Sunday, June 18, 2017

Kisah Ramadan (KIRAM 27) Jom Iktikaf !

Kisah Ramadan (KIRAM 27) Jom Iktikaf !

Iktikaf antara amalan yang boleh kita praktikkan menjelang penghujung Ramadan. Budaya iktikaf semakin menggalakkan terutama di masjid bandar-bandar. Faktor kesedaran dan ilmu yang semakin berkembang menyebabkan masyarakat semakin berlumba melaksanakan amalan iktikaf.
Berbanding zaman dahulu, saya sendiri semasa di bangku sekolah tidak terdedah dengan amalan ini.
Kita mungkin pernah terdengar, ada yang sampai ambil cuti kerja 10 hari di penghujung Ramadan semata-mata kerana ingin beriktikaf di masjid.

Beberapa pandangan  saya yang  kerdil berkaitan iktikaf :
1.     Pihak pentadbiran masjid perlu mempromosi dan memberi pencerahan amalan iktikaf.  Kaedahnya seperti melalui kuliah, risalah dan perbualan bersama dengan ahli jemaah.
2.     Pihak pentadbiran masjid membuka seluasnya pintu masjid terutama 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Tidak dinafikan atas faktor dan isu keselamatan masa kini, banyak masjid yang terpaksa dikunci pada waktu malam.
3.     Pentadbiran masjid berkerjasama dengan pelbagai agensi lain menganjurkan program Iktikaf terutama pelajar sekolah dan golongan belia supaya mereka terdedah dan hampir dengan masjid.

Untuk program Qiamullail :

1.     Pihak pentadbiran dari masa ke semasa memberi pendedahan kepada para jemaah berkaitan solat-solat sunat yang lebih utama didirikan secara bersendirian.
2.     Ini kerana, ada jemaah yang sudah puluhan tahun berqiamullail dengan hanya mengharapkan program Qiamullail yang dianjurkan di masjid secara berjemaah.
3.     Bagi yang menjalankan qiamullail secara berjemaah seperti solat tahajjud dan tasbih secara berjemaah, disarankan imam tidak memasang kuat sistem pembesar suara. Memadai volume yang minima dan speaker dalam sahaja.
4.     Jika boleh dengan tidak memasang sistem pembesar suara, lagi baik. Ini kerana dibimbangi akan mengganggu penduduk sekitar.
5.     Mungkin ada di kalangan jamaah yang lebih selesa untuk berqiam secara bersendirian. Jika speaker dipasang lantang di masjid sudah pasti akan mengganggu mereka.
6.     Sehinggakan ada ahli jemaah yang asalnya beriktikaf di masjid sekian, berpindah ke masjid yang lain disebabkan isu ini.
7.     Berkaitan hal  ini, pentadbir masjid perlu memahami fiqh waqi’ dan keutamaan.

Sekian dahulu. Jom beriktikaf !

#PermaiMenulis
#iktikaf
#ramadan

             

No comments: