Friday, September 25, 2020

Catatan Imam Masjid Daerah

Tahun silih berganti. Sahabat-sahabat yang sama lantikan dahulu kebanyakannya juga telah bergerak ke lajnah yang lain.
Alhamdulillah saya masih sebagai seorang imam. Ada yang tiada masalah ditaklifkan menjadi imam. Tak kurang juga yang 'stress' disebabkan tanggungjawab keimaman tersebut.
Terdapat juga persepsi yang menyatakan menjadi imam payah nak naik pangkat. Kalau nak cepat naik pangkat, kena mohon tukar ke bahagian yang lain.
Sambung persepsi tersebut lagi : Baru orang nampak kewujudan dan prestasi kita.
Ikutkan dalam bacth, saya antara yang terawal lulus peperiksaan perkhidmatan dan disahkan jawatan.
Yang sama tahun lulus dengan saya, kini ada yang naik begitu jauh meninggalkan saya.
Begitu juga dengan kenaikan pangkat, tahun 2014 saya telah menjadi calon simpanan untuk gred seterusnya. Tetapi hanya sekadar 'sijil' buat simpanan dalam fail sahaja.
Antara motivasi buat saya,
Sejak zaman sekolah rendah saya biasa mendengar dan telah kenal sebahagian nama-nama imam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi seperti Syeikh Sudais, Syeikh Syuraim, Almarhum Syeikh Ali Jaber, Syeikh Huzaifi.
Biasanya mendengar melalui kaset-kaset. Ayah ada banyak membeli kaset mengaji yang sentiasa dipasang di rumah dan dalam kereta.
Bila tiba musim Ramadan, solat terawih di masjidil Haram telah ada siaran langsungnya, ketika itu zaman video tape, kami record sesi solat terawih tersebut.
Maka dapatlah saya lihat dan kenal wajah-wajah imam tersebut.
Kini, setelah puluhan tahun. Mereka masih menjawat sebagai imam, ketika saya kali pertama ke Mekah dan Madinah menunaikan Haji tahun 2005, begitu teruja mendengar bacaan imam-imam yang sejak kecil saya dengar suaranya. Mereka yang sehingga akhir usianya menjadi imam.
Maka, bukankah itu suatu nikmat ?
Menjadi pengurus Rumah Allah.

#PermaiMenulis #Imam #MasjidDaerah #jaip
* Gambar kenangan bersama Dato' Aziz, mantan Pegawai Agama Istana Negara.

Thursday, September 24, 2020

Jilid 1 Bahrul Mazi



Alhamdulillah, selepas 4 tahun, kami menamatkan bacaan Kitab Bahrul Mazi jilid 1 di Kuliah Dhuha Surau Taman Permai Sejahtera.
Kitab Bahrul Mazi merupakan Mukhtassar Hadis Imam Tirmizi disusun oleh Syeikh Idris Al-Marbawi.
Jilid 1 mengandungi sebanyak 126 matan Hadis dan 591 masalah yang berkaitan dengan 'Toharah'.
Semoga kita semua Istiqamah berterusan menuntut ilmu hingga akhir hayat.

#KuliahDhuha #BahrulMazi #SurauTamanPermai #MarkazPengajianIslam #ImamKecil #PermaiMenulis

Saturday, September 19, 2020

Semasa berada di puncak


Semasa membaca posting Hajar Permai yang menyertakan gambar kucing, saya teringat yang saya juga ada mengambil gambar aksi kucing.
Gambar ini diambil ketika berada di rumah Bilal Johne Johne, semasa orang datang baiki kipas di rumahnya.
Kelihatan si kucing panjat tinggi tangga merenung bilah kipas.



Pesanan penaja :
Bila berlari mendaki terlalu tinggi,
Jangan terlupa saat sama-sama susah di bawah. Ingatlah jatuh masa kat atas lebih sakit.

#PermaiMenulis #kucing #atas

Thursday, September 17, 2020

Warning

Ada masa Warning tetap kena bagi. Macam cerita yang diterbitkan Filem Negara Malaysia
sang Kancil bagi warning kepada monyet.
"Jangan monyet" kata sang Kancil.

Link cerita sang Kancil :
http://syababgr.blogspot.com/2017/03/jangan-monyet.html?m=1

#PermaiMenulis #GengPermai

Friday, September 11, 2020

Potong kek bukan Mamasab

Walaupun KEK hanyalah sejenis makanan,
Tapi bukan biasa-biasa auranya.
Kek mampu menjadi simbolik pada sesuatu,
Menjadi gimik, hadiah, lambang kesatuan dan macam-macam lagi.
hmm..
Jom makan kek.
Mamasab pun bolehlah





#kek #PermaiMenulis #TagSiapaDalamGambarNi

Thursday, September 03, 2020

Kaedah Mencari ilmu

Para salaf mencari ilmu dengan mendengar (al-istima') dari para ulama. Mereka sanggup mengembara jauh demi untuk mendengar ilmu dari sumber yang primer.

Kemudiannya ilmu tersebut dihafal dan disalin. Ada yang menyatakan semua ilmu perlu dihafal.
Imam Ibnul Jazari dalam mukaddimah matannya menyatakan : insan tidak mulia melainkan dengan apa yang dihafal dan diketahuinya.

Seterusnya, ilmu perlu diamalkan dan disebarkan.
Kalam pepatah berbunyi Ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah.

#PermaiMenulis #GengPermai #ilmu #hafal #muhasabah

Wednesday, September 02, 2020

Kasihkan guru

Cuba menjadi pelajar yang disukai guru.
Walaupun ada perkara yang tidak sependapat.
Bukan mewujudkan aura permusuhan.
Ada yang menjumudkan.
Tawaduknya hanya pada segelintir guru.
Gurunya ibarat yang hanya sekepala dengannya.
Berialah menyatakan pada khayalak.
Yang ia punya guru.

#PermaiMenulis #imamkampung #subuh

Monday, August 31, 2020

Merdeka dan cintai sungai kita

Sempena menjelang hari kemerdekaan, kami ingin menyeru supaya sama-sama kita menjaga negara yang kita kasihi. Termasuklah menjaga alam sekitar. Pelihara sebaiknya sungai sebagai sumber air dan tempat ikan membiak. Jangan sewenangnya kita cemari sungai dengan asid beracun dan sampah sarap.
Begitu juga menangkap ikan dengan menggunakan tuba sehingga menyebabkan ikan boleh pupus di kawasan tersebut. Sungai yang bersih dan cantik dapat menarik orang ramai membuat aktiviti rekreasi seperti berkelah dan mandi manda.

https://youtu.be/oSJPQMara6U

#MalaysiaPrihatin #PermaiMenulis #PermaiPrihatin #merdeka #2020 #kebangsaan #pahang #sungai #maran #kasa #alamsekitar

Thursday, August 27, 2020

Putera Gunung Tahan

Pak Sako menulis Novel Putera Gunung Tahan pada tahun 1937 katanya " Saya menulis Putera Gunung Tahan khusus sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah."


Buku ini bukan sekadar cerita-cerita yang biasa. Walaupun kisahnya seperti cerita khayalan dan dongeng ada mengisahkan orang bunian yang tinggal menetap di puncak gunung Tahan, akan tetapi yang tersirat penulis ingin menyampaikan sindiran dan kiasan yang tajam.


Bagaimana rakusnya penjajah ingin menjarah hasil bumi kerana ingin kaya. Sanggup mengkhianati kawan yang menolong semasa susah.

Cerita bagaimana orang melayu yang sentiasa menjaga adab walau di mana pun berada.


Bersama kita menghayati kemerdekaan negara.





#MalaysiaPrihatin #PermaiPrihatin #PermaiMenulis #GengPermai



Wednesday, August 26, 2020

Melayu budiman

Kita orang melayu sentiasa bangsawan dan budiman. Kata Ratu Bongsu dalam Putera Gunung Tahan karya Pak Sako.

#paksako #merdeka #kebangsaan

Thursday, August 20, 2020

Selamat tahun baru hijrah 1442

Selamat tahun baru 1442H.
Tahun yang berpandukan hijrah Rasul dan kiraan bulan (qamari).
Harapan kami supaya tahap penarafan tahun hijrah lebih dipertingkatkan terutamanya dalam urusan rasmi.

Bukan hanya setahun sekali ketika dalam sambutan Maal Hijrah, awal muharam sahaja. Selepas itu kembali sepi tanpa promosi.

Sampaikan ramai yang tidak tahu sekarang kita di tahun berapa hijrah, berbanding tahun masihi yang budak kecil pun tahu tahun ini tahun 2020.

Kalau ditanya sebahagian orang, susunan nama bulan dalam Islam pun masih tunggang terbalik.

Mujur ada hari raya Aidil Fitri. "Glamour" lah bulan syawal kerana semua menantinya. Hinggakan bulan Ramadan yang umat Islam diwajibkan berpuasa sampai hafal Ramadan ke berapa.

Sebut tahun baru, maka timbullah azam baru, semangat baru. Di samping pertambahan umur yang membawa maksud semakin dekatnya dengan kematian.

Maka, isi masa dan ruang yang ada dengan memaksimakan aktiviti, projek, program, agenda yang bermanfaat.
Kemaskini "planner" supaya masa terhad tetapi macam-macam perkara yang boleh dilakukan.

Sesuai dengan Tahun baru Hijrah. Jom kita berhijrah. Hijrah kepada yang lebih baik dari sebelumnya.

Selamat tahun baru semua.
كل عام وأنتم بخير وتقبل الله منا ومنكم

#UmmahRabbaniNegaraHarmoni
#PermaiMenulis
#maalhijrah
#1442
#GengPermai
#tahunbaru

Wednesday, August 19, 2020

UPU dah keluar



Tahniah buat bakal siswa.
Tentu tak sabar nak menjejakkan kaki ke ipt.
Mungkin ada yang dah kalut nak membeli itu ini untuk membuat persiapan.
Beli ala kadar sahaja, tak perlu sampai membazir.

Presiden India yang ke 11, Prof. DR. Abdul Kalam (2002-2005) semasa menjawat jawatan tertinggi negaranya tidak memiliki kereta, TV, peti ais dan pendingin hawa.
Sewaktu meninggal dunia, harta pusaka beliau hanyalah 2,500 buah buku, sebuah jam tangan, 6 helai baju, 4 helai seluar dan sepasang kasut.

Tak tahu nak ready apa?
Abang Kakak Permai sedia membantu.
Pilih je nak yang mana :
Amirul Amin Muhammad Salahuddin Syahirah Zulkipli Haziq Akram Permai Nur Munira Permai Ain Nasuha Permai Najihah Nasir Permai Anis Nabilah Permai Sofiya Azlaini Khaulah Mawaddah Ilyani Permai Ruqayyah Sakinah Hajar Permai AmaNina Hassanuddin Nur Akma Muhammad Ismat Hafiz Hazwan Intan Hidayah Permai Najihah Anuar Permai Cak Nifailami Permai Indra Permai Fatimah Ishak Permai Nizam Permai Aqilah Zawawi Permai Fatimah Ishak Permai Aina Rosdi Aqilah Faizan Najla Sarif Munirah Syuhada Fairuz Najhan Anafarhana Ismail Fikri Abdullah Abdullah Ibn Fahmi Ainol Fatihah Muhammad Anuar
Banyak dah stok nama ambe bagi.
Nak minta depa belanja ngeteh pun boleh.haha.

Paling penting ialah persediaan roh (dalaman /jiwa) untuk menjadi penuntut ilmu.

Buat yang tidak terpilih jangan kecewa. Masih banyak ruang dan peluang yang lain. Paling penting keberkatan dan redha Allah.

#PermaiMenulis #GengPermai #Lamega #smg #ipt #upu #anakpahang #spm #nakmasukipt #tanyasenior #tanyaabangkakak

Tuesday, August 18, 2020

Ziarah Kubur Tuan Guru Peramu @ Dato' Bahaman Pahlawan Semantan

Kami mengambil kesempatan berziarah ke kubur Tuan guru Peramu yang kembali ke rahmatullah pada tahun 1977.

Beliau dilaporkan sebagai Dato' Orang Kaya Bahaman pahlawan Semantan yang menyembunyikan identitinya. Semoga Allah merahmati beliau.

Sempena bulan kemerdekaan, marilah kita sama-sama menghayati perjuangan mereka yang terdahulu dalam usaha memerdekakan negara daripada kuasa asing.

Hayatinya dengan kita mengambil pengiktibaran.

Kini, kitalah yang wajib menjaga negara kita.

Jangan hanya sekadar hebat berslogan, megah berbaju tema bendera Malaysia tetapi tindak tanduk sebenar menggadaikan bahkan menjual negara.

#PermaiMenulis #PermaiDihati #PermaiMerdeka #MalaysiaPrihatin #Merdeka2020

Wednesday, August 12, 2020

Siapa kita

Kita semua tidak lepas dari alpa dan khilaf.
Sehebat mana pun seseorang pasti ada lemahnya.
Sikap kita, berlapang dada.
Cuba kenang jasa dan kebaikannya.
Jangan disebabkan sedikit kekurangannya kita all out bantai kasi lunyai.

#PermaiMenulis #sayahanyalahsiapa #GengPermai #muhasabah

Monday, August 10, 2020

Pokok Mentega dan Sungai Pahang Tua



Pokok mentega buahnya seperti epal, rasanya berlemak seperti mentega. Tak pasti mana dulu yang dinamakan dengan mentega. Pokoknya, buahnya, atau mentega yang majerin planta tuh.huhu.

Kemudiannya kami menjejak ke sungai Pahang Tua. Pahang Tua tentu lebih otai dan legen dari Pahang. Jangan main2 woo..

Sempena bulan Ogos bulan kebangsaan, moh kita menjejak warisan kita.

#PermaiMenulis #GengPermai #kebangsaan #mentega #buah #sungai #pahang

https://youtu.be/oe2Ymedwrcs

Rehat dengan menulis

Kitab Hikayatus Sahabat disusun oleh Maulana Syeikh Muhammad Zakaria selepas dinasihati oleh doktor untuk berehat beberapa bulan kerana diserang penyakit radang hidung ketika dalam suatu perjalanan pada tahun 1955/1375H.
Rehat beliau diisi dengan menulis kitab. Begitulah juga dengan kebanyakan para ulama yang lain. Mengambil manfaat 'rehat' dari kesibukan dunia luar dengan menulis.
Ada yang menulis di wad hospital, di dalam tahanan penjara, di dalam kenderaan ketika bermusafir.

Bagaimana pula dengan kita ?
Bukan nak menulis kitab, tetapi nak baca kitab/ buku pun payah.

#PermaiMenulis #ulama #menulis #kitab #muhasabah

Thursday, August 06, 2020

Claim E-Penjana RM50


Jangan lepaskan peluang, mudah je. Kalau tak nak, claim la pastu bagi ke kami duit tuh.
Sebenarnya pihak kerajaan dah banyak kali sebut, nak masuk premis kena scan my sejahtera. Tapi tokey premis buat tak cakna.
Sama la juga nak masuk ke masjid, kami guna my sejahtera dan Pahang Go, itu pun berlambak orang yang takde lagi apps tersebut.

Kena tawar dengan duit barulah nak download, begitulah manusia, nak kena suap dulu baru bertindak.

https://youtu.be/fxM3K_gP6ss

#epenjana #rm50 #mysejahtera #PermaiMenulis

Polish Kereta sendiri dengan Polish Master


Calar-calar ok boleh hilang dan berkilat, tapi kalau dah besar sangat lukanya tuh tak lepas dah nak sapu-sapu je. Kena sembur cat pulak la.huhu
Sama lah juga dengan jalan yang dah rosak, ada yang tak padan dengan tampal / tepek tar baru, tetapi kena korek semula, tabur batu dan turap baru. Jika tidak, tampal pagi, tak sampai tengahari dah berlubang semula.
hmm, bagaimana pula nak polish iman dan hati kita ?

Monday, August 03, 2020

Masjid lama Kuala Kerdau


Bersiar-siar di waktu petang. Melihat tapak lama masjid kampung Kuala Kerdau. Kemudiannya masjid tersebut dipindahkan ke tepi jalan besar di kampung Kerambit dan dinamakan dengan nama Masjid Omar Abdul Aziz.
Sekarang masjid lama tersebut telah digantikan dengan masjid baru yang dibina bersebelahan dengan masjid lama. Masjid lama dijadikan Maahad Tahfiz.

#Permaimenulis #Masjid #KualaKerdau

https://youtu.be/RouhOaADhNs

Saturday, August 01, 2020

Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha Tahun 2020


Kenangan solat sunat hari raya Aidil Adha di Masjid Sultan Mahmud dalam suasana norma baru mengikut Sop yang ditetapkan.
Musim norma baru ni, semua pihak kenalah memahami dan memberi kerjasama. Di pihak staf masjid kena lebih beria berbanding hari-hari biasa.

Jika tak nak ikut SOP, duduk rumah je lah.

#PermaiMenulis #AidilAdha #solat #masjid #imammasjid #imamkecil

https://youtu.be/A9qRUSMSd3U

Thursday, July 30, 2020

Haji tahun 2020

Tahun ini Musim haji yang sangat special. Mereka yang terpilih dilayan dengan vip dan percuma pula tu.
Alhamdulillah, Di kalangan yang terpilih tersebut ada juga beberapa orang rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Saudi.
Kita doakan semoga semua jemaah haji dikurniakan kesihatan dan dapat haji yang mabrur. Harapannya tiada insiden kemalangan, setiap musim haji kita sering mendengar berita-berita kemalangan kerana kesesakan yang berlaku seperti ada yang kena pijak, cedera dirempuh dll.
Sesungguhnya kenangan berada di Tanah suci sangat manis dan tidak mungkin dilupakan apatah lagi jika menunaikan ibadah haji.
Ayah saya dulu menunaikan ibadah haji tahun 1990. Dari Temerloh tiada konvoi yang hantar. Pergi hanya menaiki bas express dari Temerloh ke Kuala Lumpur. Memang legen. Ada siapa yang "berani" buat camtu?
Tahun itu juga berlaku peristiwa terowong Al-Muassim runtuh mengakibatkan seramai 1426 jemaah haji maut, dan 19 orang darinya adalah jemaah Malaysia.
Masa itu kemudahan komunikasi tak secanggih sekarang. Setiap hari kami mendengar pengumuman dari radio melaporkan peristiwa dan nama-nama mereka yang terkorban. Alhamdulillah ayah saya selamat.
Tahun 2004, ayah dan mak saya pergi menunaikan haji. Kali ini dari Temerloh menaiki teksi ke Kuala Lumpur. Tiada konvoi macam tahun 1990.
Saya pula ?
Lain kisahnya. Alhamdulillah tahun 2006 telah berpeluang menunaikan ibadah haji dengan menaiki kapal laut.
Tergambar la sedikit sebanyak bagaimana tok nenek kita dahulu menaiki kapal laut untuk menunaikan haji.
Saya sertakan link gambar kenangan tersebut :
Sama-sama kita berdoa semoga diberi rezeki, kesihatan, peluang dan kesempatan, untuk menunaikan ibadah haji dan menjadi tetamuNya. Amin.

Tuesday, July 28, 2020

Budak baru dan orang lama


'Budak baru', biasanya permulaan akan baik. Jarang sekali buat hal dan masalah.
Tetapi semakin lama, perangai berubah.
Nak pula bila sudah terdedah dengan 'orang lama'.

Pesanan buat orang lama, jika budak baru rosak disebabkan mengikut jejak kamu, sedikit sebanyak kamu terpalit sama menanggung akibat kerosakan itu, kerana kamu tok gurunya.

Buat budak baru, kenalah pandai dan matang menilai, yang mana baik dan buruk.
Kadang-kadang dek kerana masih baru dan mentah, keputusan dan tindakan mengikut emosi.

Demi kelangsungan generasi masa hadapan yang sejahtera.

#PermaiMenulis #baru #lama

Wednesday, July 22, 2020

Berlari ke Masjid



Hobi yang semakin diminati terutama warga bandar, berkayuh basikal puluhan kilometer, bahkan ada juga yang hardcore, lari berjoging cecah 10 kilo sekali lari.
Alasannya untuk menjaga kesihatan dan badan nak fit dan slim.
Tetapi..
Nak pergi masjid dan surau yang dekat dengan rumah dan bukannya nak berkayuh atau berlari tetapi naik kereta motor pun liat.
Kan..
Jom kita giat beramal. Dah masuk bulan Zulhijjah ni.

Tuesday, July 21, 2020

Jangan taksub

Ada orang yang baru pakai kereta. Seronok sangat dia dengan kereta tu.
Tiba,
Ada orang lain yang menceritakan tentang kelemahan dan keburukan jenis kereta yang dipakai si Dia tu.
Maka,
Bagaimanakah sikap dan pendekatan yang diambil oleh si Dia.

Adakah si Dia akan emosi, tidak boleh menerima orang menceritakan keburukan jenis keretanya.
Atau pun si Dia cool sahaja, buat tak tahu sahaja.

Kalau saya,
Saya akan mengambil maklum cerita-cerita orang mengenai kelemahan tersebut, dan kemudiannya membuat kajian mendalam dan merujuk ahlinya yang terlibat secara langsung sebagai pengguna tegar kereta tersebut.

Jangan cepat melatah dengan cakap-cakap kosong. Kadang-kadang yang bercakap itu lesen kereta L pun tiada.

#PermaiMenulis
#GengPermai
#PakuKarat
#JanganTaksub

Friday, July 17, 2020

Minum Air Jus Ori di Mesir





Harga murah dan air jusnya segar. Tapi kebiasaannya tempat duduk tidak disediakan. Minum je di kaki lima kedai. Dahulu kami biasa bawa jug, beli air tebu @ tamar hind, bawa balik dan simpan dalam peti ais, sebabnya 2-3 hari baru habis minum. 

#PermaiMenulis #jalan-jalan #Mesir #minum #jus #cairo 

Tuesday, July 14, 2020

Turjuman al-Mustafid

Tafsir pertama yang lengkap 30 juz dijumpai di alam melayu ialah Turjuman al-Mustafid, susunan Syeikh Abdul Rauf al-Singkili (1615-1693M).
Tafsir ini dicetak buat kali pertama di Istanbul sekitar tahun 1884M.

Jangan biarkan khazanah ulama kita hilang ditelan zaman.





#PermaiMenulis #tafsir #khazanah #kitab #baca

Friday, July 10, 2020

Durian terbaik di Malaysia

Ada orang hanya mencari buah durian yang sedap. Tetapi ada yang memilih untuk mencari benih durian yang terbaik.
Senang untuk mencari buah durian yang telah masak, tinggal hanya untuk kopek sahaja.
Tetapi menjadi petani yang menanam pokok, bukannya mudah dan singkat masanya.
Petani perlu menjaga tanamannya sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Bukan sekadar menjaga tanaman perlu siram dan baja supaya tanaman menjadi segar dan subur.
Termasuk juga, menghalang ancaman luar yang boleh merosakkan pokok seperti haiwan liar contohnya kera, babi, lembu. Begitu juga serangan kulat dan serangga yang juga boleh mematikan tanaman.

Kami berkunjung ke Zamri Agrofarm di Dong, Raub. Pesannya guna baja 15 + 15 sebanyak 500grm untuk setahun.

Firman Allah :

مُّحَمَّدٌ رَّسولُ اللهِ ۚ وَالَّذينَ مَعَهُ أَشِدّاءُ عَلَى الكُفّارِ رُحَماءُ بَينَهُم ۖ تَرىٰهُم رُكَّعًا سُجَّدًا يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا ۖ سيماهُم في وُجوهِهِم مِّن أَثَرِ السُّجودِ ۚ ذٰلِكَ مَثَلُهُم فِي التَّورىٰةِ ۚ وَمَثَلُهُم فِي الإِنجيلِ كَزَرعٍ أَخرَجَ شَطأَهُ فَآزَرَهُ فَاستَغلَظَ فَاستَوىٰ عَلىٰ سوقِهِ يُعجِبُ الزُّرّاعَ لِيَغيظَ بِهِمُ الكُفّارَ ۗ وَعَدَ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ مِنهُم مَّغفِرَةً وَأَجرًا عَظيمًا
Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).
Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).

Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
(Al-Fath:29)

#PermaiMenulis #GengPermai #Petani #durian #malaysiadurian

https://youtu.be/XXfIJSJjSLY

Thursday, July 09, 2020

Makan gulai patin claypot di Lipis

Di sini , biasa je kalau sarapan bermenukan nasi berlauk. Macam lauk gulai patin masak tempoyak dan nasi ayam.
Kadang-kadang ada orang luar yang sampi ke sini, tak biasa nak sarapan nasi berlauk gulai ikan patin.
Padahal bulan Ramadan bangun sahur sebelum subuh makan nasi berlauk selamba je.
Nak makan yang ringan-ringan macam nasi lemak, roti canai dan kuih muih sahaja.
Tetapi ada juga yang seronok pagi-pagi lagi dapat makan berat, terutamanya student yang sentiasa "lapo" ?

Makan pagi untuk tenaga. Barulah ada stamina untuk melaksanakan kerja. Terutama untuk gerak kerja membangunkan Islam.

Jom, ada siapa nak ajak kome makan-makan.

#PermaiMenulis #makan #patin #lipis

https://youtu.be/SYItgfD7BMI

Wednesday, July 08, 2020

Semua masjid di Lipis kini dibuka




Taklimat dan simulasi kumpulan terakhir untuk masjid kariah daerah Lipis. Barulah semua masjid di daerah Lipis dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Pengalaman kami membuka semula masjid, dan masjid yang terawal di daerah Lipis menjalankan solat berjemaah 5 waktu, sebelumnya hanya solat subuh sahaja. Kami ingatkan orang ramai akan serbu masjid.
Rupanya tak pun.
Biasa-biasa sahaja.
Depa bising-bising sebelum ni agaknya sebab hanya nak gunakan tandas masjid dan solat jumaat seminggu sekali tu je.
Hmm.

#PermaiMenulis #Masjid #solatjemaah

Monday, July 06, 2020

Islam di Indonesia

Islam mula disebarkan di Indonesia sejak tahun 1290M di Acheh, seterusnya di Perlak 1292M, Samudera Pasai 1297M.
Jasa mereka yang terdahulu menyebarkan Islam walau penuh ranjau duri rintangan.
Apa pula sumbangan kita ?

#PermaiMenulis #islam #dakwah

Disiplinlah di masjid

Kebiasaan kita telah diasuh untuk berdisiplin semenjak bangku sekolah.
Tetapi untuk menjadi seorang yang berdisiplin bukannya senang.
Terutamanya bila berada di masjid. Nak pula dalam keadaan sekarang.
Sepatutnya kena banyak bersyukur sebab dah boleh pergi masjid walaupun ada peraturan bla bla.

#PermaiMenulis #GengPermai #masjid #disiplin

Thursday, July 02, 2020

Barat Tinggal di Barat- Timur tinggal di Timur




Barat tinggal di barat - Timur tinggal di Timur.

Lukisan yang dilukis oleh Encik Abdul Manan dari Sekolah Melayu Taiping disiarkan dalam Warta Jenaka bertarikh 7 September 1936.
Pelukis menggambarkan orang di Timur teringin untuk moden seperti orang barat.
Manakala orang barat yang moden, fe'el perangainya ada yang terikut haiwan.

.... jangan ke barat marilah mudek,
Timur kita juga yang wajib diselidik ...

#Permaimenulis #GengPermai #WartaJenaka

Saturday, June 20, 2020

Solat jumaat yang berharga di musim pkpp

Buat masa ini hendak menunaikan Solat jumaat tak boleh pergi redah 'walk in' sahaja. Setiap masjid ada sistem untuk kehadiran ke masjid.
Jangan buat tak tahu atau tak cakna.
Sop, kaedah, guna sistem apa rasanya dah viral di media sosial.
Tak perlulah berceramah pula pada pegawai masjid menyatakan tak bersetuju itu ini, atau marah ke pihak pengurusan masjid dan berkuasa agama.
YB Menteri Agama pun dah berbunyi mengenai sambutan kehadiran berjemaah di masjid kurang memberansangkan.
Biasalah masa ada sekatan dan had sekian-sekian di masjid, Jabatan netizen komen power-power. Dah buka tak pergi juga.

Kembali kepada cerita solat jumaat, ada juga yang telah berjaya menempah kehadiran, tetapi tak hadir. Bukan seorang dua, tetapi ramai cecah puluhan juga. Mungkin sahaja gatal tangan nak mengisi permohonan supaya orang lain yang betul-betul nak pergi tersekat.
Ramai yang beri pandangan supaya blacklist je. Amacam ?

Bagi yang telah berkesempatan solat jumaat fasa pkpb/pkpp Kami mencadangkan untuk bagi pula ruang pada yang belum pernah lagi. Jumaat semalam di masjid kami, 90% yang kali pertama solat jumaat dalam fasa pkpb/pkpp ini.

Musim ini, terserlahlah power pegawai masjid. Kalau sebelum ini ramai yang buat-buat tak perasan. Ruang parking kenderaan pegawai masjid pun kena sapu.

Jom mohon jadi pegawai masjid. Best apa setiap waktu boleh solat di Masjid.

#PermaiMenulis #ImamMasjid #MasjidDaerah #PenggerakMasjid #PemakmurMasjid #MasjidDiHati #GengPermai #solatjumaat

Keterangan gambar :



1. Simulasi solat zohor pegawai masjid-masjid kariah daerah Lipis yang dilakukan secara berfasa. Tak boleh sekaligus panggil semua, haru biru. Kalau depa dah haru biru agak-agak macam mana depa nak handle masjid kariah masing-masing nanti.



2.Barisan Urusetia solat jumaat Masjid Sultan Mahmud.

Tuesday, June 16, 2020

Buku Muqaddimah Aqidah Muslimin.



Siri baca tajuk buku
Buku Muqaddimah Aqidah Muslimin.
Penulis seorang tokoh yang tidak asing lagi bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia gerakan Islam.

Aqidah sangat penting. Rosak Aqidah rosaklah segala amalan yang lain. Isu yang lain ialah berlakunya pertembungan aliran mazhab Aqidah sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan dalaman umat Islam.
Saya sangat sarankan untuk miliki dan hadam buku ini.

Monday, June 15, 2020

Buku Cherita2 Tanah Melayu


Siri baca tajuk buku.
Moga dengan mula membaca tajuk buku akan bersambung membaca isi dalamnya.
Buku Cherita2 Tanah Melayu
Keluaran 1960. Terbitan DBP
Jemput subscribe channel ni.

Bayar Parking dengan Pahang Go