Thursday, April 22, 2021

Azan awal sebelum masuk waktu berbuka puasa

Kecoh azan maghrib di sebuah masjid dilaungkan awal beberapa minit dek kerana jam waktu solat di masjid berkenaan mengalami masalah teknikal.
Kalau bukan dalam bulan Ramadan mungkin takde lah isu sangat.
Ini berlaku dalam bulan Ramadan, saat ketika semua orang Islam sedang menanti saat azan maghrib dilaungkan.
Bagi yang terlibat dalam dunia imam dan bilal, tersalah azan adalah perkara yang walaupun tidak selalu, tetapi pernah terjadi.
Saya sendiri lebih berminat merujuk aplikasi waktu solat dalam gajet. Kerana bila berlaku sebarang perubahan, sistem automatik akan "update".
Kalau menggunakan jam waktu solat walaupun digital yang kebanyakan masjid dan surau menggunakannya, kita masih perlu "update" secara manual.
Asalnya masjid kami sudah lama tidak ada jam waktu solat. Kerana dulu, sering bilal ditegur kerana azan tak ikut masa pada jam tersebut. Sebabnya tiada siapa yang "rajin" sebenarnya agak leceh untuk kemas kininya.
Berbeza dengan aplikasi di henpon yang akses dengan internet, tak perlu dah nak beria ejas secara manual.
Tetapi bila ada hamba Allah yang sponser tv jam waktu solat di masjid kami, terima sahajalah. Banyak kali dah waktu solat di jam waktu solat tersebut tak sama dengan jadual waktu yang semasa. Nak pula sebelum ini kita ada isu dengan waktu solat subuh yang dilewatkan, dan yang terkini waktu solat Isyak juga dilewatkan 4 minit. Mujur ada "ejen" yang tolong update kan.

Terdapat juga jam tangan yang ada waktu solat dan arah kiblat.
Jenama yang "legen" tentunya Casio Prayer Compas. Zaman saya belajar dahulu, sahabat-sahabat pakat beli di Mekah semasa menunaikan haji, sebab harganya masa itu hanyalah 100 Rial. Tapi sekarang tak dapat dah dengan harga itu.
Kemudian muncul pula jenama-jenama lain seperti Fajr, Buruj dan lain-lain.

Tetapi zaman sekarang, kalau nak pakai jam tangan yang lebih banyak fungsinya termasuk mempunyai aplikasi waktu solat dan kiblat tanpa perlu pening kepala dengan masa solat yang tak selari dengan waktu solat semasa, saya syorkan gunakan jam tangan pintar seperti Apple Watch, Samsung Galaxy Watch. Namun harganya pun agak mahal. Saya sendiri belum ada keperluan untuk menggunakannya.

Apapun, kita tiada alasan untuk tidak solat dengan hanya sebab tak tahu masuk waktu solat. Aplikasi waktu solat secara tak langsung dapat mengingatkan kita dengan Ibadah solat dan hubungan hamba kepada Allah.

#PermaiMenulis #solat #ramadan #jam #waktu



*Gambar selepas berbuka puasa berlatarkan warna kemerahan senja.

No comments: