Sunday, November 02, 2025

Semakan Arah Kiblat di Makam Condong, Pekan

📍 Semakan Arah Kiblat di Makam Condong, Pekan

Kami membuat semakan arah kiblat di Makam Condong, Pekan, antara lokasi bersejarah warisan Kesultanan Pahang dan Aceh.

Surau Makam Condong yang  berhampiran makam ini turut  kami semak arah kiblatnya. Bacaan semasa menunjukkan arah kiblat tepat di surau ini iaitu 292°.
Menurut cerita orang lama, Imam Salleh membuat semakan arah kiblat di Surau ini dahulu dengan merujuk fenomena istiwa‘ adzam — iaitu ketika matahari berada tepat di atas Kaabah, satu kaedah tradisional yang digunakan bagi memastikan kiblat yang paling tepat tanpa bantuan alat moden.

Namun, hasil semakan kami di kawasan Makam Condong menunjukkan  sekitar 263° hingga 265°.
Andaian kami bahawa masyarakat ketika itu mungkin menjadikan arah matahari terbenam sebagai panduan asas dalam menentukan arah kiblat.

Dalam Falak, arah matahari terbenam  berubah-ubah sepanjang tahun — antara 240° hingga 295°.

Jika kita merujuk kepada dapatan 263 °-265 ° di kawasan makam, mungkin
Sekitar Februari – matahari terbenam pada 257°
Mac – sekitar 267°
Oktober – sekitar 261°
Wallahua'lam.

Walaupun terdapat perbezaan sudut berbanding arah kiblat sebenar, ralatnya masih di bawah 45°, yang menurut pandangan dalam Mazhab Maliki, masih dikira menghadap kiblat kerana arah masih dalam lingkungan yang dibenarkan syarak.

Info Sejarah Makam

Pada awal abad ke-17, sekitar tahun 1600, Sultan Iskandar Mahkota Alam dari Aceh telah menakluki Pahang dan memperluas pengaruh baginda di sini. Bukti  dilihat melalui batu nesan Aceh yang terdapat di makam.

Makam ini turut dikenali sebagai Makam Tujuh Beradik, dan di sinilah dipercayai bersemadinya tiga tokoh penting Kesultanan Pahang:

1. Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah (Marhum Pahang, memerintah 1591–1614)

2. Raja Muda Abdullah (Marhum Muda Pahang), putera kepada Sultan Abdul Ghafur.

3. Puteri Bongsu Chendera Dewi, ibu kepada Sultan Iskandar Thani – Sultan Aceh yang memerintah sekitar tahun 1636–1641, serta cucu kepada Sultan Mansur Shah II, Sultan Pahang ke-8 daripada keturunan Sultan Melaka.

Menurut catatan dalam Bustanus Salatin karya Sheikh Nuruddin Ar-Raniri, Sultan Iskandar Thani pernah menitahkan agar batu nesan dari Aceh dibawa ke Pahang pada tahun 1638 untuk menandakan makam keluarga diraja baginda. Kerja pemasangan dijalankan dengan penuh adat istiadat diraja.

Alfatihah.

11 Jamadilawal 1447

https://youtube.com/shorts/7aYgAAv5RSI?si=FeuJVK-qMgdBoQYm

#sejarah
#KembaraFalak

No comments: