Wednesday, September 09, 2015

Sejarah di SMATAF

Dalam negeri pahang terdapat 19 buah sekolah menengah agama di bawah kerajaan negeri Pahang yang diletakkan di bawah Jabatan agama Islam Pahang. Salah satunya ialah Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF). 
Sedikit pengenalan mengenai sekolah SMATAF yang dipetik dari laman web http://smataf.pahang.edu.my/index.php/mengenai-kami/sejarah-sekolah  
"Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah ( SMATAF) adalah sebuah sekolah menengah agama perempuan pertama dan tunggal di negeri Pahang Darul Makmur yang terletak di Bandar Diraja Pekan. 
Sekolah ini diasaskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada tahun 1959 bertempat di Istana Kuning yang telah dikurniakan KDYMM Sultan Pahang Al-Marhum Sultan Abu Bakar Al-Muadzam Shah. Sekolah ini telah mendapat bantuan Kerajaan Pusat untuk mendirikan sebuah bangunan yang bernilai RM 120,000.00. Nama asal sekolah ini ialah Kuliah Tengku Ampuan Fatimah Pahang. Nama ini di ambil sempena nama Tengku Ampuan Pahang pada ketika itu. Sekolah ini dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah pada 1 Februari tahun 1960. 
Pada tahun 1996 sekolah ini telah di ambil alih oleh kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.  Pada tahun 70-an, sekolah ini telah membuka peluang kepada pelajar lelaki sehinggalah tahun 1984 kerana ketandusan pelajar. Mulai tahun 1985 sehinggalah ke hari ini, sekolah ini hanya menerima pelajar perempuan sahaja.
Pada tahun 1985, sebuah asrama pasang siap telah di bina oleh Yayasan Pahang di dalam kawasan sekolah yang dapat menampung kira-kira 120 orang pelajar dan telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah pada 6 September 1986 serentak dengan sambutan suku abad Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan. Penambahan telah dibuat pada tahun 1987 iaitu sebuah bangunan baru tiga tingkat yang mempunyai bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, pejabat, makmal.
Pada awal tahun 1989, sekolah ini telah mendapat penambahan asrama di belakang kawasan sekolah yang telah dikurniakan KDYMM Sultan Pahang yang boleh menampung 80 orang pelajar. Pada tahun 1991 telah didirikan sebuah surau yang boleh memuatkan 200 orang jamaah. Pembelajaran di sekolah ini berjalan lebih selesa dengan penambahan kelas dan asrama tersebut. Secara tidak langsung pencapaian prestasi pelajar semakin meningkat dari tahun ke tahun dengan adanya kemudahan-kemudahan tempat belajar, tempat tinggal dan tempat makan yang sederhana.
Sekali lagi KDYMM telah bermurah hati mengurniakan tapak Istana Inderapuri untuk didirikan kompleks asrama yang lengkap, dengan peruntukan perbelanjaan daripada kerajaan negeri berjumlah RM6.2 juta. Asrama ini mampu menempatkan kira-kira 300 orang pelajar dan telah diduduki dengan rasminya pada 7 Februari 1998. Pada hari ini sekali lagi, sekolah ini mencatat sejarah dengan perasmian Asrama Puteri Inderapuri oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaiin Billah. Alhamdulillah dengan siapnya kompleks asrama ini telah memberi  peluang kepada pelajar-pelajar untuk menikmati kemudahan yang selesa.

 Bangunan SMATAF terkini (2015)

Lebih menarik, di SMATAF terdapat suatu sejarah silam yang mungkin tiada di sekolah-sekolah yang lain. Penemuan patung Buddha yang dikatakan berasal dari Siam dijumpai di SMATAF semasa kerja-kerja gotong royong membersih kawasan asrama dan surau pada tahun 1993. Patung ini dikaitkan dengan zaman pengaruh Siam di negeri Pahang pada kurun ke 14 dan awal kurun ke 15.

Maklumat yang dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

Dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar Pekan


Mungkin di sekolah-sekolah yang lain juga terdapat sejarah silam yang penting. Ayuh kita kongsi bersama-sama.


Tuesday, September 08, 2015

Kursus Imam Wibawa 2015

Menghadiri Kursus Imam Wibawa bagi Imam masjid daerah seluruh negeri pahang. Selain mendengar amanat dari ketua Penolong Pengarah bahagian Masjid, YH Dato' Badlishah bin Alaudin, para peserta turut menadah kitab Hidayatus Sibyan bersama Tuan Guru hj Yahya dari Rompin. 

 Amanat KPP Bahagian masjid dan surau. Antara pesanannya, kena bagi pencerahan pada orang awam yang bab berkait infrastruktur bangunan masjid seperti kebocoran bukan di bawah unit masjid tetapi di bawah unit pengurusan JAIP dan JKR.
 Para peserta bersama KPP Masjid


Pengajian kitab Hidayatus Sibyan bersama Tuan Guru Hj Yahya dari Rompin. Beliau biasa mengajar takmir di sekitar daerah Pekan dan Rompin. Sebelum ini pernah menuntut di Patani.

Sunday, September 06, 2015

Chef yang solat

Baru ni kami bersiar-siar mencari tempat untuk makan malam. Akhirnya kami nampak suatu pemandangan yang sangat menarik dan sangat jarang berlaku di tempat kita. Kami terus memutuskan untuk bertandang ke kedai tersebut. Semoga makanan yang kami makan diberkati dan staf kedai makan tersebut mendapat rezeki yang berkat. Jom kita bertandang ke IDEA KITCHEN, terletak di belakang Pappa Rich Bandar Temerloh (dekat dengan roundbout ke jambatan Temerloh).






Mereka menunaikan solat fardhu maghrib, waktu maghrib sangat sempit. Jangan miss solat fardhu 5 waktu, khusus buat peniaga kedai makan, pasar malam, pasaraya dan buat pengunjung yang suka bersiar-siar pada waktu maghrib.

"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya" (An-Nisa' : 103)

"Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang di kalangan kamu yang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari. Kata al-Hasan : dan apakah lagi kekotorannya yang tinggal?" ( riwayat Muslim)

Friday, September 04, 2015

Makam Sultan Muhammad Shah di Pahang Tua

 Berkesempatan menziarahi Makam Sultan Muhammad Shah di Pahang Tua



Sedikit sedutan cerita Sejarah :
Asal Usul Nama Negeri Pahang dari Kampung Pahang Tua. Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu di Kampung Pahang Tua, ada sebatang pokok kayu mahang yang besar. Dari pokok mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu. Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan. Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.

Setelah Melaka dapat menawan, maka Sultan Mansor Shah telah melantik wakil raja  di Pahang yang bernama Dato Seri Bija Diraja sebab pada masa itu belum ada raja muda yang layak menjadi raja sebagai wakil sultan,sehingga berlaku peristiwa pembunuhan Tuan Besar anak Tuk Perak.
Raja Muhammad sepatutnya mengantikan ayahndanya Sultan Mansur Shah sebagai Sultan di Melaka, akan tetapi apabila berlaku peristiwa sepak takraw yang mengenai kepala baginda, langsung dibunuhnya anak bendahara. Kerana peristiwa itu, maka baginda dihantar menjadi raja di Pahang. Beliau dilantik menjadi raja Pahang pada tahun 1470 dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.
Wilayah kekuasaan baginda dari Sedili hingga ke Terangganu. Baginda bersemayam di Tanjong Langgar Pahang Tua, Pekan, terdapat banyak makam raja Melaka di Pahang Tua.
Dengan tertakluknya Pahang di bawah kekuasaan Melaka,  dengan rasminya Pahang sudah menjadi sebuah negara Islam ketika itu. Maka rakyat jelata yang sudah ramai memeluk Islam menyambut baik kedatangan raja Melaka yang membebaskan mereka dari cengkaman Siam yang beragama Budha. Kedatangan orang Melaka bukan sahaja mengubah corak pemerintahan dan politik, akan tetapi membawa bersama mereka Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Laut Melaka yang berasaskan perundangan Islam dan bermazhab Syafie.

Pemerintahan Sultan Muhammad Shah berlangsung selama enam tahun sebelum mangkat pada 1475. Sultan Muhammad Shah selepas itu dimakamkan di suatu tempat yang dikenali sebagai Dusun Pinang yang terletak di dalam mukim Pahang Tua di Pekan.
Batu nisan yang terdapat pada makam Sultan Muhammad Shah bagaimanapun dipercayai ditemui di makam Langgar di tepi Sungai Pahang Tua selepas berlakunya banjir besar pada 1926.








Wednesday, August 26, 2015

Si Pembaca Doa

Kebiasaan di majlis-majlis rasmi terselit dalam atur cara bacaan doa. Sangat baik dimulakan majlis dengan bacaan doa memohon keberkatan dari Allah SWT. Di antara adat ketika bacaan doa dalam majlis rasmi yang sudah seperti menjadi suatu protokol dan ketetapan ialah doa mesti dibacakan dalam bahasa melayu supaya semua sidang hadirin dapat faham. Jika saya yang membaca doa, style saya doa pendek sahaja, hanya satu lebaran sahaja.

Cuma antara perkara yang kami si pembaca doa selalu alami seperti, sebelum baca doa beria penganjur follow up, tetapi selesai sahaja baca doa, pandai-pandailah bawa diri. Nak pula kalau program tersebut anjuran Jabatan lain dan kita tiada kaitan dengan program tersebut hanya sebagai pembaca doa di awal acara sahaja. Bayangkan selama beberapa jam selepas itu kita harus bersabar duduk di dalam majlis tersebut. Selepas acara pula, jarang sekali tempat makan kita disediakan, walaupun  kita juga sebagai jemputan, ikutkan tak nak juga kita hadir ke program-program tersebut yang tiada kaitan dengan kita.




Geng Pejabat Agama Islam Daerah Lipis di Kaunter


Baru ini saya membaca doa di majlis Mesra anjuran Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri. Semua Jabatan mengambil bahagian dengan membuka kaunter. Dalam program tersebut, Orang awam boleh mengadukan permasalahan mereka. Dalam sesi lebih kurang sejam tersebut, hampir keseluruhan aduan adalah berkaitan dengan masalah pembekalan air di Lipis yang sangat mendukacitakan.

Tuesday, August 18, 2015

Kisah Menulis

Nak menulis untuk update BLOG ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Mungkin bagi orang lain mudah, walaupun mudah tetapi kini dapatan blog yang masih aktif  semakin merosot terutama selepas muncul banyaknya  media sosial lain seperti Facebook.

Zaman saya mula berkecimpung sebagai Blogger, masa itu semua kawan-kawan pakat buat blog belaka. Saya masih ingat ketika itu rumah kami di Khoulusi (Shoubra, Mesir) tiada internet. Untuk update blog, chek emel dan YM kami harus pergi ke Cyber Café (CC) yang jaraknya boleh tahan juga la dengan berjalan kaki. Saya rasa kesemua CC yang berada di area Shoubra telah saya jejaki.

Ada beberapa alasan saya berkaitan kesukaran untuk Update Blog :

Idea biasa datang semasa saya sedang memandu (long distance), waktu tersebut memang mustahil untuk saya curahkan idea tersebut dalam bentuk tulisan. Kemudian bila waktu yang lapang untuk saya menulis idea tersebut dah hilang.

Idea juga selalu muncul ketika saya tidak bersama laptop, ialah tak kan setiap masa nak gelek laptop ke mana-mana. Dewasa ini pun jarang  orang bawa laptop melainkan student IPT. Geng-geng otai ni pakat tulis dalam Ipad, Tab atau HP sahaja.

Saya pernah terfikir untuk membeli Ipad atau Samsung Tab kononnya untuk memudahkan saya menulis. Tetapi buat masa ini saya rasa tidak berbaloi. Sebenarnya saya telah ada Asus yang sebesar Samsung Tab tapi membebankan untuk dibawa ke mana-mana, berat dan respon sangat lambat.   

Lalu di samping menggunakan laptop (bagi saya, ini paling best setakat ni), ada masanya saya mencoret juga sikit-sikit di HP saya yang tak seberapa itu.

Di ruangan ini suka saya nukilkan beberapa orang yang selalu menulis buat motivasi kita semua :

YB Ustaz Nik Abduh : sedutan dari ucapan beliau  “Tetapi tuan-tuan semua, Allah Taala mengurniakan walaupun bukan kepetahan bercakap dan ayah saya puji saya. Tiada pujian yang saya suka selain pujian seorang ayah yang tak pernah memuji anaknya, seorang tok guru yang tak pernah memuji, bila dia memuji rasa nak melompat.
“Dia puji tulisan saya, Allah Taala bagi kelebihan saya tak boleh bercakap macam ayah, tapi saya yakin Allah kurniakan saya aqal seperti ayah untuk memimpin Dewan Pemuda insya-Allah. Saya akan memimpin dengan aqal saya bukan mulut saya dan saya akan terjemahkan kepimpinan saya melalui tulisan saya'.



YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi : Beliau  sentiasa menghadap laptop bagi menyelesaikan tulisannya. Sesibuk mana pun, mesti ada waktu untuk beliau berkarya melalui penulisan.

Buku karya Cikgu Hasanuddin
Cikgu Hasanuddin Md Isa : Beliau yang merupakan pengetua SMAN Pahang (SMA Al-Falah Batu Talam, Raub) sentiasa berkarya. Saya petik catatan tulisan di FB nya : "Anakku 'Aisyah Syahirah' tiba-tiba mengirimkan sekeping gambar. Ya, itu sejumlah novel bapa disusun di perpustakaan. Aku tahu dia terasa teruja dengan kehadiran novel bapa di rak itu.
Sebenarnya bukan setakat itu sahaja barisan karya bapa. Ada lebih 30 buah karya lain yang sudah dihadamkan isinya oleh khalayak pembaca. Bapa telah menulis sejak tahun 1986. Sudah lama. Sudah menjangkau lebih suku abad. Dan sekarang bapa masih menulis. Semalas-malas bapa akan mencatat di wall FB ini untuk renungan diri. Serajin-rajinnya bapa akan menyengkang mata ke tengah malam atau bangun awal pagi untuk menyudahkan karya. Tidak pernah bapa jemu dan penat untuk mencurahkan fikiran walaupun dari segi perolehan kewangan dan anugerahnya tidak seberapa.
Bapa berfikiran menulis itu mencambahkan kebijaksanaan dan kesolehan bukan untuk diri bapa sahaja tetapi untuk kehidupan khalayak pembaca juga.
Bapa akan terus menulis selagi upaya dalam kewarasan akal. Tatapilah karya bapa itu nanti. Itulah setakat daya keintelektualan bapamu".

Meja kerja Ustaz Karim di Kulliah
Ustaz Abd Karim Sidek : Beliau merupakan guru di Kulliah Sultan Abu Bakar Pekan sentiasa berdampingan dengan laptopnya dan aktif menulis terutama di FB nya. Tulisannya yang mengulas pelbagai isu diselit dengan pengalaman diri sangat menarik untuk dibaca.

Begitulah serba sedikit mereka yang menulis. Bagaimana pula dengan kita?

Apapun alasan yang saya berikan, saya tetap berusaha untuk terus menulis walaupun gaya bahasa yang tunggang langgang, atau tulisan label cap ayam sahaja. Saya akan pastikan blog saya ini diupdate walaupun ada masanya krik-krik.  Doakan saya.

Wassalamu
  

Monday, August 17, 2015

Dari Taman Kenangan ke Pekan Sehari Temerloh

Semalam (16 Ogos) saya berkesempatan turut serta di 'Sembang Permai' di Taman Kenangan Temerloh. Taman Kenangan  ini merupakan monumen bersejarah yang terdapat di bandar Temerloh. 
'Sembang Permai' boleh rujuk di sini : http://www.permaipahang.com/2015/08/sembang-permai-10.html


Terdapat batu peringatan di Taman kenangan. Catatan yang ditulis dalam bahasa melayu (tulisan jawi), cina, Inggeris yang bertarikh 1945. Ketika ini tulisan popular di Tanah melayu ialah tulisan jawi. Kini tulisan jawi tidak lagi popular, ramai yang buta huruf tulisan jawi. Bagi saya tulisan jawi perlu diperkasakan kerana ini merupakan identiti utama negara kita. Identiti yang dibuang sendiri oleh kepimpinan negara kita sehinggakan ia tidak lagi menjadi keutamaan. Kini tiada lagi akhbar harian bertulisan jawi kerana jika dicetak tidak berbaloi kerana pembelinya sangat sedikit. Saya juga hairan kenapa format ejaan tulisan jawi sering berubah-ubah, ada sahaja ejaan yang dikemas kini.


Taman Kenangan 1945


Kemudian saya berserta rakan meronda-ronda di pekan sehari di bandar Temerloh. Menariknya pekan sehari ini merupakan yang terpanjang di Pahang dan semenanjung Malaysia. Pelbagai jualan terdapat di sini terutama mereka yang ingin mencari hasil kampung seperti ulam-ulam, sayur tanpa racun, ikan-ikan darat.




 Ramai orang berkerumun di tempat aiskrim potong, termasuk sahabat kami.
 Berhampiran dengan Taman Kenangan terdapat sebuah rumah Persatuan. Rumah ini gabungan untuk  Lembaga Kemajuan Perempuan Islam, Puteri Islam, Pandu Puteri dan Perkumpulan Perempuan. Budaya berpersatuan sangat perlu ditekankan terutama kepada generasi remaja sekarang.  Sejak zaman gadjet remaja dan muda mudi sekarang kurang berminat untuk terlibat dengan Persatuan-persatuan. 

Jumpa lagi..Wassalamu

Cerpen Kelana 2 ; Amal luar biasa

Cerpen Kelana 2 (Amal luar biasa) :
Setiap hari kita akan melakukan pelbagai pekerjaan (amal). Ada Amal yang kita laksanakan bersifat kepentingan peribadi seperti mencari duit untuk makan. Di Sana juga Ada Amal yang sangat penting untuk kita terlibat iaitu Amal untuk Islam. 
Semua Amal yang kita lakukan baik Amal Fardhi atau Amal Jamaie memerlukan kita melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh bukan sambil lewa sahaja seperti kata pepatah ibarat melepaskan batuk di tangga. Kalau pekerjaan biasa-biasa pun perlu bersungguh-sungguh, inikan pula kerja untuk Islam?. Sudah tentu kita perlu bekerja secara luar biasa untuk mendapatkan hasil yang luar biasa.
Justeru pada hari yang barakah di penghujung syawal marilah kita memastikan diri kita untuk istiqamah melaksanakan segala Komitmen Amal Islami dengan gerak kerja Luar biasa.

AlsyababgGr
Ditulis pada 29 Syawal 1436 

Tuesday, August 11, 2015

CERPEN KELANA 1


Cerpen Kelana 1 :

Semua kita ada masalah. Apa pun situasi yg berlaku gerak kerja mesti terus berjalan dengan lancar. Jangan campurkan masalah peribadi dengan organisasi dan jemaah. Kerana secara tidak langsung ia akan mem'postpon' kan sesuatu gerak kerja. Andai beratnya hingga tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut sehingga menjejaskan gerak kerja jemaah dan organisasi pilihan terbaik ialah 'bercuti', segala taklifan dipangku kepada sahabat yang lain..Namun Maslahah Umum perlu diutama daripada Maslahah peribadi.