Sudah berhari-hari Fulan berasa tidak berapa sihat. Hendak ke hospital berat sekali, pujuk hatinya esok lusa baiklah.
Akhirnya Fulan ke hospital juga, itupun setelah mendengar tazkirah zohor di Radio Pahang FM. Mungkin isi ceramah tersebut membuka hidayah untuk Fulan ke hospital.
Hasil pemeriksaan doktor mengejutkan Fulan. Fulan ditahan dan dimasukkan ke wad. Kerana tidak menjangkakan akan ditahan di wad, Fulan hanya sehelai sepinggang. Mujur wad menyediakan pakaian khas untuk pesakit di wad.
Fulan 'curi-curi dengar' kata doktor kepada "misi", tetapi istilah tahap dewa yang depa gunakan memustahilkan Fulan untuk memahaminya. Lihat raut wajah mereka gayanya "kes berat". Fulan diam sahaja.
Fulan macam terdengar mereka sebut 14 hari. Fikir Fulan 14 hari lagi "aku" hidup.
Mengenangkan hanya tinggal 14 hari umur Fulan, maka Fulan berfikir dia mesti berbuat sesuatu, paling kurang tak mati sia-sia kata hati Fulan.
Fulan merangka jadual hariannya selama 14 hari di wad. Fulan akan mengaji al-Quran 1 juz selepas setiap solat fardu. Sehari dapat 5 juz. 6 hari insya-Allah khatam. Dalam tempoh 14 hari, dapat dua kali khatam.
Seterusnya Fulan akan mengisi masa dengan menulis. Menulis kisah hidupnya, suka duka dari masa kecil sehinggalah ke saat Fulan ditahan wad. Tulisan ini untuk tatapan keluarga dan sahabat handai selepas ketiadaan Fulan nanti. Disebabkan zaman sekarang yang semakin moden, Fulan memilih untuk menulis (menaip) di telefon bimbitnya.
Hari demi hari, Fulan konsisten dengan rutin barunya dan menjadi "new normal" baginya.
Lidahnya basah dengan Kalamullah dan wirid-wirid.
Tangannya pula lincah menaip karya beliau yang semakin banyak patah perkataannya.
Hari ke 12, Fulan telah khatam al-Quran kali kedua sepanjang tinggal di wad. Baki dua hari lagi Fulan mengulang surah-surah yang dihafalnya. Fulan juga tidak tinggal membaca surah al-Mulk dan surah al-Ra'du.
Masuk hari ke 14, Fulan membuat perenggan penutup untuk tulisannya. Fulan membaca sepintas lalu dan beliau berpuas hati dengan hasil tulisannya itu.
Fulan sudah bersedia. Lewat petang Doktor melawatnya dan berkata "awak sudah sihat dan boleh keluar wad"
Fulan terpinga-pinga, katanya " bukan doktor kata tunggu 14 hari ke"
Jawab doktor "ye kamu kena kurantin selama 14 hari di sini"
Fulan berasa selama ini dia silap faham, sekarang Fulan telah faham, Fulan punyalah gembira sampaikan semua orang yang ditemuinya semuanya disapa.
Kata Tok Siak :
Setiap dari kita ada masalah. Soalnya bagaimana kita menghadapinya. Ada yang menjadikan masalah sebagai peluang dan motivasi untuk berubah dan bangkit.
Macam Fulan telah berjaya khatam Al-Quran dan tulisannya itu akhirnya dicadangkan oleh orang untuk dibukukan dan dijual. Untungkan, menjadi penulis buku tanpa sengaja.
Apa pandangan kalian ?
#PermaiMenulis #PermaiBerkarya #GengPermai #Krp #CeritaFulan #karyapkp #tiadakaitandengansesiapa
#karyakreatif
*gambar kenangan ayah sedang membaca al-Quran ketika di wad Hoshas pada bulan November 2017, ayah meninggal dunia penghujung bulan Disember 2017.
No comments:
Post a Comment