Thursday, January 09, 2020

Syair Tajwid Imam Yaakob (Temerloh)


Syair Tajwid

Syair Tajwid ini dikatakan disusun oleh Imam Yaakob, dari Kampung Sanggang Seberang Temerloh, tahun  1920.


1. Sejarah Rawi

001 
Qurak’ Sabaah hamba kabarkan
Rawi dan Rumuz hamba suratkan
Supaya terang yang mendengarkan
Menjadi tahu yang dibacakan

002 
Nafik itu Qalun rawinya
Dengan Waras jua adanya
Di Madinah tempat negerinya
Menjadi imam segala kaumnya

003 
Ibn Kathir rawinya Bazi
Dengan Qunbul rumuznya  “Zai”
Banyak salahnya Qunbul dan Bazi
Rumuznya “Ha” Imam Bazi

004 
Abu Amir rawinya Duri
Keduanya itu Imam Susi
Di negeri Basri menjadi Qari
Banyak Idghamnya Imam Susi

005 
Ibn Amir rawinya Hisham
Ibn Zakuan di negeri Syam
Kepada Quraan terlalu faham
Adapun Hisham rumuznya “Lam”

006 
Asim rawinya  Syukbah
Dengan Hafaz imam yang bahr
Di negeri Kufah telah mengajar
Bacaan halus laksana sukar

007 
Hamzah rawinya Halaf imam
Dengan Halad bacaan Ismam
Di negeri Kufah menjadi Imam
Bacaan fasih sembahyang tamam

008 
Al Kasai rawinya Abu al Haris
Dengan al Duri Imam al Hawas
Kepada Quraan tiada ber............
Di negeri akhirat mendapat belas


2.Hukum Lima

009 
Telah sempurna hamba berperi
Sekalian imam ahli Qari
Huruf Tajwid pula diberi
Di dalam kitab hamba keluari

010 
Izhar Khafiah hurufnya enam
Baik diketahui supaya kiram
Tuan jangan tinggalkan diam
Baik belajar siang dan malam

011 
Alif dan Ha, Ain dan Ghain
Kha,Kha’ tiada lain
Itulah adanya yang sudah yakin
Idhgam Maal Ghunnah hurufnya lain


012 
Idhgam Maal Ghunnah hurufnya empat
Jika Nun Sakin bertemu dekat
Atau tanwin itu mendapat
Baik-baik supaya ingat

013 
Yaa’ dan Wau hurufnya itu
Min dan Nun yang sudah tentu
Ingat-ingat engkau di situ
Jangan tersalah barang suatu


Idhgam bil la Ghunnah hurufnya dua
Ingatlah jua di dalam fatwa
Jikalau nun sakin bertemu dia
Atau tanwin tempatnya jua

015 
Ra’ dan Lam huruf Bil la Ghunnah
Itulah dia jangan tersalah
Tiada lain hanya itulah
Nun Sakin dan Tanwin jika berjumpalah

016 
Lima belas huruf Ikhfa
Salah satu nya janganlah lupa
Dengan tanwin jika berjumpa
Nun yang sakin itu serupa

017 
Zai dan Jim,Tsa dan Tha
Dal dan Zal,Sim pun serta
Syim dan Shad,Dhad dikata
Tha’ dan Dzha.Pa,Kaf dan Qaf serta

018 
Adapun Iqlab hurufnya Satu
Iaitu Ba yang sudah tentu
Nun sakin dan tanwin bertemu itu
Bacaan Iqlab jika begitu

3.Bab Bacaan Mad

019 
Mad Tabii tiga tandanya
Wau dan Alif serta Ya’ nya
Yang didepan wau tandanya
Baris di bawah Ya’ tandanya

020 
Alif tanda baris di atas
Ketiga itu semuanya luas
Panjangnya itu kira senafas
Jika dilebihkan menjadi tewas

021 
Mad wajib tandanya jika ada
Mad Tabii bertemu hamzah
Panjang nya itu yang telah sudah
Tiga Alif Imam ahli Kufah

022 
Mad Lazim Musalqal
Tiga alif berat panjangnya tuan
Mad lazim muhafaf tiga alif panjangnya ringan

023 
Mad Badal hamba berperi
Jika alif baris berdiri
Satu alif panjangnya engkau beri
Itulah fatwa ahli qari

024 
Huruf Qalqalah lima adanya
Baik-baik pengenalan akan hurufnya
Jangan tersebut pada lainnya
Qtubjad itulah nizamnya

025 
Jangan diqasarkan Mad Takzim
Tiga alif yang sudah lazim
Jika diqasarkan menjadi zalim
Ingat sekalian ikhwan yang salim

026 
Mad Aridh itu tiga wajahnya
Tiga alif atau dua satu qasarnya
Mana suka baca salah satunya
Jika wasal Mad Tabii jadinya

027 
Satu Mad Sakin sendirinya
Itupun Mad Lazim jua namanya
Tiga alif tetap panjangnya
Alim Lam Ra itulah firmannya

028 
Alif itu sekadar menyatakan
Huruf tiada di madkan
Lam dan Min yang dilazimkan
Kitabnya jua yang menyatakan

029 
Alif dan Ra yang mukhalif
Ra itu satu alif
Pertolongan Allah yang amat Latif
Mengurangi ia hamba mulia dan daif

030 
Dengarkan olehmu sekalian awam
Kaf Ha Ya Ain Shad pada surah Maryam
Kaf Ain Shad samakan dengan Lam
Ha,Ya dan Ra satu Alif tamam


4.Lanjutan Idgham
031 
Idgham bil Ghunnah Mutanajisain itu
Manakala mim mati bertemu dgn min tentu
Jika mim mati bertemu dengan ba’ itu
Jaza ul Ikhfa wa Izharuha tentu

032 
Idgham Mislain dikhabarkannya itu
Huruf sakin bertemu seumpamanya
Itu dinamakan idgham Mislain adanya
Ingatlah jua akan bacaannya

033 
Idgham mutaqaribain namanya tentu
Tha bertemu dengan tho itu
Dal sakin bertemu tha begitu
Mutaqaribain namanya tertentu

034 
Idgham itu mertabatnya dua
Baiklah tuan mendengarkan petua
Idgham naqis namanya jua
Idgham kamil itu keduanya

035 
Jikalau tuan hendak mengerti
Naqis dan kamil yang dihati-hati
Baik dipelajari kepada yang mengerti
Ilmu qari engkau tuntuti

036 
Idgham kamil dua hurufnya
Segala qari mengatakanya
Ra dan Lam itulah dianya
Jangan bertukar kepada yang lainnya


037 
Idgham naqis hurufnya empat
Ingatlah saudara segala sahabat
Jikalau kurang akan pendapat
Membaca quraan menjadi ralat

038 
Mim dan wau hurufnya itu
Nun dan Ya yang sudah tentu
Itulah jumlah yang empat itu
Membaca quraan jangan tak tentu

039 
Mad Ziyadah diberi pasti
Sebelum Ha dhamir huruf yang mati
Itulah ziadah namanya pasti
baik dikenal serta dihati-hati

040 
waqaf bilal jangan dipanjangkan
satu alif jua panjangnya tuan
Kitabnya jua yang mengatakan
Baiklah tuan cuba ingatkan

041 
Wajibul gunnah yang amat sulit
Hurufnya dua jangan taklik
Mim dan Nun ma’a tasdid
Baca oleh mu ghunnah sedikit

042 
Ghunnah itu empat mertabatnya
Salah satu daripadanya
Mutaharrik itulah pertamanya
Kedua Azhar itu jua adanya

043 
Ketiga Ghunnah “Tuhfu” itu
Keempat ghunnah  “mislu” ditentu
Baik-baik jaga disitu
Jangan tersalah yang empat itu

044 
Tak boleh dipanjangkan ghunnah itu
Bukanya Mad sudahlah tentu
Jikalau panjang menjadi tulah itu
Keluar hurufnya salah Satu

045 
Baris kasrah keluar  “ Ya” nya
Baris Fatah keluar  “alif”  nya
Baris Dammah keluar  “Waw”  nya
Ketika itu menjadi salahnya

046 
Baru ini zaman sekarang
Membaca ghunnah terlebihnya terang
Di dalam “Ittihaf” nyata sekarang
Jangan disangka sebarang-barang

047 
Bukan seperti zaman dahulu
Membaca ghunnah panjang terlalu
Sebab asalnya tiada berguru
Membaca ghunnah salah selalu

048 
Jikalau tuan kurang percaya
Di dalam “ittihaf” adalah dia
Dabit dan Mantuk ada sedia
Baca olehmu pada yang mulia

Mahraj Huruf
049 
Huruf Musaddad hamba nyatakan
Semuanya itu adalah lapan
Salah satu yang demikian
Kitabnya jua yang menyatakan

050 
Alif dan Jim, Dal dan Qaf
Tho dan Ba, Tha dan kaf
Supaya tertil membaca mashaf
Telah menyebutkan di dalam “Ittihaf”

051 
Huruf Safawi diberi tentu
Semuanya itu ada dua puluh tujuh
Jika mim sakin bertemu itu
Izhar safawi namanya tentu

052 
Tafhimnya Ra hamba nyatakan
Jika fathah  atau di depan
Itulah tebal tuan bacakan
Baris kasrah dinipiskan

053 
Baik dituntut jangan tersalah
Ra yang sakin baris dibawah
Sebelum huruf Istikla
Tebalkan bacaan seolah-olah

054 
Inilah huruf istikla yang tujuh
Kha dan sad,dhad,ghain tentu
Tho dan qaf,dzha tamatnya itu
Jangan lah lengah kita disitu

055 
Huruf Hijaiyaah dua puluh lapan
Baik diketahui sekalian ikhwan
Jikalau kurang ingatan
Terlalu susah membaca quraan

056 
Dua puluh lapan huruf Hijaiyaah
Berbagi dua satu Syamsiyyah
Yang sebahagian itulah Qamariah
Telah tersebut di dalam Jauziyyah

057 
Jika Fatihah mu tiada betul
Sembahyang mu rosak menjadi batal
Masuk neraka terlalu sakal
Akhirnya engkau menjadi menyesal

058 
Baik-baik tuan mengajar tajwid
Kepada qari, qarib dan baid
Kerana itu yang amat sulit
Tiada boleh faham Kitab Tajwid

Sumber : Ustaz Zainal Hasan (SejarahIslamPahang.Blogspot.my)

No comments: