeikh Hakim yang menjadi imam akan membaca dengan qiraat-qiraat yang berbeza di setiap rakaat.
Wednesday, June 22, 2016
Kisah Ramadhan (KIRAM 9) Jaulah Imam ke Masjid Kampung Talus/Dala
Setiap kali bulan Ramadhan, Ketika mana ramai yang memilih untuk berprogram di masjid-masjid bandar dan ternama. Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Islam Daerah akan menganjurkan program mesra masjid Ihya' Ramadhan (Jelajah Imam) ke masjid-masjid kampung.
Untuk tahun ini, saya berkesempatan bertandang ke sebuah masjid kampung Talus/Dala.
Uniknya nama Masjid ini, kena sebut sekali Talus dan Dala. Kata Tok Empat, Talus seberang sana, tapi akan disebut sekali.
Masjid ini agak terpencil dari pandangan orang yang lalu lalang, berada pula di kampung yang jumlah penduduk semakin suram. Solat Jumaat hanya tamam 12 orang sahaja. Kalau nak kira 40 orang, tak merasalah orang kampung ini untuk solat Jumaat. Kuliah pengajian ilmu langsung tiada, tiada kemampuan untuk panggil penceramah. Jika panggil pun belum tentu penceramah sanggup hadir.
Mereka bercerita tentang orang muda lari keluar dari kampung mencari pekerjaan. Yang tua pula semakin sedikit, pergi tak kembali (meninggal).
Kami wakil Pejabat Agama Islam Daerah Lipis, (Ust Amin, Saya dan Ustazah Fasha) yang muda. Penduduk kampung semua veteren.
Juadah memang tiptop, sebab masak guna kayu api.
Ketika Iftar, Saya kira hanya 13 orang kampung lelaki dan perempuan yang hadir. Kata mereka : beginilah kampung ini, Kami dah biasa..
'
'
Tazkirah selesai Iftar, saya sentuh berkaitan Nuzul Al-Quran.
Solat terawih, semuanya warga emas.
Bergambar kenangan bersama penduduk kampung. Insya-Allah ada ruang saya akan bertandang lagi. Betapa mereka sangat gembira dengan kehadiran kami.
Sedikit sumbangan yang tidak seberapa dari Pejabat Agama kepada pihak masjid.
Paling berharga di masjid ini, Mimbar lama yang masih digunakan. Cerita Tok Empat Kampung (ketua kampung) Dulu ada orang nak buat yang baru, tapi dia tak setuju sebab sayang dengan mimbar tersebut.
tahun 1969 yang tercatat di Mimbar.
Semoga masa depan Masjid Kampung Talus/ Dala semakin cerah.. Insya-Allah, kita optimis dengan masa depan Islam yang gemilang.
Tuesday, June 21, 2016
Catatan Imam Kecil : Akhirnya selesai cerita Kerat Meja
Akhirnya semalam, meja yang dihantar kerat ke kedai kayu supaya saiznya kecil sedikit dari asal siap. Terima kasih kepada yang membantu untuk mengangkat meja, Ustaz Adib, Wafi, Amin, Bilal Zarimi dan Bilal Johne, semoga Allah membalas jasa kalian.
Mungkin akan datang ada masalah lain pula yang akan timbul di dewan ini.. nantikan kisahnya.
Seputar Memori Silam : Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Sabtu kelmarin, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Tempat ini banyak merakamkan memori silam saya terutama ketika bergelar pelajar Maahad Tahfiz Masjid Negeri dahulu.
Bersebelahan dengan Masjid Negeri, terdapat deretan bazar yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Ramai orang yang berkunjung ke bazar tersebut, cuma saya perhatikan gerai yang paling ramai pengunjung sampai kena berbaris panjang ialah di gerai Murtabak Ghazali dari Pekan. Gerai lain takde lah sampai kena berbaris. Yang saya tahu murtabak yang terkenal di Pekan ialah Murtabak Mengkasar dan Murtabak Mawar. Orang luar biasanya mencari Murtabak Mengkasar dan orang Pekan lebih memilih Murtabak Mawar. Saya syorkan untuk mencuba Murtabak Pekan baik Mengkasar mahupun Mawar.
Wakaf yang menjadi rebutan di Masjid Negeri, kerana hanya ada satu sahaja. Zaman saya belajar dahulu belum ada lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)
















































