Thursday, June 14, 2018

Jangankan ini Ramadan Terakhir

Ramadan tahun ini hampir sahaja melabuhkan tirainya.
Namun realiti kebiasaan, semakin ke penghujung, kita semakin lesu dalam pelayaran Ramadan.
Pemandangan biasa, bilangan saf dan jumlah kehadiran ahli jemaah ke masjid untuk menunaikan solat terawih semakin merosot berbanding ketika di awal-awal Ramadan.
Tak tahulah ke mana mereka menghilang.  Mungkin ada yang telah mula berkampung di rumah sama ada untuk menghias rumah atau memasak juadah sempena hari raya. Atau  berhari-hari tawaf ke pusat membeli belah mencari pakaian, perabut  dan perhiasan.
Tidak salah untuk berjalan dan membeli belah. Namun berpada-pada lah. Kan..Kerajaan pun tengah ambil langkah berjimat..

Namun, masih ada yang istiqamah staminanya menghadapi Ramadan.
10 malam terakhir, masjid kami menyediakan juadah bersahur sebagai galakan untuk ahli jemaah beriktikaf di masjid.

Daripada Aisyah RA, bahawa  Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan hingga Baginda wafat, kemudian isteri-isteri Baginda meneruskan beriktikaf selepas Baginda wafat. (Bukhari & Muslim)

Saya perhatikan, dalam pukul 11-12 malam, beberapa orang ahli jemaah hadir ke masjid kami dengan membawa beg galas, mengisi malam mereka dengan beriktikaf dan berqiamullail.

Saban tahun, ayah saya akan melazimi beriktikaf di masjid-masjid. Kiranya 10 terakhir Ramadan memang tak balik rumah. Ramadan tahun lepas, ayah saya mengikuti daurah tafsir di Masjid Pondok Darul Ulum, Jertih Terengganu. Selesai daurah, dalam perjalanan pulangnya, beliau singgah beriktikaf dan bersahur di Masjid Daerah Lipis. Sebelum meneruskan iktikafnya di Masjid kampung Kerdau.
Itulah Ramadan terakhir buat  ayah.

Sanad tafsir al-Quran ayah. 

Kita masih berkesempatan dengan Ramadan tahun ini. Ramadan tahun hadapan ? Belum tentu lagi.

Maka, jangan lepas dan persiakan  peluang keemasan bersama Ramadan.

Azraie Mohd
Masjid Sultan Mahmud


#PermaiMenulis #CatatanImamKecil #Ramadan #iktikaf #lailatulqadar #masjid



No comments: